BAB 5

Humor Completed 12881

“Assalamualaikum, Fiona. Lewat sampai hari ni?” tegur satu suara garau dari belakangku.

Sepantas kilat aku menoleh. Alamak! Dia ni…. lemah betullah bila aku nampak dia… time-time inilah dia nak datang ke sini. Tahulah hari ini aku lewat, semua orang pun nak tegur aku sebab ini ke?

“Waalaikumussalam. Err…. jalan sesak!” jawabku jujur.

Dia mengangguk sedikit sahaja. Macam tak percaya sahaja gayanya. Betul apa, jalan sesak sebab kapal korek yang bergerak terlalu perlahan. Bukan aku sengaja cipta alasan.

“Tak lama lagi ekperimen di makmal dah nak mula, kan? Awak dah siap sediakan bahan dan radas ke?” Dia mengalih topik perbualan.

“Sudah. Semalam petang lagi saya dah siapkan,” jawabku pantas.

Di dalam hati aku tertanya-tanya. Seingat aku bukan dia yang akan mengajar di makmal aku. Sibuk-sibuk pula dia bertanya.

Ceh… sejak bila awak ada makmal sendiri, wahai Cik Fiona? Ada hati nak sebut ‘makmal aku’. Aku terdengar suara hati sendiri. Hisy.. hati aku ini, ada sahaja yang hendak ditegurlah. Yalah, tahu… aku memang tak ada makmal sendiri. Makmal aku itu milik Kolej Nadi Sains Malaysia yang punya. Aku ini hanyalah bertugas sebagai Pembantu Makmal sahaja. Itupun aku hanya menjaga dan membantu perjalanan satu makmal sahaja iaitu Makmal Sains 8, kerana setiap makmal sudah ada Pembantu Makmalnya sendiri.

“Awak dah sarapan? Nanti… kita sarapan sama-sama, boleh?” soalan dia mengejutkan aku. Langsung mematikan khayalan.

Errkkk…….! Aku mula menggaru-garu kepala. Ini yang lemah ni… aku tak mahu. Jarang pensyarah mahu mengajak staf biasa macam aku ni keluar sarapan atau makan tengahari bersama. Tapi dia ini lain sedikit. Sudahlah dia lelaki, kalau timbul gosip nanti macam mana?

Lagipun aku bukannya pensyarah macam dia. Dia ingat aku boleh suka-suka hati keluar makan ke? Nak-nak lagi bila eksperimen sedang dijalankan di makmal. Nanti kalau ada pensyarah cari aku di dalam bilik persediaan makmal dan aku tiada di sana macam mana? Kang heboh satu bangunan makmal mengatakan pembantu makmal tak buat kerja… pembantu makmal makan gaji buta… Habis tu kalaulah kebetulan pembantu makmal pergi ke tandas masa pensyarah datang, tentulah pembantu makmal tiada di dalam bilik. Lagipun ini kolej swasta. Siapalah yang berani nak buat hal. Nanti senang-senang sahaja kena buang kerja. Namun tetap juga isu pekerja meng‘ular’ boleh timbul di sini. Hailaaa… sabar aje la.

“Fiona, awak dah punch card ke?” Teguran Suzyana itu seolah-olah menjadi penyelamat buat aku yang sudah mula menjadi seperti ikan diletakkan di darat. Tak cukup nafas.

“Belum! Saya minta diri dulu Yana, Encik…”

Ya ampunn…. macam mana aku boleh lupa nama pensyarah seorang ni. Wahai otak, tolonglah ingat nama dia cepat. Jangan memalukan diri sendiri. Kalut punya pasal sampai terlupa nama orang.

“Encik Zack, ada tetamu hendak jumpa. Dia sedang menanti di sofa itu,” sampuk Suzyana secara tiba-tiba sambil menunjuk ke arah set sofa di hadapan kaunter.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience