Chapter 15

Mystery Completed 14816

Bab 15

Leo juga duduk di atas salah satu tunggul yang ada. Dia melepaskan lelah dengan meneguk minuman, kemudian menjirus kepalanya dengan sisa-sisa air yang ada di dalam botol. Amalina memerhati. Leo tersenyum, memberitahu kepalanya terasa sedikit sejuk selepas menjirus dengan air tersebut.

“Yalah. Bagus sekali. Tapi jangan minta air aku nanti… Air kau dah habis.”

“Tak apa. Tak jauh dari sini ada sumber air… Dengar tak bunyi air terjun?” tanya Leo.

“Kita dah sampai?” tanya Amalina rasa teruja.

“Hampir sampai,” jawab Leo, sambil memerhati ke arah hutan tebal di hadapan mereka.

“Dua jam lagi.”

“Dua jam lagi?” Amalina kecewa mendengarkannya. Dia fikir mereka sudah hampir tiba ke tempat yang dituju. Dia benar-benar rasa ingin berbaring melepaskan lelah. Tak boleh tahan… bisik hatinya. Aku kena baring, kalau tidak aku akan pengsan!

“Pukul berapa sekarang?”

“Hampir pukul tiga,” jawab Amalina sambil menyeka peluhnya.

“Pukul lima kita akan sampai ke gua tu,” beritahu Leo sambil terus bangkit.

Dia mengajak Amalina memulakan perjalanan semula.

Amalina cuba bangun. Tiba-tiba kepalanya rasa berpusing-pusing. Dia tidak mampu untuk berdiri. Amalina terhuyung-hayang seperti mahu tumbang. Dia cuba melangkah jua mengikut Leo. Dia tidak mahu Leo menganggapnya lemah. Dia harus buktikan dia juga cukup kuat untuk sampai ke destinasi mereka. Namun otaknya tidak dapat berkompromi lagi dengan tubuhnya yang benar-benar letih dan lesu. Amalina terjelepuk jatuh ke atas tanah.

Leo terperanjat, lantas terus menerkam ke arah Amalina. Kepala Amalina terlentuk lemah, matanya terpejam rapat. Leo menepuk pipinya beberapa kali, namun Amalina tetap tidak sedar daripada pengsan. Mahu tidak mahu Leo terpaksa memikul Amalina di atas belakangnya.

“Kau pengsan.”

Mata Amalina memerhati sekeliling, lantas terus tertambat ke arah air terjun yang mengeluarkan bunyi yang amat mengasyikkan. Percikan air yang lebat jatuh ke dalam anak sungai yang dikepung bebatuan besar membentuk bagaikan sebuah kolam. Dia segera bangun, menyedari mereka sudah sampai ke tempat yang dituju.

“Macamana aku boleh sampai ke sini?” Dia bertanya kebingungan.

“Kau kata tadi dua jam lagi…”

“Ya, betul.” Leo mengangguk.

“Cuba kau tengok jam.”

Spontan Amalina memerhati jam tangannya dan melihat waktu yang sudah menunjukkan ke pukul tujuh petang. Leo telah pun menyalakan unggun api tidak jauh dari situ.

“Macamana aku boleh sampai ke sini?”

“Tentulah aku yang membawa kau. Aku dukung kau sehingga sampai ke sini. Takkan aku nak tinggalkan kau sorang-sorang kat situ tadi.”

“Semasa kau tidur tadi, kau panggil nama Airiel. Dia kekasih kau?”

Amalina merenung Leo.

Leo tidak putus-putus memikirkan tentang Amalina yang sudah punya kekasih. Masih diingatnya dengan jelas nama kekasih Amalina walaupun hanya sekali gadis itu menyebutnya. Nama itu terasa melekat terus dalam ingatannya. Entah mengapa dia membenci nama itu. Sungguh-sungguh!

“Dah berapa lama kau bercinta dengan dia?” tanya Leo tiba-tiba.

Amalina memandang Leo, dia tidak ingin menjawab segera soalan itu. Dahinya berkerut, mengapa Leo tiba-tiba mengemukakan pertanyaan seperti itu yang dirasakannya berbaur cemburu.

“Sejak di universiti,” jawab Amalina.

“Dia istimewa?”

Kepala Amalina mengangguk.

“Macamana pula kau dengan Pilar?” tanya Amalina.

Leo memandang Amalina. Dia hanya mencebikkan bibirnya.

“Aku kenal dia sejak…” suara Leo tergantung.

Dia tidak ingat. Sejak bila dia kenal Pilar? Apakah sejak dia masih kecil? Dia tidak tahu. Apa sudah jadi? Mengapa dia tidak ingat sejak bila dia kenal Pilar?

“Tentu sejak kecil,” balas Amalina apabila Leo tidak dapat meneruskan kata-kata.

“Mungkin.” Leo tidak pasti langsung pada kata-katanya sendiri.

“Mungkin? Kau tak yakin kau kenal dia sejak bila? Kenapa? Dah berapa lama kau tinggal di kampung tu?”

Leo menggeleng.

...bersambung

Bab akan datang:

Kenapa Leo tidak ingat akan memorinya semenjak kecil?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience