Bab 5

Romance Series 297502

AILEEN bersalaman dengan makcik-makcik dan saudaranya yang lain. Dia dan Hayl sudah mahu bertolak ke Kuala Lumpur. Entah bila lagilah mereka dapat peluang untuk berkumpul begini.

“Jangan lupa datang majlis resepsi sebelah Hayl nanti tau,” pesan Aileen. Awal-awal dia dah minta mereka semua ambil cuti untuk majlis resepsinya di pihak lelaki yang akan diadakan dua minggu lagi.

“Yalah Leen. Jangan risau. Kami naik bas ke sana nanti,” seloroh mak ngah.

Aileen ketawa. Ada-ada saja. Dipeluk Mak Siti erat. “Ibu... Jaga diri tau. Kalau ada apa-apa, beritahu Leen,” pesannya.

“Ya. Leen pun sama. Lepas ni jangan buat perangai macam budak-budak lagi. Leen tu dah jadi isteri orang. Jaga makan pakai suami.”

Aileen mengangguk faham. Mak Siti mahu meleraikan pelukan mereka tetapi Aileen menariknya kembali. “Bagilah Leen peluk ibu lama sikit.”

Seandainya dia mampu, mahu saja dia ceritakan pada Mak Siti apa yang dia sedang lalui sekarang ini. Tetapi dia tidak mahu wanita itu risaukannya. Jadi biarlah dia memendamnya sendiri. Lagipun ini adalah pilihannya sendiri. Jadi dialah yang tanggung kesannya sendiri. Tiada siapa yang memaksanya dalam membuat pilihan.

“Leen sayang ibu...” ujarnya sebak.

“Ibu pun sayang Leen juga. Ingat Leen, apa pun ujian yang mendatang lepas ni Leen kena sabar. ALLAH tak datangkan masalah itu tanpa jalan penyelesaian.”

Aileen mengangguk faham. Sebelum jadi drama air mata dekat sini, lebih baik dia mengundur diri. Pelukan dileraikan.

“Hayl dah ambil semua beg baju bawa masuk dalam kereta kan?” soalnya pada Hayl.

“Dah Leen.”

Pap! Satu tamparan hinggap di lengan Aileen. Membuatkan Aileen tersentak.

“Hayl je Leen panggil suami Leen?” Mencerlung mata Mak Siti memandang anak tunggalnya itu. Bertuah punya budak.

“Kenapa? Dah nama dia Hayl. Leen panggil lah Hayl. Ibu dengan yang lain pun panggil Hayl dia juga kan?”

Yang lain tertawa melihat reaksi dua beranak itu. Lagi-lagi mak ngah. Bukan main seronok dia ketawa. Lurus juga anak buah aku ni. Kalau nak dibandingkan dengan pembaris, si Leen ni lagi lurus.

“Leen, panggillah nama yang romantik sikit. Baby ke, ucuk ke... Ha tak pun manja. Budak-budak zaman sekarang kan suka panggilan macam tu,” ujar mak ngah dengan sisa tawanya.

Hayl ketawa kecil. Sejujurnya dia tidak kisah pun jika Aileen mahu memanggilnya dengan panggilan nama. Dia juga bahasakan dirinya dengan panggilan nama sahaja. Baginya panggilan itu tidak berapa penting pun. Tapi jika Aileen mahu memanggilnya dengan panggilan yang istimewa, dia sangat alu-alukan!

“Panggil nama lain. Jangan panggil nama macam tu je,” tegur Mak Siti.

“Hmm ya lah.” Aileen akur. Dia dah terbiasa panggil Hayl dengan namanya saja. Lagipun tak pernah terfikir pula nak panggil Hayl dengan panggilan yang lain. Dia selesa begitu. Hayl pun memanggilnya dengan namanya saja. Kadang-kadang Hayl memanggilnya dengan panggilan sayang juga.

SEDARI tadi Aileen hanya diam. Pandangan dihalakan ke luar tingkap. Hanya suara radio yang menemani perjalanan mereka.

”Leen okay ke?” soal Hayl memecah kesunyian antara mereka. Dia yang sedang memandu itu mengerling sekilas ke arah Aileen.

“Okay,” jawab Aileen sepatah. Jasad saja berada di sini tapi fikirannya entah melayang kemana-mana. Dia memikirkan hala tuju hubungannya dengan Hayl selepas ini.

Mampukah dia membuat Hayl melupakan cinta pertamanya? Sekiranya dia tidak berjaya, bagaimana penghujung hubungan mereka? Mampukah dia terus bertahan dalam hubungan tanpa cinta ini?

“Leen betul-betul okay?” soal Hayl sekali lagi. Diam Aileen buatkan dia tak senang duduk. Tangan Aileen dicapai lalu diramas lembut jemari wanita itu.

Aileen menghela nafas perlahan. Dia menoleh memandang muka Hayl. “Leen betul-betul okay. Hayl janganlah risau.”

Hayl senyum segaris. “Kalau ada apa-apa yang menganggu fikiran Leen, beritahu Hayl.”

Aileen mengangguk perlahan. “Nak singgah makan tak?” soalnya.

“Leen nak makan apa?” soal Hayl kembali.

“Erm... Entahlah.” Aileen angkat bahu. Soalan nak makan dekat mana ni memang payah nak jawab. Lagi-lagi kalau tanya orang perempuan.

“Kita drive thru Mcd dulu lah,” cadang Hayl.

Aileen mengangguk setuju. Lebih baik Hayl yang pilihkan tempat makan mereka. Kalau tanyanya, sampai ke sudah tak dapat makan.

MEREKA berhenti berehat buat seketika. Pada awalnya Aileen menawarkan diri mahu memandu tetapi Hayl tak bagi. Katanya dia masih larat memandu lagi cuma dia perlukan rehat sebentar.

Hayl tersenyum sambil memandang Aileen yang sedang makan burger spicy chicken mcDeluxe. Berselera sekali. Ya lah, makanan kegemarannya. Setiap kali datang ke McDonald's hanya itu menu yang Aileen akan pesan.

“Sedap?” soal Hayl.

Aileen tersenyum sambil mengangguk. “Sedap. Hayl tak nak makan ke?”

Hayl menggeleng perlahan. “Hayl tak rasa lapar lagi.” Sebenarnya dia memang kurang gemar makanan makanan segera.  Bukan sebab nak menjaga kesihatan tetapi memang daripada kecil tekaknya tidak boleh terima makanan fast food.

“Oh...” Aileen mengangguk. Terpejam matanya menikmati gigitan terakhir burger itu.

“Hayl okay ke kalau Leen tak pandai masak?” soal Aileen tiba-tiba.

Hayl terus panggung kepala memandang si isteri. “Okay je. Kalau Leen tak boleh masak, Hayl boleh masak.”

“Tapi tu kan tugas seorang isteri. Jaga makan suami tu, tanggungjawab isteri.”

“Leen... Kita sama-sama boleh belajar. Hayl kahwin dengan Leen bukan sebab nak suruh Leen jaga makan pakai Hayl semata-mata.”

“Jadi Hayl kahwin dengan Leen sebab nak lupakan perempuan tu?” Laju saja soalan itu meluncur keluar daripada bibir Aileen.

Riak wajah Hayl langsung berubah. Lidahnya bagai tergulung di lelangit. Dia hilang diksi.

“Sorry...” Melihat Hayl diam, Aileen mula rasa bersalah. Tak sepatutnya dia tanya soalan begitu.

Hayl mengukir senyum nipis. Kepala digeleng perlahan. “Tak apa. Tak perlu minta maaf. Leen tak buat salah pun.”

Aileen gigit hujung bibirnya. Menyesal pula tanya soalan macam tu tadi. Sekarang ni tiba-tiba keadaan mereka jadi canggung. Serba salah dibuatnya.

“Kita boleh balik sekarang?” soal Hayl.

“Okay.” Aileen mengangguk. Rasa bersalah masih membelit tangkai hati.

Hayl terus menghidupkan enjin keretanya. Perjalanan diteruskan. Dah tak jauh. Lebih kurang sejam saja lagi mereka akan tiba.

KERETA yang dipandu Hayl berhenti di hadapan rumah teres dua tingkat. Hay menoleh ke sisi. Dia tersenyum kecil melihat Aileen tertidur pulas. Mengantuk sangat agaknya.

Senyumannya perlahan-lahan pudar apabila mengingati kembali soalan yang ditanya oleh Aileen tadi.

“Jadi Hayl kahwin dengan Leen sebab nak lupakan perempuan tu?”

Aileen tak salah. Mana-mana perempuan pun jika berada di tempat Aileen mungkin akan tanyakan soalan yang sama. Dia tahu Aileen cukup terluka dengan pengakuannya malam itu. Bukan niatnya untuk mengguris hati sang isteri. Dia cuma mahu jujur dan berterus-terang dengan rasa hatinya. Dia tidak mahu berpura-pura. Tapi hakikatnya dia tetap bersalah.

Kalau daripada awal dia jujur dengan Aileen tentu semuanya tidak akan jadi begini. Sekurang-kurangnya Aileen masih lagi boleh membuat keputusan sama ada untuk meneruskan perkahwinan ini ataupun tidak. Tapi sekarang semuanya dah terlambat. Mereka sudah menjadi pasangan suami isteri yang sah. Bukannya boleh berpatah semula.

Hayl sayangkan Aileen. Dia perlukan Aileen dalam hidupnya tapi dalam masa yang sama hatinya masih mencintai Dhia. Susah untuk dia buang perasaan ini. Sangkanya selepas menikahi Aileen dia dapat melupakan Dhia sepenuhnya. Tapi hakikatnya tidak semudah itu.

“Leen... Kita dah sampai,” kejut Hayl lembut.

Aileen terpisat-pisat bangun sambil menggosok-gosok matanya. Wajah Hayl menjadi tatapan kornea.

“Leen tertidur... Sorry,” ucapnya serba-salah. Ya lah, Hayl penat-penat memandu dia pula selamba bantai tidur. Tadi bukan main lagi dia cakap nak teman Hayl memandu. Teman dalam mimpi ajelah Leen oi.

“It’s okay sayang.” Hidung Aileen ditarik perlahan.

“Jom turun,” ajaknya.

Aileen mengangguk. Tali pinggang keledar dilepaskan. Dia terus keluar daripada perut kereta. Matanya memandang rumah teres dua tingkat itu.

“Ini rumah Hayl?” soal Aileen. Sebelum berkahwin, mereka ada berbincang yang mereka akan tinggal di rumah Hayl. Tetapi Hayl masih belum pernah membawa Aileen melihat rumahnya.

“Rumah kita.” Hayl meraih tangan Aileen lalu digenggam erat.

Bibir Aileen menguntum senyum. Dia mahu mereka menjadi seperti pasangan suami isteri yang lain. Tetapi mengenangkan hakikat yang suaminya itu masih mencintai bekas kekasihnya membuatkan hatinya berkecamuk. Terkadang dia rasa marah sangat dengan  Hayl. Rasa mahu mengamuk dengan lelaki itu. Tapi mengenangkan layanan Hayl padanya membuatkan hatinya yang panas jadi sejuk kembali.

Hayl cuma jujur dengannya mengenai perasaannya. Bukannya Hayl curang dengannya. Lagipun Dhia sendiri sudah berkahwin. Mustahil untuk mereka bersatu kembali. Jadi tidak ada apa yang perlu Aileen takutkan.

Mata Aileen meliar memerhati sekeliling rumah itu. Kemas dan teratur saja. Pandai betul Hayl jaga.

“Walaupun Hayl tak tinggal dekat sini, rumah ni bersih dan teratur je,” ujar Aileen. Kagum seketika dengan suaminya itu. Jarang-jarang orang lelaki pandai mengemas.

Hayl ketawa kecil. “Mama selalu juga datang ke sini. Dia lah yang bagi idea nak deko-deko ni semua. Hayl ikutkan je.”

Aileen mengangguk kecil. Patutlah. Yang dia tahu ibu mertuanya itu ada latar belakang interior design. Dia pernah bekerja sebagai interior designer selama sepuluh tahun.

“Jom naik atas pula,” ajak Hayl.

Aileen hanya menurut. Tangannya masih lagi berada kemas dalam genggaman Hayl. Buatkan hatinya jadi berbunga-bunga.

“Ini bilik kita.”

“Cantiknya!” ujar Aileen teruja.

Bilik tidur mereka sangat luas. Ada sebuah katil bersaiz king dan sebuah almari pakaian besar. Ada juga ruangan untuk mereka menonton televisyen. Siap ada sofa. Kalau beginilah biliknya, kalau terperuk dalam bilik je pun tak apa.

“Leen suka?” soal Hayl. Sebulan sebelum mereka berkahwin, dia meminta pertolongan uminya untuk menghias bilik tidur ini. Kebanyakan perabot di dalam bilik ini adalah perabot baru.

“Suka. Suka sangat.”

“Kita tengok bilik lain pula. Jom.”

Mereka berdua melangkah keluar daripada bilik utama itu. Di tingkat atas ada tiga bilik. Manakala di tingkat bawah ada dua bilik. Tetapi kedua-dua bilik di tingkat bawah dijadikan bilik tetamu.

“Kosong je?” soal Aileen sebaik masuk ke dalam bilik tengah itu.

Bilik itu kosong tanpa sebarang perabot. Dinding pun hanya dicat putih.

“Memang Hayl saja kosongkan bilik ni. Hayl nak kita sendiri deko bilik ni untuk anak kita nanti.”

Terkebil-kebil mata Aileen memandang Hayl. Anak? Dia tak salah dengar kan tadi?

“Anak?”

Hayl senyum sambil mengangguk. “Leen tak nak ada anak ke?”

“Mestilah nak!” Laju Aileen menjawab tanpa berfikir panjang. Membuatkan Hayl ketawa.

“Hayl nak ada anak dengan Leen?” soal Aileen tiba-tiba.

Dahi Hayl berkerut halus memandang Aileen. “Kalau Hayl ada anak, mestilah anak dengan Leen. Leen kan isteri Hayl.”

“Tapi bukan Hayl yang Leen cinta.”

Hayl langsung terdiam.

“Bilik satu lagi tu bilik apa?” Aileen terus mengubah topik. Tidak mahu merosakkan suasana bahagia mereka.

“Bilik tu... Bilik tu tak ada apa-apa yang menarik pun. Bilik kerja Hayl.”

“Leen nak tengok boleh?” pinta Aileen.

“Bilik tu bersepah. Lain kali je lah Hayl tunjuk pada Leen.” Hayl mencari alasan. Ada sebab mengapa dia tidak mahu Aileen melihat bilik itu.

“Okaylah kalau macam tu. Leen nak susun baju dalam wardrobe.”

“Hayl tolong.”

“Thank you.” Aileen hanya memerhati gerak-geri Hayl. Entah mengapa dia dapat rasakan Hayl cuba menyembunyikan sesuatu daripadanya. Hayl bawa dia ke semua tempat di dalam rumah ini termasuk bilik stor. Tapi mengapa Hayl tidak mahu membawa dia ke bilik itu?

Entahlah. Mungkin hanya perasaan Aileen saja. Dia cuba membuang jauh-jauh perasaan ini.

Share this novel

Hashim
2023-03-03 23:41:55 

macam kawin kontrak je Leen...next please tq


NovelPlus Premium

The best ads free experience