BAB 2

Romance Completed 245829

PINTU bilik air dikuak dari dalam. Muncul dari ruangan berkenaan tubuh mulus seorang gadis tinggi lampai berkaki jinjang melangkah keluar sambil mengeringkan rambut yang kebasahan dengan tuala. Juraian rambut panjang itu kemudian digulung ke dalam tuala sebelum dililit di atas kepala. Ikatan ‘bathrobe’ yang membaluti tubuh lansingnya pula dieratkan.

Seraya Tania menghampiri katil bersaiz Queen yang terletak di tengah ruang kamar utama unit pangsapuri berkenaan. Kelihatan tubuh sepupunya masih nyenyak berbaring di situ. Pantas dia mencapai kusyen sebelum dicampak ke muka gadis itu.

“Zara! Oii bangunlah. Dah pukul berapa ni?”

Serentak itu sepupunya mencelikkan kelopak mata. Wajah Tania dipandang sesaat sebelum dia kembali melelapkan mata. Rasa mengantuk masih menguasai. Masakan tidak. Hampir ke waktu Subuh pagi tadi baru mereka tiba di rumah selepas puas berliburan di kelab malam.

“Erm jap-jap. Lima minit lagi.” Zara membalas dalam tidur.

“Bangunlah. Kang aku terlewat pergi ‘rehearsal’ event tu. Kau janji semalam nak tolong hantar aku kan?” ujar Tania sambil menepuk-nepuk pipi sepupunya mahu mengejutkan gadis itu.

“Ermm… kau drive sendiri je boleh tak? Kunci kereta ada atas meja tu.” Zara masih memejam mata bersama air liur basi yang menceceh di tepi bibir. Hish.

“Beb, tak naklah aku drive kereta kau. Kang rosak sekali lagi macam hari tu.” Tania menutur alasan.

Buat sementara ini Tania memang terpaksa mengharapkan belas ihsan sepupunya, Zara untuk ke mana-mana. Kenderaan milik sendiri sudah ‘hilang’ dari genggaman. Atau dalam erti kata lain terpaksa dijual bagi melangsaikan hutang-piutangnya.

Sadis kan? Walaupun berkerjaya seorang model terkenal, ya boleh dikatakan agak terkenal walaupun tidaklah sepopular supermodel yang lain. Namun tiada sesiapa tahu bahawa kehidupan mewah yang sering dipamerkan kepada khalayak semua itu hanya sekadar pura-pura dan palsu.

Hutang kad kredit, hutang pinjaman pelajaran, hutang ansuran kereta, hutang ansuran rumah, hutang tunggakan bil-bil utiliti dan entah berapa banyak hutang lagi yang belum diselesaikan. Dia hampir diisytiharkan muflis oleh Bank Negara Malaysia beberapa bulan yang lalu. Mujurlah waktu itu muncul seseorang menyelamatkannya.

Kekasih hati bergelar Datuk Seri yang kaya-raya menyara kehidupan mewah yang didambakan. Seharusnya Tania bersyukur dengan kehadiran lelaki itu yang sudi mahu memperisterikan dirinya. Tapi, malang apabila Tania mengetahui bahawa dia bakal menjadi isteri keempat lelaki itu. Oh, tidak! Tak sanggup. Lantas ditamatkan hubungan yang berlansung itu dan dia kembali semula ke kehidupan lama.

“Alah, kalau rosak pun takpe. Nanti ada mamat ‘terlajak handsome’ datang bantu kau macam hari tu lagi,” ujar Zara sambil memisat kelopak mata.

Jawapan Zara melenyapkan lamunan pendek Tania. Kata-kata sepupunya mengembalikan semula ingatan Tania terhadap pertemuan bersama seorang lelaki tampan di ruang parkir sebuah bangunan tempoh hari. Spontan bibirnya mencebik.

“Huh. Handsome tapi tak kaya buat apa.”

“Mana kau tahu mamat tu tak kaya? Dia bagitahu kau ke yang dia tak kaya? Dia tunjuk ‘payslip’ dia kat kau?” Zara menyoal sambil memeluk bantal ‘busuknya’ sambil melayan si sepupu berbicara.

