Rate

BAB 2

Humor Completed 635

“Dia dah datang…Dia dah datang!” jerit Wawa bersambut dengan jeritan
Fatin. Macam histeria nampak hantu.

Aku yang sedang ralit membuat lakaran gaun pengantin untuk majlis
persandingan anak perempuan Datin Latifah buat-buat tidak dengar saja
dengan teriakan mereka berdua. Aku dah faham sangat.

“Akak, cuba tengok siapa datang. Handsome hari ni, kak.” Fatin cuba
memancing perhatianku.

Aku hanya mencebik kecil. Masing-masing berebut mahu memiliki jambangan
bunga dan coklat Cadbury yang selalu Hadif bawakan untukku. Kak Emma
pula hanya ketawa melihat telatah Wawa dengan Fatin yang tidak
habis-habis menyakatku. Kadang-kadang, dia pun turut sama join mereka.
Sampai satu tahap aku merajuk!

** * * * * *

“Awak tak penat ke? Cukup-cukuplah Hadif. Tak ada apa yang istimewa
dalam diri saya. Saya orang kampung. Keluarga saya bukan orang senang.
Kita tak sepadan. Itu pun awak tak boleh nak fikir ke?” Panjang lebar
aku berhujah. Termengah-mengah aku mengekori langkah Hadif dari belakang
menuju ke kawasan lapang di Tasik Putrajaya.

Petang itu aku tiada pilihan. Kereta aku rosak. Kebetulan Kak Emma
terpaksa pulang awal kerana anaknya Qisya, demam. Wawa dengan Fatin pula
membonceng skuter bersama. Mahu tidak mahu, aku terpaksa menerima
pelawaan Hadif yang sudah siap sedia menungguku di luar butik. Macam
tahu-tahu sahaja. Aku naik angin satu badan apabila lelaki itu
memungkiri janjinya untuk terus menghantarku pulang. Sebaliknya, dia
memecut laju kereta Suzuki Swift miliknya itu menghala ke Putrajaya.
Geram sungguh aku!

“Do I care?” Ringkas jawapan Hadif.

Sejak sampai, Hadif tidak lepas walau sesaat memandang ke wajahku. Rimas
aku dibuatnya. Aku hanya pandang dia sekali-sekala. Itu pun semasa tiba
giliran aku untuk berbicara. Selebihnya, aku hanya membuang pandang ke
dada tasik yang terbentang luas di hadapanku. Kerana setiap kali kami
bertentangan, aku rasa lain macam. Pandangan matanya itu…bagai ada satu
aura yang bisa membuatkan jantungku berdebar-debar. Betul-betul menikam
ke sanubariku. Astaghfirullahaladzim…Cepat-cepat aku beristighfar dalam
hati.

“Memanglah awak tak kisah. Tapi penerimaan keluarga awak, kita tak
tahu,” ujarku penuh keyakinan.

“Maknanya awak dah terima sayalah ni?” Hadif menyeringai sambil
menjungkitkan keningnya.

“Bila masa pulak saya cakap macam tu?” Pantas aku menafikan. Terlepas
cakapkah aku?

“Baru je…Tak sampai lima minit pun lagi,” selamba Hadif berkata.

“Err…itu contoh. Saya cakap berdasarkan secara keseluruhan dan mewakili
bagi pihak kaum wanita yang serba kekurangan hidupnya berbanding awak
yang mempunyai kedudukan, pangkat dan harta. Itu maksud saya.” Fuh!
Punyalah ligat otak aku mencari fakta yang kukuh dengan harapan lelaki
ini tidak cepat membuat sebarang kesimpulan di sebalik kata-kataku tadi.

“Oh ya? Kalau macam tu, saya silap dengarlah.” Hadif ketawa kecil
meleret. Buat-buat ketawa pulak tu. Macam perli je!

“Saya nak tanya awak satu perkara, boleh?” Hadif meminta kebenaran untuk
bertanya dan aku hanya menggangguk sahaja. Penat melayan dia bercakap.

“Takkan sikit pun awak tak terpikat pada saya?”

“What? Soalan apa ni? Eh Tolonglah. Jangan nak perasan sangat, ok!”
Hampir nak termuntah aku. Agak-agaklah nak bertanya pun. Inilah soalan
paling kelakar yang pernah aku dengar. Soalan syok sendiri namanya.

“Auni Batrisya, tunggu! Awak nak ke mana?” jeritan kecil Hadif menarik
perhatian beberapa orang pengunjung yang sedang bersantai di sekitar
kawasan itu.

“Saya nak balik!” balasku lantang. Aku menoleh sekali ke arah lelaki itu
sebelum terus memacu langkah meninggalkannya yang sedang menjejakku dari
belakang.

“Auni...” Hadif berjaya mendapatkanku. Dia cuba menghalang aku daripada
terus melangkah dengan menggenggam erat lengan kiriku.

“How dare you? Lepaskan tangan saya!” Aku cuba menepis tangan Hadif
yang melekat di lenganku. Semakin kuat aku meronta minta dilepaskan,
kian hebat dia mencengkamnya. Tindakannya itu telah mengakibatkan aku
mengaduh kecil.

Hadif segera membebaskan lenganku. Berkali-kali dia memohon maaf di atas
keterlanjurannya yang hampir saja mencederakan diriku. Jelas terpancar
di wajahnya riak rasa bersalah.

“Auni…”

“Hadif, tolong hantar saya balik.” Arahku.

Aku lihat Hadif seperti ingin menyambung kembali bicaranya yang sudah
kusekat tadi. Sebelum dia sempat dia bersuara, adalah lebih baik jika
aku dulu yang bertindak.

“Sekarang!” tegasku.

Hadif ketandusan kata. Dia tiada pilihan lain selain daripada terpaksa
mengikut kemahuanku. Dia menapak perlahan menuruti langkahku yang mara
menghala ke tempat parkir kereta.

Sepanjang perjalanan, aku hanya berdiam diri. Sengaja aku memandang ke
luar tingkap. Aku hanya fikir mahu cepat sampai ke rumah saja. Sekilas
melalui ekor mata, aku perasan yang Hadif sekejap-sekejap memandangku.
Namun, tidak berani pula dia menegur.

“Kita pergi makan dulu?” saran Hadif takut-takut.

Aku tidak menjawab. Tanpa memandang ke wajahnya, aku hanya menggelengkan
kepala.

Tiba-tiba, tanpa sebarang isyarat Hadif memberhentikan kereta di bahu
jalan. Berkeriut bunyi keempat-empat tayar kereta menggesel dada jalan
saat Hadif menekan breksecara emergency. Aku hampir-hampir saja
tersadung ke hadapan. Mujurlah aku memakai tali pinggang keselamatan
semasa menaiki kereta tadi.

“Awak dah gila ke?” Jeritku pada Hadif. Nafasku menaik dan menurun
menahan marah. Dalam masa yang sama, aku masih lagi trauma dengan
tindakan Hadif yang memberhentikan kereta secara mendadak.

“Ya, memang saya dah gila! Gilakan awak!” Giliran Hadif pula membalas
jeritanku. Volume jeritannya cukup kuat berbanding aku.

“Tiga tahun Auni…Tiga tahun saya mengejar awak. Tanpa rasa jemu. Kerana
apa? Kerana saya cintakan awak. Macam-macam cara saya buat demi
memenangi hati awak. Tak cukup lagikah Auni?” bicara Hadif. Kali ini,
suara percakapannya kembali normal. Tidak lagi menjerit seperti tadi.

“Saya tak pernah paksa awak, Hadif. Saya juga tak pernah bagi apa-apa
harapan pada awak. Semuanya berlaku atas kehendak awak sendiri!” Aku
cuba membela diri. Enggan membiarkan Hadif terus-terusan meletakkan
kesalahan pada diriku.

“Auni, yang lepas biar lepas. Dia dah ada kehidupannya sendiri. Takkan
awak tak mahu beri peluang pada diri awak untuk hidup bahagia seperti
orang lain?” Soalan Hadif benar-benar merentap jiwaku. Dari mana lelaki
ini tahu kisah silamku? Aku merenung wajah Hadif dengan penuh tanda tanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience