“Kau cakap dengan aku, Zulaiha ada cakap apa je dengan kau?” Arif terkejut, keliru dengan tindakan Encik Zaidi yang tiba-tiba memukul kepala Arif dengan sebuah fail keras berwarna hitam putih yang sering didapati di pejabat.
Arif memegang kepalanya. Terasa sengat kepalanya dihempuk. “Apa yang Encik Zaidi cakap ni?” soal Arif, menapak menjauhi lelaki pertengahan umur itu.
“Aku tanya, Zulaiha cakap apa je dengan kau?!”
“Apa lagi yang Encik tak puas hati dengan Zulaiha?” soal Arif yang tersandar pada dinding pejabat Encik Zaidi. “Balik-balik Zulaiha, balik-balik Zulaiha. Dia dah mati pun Encik masih nak tuding silap Encik sendiri dekat Zulaiha?”
“Ah! Memang ni semua salah dia! Kalau bukan sebab dia, takdenya aku kena serang dengan pihak atasan!” jerkah Encik Zaidi.
Tok! Tok! Tok!
“Encik Zaidi? Arif? Bukak pintu ni!” suara beberapa orang pekerja kedengaran. Tombol pintu dipulas berkali-kali dari luar.
“Jangan nak berani-berani bukak pintu tu.” ujar Encik Zaidi, memberi amaran. Arif mengetap gigi ketat. Halkum Arif bergerak serentak dengan air liur ditelan. Sepantas kilat tangan Encik Zaidi hinggap di leher Arif, mencekik kuat. “Jawab soalan aku, apa yang Zulaiha…”
“Mana aku tau!” batuk Arif. Dia cuba membebaskan diri dari cengkaman tangan Encik Zaidi.
“Jangan tipu aku!” cengkaman Encik Zaidi tajam membenam kuku ke kulit leher Arif.
“Argh! Aku tak tipu!” ujar Arif, kepalanya terus dihentak kuat pada dinding, menyebabkan Arif pening, hampir pengsan. Tubuh Arif longlai terbaring di atas lantai.
“Ingat balik etika bekerja, kau tak boleh bohong dengan orang atasan kau.” Arif terbatuk-batuk, sakit tekaknya dicekik. “Bagitau aku apa yang kau nak sangat lindung Zulaiha tu daripada aku?”
Arif masih pening. Telinganya berdesing. “Apa yang aku tau pasal Zulaiha takde kaitan dengan situasi kau atau aku…” serak suara Arif bersuara. “Semua ni sebab kau langgar etika…uhuk! …kau langgar etika kerja sendiri…”
Timbul urat di dahi dan leher Encik Zaidi. Bola mata hampir terjojol keluar. “Aku tak langgar apa-apa etika.” ujarnya sambil gigi diketap rapat. Kakinya laju menendang perut Arif, menyebabkan Arif berguling.
Mengaduh kesakitan, Arif memaksa dirinya untuk bergerak. Bangkit dari lantai, Arif melompat bangun dan cuba menjauhi Encik Zaidi. Arif berlari mengelilingi meja kerja Encik Zaidi, mencari peluang untuk meloloskan diri dari ketuanya.
Sengaja dia melambatkan langkahnya, konon memberi peluang untuk Encik Zaidi menerkamnya tetapi Arif pantas melompat ke atas meja sebelum terjun ke pintu dan membuka pintu. “Arif!” terkejut mereka melihat Arif yang serba serabut dan leher yang berdarah kerana dicengkam.
Arif menuding jari ke arah Encik Zaidi yang membatu memandang mereka. “Dia…” belum sempat Arif menghabiskan ayat, dia sudahpun pengsan, pening kepala sering disasar dalam serangan Encik Zaidi tadi.
“Encik Zaidi, apa yang Encik dah buat ni…?” Encik Zaidi membatu memandang tubuh Arif yang digoncang para pekerja yang lain.
Darah merah yang meleleh dari leher Arif membasahi kolar bajunya.
Pedih.
“Arif… Arif,” panggil satu suara.
“Arif!”
Share this novel
ewlwqh
test_account