BB - BAB 17

Drama Completed 309212

WAJAH Qaisara yang masih tidur dipandang oleh Qaireena.  Sesekali tangannya mengesat airmata yang mengalir ke pipi.  Terlalu sukar untuk dia menerima kenyataan bahawa bila-bila masa sahaja adiknya itu akan pergi bertemu dengan sang Pencipta.  Meninggalkan dia bersendirian untuk meneruskan kehidupan.

Taufiq yang baru sahaja sampai, menolak pintu bilik itu perlahan dan melangkah menghampiri Qaireena yang sedang duduk di tepi katil Qaisara.

"Reen".  Tegur Taufiq lembut.  Qaireena menoleh ke arah lelaki itu sambil mengesat sisa airmata di pipinya.

"Ini barang yang awak minta saya ambil dekat kedai cetak semalam".  Kata Taufiq lalu menghulurkan beg kertas sederhana besar yang dipegangnya kepada Qaireena. 

"Terima kasih". Ucap Qaireena.  Beg kertas itu disambut dan diletakkan di tepi meja yang berada di sebelah katil Qaisara.

"Macam mana keadaaan Sara hari ni?". Soal Taufiq yang masih lagi berdiri di sebelah Qaireena yang sedang duduk.

"Sama juga macam semalam, tak ada apa-apa perkembangan.  Pagi tadi pun Sara asyik muntah je".  Jawab Qaireena.  Matanya tidak lepas dari memandang wajah Qaisara. 

"Awak kena kuat bila berada di depan Sara, kalau awak lemah, semangat dia juga akan lemah.  Teruskan berdoa dan memohon keajaiban dari yang berkuasa, jangan berhenti berharap selagi segalanya belum berakhir".  Kata Taufiq.  Qaireena hanya menganggukkan kepala perlahan.

Tidak lama kemudian, Qaisara membuka matanya perlahan.  Dia menoleh ke sisi, wajah yang pucat itu mengukir senyuman apabila terpandang Qaireena dan Taufiq yang berada di situ.

"Sara".  Tegur Qaireena.  Sedaya upaya dia cuba mengukir senyuman kepada adik kesayangannya itu.

"Kak Reen, Sara nak minum".  Pinta Qaisara lemah.

Qaireena bangun dari duduknya dan membantu adiknya itu untuk duduk.  Taufiq yang melihat turut mendekati Qaisara dan membantu Qaireena meninggikan sedikit bahagian kepala katil itu menggunakan pelaras yang berada di bawah katil.  Air dituang ke dalam cawan kemudian dia mendekatkan cawan itu ke mulut Qaisara untuk membantunya minum. 

"Terima kasih".  Ucap Qaisara dengan senyuman selepas dia meneguk air yang dihulurkan oleh Qaireena.

"Sara, ingat tak photobook yang Sara edit dan minta Kak Reen hantar ke kedai cetak tu?".  Soal Qaireena dengan suara yang dibuat ceria.

"Ingat". Jawab Qaisara sambil memandang Qaireena. 

"Nah, Kak Reen minta tolong Abang Taufiq ambilkan dekat kedai cetak tadi".  Qaireena menghulurkan kotak leper yang dikeluarkannya dari beg kertas yang dibawa oleh Taufiq tadi. 

Qaisara menyambut kotak tersebut dan diletakkan di ribanya.  Perlahan penutup kotak itu dibuka, bibirnya pula mengukir senyuman.

"Sara tak sangka sempat juga Sara tengok photobook ni siap".  Kata Qaisara sambil mengeluarkan photobook tersebut dari kotak.  Mata Qaireena melekat pada cover photobook itu yang telah dicetak dengan gambar mereka sekeluarga sewaktu ayah dan ibunya masih hidup.  Tanpa sedar airmatanya mengalir membasahi pipi.

"Abang Taufiq, inilah gambar ibu dan ayah".  Tunjuk Qaisara kepada Taufiq yang masih lagi berdiri di sebelah katilnya.  Taufiq memandang photobook tersebut.

"Emm..wajah Sara, mirip macam ayah, Reen pula sama dengan wajah ibu".  Ujar Taufiq dengan senyuman.  Qaisara yang mendengar tertawa kecil.

"Semua orang kata macam tu bila tengok kami sekeluarga dulu.  Kadang-kadang rasa cemburu dengan Kak Reen sebab dia warisi kecantikan ibu". Kata Qaisara sebelum dia menyelak helaian seterusnya.

"Sara pun cantiklah sebab ayahkan kacak".  Celah Qaireena.  Qaisara yang mendengar tersenyum sambil memandang kakaknya itu.

"Kak Reen, kenapa menangis ni?".  Soal Qaisara apabila dia melihat pipi Qaireena yang basah.

"Terasa rindu pada ibu dan ayah bila nampak gambar tu".  Jawab Qaireena sambil mengesat sisa airmata di pipinya.

"Sebab tulah Sara buat photobook ni.  Semua gambar-gambar yang kita pernah ambil bersama dulu Sara masukkan dekat dalam, sebab Sara tahu semua tu tak mungkin akan berulang lagi, yang tinggal hanyalah kenangan untuk diingati dan gambar sebagai pengubat rindu".  Katanya bersama senyuman kelat yang terukir di bibir.

"Kak Reen, Sara nak minta maaf kalau Sara dah tak dapat nak temankan Kak Reen lagi lepas ni.  Sara tak tahu sama ada Sara mampu untuk bertahan atau tak, Sara dah terlalu letih". Tambah Qaisara dengan suaranya yang lemah.  Airmatanya mula mengalir ke pipi.

"Sara, janganlah cakap macam tu, Kak Reen tahu Sara kuat.  Sara mampu untuk melawan penyakit ni.  In shaa Allah semua ni hanya sementara je, Sara akan sembuh dan kita akan hidup gembira bersama.  Kak Reen dah tak ada sesiapa lagi dalam dunia ni melainkan Sara sorang".  Ujar Qaireena.  Taufiq yang mendengar kata-kata dua beradik itu, terus menundukkan wajahnya.  Sedaya upaya dia menahan sebak yang bertamu di hatinya ketika itu.

"Siapa kata Kak Reen dah tak ada sesiapa lagi, Abang Taufiq kan ada.  Sebab tulah Sara dah tak risau kalau takdir hidup Sara sampai di sini je.  Sara tahu Abang Taufiq boleh jaga Kak Reen dengan baik".  Mata Qaireena terus melirik ke arah Taufiq yang masih menundukkan wajah apabila Qaisara menyebut nama lelaki itu.

"Abang Taufiq, boleh tak kalau Sara nak ambil gambar bertiga dengan Kak Reen dan Abang Taufiq?".  Qaisara menoleh ke arah Taufiq.  Serta merta Taufiq mengangkat wajahnya dan memandang adik iparnya itu.

"Mestilah boleh".  Jawab Taufiq bersama senyuman.  Dia kemudian mengeluarkan telefon bimbitnya dari kocek seluar.

"Reen, awak duduk dekat tepi katil tu dan rapatkan badan dengan Sara". Arah Taufiq pada Qaireena.  Mendengarkan itu, Qaireena hanya menurut sahaja, demi menunaikan permintaan Qaisara.

"Terima kasih Abang Taufiq".  Ucap Qaisara setelah Taufiq mengambil beberapa keping gambar mereka bertiga.  Taufiq senyum dan menganggukkan kepalanya.

"Abang tak masuk pejabat lagi ke hari ni?".  Soal Qaireena sambil memandang Taufiq. Hairan dia melihat lelaki itu yang datang dengan hanya memakai baju tshirt dan berseluar jeans.

"Tak, saya ambil cuti".  Jawab Taufiq.

"Kalau macam tu, Abang temankan Sara sekejap boleh? Reen nak ke surau".  Katanya lagi.  Pandangan masih terarah kepada lelaki itu.

"Pergilah, saya temankan Sara dekat sini".  Ujar Taufiq dengan senyuman.

Qaireena kemudian melangkah keluar dari bilik itu dan menuju ke surau hospital.

"Abang Taufiq, Sara tahu yang Sara memang takkan bertahan lama lagi sebab Sara ada terdengar doktor bercakap dengan jururawat semasa mereka buat pemeriksaan menyeluruh pada Sara semalam, doktor kata beberapa organ utama dalam badan Sara dah mula mengalami gangguan fungsi".  Kata Qaisara.  Airmata yang mengalir di pipi diseka perlahan.  Taufiq hanya memandang wajah pucat itu.

"Tolong sentiasa ada di sisi Kak Reen ya bila sesuatu berlaku pada Sara.  Sebab Sara tahu hati Kak Reen sebenarnya terlalu rapuh, selama ni Kak Reen menjadi kuat hanya disebabkan Sara.  Bila Sara pergi, Sara takut Kak Reen akan menjadi lemah dan tak kuat untuk menerima kenyataan".  Sambungnya lagi sambil mengawal pernafasannya.

"In Shaa Allah Abang akan sentiasa ada di sisi Kak Reen, Sara jangan risau ya".  Jawab Taufiq dengan senyuman yang cuba diukir. Matanya mula kemerahan akibat menahan sebak didadanya.

"Terima kasih".  Ucap Qaisara dengan senyuman.

Lebih kurang tiga puluh minit, Qaireena kembali dari surau.  Dilihatnya Qaisara sudah pun tidur semula sambil memegang photobook tadi.  Dia turut memandang ke arah Taufiq yang masih setia duduk di tepi katil Qaisara.

"Abang baliklah kalau nak berehat".  Kata Qaireena sambil melabuhkan punggung di kerusi yang bertentangan dengan Taufiq yang juga berada di tepi katil Qaisara.

"Saya ambil cuti sebab saya nak temankan awak dekat sini".  Jawab Taufiq lembut sambil memandang Qaireena.

"Terima kasih". Ucap Qaireena dengan segaris senyuman.

••••••••••

Hari itu masuk hari ketiga selepas doktor Luqman memberi penerangan kepada Qaireena.  Keadaan Qaisara benar-benar semakin merosot, dia juga sudah tidak mahu menjamah makanan.  Qaireena yang melihat keadaan adiknya itu semakin risau, namun sedaya upaya dia memujuk dirinya sendiri. 

Tengah hari itu, sewaktu Qaireena duduk menemani Qaisara yang sedang tidur, tiba-tiba mesin yang berada di sebelah Qaisara berbunyi.  Cepat-cepat Qaireena menekan butang merah yang berada di tepi katil Qaisara untuk memanggil jururawat.

Tidak lama kemudian, doktor Luqman berlari masuk ke dalam bilik tersebut bersama dua orang jururawat.  Qaireena sudah mula menangis apabila melihat Qaisara yang tidak menunjukkan sebarang tidak balas. 

"Cik Qaireena tunggu di luar dulu ya".  Arah salah seorang jururawat tersebut.

Lemah kaki Qaireena melangkah keluar dari bilik itu bersama airmata yang tidak henti mengalir.  Taufiq yang baru sahaja sampai, melangkah laju menghampiri Qaireena yang sedang berdiri di luar bilik Qaisara sambil menangis.

"Reen, kenapa dengan Sara?".  Soal Taufiq yang sudah pun berdiri di sebelah Qaireena.

"Reen tak tahu".  Jawab Qaireena bersama airmatanya yang semakin deras mengalir, kepalanya pula digeleng-gelengkan.  Taufiq yang melihat terus menyentuh bahu Qaireena dan diusap lembut.  Tidak berapa lama kemudian, salah seorang jururawat keluar dari bilik Qaisara dengan tergesa-gesa.

"Macam mana dengan keadaan adik saya?". Soal Qaireena pada jururawat tersebut.

"Jantung Qaisara tiba-tiba terhenti dan kami sedang cuba untuk melakukan CPR". Jawab jururawat tersebut sebelum terus berlari meninggalkan Qaireena dan Taufiq.

Badan Qaireena melorot ke atas lantai saat mendengar kenyataan yang keluar dari mulut jururawat tersebut.  Terlalu sukar untuk dia mempercayai apa yang sedang berlaku terhadap Qaisara.  Taufiq turut duduk disebelah Qaireena sambil mengusap lembut bahu wanita itu. 

"Reen, andai ini saatnya untuk Sara pergi meninggalkan kita, tolong relakannya dan redha atas ketentuan Allah agar segalanya dipermudahkan untuk Sara".  Kata Taufiq tenang.  Dia tahu bahawa kenyataan itu menyakitkan tapi Qaireena harus menerimanya dengan redha. 

Dua puluh minit berlalu, doktor Luqman muncul dari pintu bilik Qaisara.  Cepat-cepat Qaireena bangun dan menerpa ke arah doktor tersebut.

"Doktor, macam mana dengan keadaan Sara?".  Tanya Qaireena.

"Maafkan saya cik Qaireena, jantung Qaisara tiba-tiba terhenti dan saya telah cuba untuk melakukan CPR namun keadaannya tetap sama.  Saya harap cik Qaireena tabah menghadapi ujian ini, Allah lebih sayangkan Qaisara.  Cik Qaireena boleh masuk untuk melihat jenazah".  Jawab doktor Luqman kemudian berlalu dari situ.  Taufiq pula terus membawa Qaireena masuk ke dalam bilik Qaisara.

"Sara...".  Panggil Qaireena apabila kakinya melangkah masuk ke dalam bilik tersebut. 

"Tolong bangun Sara, jangan tinggalkan Kak Reen".  Raung Qaireena sambil memeluk jasad Qaisara yang kaku di atas katil itu.  Berulang kali dia mengejutkan Qaisara, namun tubuh itu tetap kaku tanpa sebarang gerakan.

"Reen, jangan macam ni".  Pujuk Taufiq sambil menarik Qaireena perlahan dari terus mengejutkan tubuh kaku Qaisara itu.  Tubuh Qaireena dibawa ke dalam dakapannya dan belakang wanita itu di usap lembut.

"Reen dah tak ada sesiapa lagi dalam dunia ni".  Raung Qaireena di dada Taufiq.

"Reen, awak masih ada saya.  Saya akan tetap berada di sisi awak sehingga ke akhir hayat saya.  Tolong jangan macam ni Reen, awak kena redha dengan ketentuan Allah ni agar Sara tenang di sana".  Kata Taufiq.  Airmatanya juga turut mengalir membasahi pipi.  Sungguh dia sedih melihat keadaan itu.  Tidak dapat dibayangkannya bagaimana keadaan Qaireena menghadapi situasi itu jika tiada siapa di sisinya.

~~~

Qaireena menyertai pihak pengurusan jenazah untuk memandikan dan mengkafan jenazah Qaisara.  Lama dia mengucup dahi Qaisara.

"Sara, Kak Reen halalkan segala tenaga dan penat lelah Kak Reen selama menjaga Qaisara dekat hospital dan Kak Reen halalkan segala pemberian Kak Reen pada Sara selama ini, tenanglah di sana Sayang". Bisik Qaireena di telinga adiknya itu sebelum keseluruhan wajah Qaisara di tutup dengan kain kafan.

Taufiq setia berada di sisi Qaireena sambil memegang bahu wanita itu sehinggalah jenazah Qaisara selamat di masukkan ke dalam liang lahad.  Setelah selesai bacaan talkin, Qaireena masih lagi duduk di tepi kubur Qaisara yang bersebelahan dengan kubur ibu dan ayahnya.  Hanya Taufiq dan Pak Abu sahaja yang melayan dan mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan jenazah yang telah menguruskan jenazah arwah adik iparnya itu. Manakala Leha pula duduk menemani Qaireena.

"Reen, redha ya. Semoga roh Sara di cucuri rahmat dan diletakkan dikalangan orang-orang yang beriman". Ujar Mak Leha sambil mengusap belakang Qaireena. Hanya kepala Qaireena sahaja yang mengangguk apabila mendengar kata-kata daripada Mak Leha.

"Mak Leha dan Pak Abu baliklah dulu, sekejap lagi saya dan Reen balik". Kata Taufiq apabila dia menghampiri dua wanita itu.

"Baiklah, jangan lama sangat dekat sini, hari pun dah nak senja ni". Pesan Mak Leha. Taufiq senyum dan menganggukkan kepala sambil melihat Mak Leha dan Pak Abu berlalu.

Hampir lima belas minit Taufiq membiarkan Qaireena melayan perasaannya di situ barulah dia mengajak wanita itu pulang.

"Reen, mari kita pulang, tak lama lagi nak masuk waktu maghrib ni". Kata Taufiq sambil menyentuh bahu Qaireena.

"Boleh tak kalau Reen nak tidur di rumah arwah ibu malam ni?". Soal Qaireena.

"Boleh, nanti saya temankan awak, tapi kita kena balik rumah dulu ambil barang-barang saya". Jawab Taufiq dengan senyuman. Qaireena hanya menganggukkan kepala kemudian bangun dari tikar yang di bentangkan di tepi kubur Qaisara itu.

Happy Reading korang sorry lambat update... sibuk plus tak sihat plus idea blocking sebab bab nak matikan watak susah sikit bagi Jue..hujung2 dgn Jue sekali mengalir airmata pula (sendiri buat sendri nangis haha) nak tengok video boleh intai IG story Jue ye..hehe

Share this novel

Hawani Hashim66
2021-02-03 19:33:30 

okey saya nntkan...

Hawani Hashim66
2021-02-03 18:30:18 

dr awal sedihnya..novel ni...xda sambungan ke


NovelPlus Premium

The best ads free experience