“Alah, aku tengok pakaian dia pun aku dah tahu dia tak kaya. Selekeh je. Pakai T-shirt kosong dengan jeans koyak dan ‘selipar jamban’. Urgh! Bukan ‘taste’ aku lelaki macam tu.” Tania menggelengkan kepala.

Spontan Zara berdesis ke arah Tania. Sepupunya ini masih tidak sedar diri. Mahukan lelaki yang kaya-raya sahaja. Matlamat hidup yang entah apa-apa pada pandangan Zara.

“Habis, taste kau macam si Datuk tua ex-boyfriend kau dulu tu ke? Yang bini berderet tu? Hish, tak selera aku tengok muka dia. Dahlah tua, tak handsome. Harapkan duit je berkepuk.”

“Beb, zaman sekarang orang dah tak pandang rupa tau. Zaman sekarang ni zaman duit. Semua benda perlukan duit. Kau tau tak? Muka tak handsome takpe, boleh pejam mata. Tapi, kalau takde duit kebulurlah jawabnya.” Tania tetap teguh mempertahankan prinsip hidup yang dipegang.

“Haish, suka hati kaulah. Jangan sampai parents kat kampung tahu perangai ‘gila’ kau di KL ni sudah.”

“Kalau kau tak bagitahu diorang takkan tahu. Lagipun, aku bukan buat apa-apa. Duit yang aku dapat tu aku bagi kat diorang juga,” ujar Tania dalam mimik muka bersahaja.

Zara menggelengkan kepala dengan telatah Tania. Gadis ini memang bersikap selamba. Tidak peduli sekeliling. Tidak kisah apa yang orang akan cakap tentangnya. Apa sahaja tindakan yang dirasakan betul akan dilakukan.

“Aku boleh je tutup mulut dari ummi dan abah kau. Tapi, kau tu jagalah diri sikit. KL ni bukan besar mana. Dibuatnya mama papa aku nampak kau berpeleseran dengan jantan-jantan ‘buaya’ tu tak pasal-pasal je diorang bocorkan rahsia kat parents kau nanti.” Zara menitip pesan.

Tania lantas menggarukan hujung jemari runcingnya ke kepala yang tidak gatal. Kata-kata Zara ada benarnya. Tapi, buat masa sekarang dia malas mahu mendengar bebelan sebegitu. Lantas dicari topik lain untuk dibualkan.

“Beb, aku baru tengok senarai jemputan yang manager aku hantar dalam mesej. Kau tahu tak event malam ni siapa yang akan datang?”

“Siapa?” Zara menyoal ingin tahu.

“TFE.”

Tania menjawab pendek sambil menjongketkan kening beberapa kali. Seakan memberi satu isyarat yang hanya difahami mereka berdua.

“TFE? Maksud kau TFE si kasanova yang tengah famous kat IG tu ke?” Zara mengaju soalan lagi.

Spontan Tania mengangguk sambil tersenyum lebar penuh maksud tersirat.

“Ha’ah, mana ada TFE lain. Aku dengar dia baru putus dengan girlfriend dia tau. So, inilah peluang aku nak ‘grab’ dia sebelum perempuan lain kebas. Haha.”

Serentak itu Zara menjulingkan mata hitamnya ke atas. Menyampah dengan tujuan ‘murni’ Tania. Tak ada kerja lain, niat gadis ini hanya ingin mengikis harta lelaki kaya sahaja.

“Kau ingat si TFE tu nak pandang kau ke? Lagi satu, dah sah-sah mamat tu ‘kasanova’ yang kau masih juga nak pergi jeratkan diri dah kenapa? Tak ada lelaki lain ke yang lebih bagus dalam dunia ni?”

“Zara, kau dengar sini ye. Matlamat aku sekarang ni adalah nak dapatkan lelaki kaya supaya boleh ‘sponsor’ hidup aku. Dalam masa yang sama boleh tolong bayarkan semua hutang-hutang aku yang bertimbun. Si TFE tu bukan setakat kaya dan berharta, tapi masih bujang. Dan bonusnya dia handsome! Mana nak cari lelaki macam tu zaman sekarang? Kalau tak cepat bertindak memang meloponglah aku nanti.”

“Kau tu yang pemboros sangat siapa suruh? Lepas tu sanggup menempel kat lelaki kaya yang tak ‘semenggah’ semata-mata nak minta langsaikan hutang-hutang kau. Bila kau nak berubah ni? Haish, penatlah aku nak membebel dekat kau. Aku doakan suatu hari nanti kau kahwin dengan si mamat ‘selipar jamban’ yang kau jumpa hari tu. Ha, padan muka kau!”

Riak wajah Tania terus berubah. Bibir mungilnya dimuncungkan sedepa. “Weh, Zara. Kau ni agak-agaklah sikit nak doakan untuk aku. Tak inginlah aku kahwin dengan lelaki macam tu. Selekeh je. Hish. Tak nak, tak nak!”

“Yang kau tak ingin sangat tulah yang kau akan dapat nanti. Mana tahu entah-entah mamat ‘selipar jamban’ tu jodoh sebenar kau. Hahaha!” Zara tertawa menyeringai seronok mengusik sepupunya.

Serentak itu Tania mencapai kusyen kecil yang berada di atas katil lalu dihenyak ke muka si Zara. Geram!

“Dahlah. Bangun pergi mandi cepat. Kejap lagi tolong hantar aku ke hotel. Rehearsal aku lagi setengah jam.” Tania memberi arahan mahu menamatkan topik yang sedang dibicarakan.

Malas-malas Zara bangun meninggalkan katil lalu mencapai tuala yang tersidai di ampaian. Namun, ketika kaki melangkah menuju ke kamar mandi sempat dia berpaling ke arah Tania semula.

“Beb, aku dapat rasa mamat ‘selipar jamban’ yang kau jumpa hari tu bakal jadi suami kau. Haha!” ujar Zara masih mahu menyakat lalu cepat-cepat berlari ke dalam bilik air sebelum ditutup pintu.

“Zara!!!” Suara lantang Tania kedengaran bergema di ruang kamar. “Kau tunggu. Jap lagi kau keluar aku picit-picit kau!”

“Tak takut!” Dari dalam kamar mandi si Zara melaung kembali.

Tania lantas merebahkan tubuh ke katil. Usikan Zara menyakitkan hatinya. Ada ke patut Zara cakap jodohnya dengan si mamat ‘selekeh’ yang ditemui tempoh hari? Memanglah wajah lelaki itu tampan. Tapi, lansung tiada gaya. No, no. Tak mungkin dia akan berjodohan dengan lelaki sebegitu. Kerana saat ini ada wajah dan figura lain yang sedang berlayar di ruang matanya.

*****

ACARA Gala Dinner anjuran sebuah syarikat gergasi ternama yang berlansung di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur bermula seawal jam lapan malam. Para tetamu jemputan serta dif-dif kehormat sudah memenuhi tempat duduk yang disediakan. Selain jamuan makan malam yang bertemakan ala Oscar, acara turut diserikan dengan pelbagai persembahan hiburan serta pertunjukan fesyen koleksi seorang pereka terkenal tanah air.

Zafril yang sedang berdiri di satu sudut dewan ballroom membetulkan jaket semi formal di tubuhnya. Pandangan dihala memerhati sekeliling. Keluhan terhembus perlahan. Kalau bukan kerana menemani teman baiknya ke sini, dia tidak akan membuang masa berada di dalam sebuah majlis keramaian yang tidak digemari. Namun, demi satu tujuan maka Zafril sanggup menghadirkan diri ke lokasi ini.

Wajah seseorang yang memenuhi ruang fikirannya dicari. Berharap insan itu akan ditemui dalam majlis pada malam ini. Mungkinkah raut wajah gadis itu akan muncul sekali lagi di depannya?

“Bro, kau apahal berdiri ‘tercongok’ kat sini? Kau tolong jaga pintu ke apa?”

Teman baiknya yang datang entah dari mana tiba-tiba menegur. Mereka hadir ke majlis ini bersama-sama. Namun, disebabkan lelaki itu merupakan salah seorang individu penting pada malam ini, maka ramailah jemputan yang datang bertegur-sapa dan berbual dengannya. Kebanyakan topik berkisar tentang urusan perniagaan semata-mata. Sesekali Zafril akan menyampuk apabila perlu. Selebihnya dia hanya buat hal sendiri kerana tujuan kedatangannya ke sini adalah mahu mencari raut wajah seseorang yang berada dalam ingatan.

“Tak. Aku tengah cari someone…” Tanpa berselindung Zafril menyatakan tujuan sebenarnya.

“Someone? Siapa? Girlfriend kau?” Si teman baik bertanya.

Zafril lantas tersengih sambil menjongket kening. “Bakal girlfriend.”

“Pergh! Mana dia? Aku nak tengok.” Terjenguk-jenguk kepala teman baiknya mencari-cari individu yang dimaksudkan oleh Zafril.

“Actually, aku tak sure dia datang ke majlis ni juga atau tak. Aku agak ajelah. Mana tahu kot-kot boleh terjumpa dia di sini,” ujar Zafril sambil menggaru kepala yang tidak gatal.

Malu pula Zafril nak mengaku bahawa dia sudah terjatuh cinta pada model terkenal itu. Bimbang akan ditertawakan oleh teman baiknya nanti.

“Dia dari company mana? Aku kenal dia ke?”

“Erm tak. Kau tak kenal dia.” Dengan yakin Zafril membalas. Kalau dia beritahu nama model terkenal itu sudah pasti teman baiknya terkejut. Belum apa-apa dia dah mengaku si model jelita itu adalah bakal kekasihnya. Ah, memang bakal pun kan?

Baru sahaja mereka ingin sambung berborak berkaitan topik yang sedang dibicarakan, kelihatan pembantu majlis datang menghampiri lalu menegur teman baiknya dan memaklumkan ada seseorang ingin bertemu.

“Zaf, aku pergi sana jap. Datuk tu nak jumpa aku. Mana tahu aku dapat ‘deal’ projek besar dengan dia malam ni.” Si teman baik meminta diri dan berlalu pergi.

Zafril sekadar menjungkit bahu tanda tidak kisah lalu membuang pandangan ke majlis yang sedang berlansung semula. Persembahan hiburan oleh seorang artis terkenal masih menghiasi ruang pentas.

Tanpa sengaja dalam celahan para jemputan yang memenuhi dewan ‘ballroom’ itu, pandangan Zafril tertancap pada susuk tubuh seorang gadis. Raut wajah jelita itu menyapa ke ruang mata. Serta-merta riak mukanya bertukar seakan ‘bercahaya’. Lengkungan di hujung bibir terus naik ke atas.

Tidak menanti lagi, Zafril mengatur langkah penuh gaya berjalan menghampiri si gadis jelita. Mahu menegur. Harap-harap gadis itu masih mengenali dirinya.

Kebetulan mungkin, si gadis yang sedang berjalan di arah bertentangan secara tiba-tiba terpelecok. Hampir sahaja dia jatuh tersembam ke lantai dek kerana terpijak hujung gaun labuh yang tersarung di tubuh lansingnya. Mujurlah ada sepasang tangan tegap yang siap siaga memaut ke pinggang dan menyambut tubuhnya daripada jatuh menyembah lantai.

Selama beberapa saat pandangan mereka saling bertautan. Wajah keduanya hanya berjarak beberapa inci sahaja. Malah, hembusan nafas sang pemuda yang menerpa ke kulit muka si gadis dapat dirasai.

“Err encik, terima kasih.”

Cepat-cepat Tania memberikan ucapan itu sambil berdiri tegak semula. Malu sebenarnya. Tapi, dia amat bersyukur. Kalau tak ada lelaki ini pasti tubuhnya sudah jatuh tergolek seperti nangka busuk di tengah dewan tersebut tadi. Aduh, macam manalah boleh tersadung? Padahal dah selalu ‘catwalk’ tak pernah pula terjadi sebegini.

“You okey?”

Zafril menyoal mahu memastikan gadis di hadapannya tidak apa-apa. Di ruang matanya saat ini bagai terlukis bentuk ‘hati’ yang berbunga-bunga. Wajah yang dicari benar-benar muncul di depan mata. Adakah mereka memang berjodoh?

“I okey. Terima kasih sekali lagi ye encik sebab tolong I.” Tania menjawab sambil membetulkan dress labuh di tubuhnya. Haish, baju ini memang menyusahkan. Sempat dia merungut di dalam hati.

“Tak payahlah berencik-encik. Kita kan dah kenal,” ujar Zafril dalam senyuman.

Seraya Tania mengerutkan hujung keningnya tanda kehairanan. Wajah lelaki di hadapannya diamati agak lama. Dah kenal? Siapa ni? Dia rasa seperti baru pertama kali mereka bertemu.

“Err I’m sorry. I can’t recall your name. Kita pernah jumpa di mana ye?” Tanpa segan Tania menyoal.

Zafril tersenyum sambil menggelengkan kepala. Haish, baru sahaja mereka bertemu beberapa minggu yang lalu gadis ini sudah pun melupakan dia. Sebaliknya dia pula lansung tidak dapat melenyapkan wajah si gadis jelita ini dari fikiran.

“I Zafril. Kita bertemu di tempat parking Bangunan Boulevard dua minggu lepas. You tolong bayarkan tiket parking untuk I. Then, kereta you rosak. Enjin tak boleh ‘start’. Dan I tolong…”

Serentak itu mimik muka Tania bertukar warna. Kejadian yang berlaku hampir dua minggu yang lalu terimbas semula di ingatan. Tapak tangannya terus menekup ke mulut.

“Wait. You lelaki yang tolong I dekat parking kereta hari tu? Oh my God! Tak sangka boleh jumpa you semula. But, you look so different. I’m sorry. I tak ‘cam’ muka you,” ujar Tania dalam nada penuh teruja.

Manakan tidak. Lelaki yang berdiri di hadapan Tania saat ini benar-benar berbeza berbanding mamat ‘selekeh’ yang ditemui tempoh hari. Segak, tampan, bergaya dan punya aura tersendiri. Tiada lagi jeans lusuh bersama ‘selipar jamban’. Seriuslah? Tania hampir tidak percaya mereka adalah orang yang sama!

Zafril tertawa dengan gelagat Tania yang tampak ‘comel’ pada pandangan matanya. Dia tidak dapat membaca apa yang sedang berada di fikiran gadis ini. Namun, dia yakin dan pasti bahawa Tania juga turut gembira bertemu dengannya.

“It’s okay. Kita baru berjumpa sekali hari tu. Memang you tak ‘cam’ muka I. Tapi, I kenal you. Sangat kenal.” Tutur Zafril dalam senyuman.

“Sangat kenal? Maksud you?”

“You kan model ‘ubat ketiak’ yang selalu keluar iklan kat TV tu. Famous.” Zafril memuji dalam seloroh.

Mendengar kata-kata Zafril, bebola mata Tania terus membesar. Rasa nak marah dan tertawa dalam satu masa. Terasa lucu pula. Pertama kali dia bertemu dengan lelaki yang selamba dan kelakar seperti ini.

“You. Itu bukan ‘ubat ketiak’ lah. It’s deodorant! Haha.”

“Betullah tu. Ubat untuk wangikan ketiak. Haha.” Zafril ikut sama tertawa.

Entah mengapa walau baru sahaja berkenalan mereka berdua seakan serasi pula. Dapat berbual dan bergelak santai bersama. Bagi Tania lelaki di hadapannya ini mempunyai ‘sense of humor’ tersendiri.

“So, you buat apa di majlis ni? You model juga? You dari agensi mana?”

Tania terus-menerus menyoal. Pada anggapannya susuk tubuh Zafril memang layak bergelar seorang model. Tapi, tak pernah nampak pula lelaki ini di mana-mana sesi peragaan sebelum ini. Mungkin model yang kurang popular kot.

Spontan tawa Zafril terhambur lagi dengan soalan yang diajukan Tania. Ini perli ke apa sebenarnya? ‘Selekeh’ macam dia disangkakan seorang model? Atau model memang ‘selekeh’ macam dia?

Dengan pantas Zafril menggeleng menafikan anggapan salah gadis itu. “Nope. I bukan model. Actually I teman kawan baik I ke sini.”

“Oh, so kawan you model ke?” Tania menyoal lagi.

“No, no. Dia bukan model. Kitorang tak layak pun jadi model. Haha. Dia salah seorang jemputan VIP. So, I datang sebab dia minta I join event ni.”

“VIP? Siapa kawan you tu?” Tiba-tiba sahaja Tania teruja ingin tahu. Sementelah bekas kekasihnya dahulu juga seorang VIP.

Zafril kemudian mengalih pandangan memerhati segenap sudut dewan sebelum jari telunjuknya menunding ke satu arah.

“Ermm… itu. That guy yang pakai kemeja putih dan sut hitam. Chairman of…”

Belum sempat Zafril menghabiskan ayatnya, Tania terlebih dahulu memintas. “Maksud you TFE? TFE tu kawan baik you?!”

“TFE?” Zafril bertanya semula dalam keliru. Tidak memahami.

“Urm I mean Tengku Faliq Ezekiel. We call him TFE. Wow. I tak sangka you kawan baik dia.” Tania mempamerkan reaksi kagum.

“Oh, you memang kenal dengan kawan baik I tu? Kami dah lama berkawan. Almost ten years.” Zafril memaklumkan.

“I kenal dia sejak keluar berita tentang perlantikan dia sebagai Chairman baru Falco Holdings. Tapi, dia tak kenal I pun. Haha.”

“Yup dia baru dilantik sebagai Chairman a few months ago.” Dalam nada bersahaja Zafril bercerita perihal berkaitan teman baiknya sebelum dia mengubah topik. “Urm by the way Tania, boleh I tanya you sesuatu?”

“Yes, tanya apa?”

Zafril menggaru kening seketika. Serba salah ingin bertanya tentang perkara yang sedang bermain di benak fikiran. Dia ingin tahu sama ada gadis di hadapannya ini sudah berpunya atau belum. Kalau masih bujang sama sepertinya tentu sahaja dia berpeluang untuk memiliki gadis ini sebagai kekasih. Mungkin.

“Err I nak tanya kalau you…”

Bagaimana pun, kata-kata Zafril terhenti seketika saat terdengar bunyi panggilan masuk dari telefon pintar yang berada di tangannya. Spontan pandangan dihala ke skrin untuk melihat gerangan pemanggil. Aduh, panggilan penting pula. Kenapa harus sekarang? Haish. Mahu tak mahu dia harus menjawab panggilan yang diterima.

“Er Tania, I minta diri kejap ye.”

“Oh, it’s okay. I pun nak kena pergi ke belakang dewan dulu. See you later,” ujar Tania dalam senyuman mesra.

Zafril mempamerkan reaksi dipenuhi rasa bersalah sambil memerhati kelibat gadis jelita tadi melangkah pergi meninggalkan dirinya dalam celahan para manusia lain. Dan dia kembali memberi fokus untuk menjawab panggilan telefon. Tak mengapalah. Sebentar lagi mereka masih boleh bertemu sekali lagi.

SEUSAI tamat panggilan telefon berkaitan satu perkara penting yang melibatkan urusan kerja, Zafril kembali semula ke dalam dewan ‘ballroom’. Sempat dia meraup tapak tangan ke muka. Stres memikirkan permintaan klien yang bermacam ragam. Nak ‘enjoy’ sekejap pun tak boleh. Haish.

Zafril kemudian berjalan melalui kelompok para tetamu yang sedang berdiri sambil berborak di sudut dewan. Sempat dia menyapa beberapa orang kenalan yang ditemui dalam majlis tersebut.

Bagaimana pun, langkah Zafril yang dihayun laju terhenti beberapa saat kemudian. Mata membutang bersama mulut yang melopong. Dia benar-benar tergamam dengan apa yang sedang disaksikan. Terlihat di depan mata dua individu yang amat dikenali sedang mempamerkan aksi penuh kemesraan. Serentak itu riak muka Zafril berubah tona.

“Zaf!”

Kedengaran suara teman baiknya melaung dari kejauhan sambil melambaikan tangan ke arahnya. Dan di sisi lelaki itu kelihatan seorang gadis jelita yang berada di dalam pelukan erat si teman baik. Mereka berdua kemudian berjalan menghampiri dirinya.

“Bro, kau pergi mana? Well, aku nak kenalkan kau dengan girlfriend baru aku ni, Tania Imelda,” ujar si teman baik dengan reaksi muka penuh bangga sambil tertawa ceria.

What? Zafril terkedu. Adakah dia tersalah dengar? Duh!

“Hey, bila masa pula I setuju jadi girlfriend you, Tengku?” Tania tertawa manja sambil menepuk perlahan lengan lelaki di sisinya. Berpura-pura konon ‘jual mahal’. Padahal di dalam hati sedang melonjak keriangan. Tidak sangka umpannya pada malam ini mengena.

“Girlfriend?”

Zafril menyoal dalam nada yang sedikit bergetar. Sungguh dia tidak menyangka kalau gadis idamannya sudah di’sailang’ kawan baik sendiri hanya dalam tempoh beberapa detik. Adakah dia yang terlewat? Atau nasib seringkali tidak menyebelahi dirinya?

Tanpa menjawab soalan Zafril, si teman baik dengan selamba mengeratkan pautan tangan di pinggang Tania menarik tubuh gadis itu rapat ke dalam pelukannya. Bibirnya didekatkan ke pipi mulus si gadis sebelum sebuah kucupan dihadiahkan tanpa lansung memperduli sekeliling.

“I tak perlukan persetujuan you, beautiful. Nak atau tak you tetap dah jadi girlfriend I malam ni, Tania Imelda. Officially.”

Tania masih terus tertawa manja. Gembira bercampur teruja kerana impiannya telah tercapai. Bagaimana pun, dia menyedari perubahan pada reaksi wajah lelaki di hadapan mereka. Entah mengapa Tania dapat melihat raut Zafril yang berlainan dipamerkan seakan tidak berpuas hati. Mamat ni kenapa?

“By the way, Tengku. I dan kawan baik you ni dah berkenalan. Dia banyak kali bantu I tau. Last time masa kereta I rosak pun dia yang datang tolong,” ujar Tania sambil tersenyum.

“Oh, really? Thanks, Zaf. Sebab tolong girlfriend aku,” ucap lelaki itu kepada Zafril dalam senyuman senang.

Zafril meraup tangan ke kepala cuba melindungi perasaan sebenar dari terpamer di raut wajah. Tidak pasti reaksi bagaimana harus diperlihatkan. Hakikatnya saat ini hatinya benar-benar pedih. Melihat gadis idaman sudah pun berada di dalam pelukan mesra sahabat baik memberi sejuta kelukaan. Belum pun sempat dia meluahkan perasaan, gadis yang dipuja sudah menjadi milik lelaki lain.

“Urm well, congratulations to both of you…” Hanya itu yang terkeluar dari bibir Zafril.

“Thanks, bro.” Teman baiknya lantas menepuk-nepuk ke bahu Zafril. “So, mana ‘bakal’ girlfriend yang kau cakap tadi? Dia dah sampai ke?”

Soalan daripada si teman baik membuatkan perasaan Zafril bertambah koyak. Raut jelita Tania yang sedang tersenyum manja di sisi teman baiknya dipandang sayu. Andai sahaja dia dapat mengakui tentang perasaannya yang sebenar terhadap Tania waktu ini. Namun, melihat kegembiraan yang terpamer di wajah keduanya, Zafril tidak sampai hati mahu merosakkan suasana itu. Biarlah dia menanggung duka ini sendirian.

“Erm dia tak jadi datang. Bro, aku minta diri dulu. Ada hal ‘urgent’. Nak kena balik sekarang.” Zafril menutur alasan untuk menamatkan dengan segera sesi pertemuan yang tidak diharapkan itu.

“Oh, okay bro. See you again.” Teman baiknya sekadar mengangkat tangan sambil mengangguk memahami. Tanpa sedikit pun menyedari pada raut penuh ‘luka’ yang terlukis di wajah Zafril.

“Bye, Zafril.” Ucapan yang hampir sama kedengaran dari bibir mungil Tania sambil melambaikan tangan ke arahnya. Gadis itu lebih memberi fokus terhadap lelaki ‘berpoket tebal’ yang sedang memaut erat pinggangnya saat ini.

Bersama keluhan Zafril mengalihkan tubuh dan berlalu meninggalkan majlis tersebut. Membawa bersama hati yang penuh lara. Tak mengapalah. Mungkin gadis yang dipuja bukan jodohnya. Mungkin ada seseorang yang lebih baik sedang menanti dirinya di luar sana. Mungkin Tania Imelda tidak tercipta untuknya. Mungkin. Zafril pasrah dan redha.

Share this novel

DHIA AMIRA
2022-08-18 15:58:18 

tak ykin tfe tu ok huhuhu much more better zaf

DHIA AMIRA
2022-08-18 15:57:46 

laaa

Noor Hayati
2022-08-18 15:31:43 

best...harap zafril bkn utk Tania


NovelPlus Premium

The best ads free experience