BB - BAB 28

Drama Completed 308942

QAIREENA terdiam seketika setelah dia menamatkan panggilan daripada Adira sebentar tadi.  Sungguh, dia benar-benar terkejut dengan berita yang baru sahaja di sampaikan oleh sahabatnya itu. 

Terlalu sukar untuk dia mempercayai berita tersebut, namun setelah berkali-kali Adira menyebut perkataan 'jenazah' barulah otaknya sedikit demi sedikit cuba menerima dan mempercayai bahawa berita yang didengarinya itu adalah sahih.  Tanpa berlengah lagi, Qaireena terus menghubungi Taufiq.

"Hello Reen".  Sambut Taufiq di hujung talian.

"Hello, Abang sibuk ke?".  Soal Qaireena pula.

"Abang baru habis mesyuarat, lepas ni nak pergi makan tengah hari dengan Yazid.  Kenapa sayang?".  Ujar Taufiq.

"Reen nak minta kebenaran Abang untuk ke rumah arwah Nas boleh?".  Kata Qaireena.

"Arwah Nas?".  Ulang Taufiq seolah-olah tidak percaya dengan apa yang didengarinya dari mulut Qaireena.

"Ya, Nas baru je meninggal dunia pagi tadi.  Adira call Reen, dia dan kawan-kawan yang lain sekarang dekat rumah arwah Nas sebab tu Reen nak minta kebenaran Abang untuk melawat jenazah buat kali terakhir, boleh?". Jelas Qaireena.

"Innalillahiwainnailaihirajiun.  Adira ada bagitahu sebab apa Nas meninggal dunia?".  Soal Taufiq ingin tahu.

"Adira kata Nas meninggal sebab lemas dalam sungai.  Arwah nak selamatkan kawan dia tapi selepas je kawan-kawannya yang lain menarik kawan yang diselamatkan oleh arwah tu naik ke tebing, tiba-tiba  arwah Nas pula yang seperti ditarik dari dasar sungai yang dalam tu".  Jawab Qaireena.

"Reen bersiap sekarang, sekejap lagi Abang datang ambil Reen, kita pergi ke sana sama-sama ya". Kata Taufiq di hujung talian.

"Abang tak sibuk ke?".  Soal Qaireena, timbul rasa bersalah di hatinya kerana telah mengganggu lelaki itu sedang bekerja.

"Tak Sayang, mesyuarat pun dah habis ni. Reen siap, sekejap lagi Abang ambil Reen".  Ujar Taufiq lembut.

"Baiklah, hati-hati memandu".  Ucap Qaireena sebelum mematikan panggilan.

Sampai sahaja kereta Taufiq di halaman rumah, Qaireena yang memakai baju kurung dan selendang yang menutupi kepalanya itu, terus masuk ke dalam kereta suaminya.

~~~

Qaireena melangkah masuk ke dalam rumah arwah Nasrul yang dipenuhi dengan ahli keluarga dan juga rakan-rakan rapatnya.  Dia kemudian bersalaman dengan ibu arwah yang sudah dikenalinya sebelum ini.  Wanita itu juga tahu bahawa dia dan arwah Nasrul berkawan rapat sebelum ini.

"Reen nak tengok wajah Nas buat kali terakhir?".  Soal Puan Nazariah.  Wajah itu kelihatan sangat tenang seolah-olah mengikhlaskan pemergian satu-satunya anak lelaki beliau dengan sepenuh hati.  Qaireena menganggukkkan kepalanya.

Perlahan kain yang menutupi wajah Nasrul diselak oleh Puan Nazariah, saat melihat wajah kaku yang pucat itu, airmata Qaireena terus mengalir ke pipi.  Sungguh dia juga sedih dengan pemergian lelaki itu.  Walaupun Nasrul pernah menghina dirinya, namun dia tidak menafikan bahawa lelaki itu juga pernah menjadi sahabat baik, yang sentiasa ada di saat suka dan duka serta sentiasa memberikan nasihat dan dorongan kepadanya.

Seketika Qaireena teringat akan kata-kata Nasrul sewaktu lelaki itu menyatakan hasrat untuk menjadikan dirinya isteri apabila dia telah tamat belajar dan mempunyai pekerjaan.

'Nas lebih rela jika maut adalah jodoh Nas, bukannya perempuan selain Reen'

Kata-kata Nasrul itu berlayar difikirannya.  Siapa sangka apa yang dikatakan oleh lelaki itu kini benar-benar terjadi, kerana takdir Allah telah menjodohkannya dengan maut.

Petang itu, Qaireena dan rakan-rakannya yang lain turut menghantar jenazah arwah Nasrul ke tanah perkuburan buat kali yang terakhir.  Setelah urusan pengkebumian selesai barulah mereka semua beransur-ansur pulang.

"Reen okay?".  Tanya Taufiq sambil menoleh ke arah Qaireena ketika kereta yang dipandunya itu keluar dari kawasan tanah perkuburan tersebut.  Tangannya menyentuh lembut tangan Qaireena dengan sebelah tangan apabila dia melihat wajah sedih wanita itu.

"Abang jangan risau, Reen okay, cuma terkejut sedikit je". Jawab Qaireena.

"Yalah, walaupun arwah pernah mengecewakan Reen, tapi kami juga pernah rapat dan arwah memang seorang kawan yang baik, tak sangka secepat itu dia pergi".  Sambung Qaireena lagi.

"Allah lebih menyayangi dia, semoga arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Reen lupakanlah segala salah dan silap arwah dan maafkan arwah, agar pemergiannya lebih tenang".  Kata Taufiq. Tangan Qaireena yang disentuh dielus lembut.  Dia tidak mahu isterinya itu mengingati lagi masalah yang pernah berlaku diantara mereka berdua dan dia juga tidak mahu wanita itu terlalu bersedih. Qaireena senyum apabila mendengar kata-kata Taufiq.

"Reen dah lama maafkan arwah, Reen sedar semua manusia tidak pernah lari dari membuat kesilapan, lebih-lebih lagi arwah dah mengakui kesilapannya dan meminta maaf.  Reen cuma berharap yang arwah juga memaafkan kesalahan Reen pada dia selama kami menjadi sahabat".  Tutur Qaireena dengan wajah yang ditundukkan.

"Abang percaya yang Nas pun dah maafkan Reen.  Sebab Nas seorang yang baik dan dia sangat sayangkan Reen".  Ujar Taufiq dengan senyuman. 

••••••••••

Sudah hampir seminggu Qaireena sibuk menyediakan barang-barang yang akan dibawanya ke Australia.  Walaupun dia mempunyai masa lebih kurang tiga minggu lagi sebelum bertolak ke negara tersebut tetapi Taufiq mahu segala persiapan dibuat lebih awal agar tidak ada satu pun barang keperluan Qaireena yang tidak mencukupi apabila wanita itu berada di sana.

"Kenapa dari tadi Abang tengok Reen muram je ni? Reen masih bersedih tentang arwah Nasrul ke?".  Soal Taufiq yang sedang duduk bersila di sebelah Qaireena ditepi katil sambil membantu wanita itu memasukkan barang ke dalam bagasi.  Qaireena hanya menggelengkan kepalanya.

"Semakin kemas-kemas barang macam ni, semakin sayu hati Reen sebab nak berjauhan dengan Abang.  Reen tengok Abang rileks je, macam tak kisah pun nak berjauhan dengan Reen lama-lama".  Jawab Qaireena dengan mulut yang memuncung.  Mendengarkan itu, Taufiq terus tersenyum.  Perlahan tangannya naik ke bahu Qaireena dan dirapatkan tubuh wanita itu ke dadanya.

"Siapa kata Abang tak kisah? Hanya Tuhan je yang tahu macam mana perasaan Abang ni tau tak. Tapi Abang cuba pujuk hati Abang, sebab Abang nak tengok Reen berjaya mencapai impian Reen". Ujar Taufiq sambil tangannya mengusap bahu Qaireena lembut.

"Abang tahu, dah lama Reen pasang impian untuk belajar di luar negara kan? Dan salah satu universiti yang tersenarai dalam impian Reen tu University of Sydney".  Tambah Taufiq lagi bersama senyuman di bibir.  Serta merta Qaireena mengangkat kepalanya yang sedang terlentok di bahu Taufiq, wajah lelaki itu dipandangnya.

"Mana Abang tahu impian Reen nak sambung study dekat luar negara?".  Soal Qaireena dengan dahi berkerut.  Taufiq senyum dan memandang wajah wanita yang telah mencuri seluruh hatinya itu.

"Ingat tak masa Sara meninggal dunia, kita berdua bermalam di rumah arwah ibu dan Reen bagi Abang tidur dekat bilik tidur Reen?".  Soal Taufiq bersama bibir yang masih lagi dihiasi dengan senyuman.

"Ingat". Jawab Qaireena sepatah.

"Dekat meja study Reen kan ada tampal senarai universiti yang Reen teringin nak pergi tapi Reen dah pangkah semua senarai dan Reen ada tulis ayat dekat bawah tu 'Tak semua impian akan menjadi realiti, kerana mungkin takdir yang akan mendahului'. Kenapa Reen tulis ayat tu? Reen tak yakin ke yang Reen boleh sambung study dekat sana?".  Ujar Taufiq. 

"Ish..mana aci Abang selongkar meja belajar Reen".  Rungut Qaireena.

"Mana ada Abang selongkar, Abang duduk je dekat meja tu dah nampak apa yang Reen tampal dekat dinding".  Jawab Taufiq dengan senyuman.  Qaireena mencebik mendengar jawapan lelaki di hadapannya itu.

"Reen tak jawab lagi pertanyaan Abang tadi, kenapa pangkah senarai universiti tu semua?".  Wajah Qaireena dipandang Taufiq.

"Sebab Reen dah berhenti berharap untuk sambung study dekat sana, memandangkan hanya tinggal ibu sorang je yang bekerja untuk menyara Reen dan Sara.  Lebih-lebih lagi dengan keadaan Sara yang tak sihat dan ibu perlu kumpulkan wang untuk pembedahan Sara, so Reen kuburkanlah impian tu".  Jawab Qaireena dengan wajah yang ditundukkan. 

Taufiq terdiam mendengar jawapan Qaireena itu.  Sungguh, Qaireena seorang anak yang baik serta berfikiran matang dan langsung tidak mementingkan dirinya sendiri.

"Ibu dah banyak bersusah payah untuk Reen dan Sara, jadi Reen tak nak bebankan lagi fikiran ibu hanya semata-mata untuk memenuhi impian Reen tu.  Walaupun dengan keputusan SPM dan pointer Reen semasa dekat matrikulasi dulu melayakkan Reen untuk mendapat tajaan biasiswa, tapi Reen tak nak tinggalkan ibu seorang diri untuk menguruskan Sara.  Dapat sambung belajar di universiti dalam Malaysia dan dekat dengan keluarga pun Reen dah bersyukur sangat.  Tapi macam yang Reen tulis tulah, takdir mungkin akan mendahului.  Ibu ditakdirkan pergi dulu meninggalkan kami dan Reen terpaksa berhenti belajar untuk menampung kehidupan kami dua beradik".  Sambung Qaireena lagi.  Mendengarkan itu, terus sahaja tubuh Qaireena ditarik oleh Taufiq ke dalam dakapannya.

"Dan kerana takdir juga kita dipertemukan sayang, sebab tulah Abang nak Reen capai impian Reen tu.  Tiga tahun tak lama pun, Abang janji akan lawat Reen setiap lima bulan sekali".  Kata Taufiq bersama senyuman di bibir.  Seketika dia mendengar esakan kecil di dadanya.

"Kenapa nangis ni?".  Tanya Taufiq lembut apabila dia melihat airmata membasahi pipi Qaireena.

"Terima kasih sebab hadir dalam hidup Reen dan menyayangi Reen.  Tanpa kehadiran Abang, Reen sendiri tak tahu macam mana keadaaan Reen sekarang ni.  Mungkin Reen takkan sebahagia dan sebertuah sekarang ni".  Tutur Qaireena bersama airmata yang mengalir dipipinya. 

Taufiq senyum mendengar kata-kata yang baru sahaja keluar dari mulut Qaireena.  Tangannya naik dan menyeka airmata yang membasahi pipi wanita itu.

"Allah yang mempertemukan kita dan telah menentukan takdir jodoh kita berdua sayang.  Abang berterima kasih sangat sebab Reen sudi menerima orang tua yang kacak ni sebagai suami".  Ujar Taufiq bersama senyuman sambil sebelah matanya dikenyitkan. 

Mendengarkan itu Qaireena terus tertawa kecil.  Leher taufiq terus dirangkulnya dan satu kucupan dihadiahkan di pipi lelaki itu.

"Kacak dan hot, sebab tu Reen risau nak tinggalkan Abang sorang-sorang dekat sini".  Kata Qaireena.  Taufiq tertawa apabila mendengar pujian daripada Qaireena.

"Jangan risau, sebab tak ada sesiapa lagi yang dapat menggantikan tempat Reen di dalam hati Abang ni".  Tutur Taufiq sambil menyentuh pipi Qaireena.

"Boleh percaya ke?".  Duga Qaireena bersama senyuman.

"Mestilah, kalau dengan mudah je mana-mana perempuan menakluki hati Abang ni, tak adalah Abang menduda lama sangat sampai Abang berjumpa dengan Reen".  Jawab Taufiq sambil memandang wajah Qaireena.

"Good, so teruskan menjaga hati Abang tu untuk Reen selama tiga tahun ni, jangan nakal-nakal dan jangan menggatal".  Ujar Qaireena.  Taufiq senyum kemudian mengucup dahi Qaireena lembut.

"Abang akan setia menanti Reen".  Ucap Taufiq.  Qaireena senyum sambil memandang Taufiq dan memeluk Taufiq dengan erat.

~~~

Petang itu, Qaireena duduk di tepi kolam mandi sambil melihat Taufiq berenang.

"Tak nak join Abang?".  Soal Taufiq sambil memandang Qaireena.

"Reen tak pandai berenang".  Jawab Qaireena dengan senyuman.

"Abang ajar Reen sampai pandai".  Ujar Taufiq lagi.

"Tak naklah, Reen takut bila dekat dalam air".  Kata Qaireena.  Taufiq tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

Tidak lama kemudian telefon bimbit Taufiq yang berada di atas meja berhampiran dengan kolam itu berbunyi.  Qaireena yang mendengar terus bangun dari duduknya untuk mengambil telefon bimbit tersebut dan diserahkan kepada Taufiq.  Ketika telefon itu sudah berada di tangannya, Qaireena terus berlari untuk menghampiri Taufiq.  Namun semasa berlari Qaireena terpijak lantai yang basah dan menyebabkan dia jatuh tergelincir.

"Reen!". Taufiq yang melihat sedikit terkejut dan cepat-cepat keluar dari dalam kolam dan terus menghampiri isterinya itu.

"Sayang, kenapa lari, lantai tu kan basah, licin pula tu".  Kata Taufiq sambil membantu Qaireena bangun.

"Fazil call, Reen nak bagi telefon tu dekat Abang, tak sangka pula Reen terpijak lantai basah tu.  Abang jangan risaulah sikit je, Reen tak apa-apa pun ni".  Ujar Qaireena.

"Kalau Abang tak sempat jawab panggilan Fazil tu pun, Abang boleh call dia semula, tak perlulah Reen nak berlari".  Bebel Taufiq.  Qaireena hanya tersengih mendengar bebelan Taufiq itu kerana sedar akan kesilapannya sendiri.

"Sakit tak? Abang tengok macam kuat je punggung Reen terhempas tadi tu". Wajah Qaireena dipandangnya.

"Sakit sikit je, kejap lagi hilanglah tu".  Jawab Qaireena dengan senyuman. 

"Kalau sakit sangat bagitahu Abang, kita pergi klinik, tak boleh biarkan macam tu je". Kata Taufiq lagi.

"Betul tak sakit sangat.  Abang jangan risaulah".  Tutur Qaireena untuk meyakinkan Taufiq.

••••••••••

Keesokan harinya, ketika Taufiq bangun untuk menunaikan solat subuh, dilihatnya Qaireena tidak ada di sebelahnya.  Dia kemudian duduk dibirai katil sambil memandang ke arah pintu bilik mandi. 

"Reen, kenapa ni?".  Soal Taufiq sambil bangun dari birai katil apabila dia ternampak Qaireena yang duduk bersandar di tepi pintu masuk ke bilik mandi.

"Perut Reen sakit sangat".  Jawab Qaireena dengan suara tersekat-sekat menahan sakit. 

Happy Reading korang:-) sorry lama tak update, sibuk plus idea tersekat di skala 4 hehehe... hujung minggu ni Jue nak rehat ya..kita jumpa hari isnin pula...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience