27

Romance Series 93218

Majlis cukur jambul yang diadakan di kediaman rumah Aayra dan Harraz berlangsung dengan cukup meriah sekali. Rata - rata tetamu yang hadir langsung tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama kedua - dua bayi kembar yang sangat comel itu. Tambahan pula hari ini Nuffan dan Nuffael langsung mengenakan satu sut baju melayu berwarna hijau Emerald. Telatah kedua - dua bayi kembar itu sungguh mencuri tumpuan sesiapa sahaja yang hadir. Rata - ratanya melahirkan rasa bangga dan pujian mereka buat Nuffan dan Nufael kerana masing - masing sangat pandai menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling. Tidak sedikit pun tangisan yang keluar dari bibir mereka sepanjang majlis berlangsung. Betapa Aayra dan Harraz sangat bersyukur kerana segala - galanya telah dipermudahkan olehNya.

Sebaik selesai sahaja majlis, Aayra segera mencari tempat duduk bagi merehatkan diri. Betis dan tapak kakinya sudah mula terasa sakit. Manakan tidak. Seawal 7:30 pagi lagi Aayra sudah bergegas menyediakan segala persiapan untuk majlis tersebut. Walaupun pada asalnya mereka telah menempah katering untuk majlis cukur jambul itu, namun sebagai tuan rumah Aayra tetap mahu melakukan sesuatu. Apatah lagi majlis itu diadakan di kediaman mereka sendiri. Walaupun ada diantara keluarganya yang menawarkan diri untuk membantu, namun Aayra menolaknya secara baik. Baginya biarlah dia selaku tuan rumah yang merasai susah payah itu. Sebagai keluarga dan tetamu, biarlah mereka hanya datang bagi meraikan majlis sahaja. Dalam tak sedar, Aayra melepaskan keluhan akibat keletihan.

Sedang Aayra ralit melayan perasaan, tiba - tiba sebotol air mineral dihulurkan kepadanya. Aayra menoleh ke arah datangnya botol mineral tersebut. Kelihatan Ezmal sedang berdiri di hadapannya bersama senyuman nipis. Tanpa menunggu lama, Aayra pantas menyambut lalu dia mengucapkan terima kasih buat lelaki itu. Wajah Ezmal kelihatan agak sugul. Tiada langsung riak ceria diwajahnya seperti dahulu. Sudah lama Aayra menyedari akan hal itu. Namun untuk bertanyakan hal itu kepada Ezmal, dia takut.

“Seronok kan bila dah ada keluarga sendiri ni? Macam - macam aktiviti kita boleh buat bersama - sama." Ujar Ezmal membuka bicara.

“Alhamdulillah. Seronok! Seronok sangat. Sampai Aayra sendiri pun tak tahu macam mana nak describe perasaan tu sekarang ni." Balas Aayra bersahaja tanpa mengetahui perasaan sebenar Ezmal.

Ezmal termangu seketika. Sungguh pengakuan Aayra itu benar - benar mencengkam jiwanya. Dia bukan marah kerana Aayra menikmati kebahagiaan itu. Sebaliknya Ezmal kecewa kerana tidak mampu menikmati kebahagiaan seperti itu. Entah mengapa tiba - tiba hatinya menjadi sebak dan tidak semena - mena air mata
kejantanannya mengalir membasahi pipi. Wajahnya langsung diraup lama. Sayup - sayup kedengaran esak tangisnya.

Aayra terkedu. Tindakan spontan Ezmal itu benar - benar mengundang rasa cemas di hatinya. Apakah dia sudah tersalah bicara sehingga menyakiti hati Ezmal? Tetapi salahkah dia kerana meluahkan apa yang dirasainya? Mengapa Ezmal perlu menangis? Aayra panik. Dia seraya mendekati Ezmal lalu perlahan - lahan bahu lelaki itu dipegang. Aayra tahu tindakannya itu agak kurang manis jika dilihat orang. Namun dia bingung. Otaknya masih belum dapat merumuskan akan hal yang sebenar.

“Err.. Ez.. Ezmal, awak ok ke ni?" Soal Aayra gugup. Dia cuba menolak bahu Ezmal ke belakang agar dia dapat melihat riak wajah lelaki itu. Tetapi malangnya tubuh Ezmal langsung tidak berganjak.

“Ezmal, kenapa dengan awak ni? Jangan buat saya risau boleh tak? Cuba awak tengok kat sana tu. Semua orang tengah pandang kita. Nanti apa pula yang dia orang fikir bila tengok keadaan kita macam ni." Ujar Aayra lagi. Hatinya penuh kerisauan. Sesekali dia cuba mencuri pandang ke arah beberapa orang saudara - mara mereka yang begitu asyik berborak di hujung sana. Mujurlah tiada yang curiga terhadap mereka. Jika tidak Aayra sendiri tidak tahu bagaimana ingin menjelaskan perkara sebenar.

Ezmal masih diam membisu. Tidak sedikit pun dia mengangkat wajahnya menghadap Aayra. Sejujurnya dia malu dengan keterlanjurannya sebentar tadi. Namun hakikatnya dia sudah tidak berdaya untuk mengawal emosi itu lagi. Akhirnya semuanya telah dipertontonkan di hadapan Aayra tanpa rasa malu.

“We just broke up. Everything is over!" Luah Ezmal akhirnya. Suaranya kedengaran sebak dan sayu.

Aayra terkedu. Serta merta dia terduduk di hadapan Ezmal. Jujur dia tidak menyangka dengan apa yang baru sahaja didengarinya itu. Mulutnya hampir melopong namun serta merta Aayra menutup mulutnya dengan telapak tangannya. Wajah Ezmal dipandang dengan perasaan terkejut. Lama wajah sayu lelaki itu ditenungnya. Lama - kelamaan timbul perasaan simpati di hati Aayra. Dia tahu Ezmal sangat menyayangi Ramona suatu ketika dahulu. Apa sahaja keinginan Ramona, semuanya dituruti. Ada kalanya, Aayra merasakan lagak Ezmal itu tidak ubah seperti lembu dicucuk hidung. Malah selama dia menjadi PA kepada Ezmal dahulu, dia sering mengutuk lelaki itu di dalam hatinya. Baginya Ezmal bagaikan seorang lelaki yang tiada pendirian sehinggakan sanggup turutkan apa sahaja kemahuan teman wanitanya demi menjaga hati gadis itu.

“Tapi kenapa? Bukan ke sepatutnya hujung tahun ni awak dan Ramona akan melangsungkan majlis perkahwinan korang?" Soal Aayra pelik.

Ezmal tidak menjawab sebaliknya dia hanya tersenyum sinis. Dari riaksi wajahnya sahaja Aayra sudah tahu bahawa lelaki itu sedang memendam sejuta kelukaan.

“Untuk apa majlis itu diteruskan jikalau apa yang dimilikinya bukan milik saya lagi?" Sinis sekali soalan itu terpacul di bibir Ezmal.

Aayra semakin bingung. Dia langsung tidak mengerti apa yang cuba disampaikan oleh Ezmal. Lama dia berfikir akan maksud kata - kata itu sehinggalah akalnya dapat merumuskan sesuatu. Sekali lagi bibirnya melopong. Wajah Ezmal dipandang bagi meyakinkan apa yang telah difikirkannya. Lantas Ezmal mengangguk tanda mengiakan apa yang bermain di fikiran Aayra. Serta merta wajahnya menunduk ke bawah. Satu keluhan berat terlepas dari bibirnya. Bukan niatnya ingin membuka aib Ramona. Namun dia juga memerlukan seseorang untuk mendengar rasa hatinya dan entah mengapa dia merasakan Aayra lah orang yang paling sesuai.

“Dari mana awak tahu semua ni, Ezmal? Tak baik kalau awak terus menuduh tanpa bukti. Tak adil bagi Ramona." Aayra cuba bersikap positif.

Ezmal menggeleng. Senyuman sinis diberikan kepada Aayra. Dia sudah dapat mengagak respon Aayra dari awal lagi. Namun dia tidak menyalahkan Aayra dalam hal ini. Jika dia berada di tempat Aayra sekalipun pasti dia juga tidak akan mempercayainya.

“Saya dah agak. Awak mesti tak percaya dengan kata - kata saya ni kan? Tapi itulah hakikatnya Aayra. Itulah hakikatnya yang saya sedang hadapi sekarang ni. Sakit! Sakit sangat hati ni rasa bila dapat tahu cinta yang telah lama saya semai akhirnya dikhianati macam tu aje. Apa salah saya, Aayra? Apa salah saya? Tak layak ke saya untuk mengecapi kebahagiaan seperti mana awak dan Harraz kecapi? Jahat sangat ke saya ni sampaikan saya langsung tak berpeluang untuk merasai kebahagiaan tu?" Soal Ezmal bertalu - talu. Suaranya kedengaran sedikit tegang.

Aayra terdiam tanpa kata. Dia tahu kali ini Ezmal benar - benar memaksudkan apa yang diperkatakannya. Dari raut wajah lelaki itu, Aayra tahu Ezmal sedang sakit menanggung derita.

“Siapa cakap awak tak layak bahagia Ezmal? Semua orang layak menikmati kebahagiaannya masing - masing. Cuma dari segi apa kebahagiaan itu diperoleh, kita tak tahu. Awak tak boleh terus menyalahkan takdir awak. Allah itu sebaik - baik perancang Ezmal. DIA tahu apa yang terbaik untuk hambaNya." Nasihat Aayra lembut.

Sekali lagi Ezmal mengalirkan air matanya membasahi pipi. Sungguh dia lemah saat ini. Selama ini dia cuba untuk menutupi rasa hatinya. Namun semakin dia mencuba, semakin kuat rasa sakit di hatinya.

“Maafkan saya, Ezmal. Saya tak tahu bagaimana caranya untuk saya bantu awak dalam hal ni. Tapi saya rasa awak perlu juga berjumpa dengan Ramona dan bincangkan perkara ini dari hati ke hati. Sekurang - kurangnya semua ini dapat diakhiri dengan perasaan yang tenang. Lagipun saya yakin, uncle dan aunty mesti belum tahu tentang hal ini kan?" Duga Aayra penuh yakin.

Ezmal menggeleng. Seperti yang lain, Ezmal juga tidak mahu perkara ini sampai ke pengetahuan kedua ibu bapanya. Cukupla hanya Nadira sahaja yang tahu. Lagi pula ianya melibatkan maruah Ramona dan Yasir. Ezmal bimbang sesuatu yang buruk akan terjadi jika kedua ibu bapanya tahu akan hal ini.

“Saya harap awak kuat, Ezmal. Saya tahu semua ni agak berat untuk awak tanggung seorang diri. Tapi yakinlah. Pasti akan ada
pelangi yang akan menyinari hidup awak selepas ini. Jangan berputus asa. Yakinlah dengan ketentuan Allah. In shaa Allah, suatu hari nanti awak juga akan menikmati kebahagiaan itu. Bersabarlah." Pujuk Aayra penuh mendalam.

Akhirnya Ezmal tersenyum. Dikesat air mata yang berjujuran mengalir sebentar tadi dengan telapak tangannya. Timbul perasaan malu kerana terlepas laku seperti itu di hadapan Aayra. Namun apalah dayanya untuk menghalang. Kini jiwanya berasa sedikit tenang. Wajah lembut Aayra ditatap.

“Thanks, Aayra. I'm so sorry if I'm burden you with all of my problems. To be honest, saya tak tahu dengan siapa saya nak bercerita tentang hal ni. Lucky I found you. Now I'm free. Thanks a lot." Ucap Ezmal terharu.

Aayra turut tersenyum. Lapang hatinya saat melihat senyuman Ezmal kembali. Risau juga jika ada mata yang memerhati mereka sebentar tadi dan beranggapan yang bukan - bukan. Tanpa menunggu lebih lama, Aayra segera meminta diri untuk ke dalam. Lebih lama dia berada di situ, lebih banyak fitnah yang bakal mengundang. Jadi sebelum sesuatu yang tidak elok terjadi, lebih baik dia pergi. Sebelum berlalu, dia sempat menoleh ke arah Ezmal dan sekali lagi senyuman mereka bersatu. Doa Aayra, semoga

Ezmal terus kuat menghadapi dugaan itu dan semoga Ezmal bisa beroleh kebahagiaannya tersendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience