BAB 8

Romance Completed 4092

Setahun kemudian…

Cepat benar masa berlalu. Sedar tidak sedar, sudah hampir setahun aku belajar di YPJ. Tahun ini aku berada di semester ketiga. Banyak juga kenangan manis sepanjang menuntut di kolej masakan ini. Pada semester yang lepas, aku terpaksa menjalani praktikal di sebuah hotel di Seremban. Hampir enam bulan aku berada di sana. Kini, aku kembali semula ke Johor Bahru untuk meneruskan pengajian di semester yang baru.

Tidak sabar rasanya untuk bertemu Syima. Entah bagaimanalah rupa dia sekarang. Tentu makin cantik, kan. Syima menjalani praktikal di Pulang Pinang bersama Fuad. Alangkah beruntungnya merpati dua sejoli itu. Dalam diam-diam, mereka menjalin hubungan cinta sepanjang berada di sana. Berita itu dikhabarkan oleh Syima kira-kira dua bulan yang lalu. Aku hanya menumpang gembira atas perhubungan mereka berdua. Moga-moga, berkekalan sampai ke jinjang pelamin.

Aku sahaja yang masih solo macam dulu. Siapalah yang sudi berkongsi kasih dengan gadis gemuk macam aku ini. Tetapi, itu kisah dulu. Jangan nak disamakan dengan sekarang. Saat ini semuanya sudah berubah. Aku sendiri seakan tidak percaya melihat bentuk tubuhku sejak menjejakkan kaki di tempat orang ini. Mungkin kerana terpaksa mengikat perut saban

hari, membuatkan tubuh aku menjadi langsing seperti sekarang.

“Biar betul ni, aku tak salah orang ke?” Syima seakan tidak percaya apabila melihat keadaan fizikal aku ketika kami bertemu kira-kira seminggu yang lalu.

Aku hanya tersenyum memandangnya. Wajarlah Syima tidak kenal aku sebab berat badan aku sekarang sudah 50 kilogram. Terlalu berbeza jika nak dibandingkan dengan tubuh aku yang dulu. Kalau dulu, aku terlalu gemuk sehingga mencecah 90 kilogram.

“Ish kau ni. Sampai aku pun kau dah tak kenal. Ini akulah, Yasmin.” Syima seakan terpaku melihat tubuh aku. Lama dia begitu sehinggalah dia kembali ke alam realiti.

“Wah, Min. Langsingnya badan kau. Aku ingat model mana tadi. Cantik sangat.” Tidak puas-puas Syima memuji aku. Dia terkebil-kebil memandang wajah aku seakan tidak percaya. Banyak perkara yang kami bualkan, meleret-leret sampai ke hal peribadi masing-masing.

“Ala, Syima. Apa yang kau nak hairankan. Aku jadi macam ni pun sebab seseorang. Lagipun, kat sana aku banyak ikat perut. Kau tahu ajelah macam mana kehidupan di sana. Kalau tak pandai jimat-cermat, alamatnya matilah aku.”

Memang benar, duit adalah segala-galanya bagiku ketika berada di Seremban dulu. Setiap sen yang aku belanjakan, aku hitung sebaik-baiknya. Biarpun terpaksa ikat perut, aku sanggup.

“Aku tabik springlah tengok kau macam ni. Tak sangka sangat. Tentu ‘dia’ gembira, kan. Makan hatilah dia tengok kau nanti.” Aku faham maksud Syima itu. Sudah pasti ‘dia’ yang dimaksudkannya tadi merujuk kepada Syed Aidil.

“Sudahlah, Syima. Aku malas nak ingat pasal dia lagi. Bagi aku, Syed Aidil tak pernah wujud dalam hidup aku. Buang masa saja aku layan mamat berlagak hensem tu.”

“Eh, kenapa dengan kau ni. Tiba-tiba aje nak emosional. Bukannya Syed Aidil ke lelaki yang kau puja-puja dulu. Sekarang ni dah berubah hati ke?” Syima masih lagi tidak faham-faham. Sengaja dia ingin menekan aku dalam rahsia perhubungan kami berdua.

“Entahlah, Syima. Hati aku ni dah lama mati sejak dia berani hina aku depan kawan-kawan kita dulu. Aku ni macam tak ada maruah dia buat. Aku tak akan maafkan dia, Syima. Kalau dia berlutut kat depan kaki aku sekalipun, jangan harap aku nak terima cinta dia.”

Aku sudah bertekad. Walau apa jua yang berlaku selepas ini, aku tak akan tunduk kepada Syed Aidil. Sesungguhnya cinta pertama aku hanya untuk sekali sahaja. Kalau orang yang aku cintai sanggup merendahkan maruah diri aku, biarlah aku buang cinta itu jauh-jauh dari hidup aku. Apalah gunanya mencintai, jika kita saja yang beria-ia. Sedangkan dia, sebelah mata pun tak nak pandang. Mentang-mentanglah aku ini gemuk macam badak air.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience