BAB 1

Mystery & Detective Completed 347

DI LANGIT malam wajah bulan nampak penuh.* Cahayanya kian menumpah dan
menyerak menyiram segenap sudut halaman. Kedengaran suara burung jampuk
berulang-ulang memanggil sayu. Cengkerik hutan pula sedang beradu
merdunya suara. Sesekali bunyi burung tukang menyapa memecah sunyi sepi
malam. Gemersik angin membuatkan dedaun kelapa mula berlaga. Nyanyian
malam itu mula bercampur baur. Melodinya pula seakan tenggelam timbul.

Seperti biasa, Alim dan Kudin akan melalui jalan yang sama untuk ke
pekan Paku Rotan. Malam itu mereka sudah berjanji untuk bertamu ke pasar
malam. Seminggu sekali pasti kunjungan ke pasar malam itu menjadi
destinasi pilihan. Tinggal dan duduk di kampung, apa lagi aktiviti malam
yang boleh dilakukan oleh anak-anak muda seusianya? Sekadar mencari
hiburan ringan dan melepas rasa bosan, aktiviti itu memang menjadi acara
mingguan anak-anak muda. Kudin mula memerhati jam tangannya.

“Lewat dah ni? Jom balik!”

Kudin menggesa Alim untuk segera balik ke rumah. Sementara itu Alim
masih lagi belum mahu pulang. Dia masih belum puas bertemu dengan
rakan-rakannya yang lain. Fitri, Fared, Wan dan Mamat pun tidak
ketinggalan sama ada di situ. Mereka semua dari kampung seberang dan
menjadikan tapak pasar malam di pekan Paku Rotan itu tempat mereka bertemu.

“Kejaplah. Malam masih muda!”

“Muda kata kau! Lagi setengah jam pukul 11 malam. Orang berniaga dah
lama sampai ke rumah!”

“Rilekslah beb! Balik awal pun bukan ada bini!”

“Memang tak ada bini tapi mak bapak kan ada!”

“Bukan dia orang tak biasa dengan kita balik lewat pagi-pagi macam ni.
Kalau pintu berkunci, kita tidur serambi sajalah!”

“Huhhh! Cakap dengan kau memang susah! Sakitkan hati saja…”

“Betul apa? Dia orang mesti dah tidur, tak payah cari nahas nak kejutkan
orang yang dah lena tidur. Kalau kau takut tidur serambi
seorang-seorang, ikut balik rumah aku. Habis cerita!”

“Aku tak kesah tidur mana pun. Janji boleh lelap!”

Sementara itu, Fitri, Wan, Fared dan Mamad berkira-kira mahu ke cyber
café yang masih lagi beroperasi sampai lewat pagi. Mereka mengajak Alim
dan Kudin turut sama ke sana. Selain pasar malam, memang ada sebuah
pusat cyber café yang beroperasi di pekan Paku Rotan itu.

“Aku okey saja. Kudin tak tahulah aku!”

“Jomlah pergi sekali. Bukan tak biasakan? Lainlah kalau anak mak!” perli
Fitri sambil disambut gelak ketawa daripada kawan-kawan yang lain.

“Ini Alimlah… anak jantan, bukan anak mak tau!”

“Ermm… macam itulah namanya kawan beb! Wa cayalah sama lu!”

“Iye… percayalah sangat. Jangan kawan makan kawan sudah!” luah Kudin,
membuang rasa sebal di hati.

Akhirnya kata sepakat telah diambil. Mereka bersetuju lepak sebentar di
cyber café yang dimaksudkan. Ketika itu jam yang berdetik sudah
menghampiri detik 12 malam. Selain dari bermain permainan maya, apa lagi
yang boleh dilakukan di pusat komputer itu. Bagi Alim, permainan DOTA
cukup melekat di hatinya. Sanggup dia duduk berjam-jam di depan skrin
komputer semata-mata permainan maya itu. Sekali lagi Kudin menyuarakan
hasrat hatinya untuk balik ke rumah.

“Jomlah balik. Lama-lama mengadap skrin komputer ni bosanlah pulak!”

“Ermm… kau dari tadi asyik nak balik. Selalunya kaulah yang paling lama
melekat di kerusi ni. Dah mengantuk sangat ke?”

“Taklah mengantuk sangat. Dah berkunang-kunang biji mata aku mengadap
skrin ni. Nak lepak tempat lain, aku ikut saja.”

“Nak lepak kat mana? Yang lain-lain ada idea tak?”

Fitri menoleh ke arah Alim. Dia hanya mengangkat bahu beberapa kali.
Tandanya dia sendiri tidak tahu hendak pergi selepas itu. Fared, Wan dan
Mamad turut senyap dari sebarang idea. Alim mengulum bibir sambil
berfikir. Kudin sudah terkedip-kedip matanya menahan kelopak matanya
yang kian memberat. Alim mula melontar ideanya.

“Kau orang lapar tak?”

“Bolehlah tahan…” tukas Fared, menjawab pantas. “Pagi-pagi macam ni, ada
lagi kedai makan yang buka ke?”

“Kita ronda-rondalah dulu. Kot ada yang buka lagi. Baru jam 2 pagi,
setahu aku warung hujung simpang sana tu buka sampai jam 3 pagi. Jomlah!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience