Bab 42

Short Story Series 55082

Ruang tamu yang sederhana itu sunyi sepi selepas Aqil menceritakan semuanya kepada Aqilah dan bagaimana dia boleh mendapatkan alamat perempuan itu daripada orang upahannya. Rina sudah menutupi rambutnya semula dengan selendang yang diberikan oleh Aqilah kerana terlihat wanita itu tidak selesa memperlihatkan mahkota indahnya kepada Aqil yang bukan mahramnya.

Ya Allah, mengapa sebegitu sekali Kau menguji sahabatku ini? Aqilah menitiskan air matanya membayangkan betapa sulitnya kehidupan Rina selepas mereka berpisah. Dihalau oleh penduduk kampung kerana mendapati wanita itu mengandung, koma selama setahun selepas melahirkan dan suaminya kembali mengasarinya. Bagaimana Rina mampu menghadapi semua itu sendirian? Mengapa begitu kuat hati sahabatnya sehingga masih mampu menguntumkan senyuman untuk orang disekelilingnya? Apakah hatinya akan sama kuatnya seperti Rina jika dia berada di tempat wanita itu? Tiba-tiba Aqilah bangun dari duduknya dan menarik Rina agar turut sama bangun.

"Mari kita pergi." Aqilah memimpin Rina agar mengikutinya.

"Kita nak ke mana?" Rina bertanya pelik. Kedua keningnya bertaut rapat.

"Nak ke mana lagi? Kita pergi balai polis biar lelaki tak guna itu meringkuk dalam penjaralah!" Aqilah mendengus geram. Dia sudah tidak boleh bersabar melihat Rina yang sering ditindas tanpa sebarang pembelaan. Apakah lelaki itu ingat dia hebat sangat sehingga sesuka hati memperlakukan orang seperti itu?

"Aqilah bawa bertenang. Tolong jangan laporkan Haikal kepada polis. Saya tidak mahu papa saya berasa sedih." Aqil cuba menghalang Aqilah yang sudah mengambil kunci keretanya.

"Abang kau yang tak guna tu hampir rogol kawan aku sama seperti tiga tahun yang lalu dan pukul dia sampai jadi macam ini kau masih nak bela abang kau tu?" Aqilah merenung tajam Aqil yang berada di hadapannya cuba menghalangi dirinya keluar daripada rumah.

"Kita boleh selesaikan perkara ini tanpa melibatkan pihak berkuasakan?" Aqil cuba memujuk lagi. Dia tidak mahu melihat Tan Sri Mansur bersedih disebabkan Haikal. Jika boleh biarlah mereka berbincang dengan kepala dingin untuk mencari penyelesaian.

"Aqilah, aku..." Belum sempat Rina berkata sesuatu tiba-tiba telefon Aqil berbunyi. Semua mata tertumpu padanya ketika Aqil menjawab panggilan itu.

"Ya, papa. Mereka dengan Aqil." Aqil menjawab panggilan telefon daripada Tan Sri Mansur. Pasti papanya itu sudah mengetahui dengan apa yang terjadi daripada Mak Sofi ataupun Ain kerana tidak mungkin Haikal mahu memberitahu lelaki itu perkara yang sebenar.

"Aqil, papa mahu kamu bawa mereka balik ke rumah kita sekarang." Tan Sri Mansur bersuara serius. Dia mahu Aqil membawa menantu dan cucunya ke rumah agam miliknya semula.

"Tapi papa..." Aqil cuba membantah kerana dia tidak mahu membawa Rina bertemu dengan Haikal semula.

"Aqil, bukankah kamu selalu patuh pada papa? Papa minta kamu bawa mereka balik ke sini sekarang! Papa tunggu kamu di rumah. Kita bincang di sini bersama-sama." Tan Sri Mansur mematikan panggilan telefon kerana tidak mahu berbalah dengan anak angkatnya itu.

Aqil mengeluh lemah. Selama ini tidak pernah dia menolak permintaan papanya itu tetapi permintaan kali ini sangat berat baginya. Aqil memandang wajah Rina yang lebam dan timbul perasaan simpati terhadap wanita itu. Aqil mengurut pelipisnya yang berdenyut-denyut itu apabila tidak mampu membuat keputusan. Diantara Tan Sri Mansur dan Rina yang mana satukah harus dia pilih?

"Apa yang papa katakan pada awak, Aqil?” Rina bertanya risau apabila melihat riak wajah Aqil yang seperti serba salah itu.

"Papa mahu saya bawa awak dan Qalifh balik ke sana semula Rina." Aqil tidak berahsia. Dia memandang Rina mengharapkan pengertian wanita itu.

"Tidak, saya tidak mahu!" Rina menjauhkan dirinya daripada Aqil kerana takut jika lelaki itu sama seperti Haikal menariknya tiba-tiba ketika dia tidak berada di dalam keadaan bersedia.

“Rina…” Aqil menyeru nama Rina seakan merayu wanita itu agar mengerti keadaannya ketika itu.

"Wah, kau sekeluarga memang hebat! Kau dengan keluarga kau sedikitpun tidak ada perasaan simpati pada Rinakan? Sudah jelas lagi bersuluh abang kau perlakukan dia seperti binatang tapi bapa yang kau sanjung-sanjung itu tetap meminta Rina balik ke rumah neraka tu? Lebih mengecewakan kau pun sama seperti mereka Aqil! Aku tak izinkan kau bawa Rina pergi daripada sini. Kau langkah mayat aku dulu kalau kau mahu bawa dia dan anaknya bersama." Aqilah membentak lagi. Emosinya benar-benar tidak dapat dikawal lagi. Bagi Aqilah Aqil sekeluarga sangat pentingkan diri.

"Aqil janji pada Rina, Aqil akan pastikan awak selamat bersama Aqil di sana. Walau apapun papa tetap orang tua kita dan kita harus patuh padanya." Aqil membiarkan kata-kata Aqilah bagai angin lalu. Dia masih tidak berputus asa memujuk Rina untuk mengikutnya pulang ke rumah Tan Sri Mansur.

"Susah payah awak bawak saya keluar dari sana Aqil tapi sekarang awak mahu saya ikut awak kembali ke sana? Tidak! Saya tahu papa orang yang penting dalam hidup awak kerana awak terhutang budi kepadanya. Saya juga merasakan hal yang sama Aqil. Awak harus patuh kepada papa kerana dia orang tua awak tapi bukan pada saya. Awak sudah menjalankan tanggungjawab awak dengan menyatakan hasrat papa untuk membawa saya pulang ke rumah itu tetapi saya yang menolaknya. Pergilah kerana saya ataupun Qalifh tidak mahu kembali ke sana semula." Rina berkata sedih. Dia tahu Aqil tidak mempunyai pilihan lain selain patuh kepada Tan Sri Mansur kerana papa mereka itu sudah banyak berjasa di dalam hidup Aqil. Rina juga tahu keadaan ini sulit buat Aqil kerana lelaki itu harus memilih diantara dirinya dan juga Tan Sri Mansur.

"Kau sudah dengarkan? Sekarang kau baliklah ke tempat kau Aqil kerana disana bukan tempat Rina dan Qalifh. Biarkan mereka di sini bersama aku. Aku akan menjaga mereka dengan baik sepertimana kau menjaganya dengan baik selama ini." Aqilah membuka pintu rumahnya agar lelaki itu keluar daripada rumahnya. Dia tidak berniat mahu menghalau Aqil daripada rumahnya tetapi dia harus melindungi Rina daripada terus disakiti oleh keluarga lelaki itu.

Aqil melangkah lemah keluar daripada rumah Aqilah. Dia tahu dia salah kerana mahu memaksa wanita itu balik ke rumah agam Tan Sri Mansur selepas apa yang terjadi. Dia tahu wanita itu kecewa dengan sikapnya yang tidak teguh pada pendirian tetapi dia tidak mampu berbuat apa-apa jika perkara itu berkaitan dengan Tan Sri Mansur. Dia jadi lemah tidak bermaya.

"Aqil, demi persahabatan kita jangan beritahu mereka saya berada disini." Rina sempat berpesan kepada Aqil yang sudah berada di pintu pagar.

"Maafkan saya, Rina." Aqil sempat berpatah balik melihat Rina dan mendekati Qalifh sebelum mengucup dahi anak kecil itu dengan penuh kasih sayang. Qalifh menghulurkan tangan kecilnya kepada Aqil agar lelaki itu mendukungnya seperti biasa tetapi malah dihalang oleh Rina.

Sebaik saja Aqil keluar dari rumah itu Qalifh menangis mahu mengikut Aqil. Anak kecil itu berlari mahu mendapatkan Aqil tetapi Rina terlebih dahulu memeluk Qalifh dengan erat agar tidak mengejar Aqil yang sudah berlalu itu. Rina masuk ke dalam rumah semula menutup pintu sebelum dia jatuh terduduk di atas lantai menangis semahu-mahunya bersama Qalifh. Aqilah mendapatkan Rina yang menggenggam erat baju di kedudukan jantungnya seakan-akan wanita itu menggenggam jantungnya sendiri. Aqilah memeluk Rina ke dalam pelukannya dan menangis bersama-sama anak beranak itu.

"Shhh... everything will be fine. Jangan menangis, Rina. Kau sudah selamat bersama aku. Mulai hari ini aku yang akan menjaga kau dengan Qalifh. Kau jangan risau selepas ini hanya kebahagiaan yang akan menghiasi hari-hari kita." Aqilah mencium kepala Rina seperti ibu memujuk anak kecil agar berhenti daripada menangis.

Rina memeluk Aqilah dengan erat kerana berasa dirinya selamat berada di dalam pelukan sahabatnya itu. Tangisannya dibiarkan mengisi ruang tamu itu sehingga Aqil yang masih berada di luar rumah mendengarnya. Aqil juga menitiskan air matanya yang ditahan sejak daripada tadi.

'Maafkan aku Rina, sekali lagi aku tidak mampu melindungimu. Ya Allah, jaga dia untukku. Genggam hatinya agar dia sentiasa bersabar dengan ujian-Mu.' Aqil meraung di dalam hatinya sebelum membolos masuk ke dalam keretanya dan memandu pergi daripada situ.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience