34 - Stay Strong

Romance Completed 45760

Sakit kepala yang menyerang sejak kebelakangan ini, masih belum pulih meskipun sudah menelan beberapa biji ubat panadol. Meskipun begitu, Hanis memaksa diri untuk bangkit dari atas tilam empuknya. Dia nekad untuk pergi bekerja walaupun Datin Jumira telah memecat dirinya. Baginya, selagi perkataan pecat tidak dikeluarkan oleh Haiqal Jason, selagi itu dia akan bekerja. Lagipula, Jason telah memberi amanah untuk menjaga hal-hal yang berkaitan Cafe selama lelaki itu berada dia luar negara. Jadi, dia pegang amanah itu.

Hanis menilik badan dihadapan cermin. Wajah penuh dengan masalah di pandang lama pada pantulan cermin. Dia menarik nafas panjang lalu dihembus secara perlahan. Hatinya terasa tenang. Tapi, tidaklah setenang mana. Senyuman ditarik secara paksa. Terukir senyuman yang tidak ikhlas saat itu. Apa-apapun, dia kena tabah untuk menjalani kehidupannya. Ayat itu sudah tidak asing baginya. Ayat itu juga yang sentiasa menemani jika diri ditimpa musibah.

Kini, dia semakin menghampiri kenderaan pacuan dua rodanya. Sudah lama motor miliknya tidak digunakan lantaran sering menaiki kenderaan pacuan empat roda yang dipandu oleh oleh Rendi. Hari ini, dia akan menunggang motosikal itu lagi, dek kerana Rendi tidak tahu bahawa dirinya ingin ke Cafe tersebut.

Motosikal itu diparkir pada tempatnya sebelum dia masuk ke dalam Cafe itu. Nampak dari tempat Hanis berdiri, Cafe tersebut sudah terbuka. Awal Mariam datang pada pagi itu. Terasa debaran di hati Hanis. Entah kenapa aura Cafe itu membuat dirinya gemuruh. Atas kejadian yang sudah terjadi, barangkali?

“Eh, Hanis?” tegur Mariam separuh terkejut sebaik sahaja wanita itu melangkah masuk. Kebetulan, Mariam sedang mengelap di bahagian kaunter. Hanis sekadar menguntumkan senyuman.

“Sorry, kalau kedatangan aku buat korang terkejut. Aku... nak kerja dekat sini lagi sampai tuan Jason balik,”

“Hanis, tak ada siapa yang larang kau kerja dekat sini. Kitaorang lagi suka!” balas Mariam dengan senang hati.

“Tapi... aku takut dengan Datin Jumira. Dia dah pecat aku,” luahnya sedikit risau. Entahlah. tadi nekad sangat hendak turun bekerja. Sekarang, tahap ketakutan dan kerisauan pula yang menyelimuti diri. Kalau Datin Jumira dapat tahu, entah apa yang wanita itu akan buat kepada dirinya. Heret keluar dari Cafe? mungkin.

“Janganlah risau. Nanti kitaorang jadi CCTV kau. Nampak je Datin Jumira, kau sembunyilah. Lagipun, Cafe ni milik tuan Jason sepenuhnya. Datin tak ada hak nak pecat kau walaupun dia ibu kepada tuan Jason,” sampuk Azrul, seorang barista handalan di Cafe itu. Baru kali ini Azrul menyampuk perbualan mereka. Selalunya, dia lebih suka mendengar saja.

“Betul kata Azrul. Tapi, kau sihat tak ni? Muka kau pucat sangat tu,”

Hanis mengangguk. “Aku okay je. Terima kasih, Mariam, Azrul. Aku janji lepas tuan Jason balik sini, aku akan angkat kaki.” ujar Hanis walaupun berat untuk menerimanya. Sampai saat ini, Jason masih tiada khabar. Mungkin, dia belum tahu tentang berita ini. Kalau dia tahu sekalipun, Hanis sudah pasrah dengan keadaan.

“Janganlah cakap macam tu. Tuan Jason baik orangnya. Lebih-lebih lagi, dengan orang yang dia sayang. Badai macam mana pun yang melanda, dia tetap akan pertahankan...” kata Mariam cuba mengusik Hanis.

“Datang Cafe nak bekerja atau bercerita?” tegur Haiqal Jayden. Ketiga mereka serentak terkejut. Datin Jumira dielakkan, datang pula anaknya yang seorang ini. Mampus.

“Masih berani datang kerja? Bukan mama aku dah pecat kau ke? Atau kau yang tak tahu malu?” Suaranya rendah saja, namun kata-katanya menikam hebat sampai ke tulang-tulang.

“Sa...saya...sa..”

“Nah, Hanis. Air ni kan, kau pesan tadi?” potong Azrul cepat-cepat.

“Thanks... maaf, tuan. Sa-saya pesan air je dekat sini,” huru hara dirinya menjawab. Nasiblah Azrul bijak masa tu.

“I see. Kalau boleh, jangan tunjuk muka dekat sini lagi. Nak beli air, banyak kedai dekat luar sana. One more thing, stay away from Jason.” tegas nada itu memetir di gegendang telinga Hanis.

“Ba-baik, tuan. Saya minta maaf,” ucapnya sebelum beredar dari situ. Jatuh kasihan Mariam melihat Hanis sebentar tadi. Dia gagal untuk menolong wanita itu.

Kali kedua dirinya dihalau dari tempat yang sama. Sempat dia melihat wajah Mariam sebelum melangkah pergi. Terselit rasa bersalah pada riak wajah wanita itu. Namun, Hanis tidak menyalahkannya. Jelas kesalahan itu ada pada diri sendiri. Huh, kau tak habis-habis nak menyusahkan orang. Bebelnya.

“Kenapa muka sedih tu? Kena halau ke dengan pemilik Cafe?” tiba-tiba suara seakan memerli, mengasak kuping Hanis. Dia menoleh. Terlihat Neldia sedang berjalan semakin menghampiri bersama riak wajah yang kurang menyenangkan hati.

“Kau nak apa lagi? Nak tambah masalah apa pula kali ni?” kata Hanis acuh tak acuh. Malas mahu melayan perangai Neldia. Hairan pula dari mana datangnya, bahkan hari ini masih awal lagi. Dia stalk aku ke?

“Tak nak apa-apa pun. Tapi, simpati pula aku tengok kau ni. Kesian. Begitulah nasib malang kau, kan?” ujar Neldia sengaja mengikis kesabaran seorang Putri Hanis.

“Kau kesian ke atau kau suka? Eh, tak payah jawab. Aku dah tahu dah,”

“Whatever! Mesti kau hampa kan sebab tak dapat tawan hati Jason. Aku tengok keluarga dia semua benci kau. Tulah, hati tu kena bersih. Jangan simpan sampah yang kotor dalam tu...” Selamba saja Neldia melontarkan kata-kata pedas tanpa memikirkan perasaan Hanis. Dia hanya berdiam dan menelan bulat-bulat saja meskipun menyakitkan hati Hanis.

“Aku tak sangka betullah, kau sanggup buat macam tu dekat kawan baik sendiri. Buruk-buruk perangai aku, tak pernah lagi nak hantar sihir dengan orang,” lagi sekali Neldia mengeluarkan kata-kata yang menikam hati Hanis. Jika hati dapat dilihat, hati milik Hanis yang paling hancur. Bahkan, tidak dapat untuk diselamatkan lagi.

“Cakap jelah, apa kau nak cakap. Mulut aku dah penat nak cakap benda yang sama. Kalau aku cakap pun, tak kan ada yang percaya. Jadi, aku tunggu jelah kebenaran tu bersinar,” kata Hanis dengan pasrah.

“Sampai bila?” tanya Neldia.

“Entah. Aku just nak bagitahu satu benda dengan kau, aku terfikirlah, macam mana kehidupan orang yang sengaja buat aku macam ni? Mesti dia happy. Tapi, dia lupa, cepat atau lambat, dia pasti kena azab! Baru dia tahu macam mana rasa sakit yang aku tanggung selama ni!” Nadanya makin di tekan dan tatapan pada Neldia tidak dilepaskan walau sesaat.

Sejujurnya, Hanis telah mengesyaki bahawa Ria Neldia dan puan Kartini ada hubung kait dengan masalah ini. Betul atau tidak, itu hanya perasaannya sahaja. Siapa lagi yang membenci dirinya di dunia selain dua insan tersebut? Namun, dia tidak mahu bertindak huru hara untuk melepaskan apa yang terlintas di fikiran. Dia harus mencari bukti yang kukuh terlebih dahulu.

“Kenapa kau pandang aku macam tu?” marah Neldia sedikit tidak senang hati dengan tatapan Hanis.

“Tak sengaja, sorry.” ujar Hanis sebelum menuntun langkah menghampiri motosikal miliknya. Langkahnya diikuti oleh Neldia.

“Kau tahu ke siapa yang buat?” tanya Neldia lagi.

“Cik Neldia, kalau aku tahu, dah lama aku heret dia pergi balai polis. Agak-agak lah nak buat macam tu dekat aku. Tak pelah, aku nak balik,” pacuan dua roda itu mula bergerak meninggalkan Neldia seorang diri yang masih terkebil-kebil.

Sampai sahaja di rumah, Hanis terus merebahkan tubuh di atas tilam. Suasana bungkam itu membawa fikiran hanyut memikirkan masalahnya. Tanpa disangka, air mata jernih mula mengalir tatkala melihat gambar bersama rakannya, Nurul Atiqah. Frame gambar itu di ambil dan dipeluk dengan erat. Dia sangat merindukan Atiqah yang dahulu, dimana mereka selalu berkongsi cerita suka dan duka.

“Kau kata sahabat dunia akhirat. Kau dah janji tak kan lupakan aku, Atiqah. Mana janji engkau? Mana Atiqah yang selalu beri dukungan dan kepercayaan terhadap aku? Sampai hati kau buat aku macam ni...” kata Hanis dalam tangisan.

“Kenapa tak tarik nyawa hamba, Ya Allah. Hamba tak kuat untuk hadapi semua ini. Rasanya lebih baik mati daripada tanggung derita ini!” Tangisnya semakin kuat. Jelas kelihatan Hanis sudah tidak sanggup untuk menahan kesakitan yang terpaut di hati.

Dalam keadaan sedih, tiba-tiba telefon miliknya berdering. Namun, dia hanya memandang kosong panggilan daripada Haiqal Jason tanpa disambut. Panggilan itu masih berlangsung sehingga lima kali. Semua tidak berjawab. Hanis takut untuk menjawab panggilan itu. Dia takut untuk mendengar makian yang bakal dilemparkan kepadanya.

Dia yakin, Jason sudah menerima berita tersebut. Entah dari Datin Jumira atau kembarnya sendiri, Haiqal Jayden. Hanis menyeka air mata dengan hujung lengan baju sebelum mencapai telefon tersebut. Baru saja dia ingin mematikan telefon itu, muncul satu pesanan daripada Haiqal Jason. Hasratnya serta-merta terbatal. Dia membaca pesanan tersebut.

'Kenapa tak jawab panggilan? I know you're in trouble right now. Rendi dan Mariam dah bagitahu semua perkara yang terjadi. Sekarang, aku nak dengar sendiri daripada kau. Tapi, kalau keberatan nak angkat call, tak pe. Tunggu aku balik. Don't worry, aku tak akan percaya sesiapa. Stay strong, okay? Jaga diri.' - Jason

****

Bila ko nak balik Jason? haih. penat arh tunggu sksksksksk! HAPPY READING SEMUA <333

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience