BAB 10

Family Completed 5571

ADA beberapa minggu lagi sebelum tibanya hari temuduga buat Aimi. Berminggu itu jugalah Aimi memerhati kelakuan Nazirah di sekolah. Senyap-senyap, Aimi bertemu dengan guru kelas Nazirah untuk mengetahui perkembangan Nazirah serta apa-apa sahaja mengenai Nazirah. Terkejut juga dia apabila diberitahu bahawa adiknya pernah ponteng sekolah beberapa kali. Keputusannya juga semakin merosot kebelakangan ini.

Aimi berdiam diri. Diamnya bukan bisu dan biasa-biasa. Diamnya pada tiada bicara, namun akal dan fikiran tak berhenti berputar memikirkan penyelesaian terbaik buat Nazirah. Untuk bercakap dari hati ke hati, sekarang bukanlah waktu yang sesuai kerana dia masih belum jelas apakah punca perubahan perangai adiknya. Sejak bersekolah kembali, Nazirah sering pulang lewat petang. Bila ditanya, katanya ada kelas tambahan persediaan SPM.

Pada awalnya, Aimi percaya sahaja. Tapi, bila dilihat Nazirah kembali meninggalkan solat, Aimi risau. Ditanya pada guru sekolah Nazirah, ternyata kelas tambahan yang dikatakan oleh adiknya itu tak pernah ada. Aimi mulai risau. Nekad, esok hari Aimi akan mengekori Nazirah ke mana dia pergi. Aimi perlu cari tahu. Nazirah itu adiknya, darah dagingnya, bukan orang lain.

Seperti yang dirancang, Aimi meminjam kereta salah seorang sahabatnya di kampung itu. Diajak sekali sahabatnya untuk menemani. Sekurang-lurangnya, apa-apa terjadi, masih ada orang lain yang boleh memaklumkan dan membantunya nanti. Kita tak pernah tahu apa yang bakal terjadi di hari dan waktu seterusnya.

“Tu Nazirah. Dah keluar tu.” Ujar sahabat Aimi apabila ternampak kelibat Nazirah. Aimi mula menghidupkan enjin.

Dari jauh, Nazirah menaiki sebuah bas awam dan Aimi mengekori dengan penuh berhati-hati. Bas itu bergerak hingga ke satu kawasan perkuburan, Nazirah turun dari bas. Aimi semakin tertanya-tanya apa yang ingin dilakukan oleh adiknya. Aimi hanya memberhentikan kereta di satu sudut. Memerhatikan setiap perbuatan adiknya.

Nazirah mengisi air paip ke dalam botol airnya yang sudah kosong. Setelah penuh, Nazirah berjalan masuk ke dalam kawasan perkuburan. Setelah agak jauh, Aimi dan sahabatnya keluar dari kereta. Pintu dikunci, lalu mereka mendekati Nazirah tanpa disedari oleh Nazirah. Nazirah kelihatan sedang mengusap satu nisan dan menangis di situ.

“Fatimah… kenapa awak tinggalkan saya? Saya tak ada kawan lain dah dekat sekolah selain awak. Tak ada lagi orang yang nak tolong ajar saya bila tak faham. Saya tak faham kenapa Tuhan kena ambil nyawa awak. Awak kan baik. Kenapa Dia ambik awak dari saya? Saya rindu awak. Saya nak awak ada balik kat sisi saya. Kenapalah orang yang langgar awak tu bawak laju sangat? Saya takkan maafkan dia! Dia jahat! Dia buat awak mati!” Aimi menahan tangisannya. Senyap-senyap, Aimi berlalu dari situ bersama sahabatnya.

Nazirah dibiarkan pulang sendiri. Dia yakin adiknya tidak akan melakukan perkara gila yang lain. Aimi memerah otak untuk berbincang dengan adiknya. Masalah sehingga menyalahkan takdir, bukan masalah kecil. Apa pun jua, Aimi perlu tahu dahulu siapa sebenarnya Fatimah, dan apa yang menyebabkan dia meninggal sehingga Nazirah tak dapat menerima kenyataan pemergian Fatimah.

Jam 6 petang, Nazirah tiba di rumah. Aimi hanya memandang dan membiarkan. Seolah-olah tiada apa yang berlaku dan tidak mengetahui apa-apa. Dibiarkan dahulu adiknya membersihkan diri. Sebelum adiknya masuk ke bilik, sempat dia berpesan agar adiknya tidak lupa untuk solat asar. Nazirah hanya membalas dengan sebuah anggukan. Aimi melepaskan nafas dengan berat. Betapa dia memerlukan kesabaran yang teramat tinggi untuk menghadapi adiknya yang cuma seorang itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience