ZAILANI melangkah lemah. Penat sungguh dia hari ni. Penat hati, jiwa dan fikiran. Dia mengeluh lembut. Melihat keadaan Zailani yang terduduk lesu di sofa, Salmiah segera menghampiri Zailani. Jarang sekali Zailani pulang dalam keadaan lesu begitu melainkan dia punya masalah.
"Hai, mengeluh apa tu? Sampai masuk rumah pun dah serupa firaun. Tak reti bagi salah ke macam mana?" Dalam bertanya, sempat lagi Salmiah menyindir.
"Mak, teruk sangat ke Zai ni?" Ada nada sedih disebalik pertanyaan itu. Salmiah kerut kening seribu. Dah kenapa pula anak aku ni? Tak pernah-pernah tanya soalan macam ni. Buang tabiat ke apa?
"Kamu ni kenapa? Macam berat sangat masalah tu?" Soalan Zailani dibiarkan tergantung sebaliknya dia yang menanyakan soalan.
"Mak tahu tak, hari ni Juju mengamuk sebab ada orang buat Zai macam ni." Tangannya menarik baju kemejanya ke depan. Buntang mata Salmiah melihatnya.
"Alahai Zai. Jenuhlah mak nak cuci nanti. Kau cucilah sendiri baju kerja kau ni." Bebel Salmiah membuatkan wajah Zailani berubah seperti kerang busuk.
"Mak ni kan... selama ni memang Zai basuh baju Zai sendirilah. Bila masa pula Zai bagi mak cuci baju Zai ni?" Bahu Salmiah ditepuk lembut. Wajah Salmiah berubah.
"Tak ada eh? Kau jangan mengarut eh. Selama kau tak reti nak cuci seluar baju sendiri, mak yang cuci tau. Pandai cakap cuci sendiri selama ni. Macamlah baru-baru lahir dah boleh buat semua sendiri." Melopong Zailani mendengar jawapan Salmiah.
"Tutuplah mulut tu. Kang masuk lalat, lain pula jadinya." Zailani tarik nafas dalam. Ada saja modal untuk mengenakan dirinya.
"Dahlah mak ni. Zai nak masuk mandi. Zai nak solat. Zai belum solat lagi ni." Buntang mata Salmiah. Diambilnya bantal kecil di sebelah lalu dicampak ke muka Zailani.
"Kau pergi solat sekarang. Kan dah cakap jangan lengahkan waktu. Kau memang nak kena perhambat dengan mak, kan?" Salmiah dah bercekak pinggang. Zailani ketawa melihat reaksi Salmiah.
"Zai atas jalan tadi mak. Jalan jammed. Macam mana nak solat?" Makin Salmiah geram mendengar alasan Zailani.
"Oh.. banyak kau punya jammed. Kau boleh bantai mengeluh kat sini. Dalam rumah ni pun ada traffic light?" Salmiah tak puas hati. Pantas tangannya memulas telinga kanan Zailani. Terteleng kepalanya.
"Aduh... sakitlah mak. Lepaskanlah. Zai nak solat." Zailani cuba meleraikan pulasan tangan Salmiah namun gagal. Salmiah terus menariknya menuju ke bilik. Sampai ke pintu bilik, baru dilepaskan.
"Mak ni... buat Zai macam budak-budak je." Rajuk Zailani. Salmiah buat keras hati.
"Selagi mana kau tak jaga solat kau, selagi itulah kau masih anak kecil mak." Terus Salmiah berlalu meninggalkan Zailani yang terpinga-pinga. Pedih terasa telinganya dipulas dan ditarik sehingga ke dalam bilik.
Zailani tertunduk sayu. Begitu kasihnya seorang ibu sehingga dia yang dah besar gajah ni pun masih dianggap seperti anak kecil. Saban waktu tidak pernah lelah menegur, tidak pernah lelah mengingatkan akan tanggungjawabnya sebagai hamba dimuka bumi ini.
Zailani tersedar. Segera dia melangkah masuk ke dalam bilik lalu mencapai tuala untuk membersihkan dirinya.
Usai menunaikan solat, Zailani melangkah menuju ke ruang tamu. Sunyi sepi. Entah mana perginya penghuni rumahnya. Ghaib bagai ditelan bumi. Puas dia meninjau ke dapur, tidak jua kelihatan.
Akhirnya dia menangkap bunyi gelak ketawa maknya di tepi rumah. Segera dia melangkah keluar mendapatkan maknya yang sedang rancak berbual dengan Zaitun. Tersengih dia melihat mereka berbual mesra.
"Haa... sengih-sengih macam orang tak betul. Kau pun nak jadi mak cik bawang jugak ke?' Soalan dari Salmiah membuatkan Zailani terkulat-kulat.
Itulah Salmiah. Cakapnya selalu main lepas. Namun hatinya cukup lembut. Selayaknya seorang ibu. Lengan Salmiah dipeluk erat. Sehingga kini dia masih belum mampu membuat tabiatnya itu. Tangan dicapai lalu dikucup lembut tangan ini. Begitulah dia jika rasa bersalah apabila Salmiah menegurnya supaya solat awal waktu.
Tersenyum Salmiah. Rambut anaknya diusap lembut. Diurut belakang Zailani seketika. Zaitun hanya memerhatikan gelagat dua beranak itu tanpa berkelip mata.
"Mak ada buat cekodok tadi masa minum petang dengan ayah. Pergilah makan sana. Jangan kacau mak." Salmiah menghalau Zailani menggunakan cara halus.
Tanpa mereka sedari, Juwita memerhati dari jauh. Niat hati nak mengajak Zaitun ke kedai. Namun apabila matanya dihidangkan dengan drama yang terasa menyentuh hati, dia membatalkan niatnya.
Terus saja dia memanggil Junaida untuk menemaninya. Junaidi yang tidak mahu ditinggalkan sendirian, segera berlari mendapatkan mereka sebaik saja mengunci pintu rumah.
"Sampai hati akak nak tinggalkan Idi." Junaidi pura-pura merajuk. Namun apalah sangat rajuknya pada Juwita. Hati Juwita seakan batu konkrik. payah benar ingin melihat dia bergurau senda. Muka masam mencuka je.
"Cuba akak senyum sikit. Masam je. Nanti lekas tua." Junaidi sengaja mengusik. Tak tenang hidupnya selagi tak nampak segaris senyuman di bibir Juwita. Entah apa yang susah sangat nak senyum pun Junaidi tak tahu.
Padahal dulu Juwitalah yang paling murah dengan senyuman. Dengan orang yang tak kenal pun dihulurkan senyuman. Katanya senyuman itu sedekah. Namun semenjak kematian baba, senyuman Juwita turut mati. Terkubur bersama arwah baba mereka.
Juwita tersenyum nipis. Sekadar memenuhi kemahuan adiknya. Selagi dia tak senyum, selagi itulah Junaidi akan mencari jalan untuk mengenakannya. Memandangkan petang itu dia tidak punya mood untuk bergaduh, diturutkan saja kehendak adiknya.
Saat matanya memandang Junaidi yang tersengih kemenangan apabila dia tidak melawan, bahunya dirempuh kuat.
"Aduh..." bahunya dipegang seketika. Melihat gerangan yang melanggarnya, Juwita tergamam.
"Hai sweetheart... nak pergi mana?" Terasa kering darah Juwita mendengar panggilan itu. Juwita laju melangkah ke depan meninggalkan Junaidi dan Junaida.Â
Junaidi memandang figura itu dengan rasa yang terbuku. Sangat jelas Juwita tidak selesa. Ada kemarahan diraut wajah Juwita.
Junaidi dan Junaida saling berpandangan apabila figura itu mengejar Juwita. Tangan Juwita dipegang tanpa rasa bersalah. Makin tercengang Junaidi apabila melihat Juwita meronta minta dilepaskan.
"Idi..." kata Junaida seakan mati apabila melihat Juwita melempang figura itu. Mereka saling berpandangan. Segera mereka mendapatkan Juwita.
"Lagi you marah, lagi I suka. Jangan marah lama sangat ye. Nanti I rindu. Dah lama I tak merasa." Sempat dia mengelus pipi Juwita namun, Juwita menepis kasar.
Berang apabila maruahnya sekali lagi dipermainkan, Juwita menyepak celah kangkang lelaki itu.
"Ini untuk kau yang sesuka hati pegang aku. Dan ini untuk kau yang tak sudah-sudah ikut aku." Satu tumbukan dilepaskan ke muka lelaki itu.
"Cukup Adrian. Aku tak nak kau ganggu hidup aku lagi. Bagi aku, kau tak pernah wujud dalam hidup aku. Aku menyesal kenal dengan kau." Juwita melangkah laju meninggalkan mereka di belakang. Sebal hatinya ketika itu.
Dadanya terasa sesak. Bagai lava gunung berapi yang menanti masa untuk meletus. Dia tak betah lagi untuk terus di situ.
Junaidi menjeling Adrian.
"Sekali lagi aku nampak kau kacau kakak aku, pecah muka kau." Tangan Junaida diraih. Bimbangkan emosi Juwita yang bagaikan puting beliung.
Share this novel