3. Kasyaf: Dunia untukmu, Amy.

Mystery & Detective Series 13586

“AMY, ayah ni…”

Pintu biliknya diketuk berkali-kali namun tiada yang menyahut. Kasyaf cuba memulas tombol namun pintu juga berkunci. Dia melepaskan keluhan.

Kemudian, dia berjalan ke rak kayu berdekatan dan mengeluarkan segugus kunci daripada laci yang agak tersembunyi.

Kriuk…

“Amy tidur dah ke?”

Amelia yang berselubung selimut terus menyelak selimutnya kerana terkejut. “Macam mana ayah boleh masuk bilik saya?”

“Amy tak kunci pintu pun.” Kasyaf hanya tersenyum melihat Amelia hanya berpura-pura tidur.

“Mustahil,” wajahnya mencuka. “Ayah buat apa masuk sini? Kan saya dah bagitahu yang saya tak nak cakap dengan ayah!”

“Amy masih marah lagi ke?”

“Hmph!” Amelia hanya memeluk tubuh.

“Ayah datang ni nak minta maaf dekat Amy. Ayah bukannya…”

Ting!

Mereka berpandangan seketika. Telefon pintar Amelia menyala dan memaparkan notifikasi mesej masuk.

“Siapa tu mesej Amy malam-malam? Kawan Amy ke? Amy ada boyfriend ke?” Bertalu-talu soalan Kasyaf, terlupa terus kemaafannya.

“Apa ayah merepek ni? Boyfriend apa bendanya? Kan ayah tak bagi saya kawan dengan sesiapa pun!” Amelia bertempik geram. “Dahlah tu. Ayah keluarlah dari bilik saya. Nak tidur pun tak senang.” Terus dia menarik selimut semula dan masuk tidur tanpa ingat mahu memeriksa notifikasi telefon tersebut.

Kasyaf bertambah sebal tetapi dia cuba bersabar. Telefon Amelia dicapai dan dihidupkan. Membaca mesej masuk, bebola mata Kasyaf terasa seperti mahu meletup.

[Mesej baharu daripada 012xxxxxxx.

Hai Amy. Ingat I lagi tak? Taqif classmate you dulu. Mesti you perasankan yang I selalu kacau you. Sebenarnya, I kacau you tu alasan je. Jujur cakap, I memang dah lama nak berkawan rapat dengan you. You sudi tak berkawan dengan I? Kalau jodoh kuat, manalah tahu dari kita kawan boleh kahwin, right?]

Mesej itu dipadam dan telefon Amelia di letakkan semula di sisi katil.

“Amy,” Kasyaf membelai-belai rambut ikal anaknya itu.

“Ayah janji akan ciptakan dunia yang menginspirasikan untuk Amy. Apa saja untuk anak ayah.” ucapnya sambil mengukir senyuman penuh makna.

FAIL hitam di tangan Inspektor Sakinah dihempas ke meja buat Harith tersentak. Wajah wanita jelita berkarisma itu tampak marah namun dia kekal untuk profesional.

“Puan?” Harith faham benar kes pagi itu cukup menggugat kesabaran polis wanita di hadapannya itu.

“Sarjan.” tegas Inspektor Sakinah.

“Hari ini, sekitar jam 5.00 pagi. Mangsa seorang lelaki, berumur 20 tahun, ketinggian anggaran lima kaki, ditemui di sebuah rumah terbengkalai dengan mayatnya tanpa kepala dan kemaluan.” Sarjan Luke mula membaca fail kes. “Mangsa dipercayai Muhammad Taqif bin Hamdan yang dilaporkan hilang sejak petang semalam, namun kita masih menanti pihak forensik mengeluarkan keputusan DNA sebagai pengesahan.”

“Kongsi gelap?” Harith berteka-teki.

“Belum ada bukti yang menunjukkan kes ni melibatkan kongsi gelap. Lagipun, kawasan kejadian berlaku di luar bandar dan belum terjadi kes sebegini. Ini kes pertama.” jelas Inspektor Sakinah.

“Tak berhati perut. Mangsa terlalu muda. Entah apa punca sampai dibunuh begini,” gumam Harith perlahan. Inspektor Sakinah turut memapar riak kecewa.

“Harith, saya mahu awak ke sana dan siasat kes ni. Cari pelaku sampai dapat.” tegas Inspektor Sakinah sebelum berlalu keluar daripada ruang pejabat tersebut.

“Baik puan.”

Harith mengeluh perlahan. Dia mencapai fail kes dan mula menyelak helaian satu-persatu. Setiap foto dan perincian, semuanya dibaca dengan tekun.

“Anggota tubuh yang terpisah tiada di tempat kejadian dan masih belum dijumpai, Harith. Kenapa agaknya ya?” Sarjan Luke yang membaca fail kes tadi menyoal.

“Sama ada pelaku sembunyikan atau dibuang di tempat lain. Saya tak menolak pelakunya terlibat kongsi gelap. Tapi, kalau telahan saya silap…” Harith tak menyambung kata-katanya.

“Macam tak normal, agaknya sakit mental ke?” Sarjan Luke bertanya lagi. Perbualan itu diakhiri dengan hanya berpandangan tanpa bersuara.

“WOAA… Tengok tu ayah. Banyaknya kereta polis! Beratur pulak tu. Ada kes jenayah ke?” Amelia bangun pagi dengan bunyi siren yang buat dia teruja terus berlari ke tingkap.

Kasyaf yang sedang menghidangkan sarapan hanya tersenyum melihat Amelia bersemangat semula.

“Morning sayang. Awal bangun? Kita sarapan ya..”

“Ayah! Ayah! Ingat tak kes bunuh masa saya sekolah dulu? Macam ni jugaklah keadaan diakan ayah? Tengok tu, ramai orang berkumpul. Nanti saya pun nak pergi tengoklah.” Amelia yang belum habis teruja cepat-cepat mengambil tempat duduk di hadapan ayahnya.

“Amy nak tengok? Buat apa?” Kasyaf menyoal. Amelia pula sudah menyuap nasi goreng ke dalam mulut.

“Saya kenalah tengok live, ayah! Nak tengok suasana dan keadaannya semua. Nak tengok interaksi polis, forensik apa semua. Nak tengok emosi ahli keluarga, ketegangan yang ada dekat situ. Benda-benda macam nilah yang bagi idea untuk saya menulis ayah.” selorohnya dengan mulut penuh.

“Tak takut ke? Mayat tu tak ada kepala tau.” ujar Kasyaf. Amelia menyambut dengan wajah hairan.

“Hah? Eee, seramnya… Kes bunuh ke?”

Kasyaf mengangguk. Mata Amelia terbuntang. “Jap. Mana ayah tahu tak ada kepala? Tak tahu pun?”

“Oh, tak… Ayah… Ayah dengar jiran berbual tadi.” Kasyaf kekal tenang. Amelia masih memandangnya.

“Ni, Amy nanti nak tulis pasal apa? Dah ada tajuk cerita?” soal Kasyaf lagi. Riang hatinya Amelia kembali mahu berbual dengannya. Lupa agaknya yang dia sedang merajuk dan tak mahu bercakap dengan ayahnya. Harapnya, Amelia terlupa juga hasrat dia nak ke bandar.

“Saya ada idea tau, nak tulis cerita misteri pembunuhan. Hm, pembunuh bersiri, ha macam tu. Tapi tulah, tajuk tak ada lagi. Ayah rasa apa tajuk yang sesuai?” soalnya lalu menyuap suapan nasi yang kedua. Kasyaf termenung seperti sedang berfikir.

Pap! Tiba-tiba Amelia menepuk tangan sekali

“Haa! Saya tahu! Saya nak buat tajuk, Pembunuh Malam… Eh tak, tak sedap dan tak catchy. Apa ya?” Amelia mengurut dagu turut berfikir. Kasyaf setia menanti sambil tersenyum sampai ke telinga. Hatinya berbunga bangga.

“Hah! Tajuknya, Kala Malam Bulan Mengambang…” ujar Amelia sambil membuat gaya tangan kononnya misteri. Kasyaf hampir tersembur nasi.

“Itu movie lamalah Amy…” tambahnya lalu ketawa mengekek.

“Alah, ayah ni… Cubalah support anak sendiri.” marah Amelia sambil menolak lembut bahu ayahnya. Pecah jua hambur tawa dua beranak itu.

“Ada-ada jelah anak kesayangan ayah ni. Kreatif betul. Daripada siapalah Amy dapat otak kreatif ni ya?” usik Kasyaf.

“Mestilah daripada ibu. Ibukan suka menulis juga.”

Kasyaf tersentak. Senyumannya luput.

“Ayah? Kenapa?” Amelia menjadi hairan.

“Oh tak. Ayah tergigit buah pelaga. Eh cepatlah Amy, apa tajuknya?” balas Kasyaf mengubah topik. Suasana janggal tadi kembali riuh dengan perbualan tentang idea menulis Amelia yang mencurah-curah.

“RUMAH ni memang dah terbengkalai bertahun-tahun ke?” Sarjan Luke menyoal.

Beberapa orang pemuda di situ mengangguk ketika ditanya. Wajah masing-masing pucat lesi kerana terkejut berita kematian rakan sendiri.

“Kenal tak owner lama rumah ni?” Sarjan Luke bertanya lagi. Kali ini, mereka menggeleng pula.

“Rasanya dah terbengkalai sejak kitorang sekolah rendah lagi.” Jo menyampuk. Wajahnya teramat muram kerana Taqif ialah rakan baiknya. Terasa masih baru semalam mereka berbual, tiba-tiba pagi itu Taqif dah pergi meninggalkannya buat selamanya. Lebih menyayat hati, jenazahnya tidak sempurna. Tak tergambar kecewa di hati tak mampu menatap wajah sahabatnya itu kali terakhir.

“Tumpang lalu. Tumpang lalu.”

Harith berpaling ke arah suara seorang gadis yang cuba menyelit di antara orang ramai.

“Tumpang lalu encik. Saya ni penulis tau. Walaupun belum bertauliah, saya kena tengok ni.” selorohnya lagi.

Belum sempat Amelia maju, dia terlanggar salah seorang staf pembersihan yang sedang bertugas.

“Ah!” Amelia hilang imbangan. Spontan tangannya mencapai seseorang yang sedang menyambut tubuhnya yang jatuh.

“Ah, maaf. Terima kasih ya…” dia berpaut pada lelaki itu dan cuba berdiri.

“Sama-sama.” balas Harith lalu tersenyum. “Cik tolong berhati-hati ya. Kalau boleh, jangan lintas melebihi kawasan ni. Takut mengganggu kerja pihak berkuasa. Jaga jarak.” jelasnya lagi kepada gadis yang masih tenggelam dengan aura mempesonanya.

Kacaknya. Siapa lelaki ni? hati Amelia menduga pemilik wajah yang dilihat begitu tampan di matanya. Sesaat, mata mereka bertaut buat Amelia tergamam. Jantungnya turut berdegup laju dan dia masih belum melepaskan genggaman pada lengan lelaki itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience