BAB 2

Drama Series 55452

Hembusan kasar dilepaskan sebaik saja dia menghempaskan tubuhnya di atas katil. Perjalanan yang memakan masa lebih kurang 3-4 jam itu membuatkan dirinya berasa letih yang teramat meskipun bukan dia yang memandu. Mungkin kerana mereka singgah di kedai cenderamata dan mencari ole-ole untuk di bawa pulang. Ole-ole yang dibeli bukannya banyak mana, lebih kepada dia menunggu Nana dan Kak Azi yang leka membelek itu ini sebelum pergi membayar.

"Angah! Ada ole-ole untuk aku tak?" Wajah Dina, adik bongsunya yang kelihatan teruja terpacul di muka pintu. Dian yang masih baring secara meneletang, merenung siling biliknya sedikit pun tidak mempedulikan adiknya. Malah, dia mengangkat lengan kanannya dan menutup kedua matanya. Makin berat rasa mengantuknya sebaik saja dia rebah ke katil tadi. Dina yang masih berdiri tegak di depan pintu berdecit geram dan memuncung. Dengan selambanya dia melangkah masuk ke dalam dan mendekati katil kakaknya itu. Punggung dihenyak lembut di katil. Lengan Dian yang sedang menutupi mata itu dicuit.

"Angah."

"Hmm."

"Angah...," panggilnya lagi dengan nada meleret. Siap pakej menggoncang lembut badan Dian lagi. Dian berdecit perlahan dan mengeluh kasar. Rimas dengan rengekan Dina yang menjadi-jadi itu. Dia mengalihkan tangannya dan menatap tajam ke arah Dina.

"Kau nak apa, dik? Ole-ole kau kat dalam beg ikea tulah. Carilah sendiri," beritahunya sedikit kasar dan kembali memalingkan badannya. Dia mencapai bantal yang dekat dengannya lalu dipeluk erat. Dina tersengih.

"Hah kan senang bagitahu siap-siap macam tu," katanya lalu bangun dari duduknya dan menghampiri ke arah beg Ikea yang bersaiz sederhana besar. Simpulan tali itu dibuka. Bulat biji matanya melihat pelbagai cenderamata yang dibeli oleh Dian. Walaupun tidak banyak tapi dia tetap terpegun. Dia menoleh semula ke arah Dian yang sedang berguling-guling, menyelesakan dirinya di atas katil. Melihat penampilan kakaknya masih sama dan tidak menukar pakaian kepada pakaian yang lebih santai, membuatkan dia berasa rimas secara tiba-tiba.

"Nak tidur pun bukalah tudung tu dulu ngok kalau tak nak tukar baju pun. Halah... halah... kakak siapalah ni?" tegurnya tanpa bersimpang kiri kanan. Dia menyelongkar lagi beg kakaknya. Dian yang masih belum dapat melelapkan matanya terus mencelikkan mata dan mengangkat sedikit kepalanya. Dia bangun dan menongkat kedua lengannya sambil menatap tajam ke arah Dina.

"Dina, cuba kau tutup kejap mulut kau tu dalam 5 minit? Bising jelah kau ni."

"Hello, okay lagi tau aku yang bising dengan kau. Bukan ibu. Nampak kat ibu, lagilah bernanah telinga kau. Langsung tak dapat tidur. Hah padan muka," balas Dina tanpa memandang wajah Dian. Tercari-cari dia akan cenderamatanya.

"Weyh, mana satu aku punya?" soalnya dan kali ini membuatkan Dian yang baru ingin rebah semula, terbantut serta merta. Dia mengeluh kasar dan terus turun daripada katil. Dia mendekati Dina lalu bertinggung di sebelah adiknya sambil mengeluh berat.

"Apasallah kau berenang laju sangat eh? Kalau tidak aku yang jadi adik bongsu tau?" bebel Dian sambil memunggahkan barang-barangnya. Dina terkedu sebentar sebelum dia membalas semula apabila faham dengan 'double meaning' yang disampaikan oleh kakaknya itu.

"Hoi, kau ingat aku tak ambil biologi ke?" marahnya menyambut tawa kecil daripada Dian. Dina menjeling dan mencebikkan bibirnya. Kakak-kakak memang macam ni ke? Dengki sangat sampai nak claim dia orang tulah anak bongsu dan sebagainya. Rajuknya serta merta terhenti tatkala sebuah kotak keychain dan juga sehelai baju dihulur di hadapannya. Dia menoleh ke arah Dian. Perlahan-lahan dia menyambut huluran itu.

"Tu kau punya. Aku tak tahu sangat nak beli apa untuk kau sebab kau pun tak bagitahu nak apa. Sibuk nak ole-ole, nak ole-ole, tapi tak bagitahu nak apa benda," bebel Dian dan kembali mengikut semula simpulan tali beg ikea yang panjang itu. Kening Dina berkerut saat melihat masih lagi ada barang di dalam beg itu.

"Tu siapa punya pulak?"

Dian diam sebentar. Matanya tertala pada beg tersebut. Bawah bibirnya yang sedikit kering dibasahkan sekilas.

"Mummy dengan daddy," jawabnya perlahan dan mendapat anggukan faham daripada Dina. Tiba-tiba saja, suasana di dalam bilik itu berubah menjadi sepi. Dina meletakkan barangnya dan mengesot mendekati Dian. Belakang tubuh kakaknya digosok perlahan. Dian menoleh sekilas dan mengemam bibirnya.

"Sabarlah, ngah. Kita tak pernah minta pun tapi nak buat macam mana? Masa arwah abang Syah dah tiba. Lambat laun esok kita pula. Manalah tahu, kan?" pujuknya lembut dengan tangan masih mengusap belakang tubuh kakaknya. Senyuman hambar ditarik oleh Dian. Dia mengangguk dan menghela nafas perlahan.

"Aku okay je, Dina. Kalau tak okay sekali pun kena buat-buat okay. Cuma aku rasa kasihanlah dengan mummy. Arwah abang Syahir jelah satu-satunya cahaya mata yang dia ada. Kalau nak bandingkan aku dengan mummy, mummy lebih layak rasa sedih yang teramat dari aku. Aku dengan arwah masa tu dah tak ada apa-apa dah," ujar Dian dengan nada suara yang semakin perlahan dan bergetar di hujungnya.

Daripada menggosok di belakang, kini tubuh kakaknya dipeluk kemas dari tepi. Kepalanya direhatkan di bahu Dian. "Tapi dulu kau pernah jadi isteri dia, kan? Dan walaupun masa tu kau dengan arwah abang Syah dah tak ada apa-apa, kau masih sayangkan dia, kan?" tutur Dina mendapat anggukan perlahan dari Dian. Dina mengangkat kepalanya semula dan menatap lembut pada wajah yang sugul itu.

"Jadi tak salah pun kalau kau ada rasa yang sama macam mummy rasa. Cuma jangan terlalu melarat sampai kau terlepas pandang yang ada lagi kebahagiaan yang sedang menanti untuk kau, ngah. Terlepas pandang, habislah," ujarnya membuatkan Dian mengangkat wajah dan membalas tatapannya. Wanita itu menghela nafas perlahan dan mengangguk. Dina tersenyum. Kotak keychain dan baju tadi dicapai lantas dia berdiri. Berura-ura mahu keluar.

"Dahlah, aku keluar dulu. Terima kasih tau ole-ole ni. Sayang kau. Muah!" Kucupan terbang dilayangkan oleh Dina sebelum terjengket-jengket dia berlari anak keluar daripada bilik tersebut. Dian tersengih dan menggelengkan kepalanya. Ada-ada ajelah si adiknya tu. Dia menghadap semula ke menatap hadiah yang dibeli untuk Datin Zurina dan Dato' Bakri. Dia mengusap lembut hadiah tersebut dengan pandangan berkaca.

"Kalaulah kau masih ada, aku belikan untuk kau sekali, Syah...," tuturnya perlahan lalu menghembus nafas berat. Dia memejam matanya rapat sambil mengurut dadanya. Ya Allah, tabahkanlah hatiku dalam menangani rasa rindu yang maha kuat ini, Ya Allah.


Dian kembali masuk kerja seperti biasa. Walaupun hakikatnya badannya itu terasa malas sekali namun dek memikirkan kerja yang sedia ada di pejabat pun masih belum selesai, maka terpaksalah dia menepikan niat malasnya itu. Bak kata orang, penyakit M ni sukar dirawat. Nak kena penawar R yang padu baru betul-betul boleh hilang penyakit tu.

"Morning, Dian. Cukup rehat tak tu?" sapa Kak Azi sebaik saja ternampak kelibatnya yang baru ingin melangkah masuk ke dalam bilik. Dian menoleh dan tersenyum sedikit. "Bolehlah. Akak?" tanyanya dan mengubah langkah menuju ke arah Kak Azi. Kelihatan wanita itu sedang membancuh secangkir Nescafé.

"Nak?" tawar Kak Azi dan mendapat gelengan perlahan dari Dian. "Akak pun samalah macam Dian. Nak ikutkan pagi tadi nak sambung tidur tapi tulah kalau tak datang nanti macam mana pula office ni?" jawabnya pada persoalan Dian tadi. Dian mengangguk mengerti. Dia memandang ke kiri dan kanan. Mencari seseorang.

"Nana mana?"

"Ada tu hah dekat meja dia. Tengah merungut sorang-sorang. Pagi-pagi dah stress." Kak Azi tergelak kecil diikuti Dian. Dian akhirnya meminta diri untuk masuk ke dalam biliknya setelah terasa terleka. Kak Azi sekadar mengangguk dan turut kembali ke tempatnya.

Baru saja dia meletakkan beg, bunyi notifikasi telefonnya menyapa gegendang telinga. Dia menyeluk mengambil telefonnya sambil melangkah ke kerusi dan duduk bersandar di situ. Berkerut dahinya saat mesej daripada Hadi terpapar di skrin telefon.

Hadi
+ macam mana cuti? okay?

Terkebil-kebil biji mata Dian yang sepet sedikit itu membaca mesej tersebut. Sebenarnya, tak ada apa yang nak dihairankan sangat pun kalau lelaki itu tiba-tiba memesejnya. Sejak Syahir pergi, Hadi banyak bertemu dengannya. Katanya, ingin memastikan diri dia baik-baik saja. Ada juga sesekali dia menyuruh lelaki itu untuk berhenti daripada terus menanyakan keadaannya. Bukan dia tak hargai usaha Hadi cumanya dia rasa bila dia kata dia okay, baik, tak ada apa yang perlu dirisaukan, cukuplah. Cukuplah sekadar lelaki itu nampak yang dia masih mampu meneruskan hidupnya walaupun hakikatnya susah dan perit.

Lagipun, sampai bila dia hendak menangisi semua ini? Memang takdirnya sebegitu. Takdir yang sudah tertulis. Apa perlu dia buat? Melawan takdir? Hebatkah dia sehingga hendak melawan takdir yang Tuhan berikan. Dian mengeluh panjang. Tak habis fikir dibuatnya tentang si Hadi ni.

Dian
- okay je. kenapa?

Hadi
+ tak ada apa. saja.

Dian
- okay.

Hadi
+ ada ole-ole untuk aku dengan fattah tak?

Makin berkerut wajah Dian melihat icon jelir lidah diberikan oleh Hadi. Pelik ada. Macam tiba-tiba pun ada. Laju jarinya mengetik semula papan kekunci di skrin telefonnya.

Dian
+ tak ada. tak penting.

Hadi
- sampai hati. ni ke kawan?

Kening Dian terjongket. Kawan? Dulu tak ada apa pun nak anggap aku ni kawan korang. Ah, kan dia dah teringat semula kisah lama. Ni semua salah Hadi. Daripada tadi dia terus melayan lelaki itu, ada lebih baik dibiarkan saja mesej Hadi tak berbalas. Dia menutup telefonnya dan ditelangkupkan di atas meja. Kerusi beroda tiga itu ditarik dekat ke meja. Kertas mahjung yang bergulung di atas meja dicapai lalu dibentang luas. Terdapat lakaran lukisan yang masih belum siap sempurna di situ.

Bunyi notifikasi yang berturut-turut langsung tidak dihiraukan oleh Dian. Dia sibuk sekarang ni.

"Most welcome. Simpan dalam beg ya, cik? Takut terjatuh lagi. Mahal tu."

Deg.

Tercoret garisan yang agak panjang di kertas mahjung itu. Dian terdiam. Dia mengebil-ngebilkan biji matanya. Kenapa? Kenapa tiba-tiba dia boleh teringat semula kejadian sehari yang lepas? Makin menjadi-jadi rasa hairannya tatkala senyuman lelaki itu pula yang muncul di mindanya. Lebih-lebih lagi ketika waktu dia sedang menghulurkan telefonnya yang terjatuh. Argh! Pensel di tangan terus dicampak. Tubuhnya disandar pada kerusi.

"Dah kenapa pula aku terfikir dia ni? Eh, jangan macam-macamlah. Tak sukalah macam ni," keluhnya seorang diri. Kalau dia teringatkan lelaki itu sekali pun, mustahil lelaki itu turut teringatkannya. Entah-entah, lepas kakinya melangkah keluar saja dari resort itu, lelaki itu terus tidak mengingatinya.

Jadi, kenapa pula otaknya ni sibuk teringatkan lelaki itu? Buang masa tahu tak? Buang masa!

"Dah Hadi, dia pula. Tak gunalah!" marahnya seorang diri.


Jauh dari bandaraya Kuala Lumpur yang sememangnya sinonim dengan kota yang paling sibuk, kelihatan seorang jejaka sedang bersandar tenang di kerusinya sambil menikmati hembusan angin yang sesekali masuk ke ruang lobi tersebut. Pekerja-pekerja yang lalu lalang di situ langsung tidak dipedulikan. Malah, dia lebih asyik dalam lamunannya sendiri. Sesekali bibirnya akan naik terjungkit membentuk senyuman senget.

"Amboi, tersengih-sengih orang tu. Teringat buah hati ke?" tegur seseorang membuatkan lamunannya tadi pudar sekelip mata. Dia menoleh ke samping. Dia mengemam senyuman dan menggeleng perlahan.

"Mana adalah. Awak pun tahukan Vita yang saya tak ramai kawan perempuan. Yang ada pun korang dengan budak-budak sini jelah," jawabnya sambil membetulkan postur duduknya. Hari ini dia dan rakan-rakannya yang lain yang tak terlalu sibuk sangat dek kurang pelanggan yang datang berkunjung di resort ini.

"You jangan kasi temberang sama I tahu, Syah? Kau tu senyap-senyap je, tiba-tiba poof! Sudah mahu kahwin. Apa cerita dey?" marah gadis berbangsa India itu menbuatkan dia tertawa halus.

"Apa cerita? Kasi datanglah wedding saiya. Aiyoo!" usiknya dan kali ini ketawanya lebih kuat berbanding tadi. Beginilah rutin dia jika mereka kurang pelanggan. Tak sah kalau tak mengusik. Nanti ada lagi yang datang turut serta sama. Selagi tak nampak dek majikan, selagi tulah bertenggek dekat meja kaunter tu.

"Jaga-jaga you haa, Syah. Ini malam saya panggil geng saya kasi datang bakar rumah kau," ugut Vita membuatkan tawanya mati namun masih tersenyum. Dia terjerit kecil.

"Hey, sampai hati you mahu bakar rumah saya? Saya mahu tinggal mana?"

"You tinggallah mana-mana. Sampai hati you juga. Sudah ada girlfriend, mahu rahsia-rahsia pula. Nanti tiba-tiba mahu kahwin. Inilah kawan. Poodah!"

"Eh, no lah! Haih dia ni...," Macam tak cukup nafasnya kerana asyik ketawa daripada tadi. Tergeleng-geleng dia dengan perangai Vita yang kadang kala suka sangat berdrama itu. Celah manalah dia nak ada teman wanita? Daripada dulu sampai sekarang dia masih belum jumpa yang tepat untuk diisikan dalam ruang hatinya.

Nak kata dia memilih, tak adalah memilih. Cumanya...

Plakk!

"T-thank you."

Dia terdiam. Dia menghela nafas perlahan dan berpaling ke arah tempat yang kebiasaan pelanggan menunggu buggy datang menjemput mereka untuk ke bilik. Bibirnya perlahan kembali membentuk senyuman kecil. Alangkah indahnya jika dia dipertemukan semula dengan si gerangan berwajah polos itu untuk kali kedua.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience