Aku mengambil kertas berwarna coklat itu. Tanpa melihat butiran isi kandungan aku mencapai pen dan menurunkan tandatangan. Saat itu sesuatu yang tajam sifatnya berada di hujung mata pen telah mencucuk ibu jari aku. Pen terlepas dari pegangan. Setitis darah tumpah di atas kertas tersebut. Aku mengulum jari cepat-cepat bagi menghentikan pendarahan. Selajur aku menunduk mengambil pen yang berada di atas lantai.
Sebaik aku berdiri, kelibat dua orang wanita tadi telah tiada. Aku tertoleh-toleh mencari mereka. Tetapi tiada seorang pekerja pun yang kelihatan. Bahkan borang yang berada di atas kaunter sebentar tadi juga telah lenyap. Aku menghela nafas kasar dan meletakkan pen di atas meja. Aku mengheret bagasi dan menuju ke arah tangga kayu yang terletak di bahagian tengah ruangan bawah hotel itu.
Semasa aku mendaki tangga, aku melihat seorang lelaki berpakaian sut serba hitam menuruni tangga. Rambutnya beruban keputihan. Wajahnya berkedut dimamah usia. Namun fizikalnya ku lihat masih gagah dan bertenaga. Dia merenung ke arah aku dan tersenyum.
“Selamat datang ke Hotel Ludwig. Saya kapten di sini.”ucapnya dengan nada suara yang mendatar dan seolah-olah berbisik.
Aku hanya tersenyum dan mengangguk sebelum berlalu. Tangan aku dipegang olehnya membuatkan pergerakan aku terhenti. Tapak tangannya aku dapat rasakan kasar dan tersangat dingin. Aku berkalih. Lelaki itu merenung lama ke arah aku.
“Kami akan bawa anda ke satu dunia yang anda tak pernah lalui. Tapi ingat! Anda boleh checkout bila-bila masa. Tapi anda tak boleh keluar dari sini.”
Aku memasukkan anak kunci dan membuka pintu. Sebaik pintu dibuka, mata aku merayapi susun atur di dalam bilik itu. Dekorasinya agak menarik dan vintage. Mungkin pemilik hotel ini menyukai corak dekorasi rumah Inggeris lama. Jadi dia telah menerapkan di dalam hotelnya ini. Aku meletakkan bagasi dan beg galas di atas lantai. Aku melangkah menuju ke tingkap.
Tingkap kayu aku buka penyendaknya dan ditolak keluar. Sebaik terkuak, angin sejuk menerpa tubuh aku. Aku tersenyum melihat pemandangan. Bulan kelihatan separa penuh. Manakala air ombak galak menghempas pantai. Bunyi yang terhasil terasa mendamaikan jiwa aku. Mata sengaja aku pejam bagi menikmati rasa yang sukar untuk ditafsirkan itu.
Sebaik mata aku dibuka, nun di hujung pantai aku terlihat kelibat seseorang sedang berdiri sambil merenung ke arah aku. Aku memicingkan anak mata bagi melihat dengan jelas. Sebaik mengenali kelibat tersebut hati aku tidak semena-mena berdetak kencang. Kanak-kanak perempuan berbaju tidur yang aku langgar sebentar tadi! Dia sedang berdiri sambil merenung tajam ke arah aku. Biasan cahaya rembulan membantu aku untuk melihat.
Aku menarik nafas dan memejamkan mata. Aku berharap semua ini hanyalah ilusi semata-mata. Aku berharap apabila aku bukakan mata nanti budak itu akan lenyap dari pandangan. Aku mengumpul nafas dalam-dalam lantas mata dibukakan.
Serentak itu, satu tangan asing menyentuh bahu aku. Aku terkejut dan berkalih pantas. Hampir-hampir luruh jantung aku lantaran dihambat kejutan. Aku mengurut dada sambil memandang ke arah kapten yang sedang berdiri di hadapan aku.
“Tuala untuk awak.”ujar kapten tersebut sambil mengunjukkan sehelai tuala kepada aku.
“Terima kasih..”ucap aku setelah berasa kembali stabil.
Kapten tersebut terus berlalu keluar daripada bilik tanpa berkata hatta sepatah. Sebaik pintu bilik ditutup, aku melontarkan pandangan ke arah pantai semula. Ternyata kelibat kanak-kanak tadi telah tiada. Aku menghembus nafas kelegaan. Ternyata aku hanya berimaginasi. Lantas tingkap aku katup semula.
Aku merebahkan badan di atas katil yang empuk. Tubuh aku tenggelam dalam keempukan tersebut. Telefon bimbit aku berbunyi. Lantas aku keluarkan dan ku lihat sekejap. Ternyata bateri hanya tinggal satu bar sahaja. Aku bangun dengan rasa malas menyelongkar beg galas yang dibawa. Carger dikeluarkan dan aku mencari-cari suis untuk mencucuk plug.
Aku mencari hampir keseluruhan kawasan bilik ternyata tiada suis yang terdapat. Aku menghempaskan keluhan kasar. Terpaksa aku gunakan power bank yang aku spare untuk keadaan terdesak. Sebaik selesai aku berbaring di atas katil semula. Keletihan yang menyarung tubuh membuatkan aku terus terlelap dibuai mimpi.
Share this novel