DUA TAHUN KEMUDIAN:
Di dapur, kelihatan seorang wanita agak berusia sedang sibuk menyiapkan makanan tengah hari. Bibirnya tersenyum sendiri bersama alunan suara yang tidak segan memperdendangkan sebuah lagu irama Melayu lama.
Di ingatanku, ku terlukis wajah
Abang ku yang gagah.
Baik budi serta ramah tamah
Handsome macam gajah
Rasa di hati masam masam manis
Rindu asmara, kandaku jangan nangis...
Tengku Hariz yang baru sahaja selesai bersiap, mula menapak menuruni anak tangga. Susuk pembantu rumahnya di cari merata sambil tetap membawa kaki menuju ke arah dapur. Bibir lelaki itu spontan tergelak kecil tatkala mendengar suara ceria Mak Imah yang sedang berlagu riang tanpa menyedari kehadirannya di situ.
Hahhh!
Sergahan yang menyerang tanpa amaran membuatkan Mak Imah benar-benar tersentak. Hampir sahaja pinggan yang sedang berada di tangannya terlepas. Sempat wanita itu mengurut dada sebelum menjeling tajam ke arah Tengku Hariz namun lelaki itu pula hanya menayang wajah yang selamba tanpa dosa.
"Kamu ni Riz, dah bosan tengok muka tua Mak Imah agaknya. Nak Mak Imah mati cepat ke?" Rajuk Mak Imah sebelum kembali meneruskan pekerjaannya.
"Ishh Mak Imah ni, apa pulak cakap macam tu. Hariz gurau je la. Gurau sikit pun nak merajuk." Tengku Hariz tergelak kegelian hati dengan sikap pembantu rumahnya yang sudah dianggap seperti ibu kandungnya sendiri.
"Yang Mak Imah gembira semacam ni kenapa? Mesti ada apa-apa. Ada orang nak meminang Mak Imah ke?" usikan Tengku Hariz kian galak berlangsung. Punggungnya dilabuhkan di atas kerusi bersama sisa tawa yang masih enak meluncur di bibir. Cekodok pisang yang masih panas terhidang diambil lalu disuapkan ke dalam mulut.
"Daripada kamu sibuk nak suruh Mak Imah kahwin lagi, bagus kamu tu yang lekas kahwin. Sampai bila nak menduda? Kamu tu bukan makin muda Riz." Mak Imah mula membebel. Tidak kekoh meleteri lelaki itu kerana biarpun berpangkat seorang majikan, namun keakrabannya dengan keluarga kecil Tengku Hariz sangat kuat.
"Alahhh, Mak Imah ni pun. Orang gurau sikit je dah bagi ceramah panjang-panjang pulak dah... "
"Betullah kan, kamu kena fikirkan Danial juga. Kesian Mak Imah tengok Danial tu. Dia pun perlukan kasih sayang seorang ibu, tau." ujar Mak Imah seraya menutup pili air. Pinggan mangkuk yang sudah selesai dicuci, dikeringkan lalu disusun kemas pada rak. sebelum beralih mendekati posisi Tengku Hariz. Teh yang sudah siap dibancuh, dituang ke dalam cawan lalu dihulurkan kepada majikannya itu.
"Mak Imah, duduk dulu. Saya ada benda yang nak dibincangkan dengan Mak Imah." Tengku Hariz kembali bersuara setelah cekodok sebiji tadi habis terkunyah di dalam mulut.
"Ada apa tu, Hariz?" Mak Imah menyoal hairan sambil menarik kerusi sebelum ikutan berlabuh punggung.
"Saya betul-betul minta maaf, tapi saya rasa Mak Imah kena batalkan plan Mak Imah untuk balik kampung minggu ni. Saya kena pergi Singapore selama empat hari. Saya risau tak ada orang jagakan Danial. Benda ni saya betul-betul tak dapat nak elak." Tengku Hariz bersuara dalam nada yang serba salah. Wajah tua pembantu rumah itu ditatap seketika dengan perasaan yang bergaul rasa.
"Tapi Riz, anak bongsu Mak Imah nak menikah Riz." Mak Imah kembali mengingatkan tujuannya, sambil turut menayang riak serba salah. Simpati dengan keadaan Tengku Hariz namun untuk mengelak di hari pernikahan anaknya sendiri juga hal yang mustahil untuknya.
"Saya faham, tapi... saya tak ada pilihan. Mak Imah tahu kan, saya cuma ada Mak Imah je untuk diharap." Tengku Hariz bertutur dengan wajah yang sugul. Bukan niatnya mahu memungkir janji, namun saat itu, satu-satunya orang yang boleh diandalkan hanyalah Mak Imah kerana Danial anak yang sangat memilih.
"Nak buat macam mana ya, Mak Imah sebenarnya buntu juga Riz. Serba salah Mak Imah." Wanita tua itu menggaru kepala sambil memaksakan otaknya untuk mencari buah fikiran yang bernas. Suasana menjadi hening seketika kerana Tengku Hariz sendiri juga sedang memikirkan penyelesaian bagi permasalahannya itu. Namun tidak sampai seminit, bibir lelaki itu tiba-tiba terhias dengan senyuman saat ada akal baik yang mula mendatangi pemikirannya.
"Mak Imah sudi tak kalau Danial ikut Mak Imah balik kampung?" soal Tengku Hariz tanpa ragu, sebaliknya Mak Imah pula yang melopong bulat sukar untuk percaya apa yang mendatangi telinganya barusan.
"Betul ke ni Riz? Kamu tahu kan kampung tak macam bandar, tak ada rumah mewah, besar. Banyak nya... "
"Tak apalah Mak Imah, biar Danial tu rasa sikit pengalaman duduk kampung. Tapi tu pun kalau Mak Imah sudi." pintas Tengku Hariz sebelum habis Mak Imah menggambarkan suasana sederhana di kawasan hijau, namun riak wajahnya tetap sugul, berharap agar wanita itu sudi menunaikan permintaannya.
"Ishh, apa pulak tak sudi. Mak Imah lagi gembira sebab kamu dah letak kepercayaan tinggi pada Mak Imah. Tapi, betul ke kamu tak kisah?" soal Mak Imah lagi.
"Betul, saya memang tak kisah. Lagipun, saya dah anggap Mak Imah ni macam ibu saya sendiri. Danial tu, dari kecil Mak Imah yang selalu jaga. Saya betul-betul terhutang budi dengan Mak Imah... " ujar Tengku Hariz dengan nada yang merendah diri.
"Tak perlu terhutang budi, memang dah jadi tanggungjawab Mak Imah. Lagipun, kamu dah banyak sangat tolong Mak Imah selama ni." Respon wanita tua itu dengan senyuman. Sekalipun diantidak pernah melupakan jasa Tengku Hariz terhadap keluarganya. Malahan kos pengajian anak bongsunya, Akiff juga hampir keseluruhan dibantu oleh Tengku Hariz tanpa meminta balasan sedikitpun, jauh sekali hendak mengungkit.
"Terima kasih, Mak Imah."
"Sama-sama. Minumlah, Mak Imah nak ke belakang sambung kerja." Mak Imah meminta diri, meninggalkan Tengku Hariz keseorangan melayan perasaan.
*********
TENGKU FAIZAL menggelengkan kepala sambil tetap memandang tajam ke arah seorang wanita yang sedang leka mengelap pintu kaca sebuah ruangan yang menempatkan seseorang yang berjawatan COO di syarikat besar itu. Kakinya dibawa menapak mendekati wanita itu dengan langkahan yang penuh bergaya bersama serautan di wajah yang terlihat cukup menakutkan.
Dari sisi lain, Victor yang merupakan PA kepada Ketua Pegawai Operasi di syarikat besar itu, sempat menelan air liur kerana sudah dapat mengagak apa yang bakalan berlaku sebentar lagi nanti.
"Bella Hanesya! You ni kan degil! I dah arahkan you untuk bersihkan satu bangunan ni, tapi you masih je kat sini. Jangan malas sangat. I bayar gaji you besar tahu tak. Gaji you tu setaraf dengan gaji COO kat sini, tapi tengok hasil kerja you! Pemalas! I tak kira, petang ni pastikan satu bangunan ni bersih, nampak macam baru!" Sergah Tengku Faizal dengan tampang yang sangat angkuh dan geram. Wajah polos Bella ditatap tajam untuk seketika sebelum membawa diri pergi dari situ. Bella yang sempat terkedu seketika, lantas menyedarkan diri dengan paksa. Berombak-ombak dadanya ketika itu kerana dia paling pantang jika berhadapan dengan makhluk yang bongkak seperti Tengku Faizal.
"Tuan, jangan lupa saya cuti esok sampai Isnin. Sepupu saya buat majlis kahwin, saya nak pergi juga! Sebelum saya bercuti, saya akan pastikan satu bangunan ni nampak baru macam yang Tuan nak. Tuan jangan risau." ujar Bella separuh menjerit sambil bibir diketap kuat untuk menahan geram dan sakit hati. Susuk lelaki angkuh itu tetap dilahap pandang dari belakang, namun Tengku Faizal pula terus sahaja melangkah tanpa menoleh sedikit pun, kerana menjadi punca kemarahan Bella seolah-olah merupakan satu kejayaan yang teragung buat dirinya.
'Padan muka!' Lelaki angkuh itu mendesis lalu diam-diam mula mengoyak senyuman sinis yang terisi penuh dengan makna tersirat.
"Apa senyum-senyum? Tak puas hati? Nak gelakkan saya?" Kegeraman Bella kembali meluap-luap tatkala menyedari sengihan Victor yang sedari tadi terhaluan ke arahnya. Victor yang sudah kegerunan dengan amaran Bella laju pula mengangkat tangan tanda tidak ingin masuk campur sambil menunduk-nunduk kepolosan. Tangan yang kosong dan santai tadi laju-laju diisikan dengan sebatang pen lalu bermulalah babak lakonan 'tekun bekerja' oleh staf berbangsa Cina tersebut. Semua itu hanya kerana ingin menyelamatkan dirinya daripada renungan maut Bella.
Bella berlalu membawa pengilap cermin dan kain lap di tangannya menuju ke arah ruang belakang sambil bernyanyi riang seperti tiada apa yang berlaku barusan.
Kain lap tersebut dicuci bersih sebelum diletakkan kembali ke tempat asal. Krim pencuci tangan,diletakkan sedikit ke telapak tangan halusnya, digosok perlahan sehingga yakin tangannya sudah bersih semula lalu dicuci semula dengan air paip yang mengalir deras.
'Penat juga jadi tukang cuci ni. Nasib bos offer gaji aku besar." gumamnya sendiri sambil tersengih-sengih.
"Cik Bella, client kita dah sampai." Laungan Victor langsung mematikan lamunan pendek Bella. Keningnya spontan terangkat meninggi, wajah Victor juga dipandang hairan.
"Nak jumpa tukang cuci macam saya ni?" soalnya penuh kecengangan. Namun diperbetulkan juga penampilannya juga wajahnya sebelum membawa kaki menapak ke arah bahagian hadapan. Mahu juga melihat, gerangan siapa pula yang sudi bertemu janji dengan seorang pekerja bawahan seperti dirinya.
Share this novel
siapake itu