Namun aku takkan menyerah dengan mudah. Aku akan mempertahankan nyawa aku nan satu dengan apa cara sekali pun. Kedua belah tangan aku menggenggam kuat tangannya. Serentak itu aku menghayunkan satu tendangan tepat ke dadanya dengan sisa-sisa tenaga yang ada. Usaha aku berhasil. Cengkamannya terlepas dan aku jatuh tertiarap di atas lantai.
Aku bingkas bangun. Aku berlari sekuat hati dan melayangkan tubuh menujah makhluk tersebut. Makhluk tersebut bertindak pantas apabila menyanggah tujahan aku. Tubuh aku diangkat lalu dilontar ke satu arah. Aku terhempas ke dinding sebelum jatuh di atas salah satu stretcher. Aku jatuh menindih mayat dan tergeletak di atas lantai. Makhluk itu pantas mendapatkan aku. Dia menarik tubuh aku dan memaksa aku berdiri.
Serangan bertali arus dilancarkan olehnya. Aku gagal menangkis hatta satu serangan sekalipun. Tumbukan terakhir tepat mengenai perut. Aku terbatuk menyemburkan darah. Aku benar-benar tidak bermaya sama sekali. Tenaga aku terasa direnggut. Dia menolak tubuh aku. Aku jatuh lemah di atas lantai. Perlahan-lahan aku merangkak cuba menjauhinya. Terketar-ketar tangan aku mencengkam lantai berpacukan sisa tenaga yang terakhir.
“Aku beri peluang pada kau sebab kau dah selamatkan aku. Kita main sorok-sorok. Kau sembunyi aku cari kau. Aku tak jumpa, kau selamat dan boleh larikan diri. Tapi kalau aku jumpa..”dia tak menghabiskan kata-katanya. Sebaliknya satu ketawa panjang menjadi simbolik kepada perlakuannya.
Aku bangun terketar-ketar. Darah yang berjabeh di mulut aku kesat menggunakan belakang tangan. Aku harus selamatkan diri. Walau dengan apa cara sekalipun. Aku melangkah longlai keluar daripada bilik tersebut. Aku jatuh terduduk semula gara-gara tubuh aku terlalu lemah. Aku merangkak perlahan-lahan sehingga tiba di tangga. Aku menuruni tangga dalam keadaan merangkak. Nafas aku terasa lelah.
Malang tidak berbau apabila tapak tangan aku tersalah menekan anak tangga. Aku jatuh terguling-guling dari anak tangga atas sehingga ke penghabisan. Aku menyeringai kesakitan yang menjalar di seluruh pelusuk tubuh. Aku membius kesakitan dengan semangat yang tersisa. Aku merangkak masuk semula ke dalam bilik. Di dalam bilik aku menguncikan diri di dalam almari. Aku melepaskan lelah. Aku benar-benar kehilangan daya upaya.
Aku perlu mengembalikan tenaga aku sekurang-kurangnya sebelum melarikan diri dari hotel puaka ini. Aku berharap hari cepat siang supaya aku dapat melarikan diri keesokan harinya. Namun persoalan besar hinggap di fikiran secara tiba-tiba. Apakah esok masih ada untuk diri aku?
Pintu bilik dibuka. Bunyi keriutan jelas kedengaran. Aku dapat melihat makhluk itu berlegar di dalam bilik. Dia menderam-deram sambil melilaukan matanya yang merah bernyala ke serata arah. Aku menahan nafas. Kalau boleh aku enggan bernafas sama sekali kerana tidak mahu dia menyedari aku di dalam almari ini. Debaran jantung terasa memuncak. Aku memerhati gelagatnya menerusi ruang kecil di pintu almari ini.
Degupan jantung terasa terhenti saat makhluk itu memandang lama ke arah almari yang sedang aku duduk kini. Aku menekup mulut dengan tangan aku sendiri. Dalam hati aku tak putus-putus berdoa agar aku selamat dari cengkaman makhluk jahat tersebut. Perasaan cemas aku bertukar lega apabila aku lihat makhluk itu keluar daripada bilik. Aku menghela nafas panjang.
“Aku jumpa kau!”
Satu suara berbisik garau di belakang aku. Serentak itu satu hentaman dari belakang membuatkan aku terpelanting keluar daripada almari. Pintu almari terkopak dan terpelanting. Aku jatuh terhempas di atas lantai. Aku mengengsot perlahan-lahan menjauhi makhluk tersebut yang bertapak menghampiri aku. Dia menderam dengan muka yang membengis.
Aku mengengsot sehingga tiba di muka pintu bilik air. Aku lekas-lekas masuk dan menguncikan pintu bilik air. Di dalam bilik air aku menangis teresak-esak menghamburkan segala rasa yang bergelumang di dada. Pili air aku buka dan aku biarkan air mengalir. Aku tidak apa lagi yang aku harus lakukan. Bayangan maut dirasakan sedang menari-nari di hadapan aku dengan rentak tarian yang keras lagi menakutkan.
Dentuman di pintu membuatkan tubuh aku menggigil ketakutan. Aku dapat rasakan ini adalah saat-saat terakhir dalam kehidupan aku. Tiada daya dan upaya lagi untuk aku melawan. Aku berada di dalam kawasan ‘jajahannya’. Aku benar-benar tidak bermaya. Wajah aku pucat seolah-olah darah aku telah disedut sehingga kering. Berjuta penyesalan sudah tiada gunanya lagi. Andai waktu dapat diputar aku tak akan menjejak kaki ke hotel ini!
Epilog
Azizi memperlahankan kenderaan. Dia memberi signal lalu membuat pusingan U. Dia memandu kereta masuk ke ruangan parkir. Lalu dia melangkah keluar daripada kereta. Hotel di hadapannya itu terasa memenuhi cita rasanya. Pemandangan pantai yang mengasyikkan. Jauh dari hiruk pikuk kota. Terasa damai dan menenangkan apabila dilihat.
Dia memerhati pemandangan di luar hotel. Terdapat sebuah bangku usang di luar. Seni bina yang agak ketinggalan. Cat yang agak memudar. Masih menggunakan lampu kalimatang (mentol bulat). Sekali pandang seakan-akan rumah Inggeris lama. Tidak besar dan tidak kecil. Hanya sederhana sahaja.
Azizi mengheret bagasinya sehingga tiba di muka pintu hotel tersebut. Pintu hotel dibuka oleh seorang pekerja. Azizi menapak masuk.
Pekerja lelaki berambut panjang, memiliki wajah iras-iras Antonio Banderas dan bersut serba hitam tersenyum memandang ke arah Azizi. Dia menunduk dan mempersilakan Azizi masuk dengan hormat.
“Selamat datang ke Hotel Ludwig.”
TAMAT
Share this novel