2 Permintaan

Romance Completed 467198

"KAKAK! Tangkap, tangkap! Jangan bagi jatuh tau!" Yana yang sedang memegang sebiji durian menjerit ke arah Mellia yang berdiri tidak jauh dari tempatnya. Semakin lebar senyuman Yana saat melihat wajah Mellia yang penuh memperlihatkan tampang ketakutan.

"Gila ke? Tajamlah, argh kakak takut!" Mellia mula menutup seluruh bentuk wajahnya menggunakan kedua-dua belah telapak tangan lantaran bimbang mukanya akan menjadi tempat pendaratan oleh sebiji buah yang paling dia benci itu.

"Laaa, orang main-main je lah. Tu pun nak menangis!" Yana ketawa terbahak-bahak pada tempat diriannya ketika melihat Mellia sudah berhinjutan bahu sambil menyeka air mata.

"Mana ada kakak menangis! Memandai je!" Mellia menjeling wajah adiknya yang sedang seronok bergelak sakan tanpa mempedulikan betapa buruknya seorang anak dara bergelak selantang itu.

"Tak yah tipulah... Yana tahu kakak tak suka durian! Sedap apa... kalau abang Aidil ada, tak cukup sebiji ni tahu tak!"
Senyuman Mellia langsung mati saat nama suaminya dipetik. Sudah tiga hari dia berada di kampung, dan selama tiga hari itu jugalah Aidil tidak menghubunginya malah bertanya di mana keberadaannya pun tiada. Mellia terlalu merindukan lelaki itu, namun kerana rasa egonya, dia membiarkan perasaan rindu itu berlalu begitu sahaja kerana hatinya sudah semakin yakin bahawa cinta Aidil terhadapnya sudah tidak seteguh dulu. Jika orang sudah tidak sudi, mengapa mahu dipaksa lagi? Semua janji dan lafaz yang mereka ucapkan dahulu, kini hanya tinggal kata-kata kosong.

"Kak...kakak masih menangis lagi ke??" Suara Yana yang menerpa terus mematikan lamunan Mellia. Air mata yang mengalir tadi laju diseka sebelum bibirnya digariskan dengan secalit senyuman.

"Kakak cuma...rindukan abang Aidil je.." Ujar Mellia selamba sambil tertawa kecil. Walau hanya ingin berseloroh, namun hatinya benar-benar memaksudkan kata-kata itu.

"Maaflah..Yana buat kakak teringatkan abang.. Tu la...siapa suruh kakak balik seorang! Tak nak bawa abang pun!"
Mellia ikut tertawa kecil saat melihat muncungan adiknya.

"Kalau abang Aidil ikut, siapa nak tengokkan bisnes dia. Yana pun tahu kan ,abang Aidil tu macam mana, bab kerja mana mahu bertangguh." Mellia menyatakan alasan namun seperti itulah sikap sebenar Aidil. Kerjanya adalah hal yang paling penting dalam hidupnya. Kesungguhan lelaki itu untuk memajukan perniagaannya boleh dikatakan agak keterlaluan kadangkala penuh ketaksuban sampaikan dia sanggup bermalam di pejabatnya dan itu adalah salah satu punca pertelingkahan di dalam rumah tangga mereka. Tuduhan Mellia yang mengatakan suaminya bermain kayu tiga di belakangnya menyebabkan Aidil semakin sukar mengawal emosi dan apabila api bertemu api, lalu terbentuklah gaungan lahar yang begitu mematikan.

"Rajin abang kan? Dahlah baik, hensem lagi tu. Akak bertuah sangat! Yana tumpang happy untuk akak..." Mellia hanya tersenyum nipis saat suaminya dipuji seindah itu. Andai sahaja orang luar tahu bertapa dinginnya mereka suami isteri, andai sahaja orang luar tahu, betapa seringkalinya wanita itu terluka, sudah pasti akan tiada suara yang mengagungkan suaminya. Rasanya sakit sangat! Sakit sampai sebak dan sebak sehinggakan kadangkala nafas yang dia punya setiap saat terasa hampir berhenti mati.
'SAKIT!!'

"Jomla, balik. Nanti ibu dengan ayah tu bising!" Kedua-dua adik beradik itu kemudian ketawa bersama-sama saat memikirkan leteran ibu mereka yang tidak mempunyai tanda baca langsung kalau sudah membebel. Begitulah ciri-ciri seorang bekas guru displin bahkan sehingga saat itu, keperibadian Puan Sheila masih lagi seperti dahulu.
Mellia memaut bahu adiknya sambil berjalan perlahan meninggalkan dusun kecil milik ayah mereka, Encik Zahid yang merupakan bekas pengetua di salah sebuah sekolah menengah tidak jauh dari perkampungan itu. Jadi tidak hairanlah, jika sikap garang dan tegas Encik Zaid kadangkala agak keterlaluan. Dulu, kedua-dua kehidupan anak daranya begitu dikongkong sampaikan hendak bercinta pun gadis-gadis itu tidak berani dan disebabkan ketegasan ayah mereka itulah, Mellia berjaya menyambung perlajaran sehingga ke luar negara lalu di situlah kisah percintaan dia dan Aidil tertulis dengan indah dan manis sekali.

Di awal perkahwinan, layanan Tan Sri Khairul dan isterinya amatlah baik terhadap Mellia. Dua insan itu tidak pernah mengambil kisah soal pangkat mahupun darjat. Kebaikan dan kelembutan Mellia amat menarik hati mereka. Namun semuanya berubah mendadak tika keinginan mereka selalu diakhiri dengan kekecewaan. Dan Mellia juga mula berubah saat mula merasa rimas lantaran seringkali didesak oleh kedua-dua orang tua itu. Bukan mereka tidak pernah berikhtiar, namun keputusannya sama sahaja dan akhirnya Mellia menyerah. Begitu juga Aidil. Kerana sangat tertekan dengan desakan luar juga sikap dingin isterinya yang selalu beremosi ganas, Aidil akhirnya lebih memilih untuk semakin menyibukkan diri dengan pekerjaannya. Tidur pun sudah berasingan. Aidil lebih selesa beradu di luar kamar, daripada terpaksa tidur menghadap raut bengis isterinya.

"Mellia...bila kau balik?" Mellia dan adiknya terus menoleh saat disapa oleh seseorang.

"Mak cik Tiah. Tiga hari dah saya kat kampung ,mak cik. Mak cik apa khabar?" Mellia memaniskan wajah juga bicaranya walau hati sungguh tidak senang beromong kosong dengan wanita tua itu terkenal dengan sikap 'kepoh'nya.

"Mak cik baik...cuma sibuklah sikit, maklumlah, Kinah tu masih dalam pantang. Tak bernafas mak cik dibuatnya tapi mak cik tak kisah pun, maklumlah...demi cucu..." Mak Tiah mencorak tampang bangga.

"Oh, betul tu Mak Cik. Tahniah kepada mak cik, dapat cucu dah. Mesti meriah rumah..." Mellia mengukir senyuman nipis.

"Tu lah, bersyukur sangat mak cik. Kinah tu belum sampai setahun berkahwin, dah melekat. Ramai yang bertahun-tahun kahwin, masih tak lekat-lekat. " ujar Mak Tiah sambil mengoyak senyuman sinis.

"Betul tu mak cik. Er...kami minta diri dulu Mak Cik, takut ibu bising pula kalau balik lambat. Assalamualaikum.."

"Waalaikumsalam.. Kamu berusahalah Mellia, mak cik bukan apa, mak cik kesian tengok kamu. Takut-takut laki tu mencari lainlah pula kan." Mak Tiah sempat memesan dengan nada ejekan sebelum duluan pergi. Yana yang dari tadi menahan marah terus mengusap bahu kakaknya berkali-kali kerana dia tahu wanita itu sungguh terasa hati dengan kata-kata 'bawang kampung' itu tadi.

"Sabar ye kak...mulut nenek kekampungan yang tak de pelajaran memang macam tu! Ada anak salah, tak de anak pun salah. Nanti dah ada anak satu, ditanya pula bila nak beranak dua tiga. Bila anak ramai, kata tak pandai merancang. Ish, geram Yana Kak!"
Mellia memaut bahu adiknya yang sedang aktif membebel marah itu.

" Akak tak kisah pun. Betullah apa yang dia cakap. Dah, jom balik. Akak lapar dah ni."

"Yana pun. Jom, kita berlumba jalan kaki!"
Pergerakan laju kaki milik dua wanita itu kedengaran teriring dengan hilaian tawa aneh namun bunyi riangan itu langsung mati saat menapak semakin mendekat dengan teratak indah milik orang tua mereka kerana jika ketahuan mereka tertawa seperti itu sudah pasti dua beradik tersebut akan dibebeli oleh ibu kesayangan.

"KAMU cuti berapa hari Mellia?" Suara tegas seorang bekas pengetua yang tiba-tiba kedengaran lantas menghentikan perlagaan pinggan dan sudu yang berlangsung sedari tadi.

"Esok last, yah." jawab Mellia pendek. Tangannya juga sedari tadi menguis-nguis nasi di pinggan. Hanya sedikit sahaja makannya sejak hari pertama berada di kampung. Seleranya benar-benar hilang setiap kali memikirkan krisis rumah tangganya bersama Aidil. Setiap malam sebelum beradu, dia akan meluahkan segala permasalahan kepada Yang Maha Mengetahui dan sekerap itu jugalah dia akan membawa air matanya beradu bersama.

"Mell balik KL bila?"Soal Encik Zaid lagi. Kali ini wajah mendung anaknya dipandang penuh.

"Esok yah." jawab Mellia sedikit berkerutan dahi saat hati mula memahami erti sebenar riak sang ayah.

"Baguslah. Kami ni bukan apa, kami cuma risaukan Aidil. Seorang-seorang kat rumah tu. Kamu tu isteri dia Mellia, tak baik tinggalkan suami lama-lama.." Puan Sheila juga ikutan bersuara.

"Ala...tak apalah ibu. Lagipun abang Aidil mesti dah bagi kebenaran kat kakak. Kan Kak?"

"Yana, boleh tak jangan menyampuk bila orang tua bercakap! " Mulut yang tadinya 'bermuncung' lantang, langsung diserkap kebisuan lantaran sudah ketakutan melihat dan mendengar amaran keras dari sealun suara garau milik ayah mereka.

"Tak kisahlah dia benarkan ataupun tak, tapi kamu dah tinggalkan suami kamu tu tiga hari dah. Esok, kamu baliklah. Makan minum suami kamu siapa nak uruskan nanti. Tu tanggungjawab kamu tahu tak?" Encik Zaid menggarisbawahi setiap kerat ayatnya agar anak sulungnya itu tidak menyalahtafsirkan maksud sebenar kata-katanya.

"Baik ayah, Mell faham." ujar Mellia sambil mengangguk lemah.

"Lainlah kalau Aidil ikut balik, korang nak tinggal setahun pun ayah tak kisah. Dah, habiskan nasi tu, kalau rindu kat orang sana pun, tak payahlah nak berdiet bagai. Nak jadi ikan kering?" Mellia sempat mencebik saat usikan ayahnya mula meliliti rasa malunya diselangi pula dengan tawa ibu dan adiknya. Memang dia sangat rindukan Aidil sampaikan apa yang dimakan pun bagaikan tidak berasa langsung.

MELLIA menolak pintu utama rumahnya dengan rasa yang penuh berdebaran. Jika bukan kerana rasa rindu dan berdosanya terhadap Aidil, mungkin dia tidak akan mahu lagi menjejak kaki di rumah yang seringkali menjadi saksi kelukaan hatinya terlorek. Namun, walau sedalam mana pun marahnya, tidak akan mampu membuang perasaan sayang dan cintanya kepada lelaki itu. Dia ingin memeluk tubuh Aidil, dia ingin mencium tangan imamnya itu dan dia juga ingin memohon kata ampun, kerana bersikap biadab tempoh hari. Tiga hari menghabiskan masa di kampung halamannya , sudah cukup untuk menginsafkan diri Mellia bahawa hidupnya sungguh tiada makna jika tiada seorang Aidil di sisi. Dia sedar, kadangkala dia sukar sekali untuk mengawal emosi namun hatinya sangat yakin bahawa Aidil juga sedang merindukannya biar tidak langsung bertanya khabar.

"Baru tahu jalan balik? Ingatkan kau nak menghilang selama-lamanya! Takpun ikut balik jantan yang hantar kau hari tu?!"

'Ya Allah, kuatkan imanku. Lembutkan hatiku. Aku ingin sekali menjadi seorang isteri yang sempurna di matanya. Aku sayangkan dia! Arghh, tak dapat! sakit sangat!'

Mellia laju menoleh ke arah punca suara. Baru sahaja hatinya mengucap insaf, tetapi sebuah laungan dosa pula berligatan memanggil-manggil ke arahnya bahkan panggilan itu kian lantang kedengaran. Jika tadi dia sudah menanam niat untuk berlutut di hadapan suami tersayang, namun disebabkan perlian tajam daripada mulut lelaki itu lantas mengurung niat Mellia dan ketika itu juga dia sudah merasa kencangan nafasnya kian mengila.

"Kau memang nak sangat aku mati ke??" Mellia memulang kata perlian itu kembali. Senyuman sinisnya seolah-olah sedang memberi 'salam' kepada lelaki yang memegang status sebagai seorang suami kepadanya.

"Kau jangan biadab sangat boleh tak? Cakap tu biar bersopan sikit!"

"Habis tu cara kau bercakap dengan aku, sopan sangat ke AIDIL?!"

"Mellia!!" Aidil menjerkah kuat. Tubuhnya automatik dibawa berdiri tepat di hadapan Mellia. Jarinya juga diangkat menembak tepat ke arah mata wanita itu. Dia paling pantang jika isterinya sesuka hati sahaja menyebut namanya. Memang seperti itulah sifat seorang Aidil apalagi ketika mendengar namanya ditekan seperti itu, Aidil tahu itu bermakna dirinya sudah tidak ada makna lagi pada mata Mellia, seorang wanita yang seharusnya menghormati dirinya.

"Kenapa? Kau nak tampar aku? Kau dengar sini laki dayus, aku tak akan biarkan kau jentik sikit pun badan aku! Aku tak akan teragak-agak untuk buat report! Biar satu family kau malu!" Entah dari mana datangnya keberanian dan kebiadaban Mellia sehingga dia sanggup menjerkah dan menunding jari telunjuk tepat pada wajah suaminya. Memang lelaki dayus seperti Aidil layak diperlakukan sebegitu.
Mellia membawa tubuhnya menaiki tangga untuk masuk ke bilik lalu seharian dia di situ mengurung diri bersama tangisan yang enggan berhenti.
"Sampai hati abang layan Mell macam ni, abang dah tak sayangkan Mell lagi ke? Mell tak sanggup kehilangan abang..Mell sayangkan abang sangat-sangat..."

Potret perkahwinan mereka dipeluk. Wajahnya habis kebasahan lantaran rasa yang begitu menyeksakan.
Setiap saat dia berdoa agar keutuhan rumah tangga mereka terbina dengan baik namun kadangkala dia merasakan 'perbualannya' dengan Yang Maha Esa hanyalah sia-sia malah bukan sinar yang dia lihat melainkan kemalapan yang kian mengelap.

AIDIL berdiri tegak di sisi 'island table' sambil matanya ralit memerhatikan susuk insan yang amat dia cintai. Jika dulunya, di dapur itulah mereka selalu bersantai , bergelak tawa lantaran minat isterinya dalam aktiviti memasak yang amat keterlaluan. Di ruang itulah, dia akan memeluk tubuh isterinya dari belakang yang akhirnya menyebabkan segala kerja-kerja memasak menjadi tergendala kerana Mellia akan melayani 'kehendaknya' terlebih dahulu. Aidil sanggup berhabis duit untuk mengubah suai keseluruhan ruangan kegemaran isterinya daripada dapur biasa menjadi dapur berkonsepkan Inggeris yang menggunakan dua tona warna kabinet iaitu putih dan biru lalu disuaikan dengan dinding hijau tua. Dia tidak kisah 'membazir' asalkan isterinya dapat tersenyum seharian. Namun semuanya itu hanya tersisa kenangan masa lalu. Dapur yang dulunya sentiasa sibuk, sekarang menjadi sunyi sepi, kadangkala dalaman peti sejuk juga kosong. Dan jika Mellia memasak sekalipun, itu hanya sekadar untuk dirinya sahaja. Setiap kali pulang ke rumah jam 10 malam, Aidil selalu berharap meja makan itu terhidang dengan sesuatu, namun semuanya hanya angan pendek dan penghujungnya Aidil akan beradu kelelahan bersama perut kosong.

"Sayang... abang nak minta maaf sebab berkasar dengan sayang hari tu, abang salah faham dengan sayang. Semua tu bukan abang yang tulis, tapi perempuan tak guna tu! Percayalah, abang cintakan Mell seorang je." ucapan itu terungkap, namun bukan di bibir melainkan terucap hanya di dalam hati. Dia yang sedari tadi memerhatikan isterinya bekerja di dapur, merasa teragak-agak untuk mendekati wanita itu untuk membuka kata kerana dia pasti hujungnya bakalan seperti apa.

"Malam nanti, kita balik rumah parents aku." Sebaris ayat yang tiba-tiba kedengaran tanpa isyarat, tanpa pembuka kata juga tanpa ada nada yang dapat melembutkan sekeping hati yang sudah sekian lama mengeras mati dan ayat itu juga yang membuatkan Mellia hanya membatukan diri tanpa respon kata mahupun tolehan mata.

"Kau dengar tak??" Aidil mula menaikkan nada suaranya lantaran sudah cukup terasa hati dengan sikap yang ditayangkan oleh Mellia.

"Kau ingat aku pekak? Dan apakah jadahnya yang aku kena balik sana?! Kau nak orang tua kau hina aku lagi!" Darah yang sudah mendidih kian bergelojak membadai saat mendengar bicara biadab dari mulut wanita itu. Sudahlah bercakap membelakangkan seorang suami!

"Aku ni suami kau tahu tak ,Mellia! Makin hari makin kurang ajar kau dengan aku! Kalau mama tak merayu bagai, aku pun tak nak kau balik sanalah!! Kau nak aku jadi anak durhaka ke?? Kau ingat aku sanggup ke tengok isteri aku kena hina??" Kata-kata hamburan keras Aidil terus membuatkan Mellia laju memalingkan wajah.

"Kenapa mama tiba-tiba suruh kita balik?" Suara wanita itu mulai menurun, bahkan riaknya juga ikutan merawan. Untuk kali pertama, semenjak ledakan peperangan dingin dalam perhubungan mereka berlaku, Mellia melembutkan suara juga menatapi Aidil dengan pandangan keredupan. Dia tahu ,suaminya sedang dalam kekacauan. Bukan hanya Aidil, malah hatinya juga seperti itu lantaran bingung memikirkan apa kemahuan sebenar ibu mentuanya.

"Aku tak tahu, tapi mama minta kita balik. Siap merayu bagai..!" Ujar Aidil sambil mengurut bahunya sendiri. Kesibukannya akhir-akhir ini amat memberi rasa lelah yang melampau pada tubuhnya. Andai sahaja sikap isterinya selembut dulu, sudah pasti sentuhan tangan halus itu akan meredakan segala kesakitan pada tubuhnya ketika itu.

"Kita tidur sana ke?"

"Tak, tak boleh! Esok aku ada hal penting!"Aidil menjawab sebelum melangkah pergi dan jawapan itu memang sudah Mellia jangkakan. Lelaki itu terlalu mengagungkan pekerjaannya sehingga seringkali tidak kisah dengan keadaan di sekelilingnya dan hal itu juga turut menjadi salah satu punca kepada pertengkaran mereka yang meletus selama ini.

MELLIA sempat melirik sayu ke arah Aidil saat tadahan tangannya tidak disambut oleh Puan Sri Nabila malah wanita tua itu berterusan memandangnya dengan penuh rasa kebencian.

"Ada apa mama suruh kita orang balik ni?" Aidil sengaja mengeraskan nada suara kerana mahu isterinya melupakan babak yang sangat melukakan tadi.

"Kenapa diam ma? Kalau tak ada jawapan, buat susah-susah je kami balik sini." Luah Aidil saat merasakan tiada balasan di atas pertanyaannya sebentar tadi.
Tan Sri Khairul yang turut berada di situ mendiamkan diri sahaja. Hanya tangan dan mata yang disibukkan melayan telefon bimbit dan sesekali terlihat dia mengoyak senyuman tanpa mempedulikan sedikitpun kedatangan anak dan menantunya.

"Orang tua macam mama
ni memang menyusahkan! Agaknya korang balik ni pun merungut-rungut bagai kan! " Puan Sri Nabila menjelingi satu wajah yang amat menyakitkan matanya sedikit lama. Sengaja dia berkata seperti itu, kerana mahu memerli menantu yang tidak diakui itu.

"Apa pula mama cakap macam tu? Tak ada siapa yang merungut pun. Cubalah positif sikit cara berfikir tu. Kami sayangkan mama tahu tak." Aidil bersuara tegas sambil menarik lembut tangan Mellia agar duduk di sisinya. Mellia sedikit tersentak kerana sudah lama kulit mereka tidak bersentuhan selain tamparan perih yang dia dapat empat hari lepas. Namun diturut juga tarikan tangan Aidil dan membiarkan sahaja lelaki itu menggenggam erat jari jemarinya.

"Mama ada satu permintaan dan mama yakin, kalau kamu dan isteri kamu ni sayangkan mama, kamu berdua takkan hampakan mama." Suara sayu Puan Sri Nabila mula kedengaran. Mellia menatapi wajah ibu mentuanya dengan sedikit riak cengang.

"Apa dia ma? Aidil akan cuba usahakan.." Puan Sri Nabila terus menyorok senyum saat mendengar bait bicara dari mulut anaknya.

"Betul??"Soalnya lagi untuk kepastian.

"Betul." Ujar Aidil penuh yakin. Mellia mencuri menolehi Aidil seketika, ada satu anggapan yang membuatkan rasa keraguan memamahi sekeping hatinya saat itu.

"Mama nak cucu!" Sebaris ayat yang terucap tanpa ragu lantas membuatkan Mellia dan Aidil mengangkat wajah setelah sedikit lama terkurung dalam keheningan tadi.

"Mama! Mama tahukan keadaan kami ni macam mana?? Ingat anak tu boleh beli macam anak patung ke? Bagilah masa dengan kami, Dil pun stresslah kalau selalu nak mendesak! Banyak lagi hal lain yang lebih penting untuk Dil fikirkan!" Aidil terus berdiri dan tanpa sedar dia sudah menengking seorang wanita yang sudah bertarung nyawa melahirkannya.

"Mama ni makin tua tahu tak, agaknya sampai mama mati pun perempuan ni tak akan dapat tunaikan permintaan mama! Mama dah buat keputusan, mama akan kahwinkah Dil dengan Fazura!"

"Mama tak boleh sesuka hati nak aturkan hidup Dil. Aidil tak minta banyak, tolonglah faham...bagi kami masa!"

"Habis tu korang nak mama tunggu sampai mama mati ke?? Hah??" Mama tak perduli dan mama tak nak dengar apa-apa alasan lagi dah! Kamu berdua dengar sini, mama bagi tempoh masa TIGA BULAN dengan kamu berdua. Kalau keadaan masih sama, mama akan kahwinkan Aidil dengan Fazura sama ada kamu setuju ataupun tak!"

"Mama!" Aidil yang telah kematian kata terus duduk sambil beraupan wajah.

"Sampai bila kamu nak simpan perempuan mandul ni, Dil?? Sudah-sudahlah tu! Ni dah kira cukup baik dah mama tak suruh Dil buang dia balik kat kampung tu! Kamu macam mana Mellia?? Nak bantah juga ke??" Puan Sri Nabila memandang Mellia dengan penuh gaya jijik, seperti menanggapi seorang wanita mandul adalah makhluk yang paling hina di muka bumi.
Mellia menyeka air matanya. Sungguh dia sudah kerapuhan perasaan hati tika itu. Air mukanya umpama dipijak tanpa belas di depan seorang suami. Perlahan-lahan, wajahnya diangkat agar menentangi paras ibu mentuanya.

"Mell setuju. Maafkan Mel sebab...tak sempurna seperti wanita lain. Mell minta diri dulu, Assalamualaikum." Terketar-ketar seulas bibir itu membariskan kata. Dia terus bangkit berlalu tanpa menoleh mahupun menyalami kedua-dua orang tua 'terhormat' itu.

"Biadab sangat! Perempuan macam tu bagus dibuang terus je!" Puan Sri Nabila mencemuh keberangan dan rasa marah itu kian parah saat melihat anaknya ikutan berlalu pergi.

"KENAPA kau setuju?" Aidil menarik tangan isterinya agar berhenti melangkah sebaik sahaja mereka memasuki rumah. Air mata yang menghujani pipi isterinya diseka lembut. Dia tahu hati wanita sangat terluka sama sepertinya.

"Sebab aku sedar, aku tidak sesempurna wanita lain. Aku penat dah , hati aku sakit sangat. "

"Kau nak menyerah macam tu je?? Kau sanggup bermadu??" Soal Aidil dengan nada yang kasar. Hatinya kian memedih melihat ketidaksungguhan isterinya mempertahankan rumah tangga mereka. Tiadakah lagi perasaan cinta terhadapnya dari hati Mellia?

"Mell sayangkan abang, tapi Mell tahu Mell tak boleh pentingkan diri. Maafkan Mell, abang.." Ucapan itu terdengar dalam bunyi esakan. Nadanya sudah tidak selantang tadi, malah sayu sungguh bunyinya.

"Kita boleh cuba lagi, Mell... Abang sayangkan Mell seorang je. Tak akan ada wanita lain yang boleh ganti Mell kat hati abang. Tolonglah..."

"Empat tahun dah abang! Empat tahun! Bukan empat bulan! Lama sangat dah. Mell dah penat sangat-sangat. Dihina, dipersalahkan!"

"Mell..."

"Abang nak ke tengok family abang terus menerus benci dengan Mell?? Kita tak boleh pentingkan diri, abang! Mell tak nak abang tersepit antara Mell dengan mama. Lagipun Mell tengok...kita berdua semakin dah tak sehaluan dah. Mell yakin dengan perasaan Mell, berpisah adalah keputusan yang paling baik sebab Mell tak nak berkongsi kasih!"

"Mana janji Mell dulu dengan abang??Hahh?? Ke Mell dah jatuh hati dengan orang lain??!"

"Abang cakaplah apa yang abang nak cakap, abang fikirlah apa pun yang abang nak fikir! Mell dah tak kisah dah! Mell dah bosan!" Herdik Mellia nyaring. Semua rasa marahnya dilampiaskan melalui tengkingan itu dan yang menjadi mangsa ialah suaminya sendiri.

"Baik...kalau tu yang kau nak, aku setuju! Tiga bulan ni, kalau kau masih tak mengandung, jatuh talak satu! Puas??" Usai kata itu terungkap, Aidil terus berlalu meninggalkan Mellia yang kembali keesakan di tempatnya berdiri. Mengapa lelaki itu terlalu cepat mengalah untuk memujuknya? Sungguh dia tidak bermaksud menjadikan penceraian jalan yang terpilih, melainkan hanya menginginkan pujukan dan perhatian daripada Aidil. Namun, semuanya tinggal sia-sia saat satu perjanjian sudah rasmi terucap dan detik itu juga telah menjadi permulaan kepada pengkhianatan terhadap janji-janji sebuah cinta sejati milik pasangan suami isteri itu yang sudah terlafaz suatu ketika dahulu.

Thanks comment:^) happy reading.. Jgn lupa follow IG/FB BBP..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience