BB - BAB 25

Drama Completed 309187

TAUFIQ tekun membaca dokumen yang diberikan oleh Maz sebelum dia menurunkan tandatangan.  Setelah selesai, dia kemudian menyerahkan semula dokumen tersebut kepada wanita itu.

"Oh ya Tuan, ahli jawatankuasa penganjur untuk majlis makan malam syarikat minta saya tanya pada Tuan, masa majlis tu nanti, Tuan datang sendiri ke atau datang dengan pasangan? Sebab mereka nak maklumkan pihak hotel berapa jumlah meja dan kerusi VIP yang perlu disediakan untuk majlis tu nanti".  Soal Maz sambil menyambut huluran dokumen dari tangan majikannya itu.

"Saya hampir terlupa dah pasal majlis makan malam tu Maz".  Kata Taufiq dengan tawa kecil.  Maz yang mendengar turut tersenyum.

"Emm...Saya akan datang dengan wife saya masa majlis tu nanti".  Tambah Taufiq lagi.

"Baiklah, nanti saya maklumkan pada ahli jawatankuasa penganjur".  Ujar Maz dengan senyuman sebelum dia meminta diri untuk keluar.

Tidak lama kemudian, pintu pejabatnya diketuk sekali lagi dan terpacul wajah Yazid bersama seorang lelaki.

"Oh kau Zid, masuklah".  Kata Taufiq sambil mengukir senyuman kepada sahabatnya itu.

"Sibuk ke?".  Soal Yazid.

"Taklah sibuk sangat, kenapa?".  Taufiq memandang Yazid.

"Aku datang nak kenalkan Penolong Executive Pemasaran kita yang baru, Luth Zareef".  Kata Yazid pada Taufiq.

"Kalau tak silap aku, ini yang kau kata adik bongsu kau kan?".  Soal Taufiq pula.

"Ya, yang baru je habis study tu". Jawab Yazid.

"Luth, ini kawan baik dan merangkap rakan kongsi Bang Long, Tuan Taufiq Taqiudin iaitu Pengarah Syarikat ni". Ujar Yazid sambil memandang ke arah adiknya itu.

Luth Zareef senyum dan menghulurkan tangan untuk berjabat dengan Taufiq. 

"Selamat datang ke Aura Bersatu Sdn Bhd dan selamat memulakan tugas".  Ucap Taufiq sambil bersalaman dengan Luth Zareef bersama senyuman yang terhias dibibir. 

"Terima kasih Tuan sebab sudi terima saya bekerja di syarikat ni".  Tutur Luth Zareef dengan senyuman dibibir.

"Kami terima awak dekat sini disebabkan kelayakan awak, bukan disebabkan awak adalah adik kepada Yazid, so jangan rasa rendah diri dan tunjukkan kebolehan awak.  Saya harap awak dapat bekerjasama dengan semua staff yang ada di sini dan membawa sesuatu yang baru untuk syarikat ni".  Kata Taufiq bersama senyuman yang menghiasi bibirnya.

"In Shaa Allah Tuan".  Ucap Luth Zareef.

"Kalau dia ada buat salah ke apa ke, kau tegur je dia terus Fiq, jangan takut hanya disebabkan dia adik aku pula.  Aku nak dia belajar semuanya dari bawah dan aku nak dia tahu bahawa tak mudah untuk mendapat sesuatu kedudukan tanpa usaha".  Ujar Yazid.  Taufiq yang mendengar terus tertawa kecil.

"Rileks lah Zid, hari ni baru hari pertama dia bekerja, jangan risau aku akan tegur kalau ada perkara yang aku tak berkenan dengan cara dia bekerja".  Yazid tersenyum sambil memandang Taufiq.

~~~

Jauh Qaireena duduk termenung sambil membuang pandang ke arah kolam mandi di hadapannya itu. Hatinya benar-benar berbelah bagi apabila memikirkan tentang cadangan Taufiq untuk menghantar dia melanjutkan pelajaran ke Sydney.

Separuh hatinya mahu menerima cadangan itu memandangkan dari dulu lagi dia memang memasang impian untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.  Namun disebabkan ayahnya meninggal dunia dan hanya tinggal ibunya sahaja yang menyara kehidupan mereka, hasratnya itu terpaksa dikuburkan jauh ke dasar hatinya.

Tetapi kini apabila peluang telah ada di depan mata, dia menjadi keliru kerana separuh hatinya lagi berat untuk menerima bahawa dia akan berjauhan dengan Taufiq.  Lebih-lebih lagi hubungan mereka berdua baru sahaja mula rapat dan mesra walaupun ianya belum sampai ke tahap hubungan sebenar suami isteri.  Bagaimana dia mahu melalui hari-harinya tanpa lelaki yang disayangi dan dicintainya itu? Adakah hubungan jarak jauh mereka itu nanti akan kekal? Sungguh, dia benar-benar buntu memikirkan tentang perkara itu.

Qaireena kemudian melangkah masuk ke dalam rumah.  Komputer riba di ambil dari dalam biliknya dan di bawa turun ke ruang tamu.  Dia mula membuat carian mengenai University of Sydney yang dikatakan oleh Taufiq itu.  Qaireena membaca semua tentang latar belakang universiti tersebut serta bidang yang ditawarkan di sana termasuklah masa yang perlu diambil bagi setiap bidang itu.

"Bachelor of Commerce, masa yang perlu diambil, tiga tahun. Setiap lima bulan sekali Abang akan datang melawat aku...hmmm".  Qaireena bercakap sendirian seolah-olah sedang memberi penerangan kepada dirinya sendiri.

"Kalau aku pergi, confirm aku akan rindu dengan dia, masalahnya pula peluang hanya datang sekali je dalam seumur hidup.  Pergi...Tak pergi...Pergi...Tak Pergi...Pergi...Tak Per...Aduhhh buntulah macam ni".  Qaireena mengeluh. Dia bercakap sendirian sambil membuat pilihan dengan kesepuluh jari tangannya secara berselang seli.

••••••••••

Empat hari berlalu, setelah berfikir dan berdoa agar diberikan petunjuk oleh Allah tentang apa yang sedang bermain difikiran dan yang membolak balikkan hatinya, akhirnya Qaireena telah pun membuat keputusan sama ada mahu ke Sydney atau tidak.

Dia melangkah menuju ke bilik Taufiq setelah membantu Mak Leha mengemaskan dapur selepas menikmati makan malam sebentar tadi.

Pintu bilik lelaki itu diketuknya beberapa kali, sebelum Taufiq muncul dari balik pintu tersebut.  Melebar senyuman Taufiq apabila dilihatnya Qaireena yang berdiri dihadapan pintu bilik itu.  Perlahan dia mencapai tangan Qaireena dan ditarik masuk ke dalam biliknya kerana dia masih lagi sedang berbual melalui telefon bimbit bersama Fazil anaknya.

Qaireena hanya menurut sahaja apabila Taufiq menarik tangannya untuk masuk ke dalam bilik lelaki itu.  Melilau mata Qaireena memerhatikan bilik tidur Taufiq kerana semenjak mereka bergelar suami isteri itulah kali pertama dia melangkah masuk ke dalam bilik lelaki itu.

Melihat Taufiq yang masih lagi rancak berbual bersama anaknya, Qaireena bangun dari birai katil dan melangkah keluar ke balkoni yang terdapat dibilik tersebut.  Balkoni bilik tidur lelaki itu betul-betul menghadap ke arah kolam ikan yang beradan di bawah dan dari situ juga dia dapat mendengar bunyi air terjun buatan pada kolam ikan tersebut yang sedikit sebanyak mampu memberikan ketenangan dan kedamaian.

Tamat sahaja perbualannya dengan Fazil, Taufiq memandang ke luar balkoni tempat Qaireena sedang berdiri. 

"Reen...". Panggil Taufiq.  Senyuman dihadiahkan kepada wanita itu ketika Qaireena menoleh ke arahnya.  Taufiq kemudian menepuk tilam disebelahnya sebagai isyarat memanggil wanita itu agar duduk di situ.

"Sorry kalau Reen ganggu Abang berbual dengan Fazil".  Kata Qaireena bersama senyuman dibibir sambil melangkah masuk semula ke dalam bilik itu dan duduk disebelah Taufiq.

"Tak ganggu pun".  Ujar Taufiq dengan senyuman.

"Ini first time Reen masuk bilik Abang kan? Mesti ada hal penting sangat nak bagitahulah tu, kalau tak asyik Abang je yang cari Reen dekat bilik".  Tambah Taufiq lagi.  Qaireena senyum memandang Taufiq.

"Sebab Reen segan nak masuk bilik ni kalau orangnya sendiri tak pelawa.  Lagipun dari hari pertama Reen jejakkan kaki ke rumah ni sebagai isteri Abang, Reen terus diberikan bilik sendiri.  Jadi, Reen beranggapan yang Abang memang tak nak Reen masuk ke dalam bilik Abang ni".  Taufiq terus tersenyum apabila mendengar kata-kata Qaireena.

"Bukan tak nak bagi Reen masuk ke dalam bilik Abang,  cuma Abang tak nak Reen rasa tak selesa.  Lagipun masa tu Reen hanya terpaksa berkahwin dengan Abang kan".   Jelas Taufiq.

"Sekarang ni kalau Reen nak pindah masuk ke dalam bilik ni pun Abang tak kisah, lagi Abang suka".  Sambung Taufiq lagi.

"Boleh ke?".  Qaireena memandang Taufiq sambil menaikkan kedua belah keningnya bersama senyuman.

"Nak ke? Tak takut nanti Abang terkacau Reen?".  Soal Taufiq pula.

"Nak, sebab nanti bila Reen dekat Sydney mesti Reen akan rindukan suami Reen ni".  Jawab Qaireena.  Taufiq sedikit terkejut apabila mendengar kata-kata Qaireena itu. 

"Reen dah buat keputusan?".  Tanya Taufiq.  Qaireena mengangguk perlahan.

"Tapi dengan syarat, yang Abang akan datang lawat Reen dekat sana macam yang Abang janjikan tu".  Kata Qaireena sambil memandang tepat ke wajah lelaki yang berada di sebelahnya itu.  Taufiq senyum, dia kemudian mencapai tangan Qaireena dan dibawa ke bibirnya.

"Abang janji yang Abang akan datang melawat Reen setiap lima bulan sekali.  Abang pun sebenarnya tak nak berjauhan dari Reen, tapi Abang cuma nakkan yang terbaik untuk Reen.  Dekat sana tak ada orang yang kenal Reen dan akan ganggu hidup Reen.  Abang pun tak perlu risau lagi tentang Along yang mungkin akan mencari Reen".  Ujar Taufiq.

"Reen hanya perlu belajar je tak payah fikir benda lain.  Kalau Reen belajar dekat sini, Abang risau Reen takkan habis belajar".  Tambah Taufiq dengan senyuman meleret.

"Kenapa pula?". Soal Qaireena sedikit hairan.

"Abang risau perut Reen akan memboyot ke depan dan Reen akan bertukar status dari isteri Abang kepada ibu untuk anak-anak Abang".  Jawab Taufiq sambil tertawa kecil. 

"Kalau betul pun tak salahkan? Sebab Abang suami Reen yang sah.  Dah lah Reen nak tidur, risau fikiran Reen berubah pula nanti, sebab bila dengar pasal tukar status jadi ibu tu macam seronok juga".  Qaireena kemudian terus merebahkan badan disebelah Taufiq dan menarik selimut menutupi wajahnya kerana malu untuk bertentang mata dengan lelaki itu.  Taufiq hanya tertawa melihat Qaireena yang sudahpun menutup wajahnya.

••••••••••

Seminggu berlalu, majlis makan malam syarikat Taufiq pula akan berlangsung pada esok hari.  Namun baru hari itu dia menyedari bahawa dia terlupa untuk memberitahu Qaireena tentang majlis tersebut.

"Reen, Abang terlupalah nak beritahu Reen yang malam esok ada majlis makan malam untuk syarikat Abang dan Reen akan ikut sekali".  Beritahu Taufiq ketika mereka berdua jalan beriringin menuruni tangga untuk menuju ke meja makan.

"Reen akan ikut sekali?".  Soal Qaireena seakan tidak percaya.

"Ya Sayang, Reen kan isteri Abang, mestilah Abang bawa".  Jawab Taufiq.

"Abang tak kisah bawa Reen? Sebab ramai kawan-kawan Abang dekat pejabat tu yang kenal Reen sebagai penghantar makanan sebelum ni".  Kata Qaireena.

"Kenapa pula nak kisah, isteri Abang ni manusia juga kan bukannya makhluk dari planet lain".  Ujar Taufiq.   Qaireena tertawa kecil mendengar kata-kata Taufiq itu.

"Nanti Reen bersiap, dalam pukul 10 pagi macam tu Abang minta Pak Abu hantar Reen dekat pejabat Abang, sebab Abang akan minta PA Abang temankan Reen cari baju untuk majlis tu esok".  Tambah Taufiq lagi.

"Kenapa bukan Abang je yang temankan Reen cari baju?".  Soal Qaireena pula.

"Sebab Abang tak pandai nak pilih baju untuk orang perempuan, lebih-lebih lagi baju yang sesuai dengan majlis macam tu".  Jawab Taufiq dengan senyuman.

"Baiklah".  Kata Qaireena sambil turut mengukir senyuman.

~~~

Qaireena melangkah masuk ke dalam bangunan pejabat Taufiq dan terus menuju ke arah lift.  Apabila orang yang turun dari tingkat atas keluar dari dalam lift tersebut, Qaireena pula melangkah masuk dan terus menekan butang untuk naik ke pejabat Taufiq.

Belum sempat pintu lift tersebut tertutup rapat, Luth Zareef berlari dan menekan butang untuk naik ke tingkat atas dan sekaligus menyebabkan pintu lift tersebut terbuka semula untuk membolehkan dia masuk ke dalam lift itu.

"Sorry".  Ucap Luth Zareef.

"Tak apa".  Jawab Qaireena dengan senyuman.

Sampai sahaja di tingkat yang menempatkan pejabat Taufiq, Qaireena terus melangkah keluar dari lift dan menuju ke bilik pejabat suaminya itu.

"Puan Qaireena kan?".  Sapa Maz dengan senyuman.  Qaireena mengangguk sambil turut mengukir senyuman.

"Tuan Taufiq ada?".  Soal Qaireena bersama senyuman yang masih lagi menghiasi bibirnya.

"Ada, Tuan Taufiq pun tengah tunggu Puan dekat dalam tu, mari saya bawa Puan masuk".  Kata Maz sambil menuju ke depan pintu bilik pejabat majikannya.

Qaireena dan Maz melangkah keluar dari bilik pejabat Taufiq dan terus menuju ke lift.

"Eh, Kak Maz nak pergi mana ni? Tuan Taufiq ada tak, saya nak minta sign dokumen ni?".  Soal Luth Zareef yang baru sahaja keluar dari perut lift.

"Akak nak keluar, Tuan ada dekat dalam pejabat dia, Luth ketuk je pintu".  Jawab Maz sambil memandang lelaki di depannya itu.

"Baiklah, saya pergi dulu, terima kasih Kak Maz".  Ucap Luth Zareef sambil matanya sempat mencuri pandang ke arah Qaireena.

Dari tadi dia bertanya sendiri siapa wanita itu kerana selama hampir dua minggu dia bekerja di situ dia tidak pernah melihat wanita itu. Namun apabila melihat Kak Maz keluar bersama wanita tersebut tahulah Luth Zareef bahawa wanita itu mungkin hanyalah kawan kepada Kak Maz.

Happy Reading korang :-)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience