Tidak pernah dibayangkan bahawa akan muncul seorang gadis yang sangat seiras dengan arwah tunangnya itu.
Setiap kali Anggun dipandang, mahu sahaja dia mengungkapkan kalimah-kalimah cinta yang dahulunya tidak pernah dilafazkan kepada Jelita.
Tetapi, dia sedar. Yang pergi takkan kembali. Anggun umpama cermin yang membiaskan wajah wanita kesayangannya.
"Tak apalah Anggun. Anggun pergilah berehat dulu dalam bilik Anggun." Tangan Anggun memeluk erat foto Jelita. Kaki yang melangkah kelihatan terlalu berat.
Ashraff hanya memerhatikan langkah pertama gadis itu. Saat dia berpaling untuk kembali semula ke dalam biliknya, jeritan Azliana kedengaran.
Keadaan Anggun semakin hari semakin teruk. Dia kini sudah tidak mampu berdiri. Hanya mengharap pada bantuan kerusi roda untuk bergerak ke sana dan ke mari. Hati Puan Melur meruntun pilu melihat nasib Anggun yang sudah dianggap seperti anak sendiri dari saat Ashraff memperkenalkan Anggun yang saat itu hilang ingatan.
Ashraff kini merasakan hidupnya umpama sebuah pentas. Saat doktor mengumumkan penyakit Anggun, saat itu juga dia menerima berita paling mengejutkan dalam hidupnya.
Anggun adalah kembar seiras Jelita. Berita ini diakui sendiri oleh Anggun yang sudah mampu mengingati semula seluruh kisah hidupnya.
Padanlah, sepanjang Anggun berada di rumahnya, dia merasakan semangat yang dahulunya ada pada Jelita kembali membahagiakan keluarganya.
Pintu hatinya yang sudah ditutup buat mana-mana gadis kini dibuka kembali uuntuk menerima kedatangan seorang gadis ceria.
Baru sahaja warna-warna terang itu mula bersinar, cahayanya pudar sedikit demi sedikit. Leukimia. Penyakit sama yang menyerang Jelita dulu kini menyerang Anggun.
Share this novel