Sebuah kereta mewah berwarna merah laju meluncur di atas jalan raya. Genggaman pada stereng kereta diketatkan. Pedal minyak semakin ditekan menambah kelajuan kereta itu. Hati membara membuatkan diri tidak peduli dengan nyawa sendiri. Apa yang penting, dia harus berjumpa wanita itu. Satu malam dia memendam rasa sakit hati dan hari ini dia harus melepaskan semua amarah yang terbuku. Tadi, dia baru saja mendapatkan alamat tempat tinggal wanita itu. Senyuman senget dihadiahkan. Sangat mudah!
Kereta yang bergerak laju tadi kini menjadi perlahan apabila memasuki di kawasan flat yang berketinggian 12 tingkat. Kereta itu akhirnya berhenti. Dia memandang bangunan yang telah pudar catnya dengan senyuman sinis. Kau nak lari ke mana, Hanis? desisnya.
Pintu kereta dibuka dan segera turun dengan wajahnya yang tegang. Perasaan ingin mencakar wajah wanita bernama Hanis bermain-main di ruang mindanya. Dia mengorak langkah tanpa memperdulikan insan-insan yang sedang memerhati gerak-gerik dirinya. Apa? Tak pernah tengok orang ke?
Penampilan yang menjolok mata menarik perhatian sekeliling terutama pada insan yang bernama lelaki. Tak kira muda atau pun sudah berumur. Siapa yang tak mahu melihat benda percuma, bukan? Ah, dia tidak peduli akan semua itu. Tujuan dia ke sini untuk berhadapan dengan Hanis.
Kini, dia mula memanjat tangga untuk sampai ke lantai dua di mana di sanalah wanita bernama Hanis itu tinggal. Sempat dia mengeluh disebabkan dia menggunakan high heel. Teruk baginya untuk memanjat tangga. Setelah lebih kurang dua minit menaiki tangga, langkah di berhentikan tepat di hadapan pintu. Melihat dari alamat yang didapati, tidak salah lagi itulah kediaman Hanis. Pintu di ketuk dengan sekeras yang mungkin seiring dengan emosi yang membalut di dalam diri.
“Hoi perempuan! Kau buka pintu ni, sekarang!” melenting suaranya di hadapan pintu tersebut. Disebabkan terdengar suara itu, manusia yang mendengar terpusu-pusu keluar dari rumahnya ingin mencari tahu. Malahan, beberapa orang yang berada di tingkat bawah sanggup memanjat tangga hanya ingin melihat kejadian itu.
“Kau jangan buat-buat pekak Hanis! Kau keluar sekarang! Kau ingat aku takut nak berhadapan dengan kau? Eh, keluarlah!” jeritnya seiring dengan ketukan keras. Roboh saja tidak pintu rumah itu dibuatnya.
“Tak malu ke buat bising dekat kawasan orang ni? Tak reti nak beradab?” tegur salah seorang yang merupakan jiran Hanis. Naik darah juga dibuatnya melihat aksi wanita muda itu. Langsung tak adab!
Dia tersenyum sinis. “Eh, makcik! Mulut tu elok sikit ya! Sebelum kau makan kasut tinggi aku ni, baik kau diam! Sibuk je nak jaga tepi kain orang!” ujarnya begitu angkuh. Jelingan dihadiahkan. Kedua tangannya disilangkan ke dada sementara menunggu pintu dibuka.
KLAK!
“Maaf, saya baru habis mandi tadi... eh, Neldia? Buat apa dekat sini?” Muncullah kelibat Hanis di muka pintu. Rambutnya dibungkus dengan tuala bewarna merah jambu. Haruman wangian sabun yang digunakan dapat dihidu oleh Neldia.
Hanis memandang wajah Neldia penuh kehairanan. Tiada angin, tiada ribut, wanita itu tiba-tiba sahaja muncul di hadapan pintunya saat ini. Dia yakin pasti ada yang tidak kena dengan wanita itu. Namun, dia kurang pasti penyebabnya.
PAP!
Tamparan diberikan langsung oleh Neldia. Hanis memegang pipinya. Perih.
“Kau gila ke apa, Neldia?! Apa kau nak sebenarnya?!”
“Tanya aku pula. Memang patut pun kau makan penampar aku. Perempuan macam kau, harus diberi pelajaran yang cukup!”
“Apa kau merepek ni, Neldia? Apa masalah kau sebenarnya? Datang tanpa diundang, tak malu ke?” Hanis cuba beriak tenang.
“Dasar perempuan tak tahu diri kau ya, Hanis. Dah rosakkan rumah tangga orang, masih berpura-pura tidak bersalah. Aku tahulah kau tu dendam dengan aku kan? Kau tak dapat nak rebut hati Aidil, jadi kau cakap macam tu dengan dia, kan?!”
“Kau dah tahu kan kelemahan aku sebenarnya? Sebab tu kau cuba meracuni fikiran Aidil.” tambah Neldia lagi.
Berkerut dahi Hanis mendengar ayat Neldia. Sepatah pun langsung tidak dapat diproses dalam fikiran. Berpura-pura tidak bersalah? Apa pula minah ni merepek?
“Apa lah yang kau cakap ni, Neldia? Satu pun aku tak faham, kau tahu tak? Eh, sudahlah! Kalau kau ada masalah dengan laki kesayangan kau, sattle sendiri tanpa harus libatkan sesiapa pun. Terutamanya, aku!” jelas Hanis dengan tegas. Sikit pun dia tidak gentar untuk berhadapan dengan wanita ini. Apa dia fikir aku ni tak pandai melawan ke? huh!
“Masih nak berdalih? Kau ingat aku bodoh ke, Hanis? Aku tahu lah apa kau buat dekat suami aku. Kau panas-panas kan telinga dia pasal zuriat? Sebab tu dia berani tanya aku pasal benda tu!” Tajam pandangan diberikan kepada Hanis.
Neldia syak bahawa Hanis telah meracuni fikiran Aidil sehingga lelaki itu berani menyentuh soal zuriat di hari kebahagiaan mereka malam itu. Perang mulut semalam masih lagi belum reda antara Aidil dan Neldia. Dia masih marahkan Aidil. Selepas kejadian itu, dia sanggup tidak pulang ke rumah dan tidur di hotel.
“Dan disebabkan kau... hari di mana sepatutnya aku gembira dengan suami aku telah musnah! Sukalah kau kan? Dasar perempuan tak ada maruah!”
PAP!
Perih pipi Neldia yang dia rasakan saat itu. Tamparan Hanis memang cukup kuat melekat di pipi. Tebal muka saat melihat beberapa orang masih tekun melihat pertelingkahan mereka.
“Sakit? Itu baru penampar tau. Belum aku bagi penumbuk, penendang aku. Oh? Kalau rumah tangga kau bermasalah, kena tuduh dan libatkan aku, macam tu?”
“Dengar, Neldia. Aku tak ada niat langsung nak rosakkan rumah tangga sesiapa pun. Lagi-lagi rumah tangga kau yang bahagia sangat tu kan? Apa aku dapat kalau aku buat macam tu? Tak payahlah risau sangat, taste aku bukan Aidil lagi.” tambah Hanis panjang lebar. Biar faham sikit wanita di hadapannya itu.
“Kau balik aje lah, sattle masalah dengan suami kau! Kau mengamuk dekat sini pun tak sattle apa masalah pun lah! Tambah masalah, ada lah!”
Geram Neldia melihat sikap Hanis. Dengan pantas dia menolak badan kecil wanita itu sehingga jatuh terduduk dibuatnya.
“Kau ingat aku percaya ke perempuan tak sedar macam kau? Aku lepas kau kali ni tau! Kau tunggulah nasib kau lepas ni! Tcuh!” Dia meludah di hadapan Hanis. Kemudian, dia terus melangkah pergi dengan senyuman sinisnya. Serba sedikit dia berpuas hati melihat ketidakselesaan yang terpancar di wajah wanita itu tadi.
“Tepilah!” marahnya kepada orang-orang yang dari tadi sibuk menyaksikan di sekita tangga.
“Hanis,kamu okay ke?” beberapa orang jiran Hanis membantu wanita itu berdiri. Masing-masing kasihan dengan Hanis. Ikutkan hati, mahu saja mereka beri pengajaran kepada wanita berpakaian serba kekurangan tadi. Namun, mereka sedar, mereka tiada hak untuk ikut campur urusan lain.
“Saya okay... Maaf ya buat semua orang terganggu pagi macam ni. Saya pun terkejut juga dengan apa yang jadi. Saya pun baru aje sembuh, tiba-tiba kena tuduh macam tu pula. Apa yang makcik dengar tu, harap dilupakan ya...” jelas Hanis dengan senyuman hambarnya.
Perbuatan Neldia sangat melampau kali ni. Terkilan Hanis dengan tindakan Neldia tadi. Entah kenapa dirinya harus dilibatkan dalam rumah tangga mereka. Semakin dia menghindar, semakin sering pula mereka berjumpa. Malahan, ada saja masalah yang mendatang dan melibatkan dirinya. Haih, nak pindah mana pula ni?
“Yalah, Hanis. Lain kali kalau dia berani datang lagi, bagi penumbuk saja. Jangan takut, kami semua akan bela kamu kalau dia report polis.” ujar salah wanita berumur sebelum tertawa kecil.
“Terima kasih, makcik. Saya betul-betul minta maaf pasal tadi.” ucap Hanis.
“Tak ada apalah... kami balik dulu. Kalau ada apa-apa, jangan segan untuk beritahu kami,”
Hanis mengangguk sambil tersenyum. Mujur dapat jiran yang prihatin. Hanis akui jiran-jiran yang dikenalinya sangat baik hati dan suka menolong.
Pintu rumah ditutup rapat setelah beberapa jiran tadi telah berlalu pergi. Dia melepaskan keluhan berat. Ada saja ujian diberi untuknya. Dia duduk disofa dengan fikiran yang bermain-main memikirkan tentang Neldia. Dia yakin, wanita itu tidak akan berdiam diri. Sudah tentu perkara ini akan sampai ke telinga ibu saudaranya, puan Kartini.
Dia menggaru kepala yang tidak gatal dengan kasar.
“Kenapa kau buat macam tu tadi, Hanis? Eee, cari masalah betul kau ni!” bebelnya menyalahkan tindakan diri sendiri.
“Neldia pun satu! Tuduh aku macam tu kenapa?! Ish...” dia menghela nafas panjang. Langsung tidak faham dengan perangai Neldia. Tapi, sedikit sebanyak dia terfikir pasal zuriat seperti mana yang dikatakan oleh Neldia tadi.
Bermacam-macam yang bermain difikiran Hanis. Apa kes dengan zuriat? Neldia tak boleh mengandung ke? Atau Aidil tak nak zuriat? Ah! jangan fikir pasal benda tu lagi. Fokus diri sendiri lagi baik.
****
Neldia ni dah kenapa? nak kena sepak agaknya hahaha. HAPPY READING <3
Share this novel