Puan Aimi mula bercerita kepada anaknya tentang apa yang telah terjadi. Anis Raihanna sedia mendengar dengan tekun. Tertanya tanya dia dibuatnya. Harap bukan benda tak elok lah. Amin!
"Awak tengah buat apa tu, sayang? " sergah Encik Zahid. Puan Aimi yang baru sahaja menelefon anaknya terkejut dengan sergahan suaminya. Bahunya terhenjut sedikit.
"Hish, abang ni. Cuba la beri salam ke apa? Terkejut saya tahu tak." bidas Puan Aimi. Dia mengusap lembut dadanya bagi menghilangkan rasa terkejutnya sebentar tadi. Mujurlah dia tidak tercampak telefonnya ke arah suaminya.
Encik Zahid tertawa kecil. Bukan niat dia untuk mengejutkan isterinya tetapi keresahan yang terpamer di riak muka isterinya membuatkan dirinya tertanya. Lagipun selalunya ceria saja isterinya. Entah mengapa hari ini lain pula jadinya.
"Ish,abang ni. Gelakkan la saya lagi. Saya rasa tak sedap hati ni bang. Saya dah call Anis tapi tak ada apa apa jadi. Lagipun Afiq pun ada. Lega sikit rasanya." luah Puan Aimi. Akhirnya kerisauan yang dialami oleh dirinya diluahkan jua. Sungguh dia rasa seperti ada perkara buruk yang bakal terjadi.
"Insyallah tak ada apa lah tu. Perasaan awak je. Bukan memang selalu jadi macam tu tapi tak ada pun yang jadi kan? Istighfar je banyak banyak. " ujar Encik Zahid cuba menenangkan isterinya. Dia merangkul erat pinggang isterinya lalu dibawa ke dakapannya. Belakang badan isterinya diusap perlahan.
Puan Aimi sekadar membalas pelukan suaminya. Dia cuba memujuk hatinya bahawa tiada apa yang akan berlaku. Dia turut cuba untuk berfikir positif. Mulutnya tidak henti beristighfar agar memohon keselamatan keluarganya.
Ketukan di pintu rumah mereka, menyebabkan pelukan mereka terlerai. "Biar,abang tengok siapa tu
Awak duduk sini tunggu saya" ujar Encik Zahid. Dia berlalu pergi ke arah pintu. Puan Aimi hanya memandang suaminya pergi.
Encik Zahid membuka tombol pintu tersebut tetapi tidak kelihatan sesiapa yang berada di situ. Dia menjengul kepala ke kiri dan kanan namun tiada sesiapa juga yang berada disitu. Hanya sampul surat yang ditinggalkan dihadapan pintu tersebut.
Sampul surat itu diambil oleh Encik Zahid. Dia menutup pintu itu semula. Dia masuk ke dalam rumahnya bersama sampul surat tersebut.
"Siapa yang datang abang?" soal Puan Aimi sebaik sahaja suaminya kembali. Dia melihat sampul surat yang dipegang oleh suaminya.
"Entahlah,tapi orang tu ada tinggalkan sampul surat ni depan pintu tadi." balas Encik Zahid . Sampul surat itu dihulurkan kepada Puan Aimi. Puan Aimi menyambut huluran suaminya.
"Eh,ada nama kita berdua la abang." kata Puan Aimi setelah meneliti sampul surat tersebut. Lantas itu dia membuka sampul surat tersebut. Isi sampul surat tersebut dikeluarkan. Perasaan ingin tahu makin membuak buak didalam dirinya. Dalam masa yang sama,dia juga merasakan tidak sedap hati.
Kandungan sampul surat tersebut menyebabkan dia jatuh terduduk. Terlepas kandungan itu ke lantai. Encik Zahid segera memeriksa keadaan isterinya. Dia turut terkejut.
Terketar ketar tangannya mengambil kandungan tersebut. Puan Aimi pula telah menangis. Air matanya laju berlinangan di pipinya.
Kandungan sampul surat tersebut adalah beberapa gambar anaknya bersama dengan Afiq Raihan didalam sebuah bilik! Mereka kelihatan sedang berbual bersama sama. Namun pakaian yang dipakai oleh mereka yang menimbulkan syak wasangka. Manakan tidak, Anis Raihanna hanya memakai bathrobe tanpa memakai tudung manakala Afiq Raihan hanya mengenakan bathrobe dan seluar!
Anis Raihanna mendengar cerita ibunya terkejut. Nampaknya sangkaan bahawa dia dan Afiq Raihan diperangkap tepat sama sekali. Puan Aimi masih menangis. Dia tidak percaya bahawa anaknya akan melakukan perkara sedemikian. Dia percaya bahawa anaknya pasti ada penjelasan yang muhasabah atas perkara yang berlaku.
"Ibu,dengar cakap Anis. Anis takkan buat perkara yang terkutuk tu. Anis dengan Afiq kena perangkap ibu. Anis akan ceritakan perkara yang sebenar." terang Anis Raihanna yakin. Dia tidak mahu ibubapanya salah faham hanya disebabkan gambar tersebut. Nama baik ibubapanya juga akan tercemar akibat salah faham tu.
???
"Aku salah dengarkan Afiq? Apa yang kau merepek ni. Aku yang akan berkahwin dengan Anis Raihanna minggu depan. Kau jangan cari pasal!" marah Haiqal Iskandar . Suaranya naik senada. Dia mengepal penumbuk. Mata dicerlungkan ke arah Afiq Raihan. Naik turun nafasnya kerana terlalu berang!
Afiq Raihan hanya tenang. Dia sudah menyangka Haiqal Iskandar akan bertindak sedemikian. Sekali lagi dia perlu menerangkan perkara sebenar kepada Haiqal Iskandar. Mungkin dia bertenang sedikit setelah itu.
"Is,tolong dengar dulu sebab aku perlu buat macam ni. Tolonglah,kau je yang boleh tolong aku. Atau kau memang nak aku kahwin dengan Anis Raihanna?" ugut Afiq Raihan. Hanya dengan cara itu baru Haiqal Iskandar akan bertenang. Dia menyilangkan tangannya ke dada. Pandangannya masih dihalakan kepada Afiq Raihan.
Haiqal Iskandar yang terkesan dengan ugutan tadi kembali bertenang. Mukanya tidak bengis seperti tadi. Pandangan Afiq Raihan terhadapnya sukar ditafsirkan. Dia cuba mengagak apa yang bermain diminda Afiq Raihan. Namun gagal.
"Baik aku akan percayakan kau. Tapi pastikan kau tak persiakan kepercayaan aku. Sekarang cerita apa yang aku boleh tolong supaya kau tak perlu mengahwini Anis Raihanna" jawab Haiqal Iskandar tanpa riak. Raut mukanya kelihatan tegas sekali. Dia sungguh serius tiada lagi nada bergurau senda seperti tadi.
"Ayah aku minta aku kahwin dengan Anis Raihanna sebab ibu bapa aku terima sampul surat yang mengandungi gambar aku dengan Anis Raihanna dalam bilik hotel tu. Aku dah cuba terangkan apa yang berlaku tapi dia tetap bertegas dengan keputusan dia. Dia takut gambar tu tersebar dan menjatuhkan maruah keluarga aku. Termasuk juga maruah keluarga Anis Raihanna dengan kau." terang Afiq Raihan. Dia sendiri tak tahu nak berbuat apa. Dia terpaksa memilih antara menjaga maruah keluarganya atau menjaga hati Haiqal Iskandar. Dia tersepit antara keduanya.
Haiqal Iskandar terkedu apabila mendengar penjelasan Afiq Raihan. Sungguh dia tak sangka secepat ini maklumat tersebut akan sampai ke pengetahuan ibu bapa Afiq Raihan. Entah apalagi musibah yang akan menimpa tunangnya dan Afiq Raihan. Dia mula gelisah. Maruah keluarga Afiq Raihan dan Anis Raihanna menjadi taruhan!
"Is,tolong aku wei. Aku tak tahu nak buat apa sekarang ni. Aku tahu kau cintakan Anis. Aku tak sanggup nak hancurkan kebahagiaan kau. Tapi aku pun tak sanggup nak jatuhkan maruah keluarga aku." adu Afiq Raihan. Sungguh dia rasa terbeban dengan dugaan yang dihadapi sekarang ni. Dia rasa seperti ada batu besar yang menghempap dirinya. Rambutnya dikusutkan. Dia serabut.
"Afiq,maafkan aku sebab berkasar dengan kau tadi. Aku tak tahu masalah kau boleh jadi serumit ni. Aku bersimpati terhadap kau. Aku rasa kau perlu berbincang perkara ni dengan Anis Raihanna terlebih dahulu. Cuba kau call dia. Tapi jangan bagitahu dia aku ada dekat sini." cadang Haiqal Iskandar. Dia menepuk perlahan bahu Afiq Raihan. Kalau nak peluk bagai apa pulak orang kata nanti. Hahaha.
"Tapi kenapa tak perlu bagitahu Anis yang kau ada kat sini. Bukan kau yang nak jumpa dia ke?" soal Afiq Raihan. Dia mengerutkan dahi. Tak faham mengapa lelaki itu menyuruhnya berbuat sedemikian.
"Ish,buat jelah. Aku tengah nak tolong kau ni. Atau kau sendiri yang nak selesaikan masalah kau?" ugut Haiqal Iskandar. Terjungkit sedikit keningnya. Dia tersenyum sinis sambil memandang Afiq Raihan.
"Oh kau,pandai eh ugut orang. Tiru aku lah tu..Aku report polis satgi baru tau" ujar Afiq Raihan. Dia menjuihkan bibirnya. Tidak sangka lelaki itu masih akan berlembut dengannya. Padahal tadi dah mengamuk macam bunuh orang jer sekarang lain pula jadinya. Nasib kau lah dapat kawan macam ni.
"Ha tunggu apalagi,call la cepat. Manatahu boleh selesaikan terus masalah kau ni. Kau kena banyak bersabar. Insyallah aku akan tolong kau selagi aku mampu. Tapi kau tak boleh putus asa lah." nasihat Haiqal Iskandar. Seraya itu dia meneguk sedikit air minumannya. Maklumlah, banyak sangat bercakap sampai haus dibuatnya.
"Ye sabarlah,aku nak call la ni. Tak rilek betul ah kau." bidas Afiq Raihan. Sekurangnya bagi la dia berehat dulu. Semua yang terjadi ini macam sekelip mata. Kejadian ini juga memberikan tamparan hebat kepada dirinya.
Haiqal Iskandar hanya mengangguk sebagai balasan. Salah dia juga kerana terlalu memaksa Afiq Raihan. Dia terlupa bahawa perkara ini masih baru bagi lelaki itu. Dia hanya sekadae menjadi pemerhati.
Tidak lama kemudian, Afiq Raihan mengambil telefon bimbitnya. Nombor Anis Raihanna didail. Panggilan telefon tersebut bersambung beberapa minit kemudian.
"Helo Hana.." ucap Afiq Raihan terlebih dahulu. Dia tidak tahu bagaimana untuk menyampaikan perkara tersebut kepada gadis itu. Dia pasti gadis itu tidak mengetahui apa yang telah terjadi. Bagaimana pula penerimaaan gadis itu?
"Helo Afiq. Aku dah tahu segala-galanya. Aku rasa kita kena perangkap wei. Dalang tu dah hantar gambar kita berdua dekat ibubapa aku. Apa kita nak buat ni Afiq!" jerit Anis Raihanna. Nada suaranya jelas menunjukkan dia terdesak.
Afiq Raihan terkejut dengan penjelasan Anis Raihanna. Nampaknya dalang tu turut hantar gambar yang sama kepada ibu bapa Anis Raihanna. Ini juga bermaksud mungkin Anis Raihanna turut tahu bahawa mereka perlu mengahwini satu sama lain bagi menjaga maruah keluarga masing masing.
"Hana,apalagi yang kau tahu?" soal Afiq Raihan. Dia cuba memastikan sama ada tekaannya betul atau tidak. Dia memandang Haiqal Iskandar yang berada dihadapannya. Sesekali dia menghirup air minumannya bagi melegakan keresahan yang dialami.
"Aku dah tahu pasal kita kena kahwin tu. Tapi macam mana dengan tunang aku Afiq? Aku sepatutnya kahwin dengan dia bukan dengan kau!" marah Anis Raihanna. Afiq Raihan terpaksa menjauhkan sedikit telefonnya dari telinga. Suara Anis Raihanna yang nyaring itu membingitkan telinganya.
Afiq Raihan menjulingkan matanya ke atas tanda menyampah. "Oi kau fikir aku nak sangat ke kahwin dengan kau! Asyik terjerit je kerjanya" balas Afiq Raihan tidak puas hati. Haiqal Iskandar yang memerhati sejak dari tadi menendang kaki Afiq Raihan.
Telefon Afiq Raihan dijauhkan semula. "Woi,sakitlah! Kenapa kau tendang aku" marah Afiq Raihan. Membuntang matanya melihat Haiqal Iskandar. Tadi dia yang suruh call Anis Raihanna sekarang nak tendang aku pulak! Apahal!
"Aku suruh kau berbincang dengan Anis bukan bergaduh. Tolong lah serius sikit. Benda ni bukan boleh buat main Afiq. Benda ini melibatkan maruah keluarga kau tahu tak?" ceramah Haiqal Iskandar. Tak berkenan langsung dia dengan perangai tak serius Afiq Raihan. Boleh pulak dibuat main dengan perkara sebegini. Memang tak patut!
Afiq Raihan hanya menunduk malu. Dia tahu memang salah dia. Dia bukan tak serius tapi Anis Raihanna yang mencabar kesabaran dirinya. Dia meminta maaf kepada Haiqal Iskandar sebelum menyambung perbualannya bersama Anis Raihanna.
"Aku minta maaf Afiq. Aku bukan apa. Aku cuma kesiankan tunang aku tu. Dia betul betul cintakan aku. Takkan aku nak kecewakan dia. Apa kita nak buat sekarang ni Afiq? Aku dah buntu." jawab Anis Raihanna. Terkelu sebentar Afiq Raihan mendengar jawapan sepupunya tu. Bukan dia saja yang mengalami perkara tersebut malah sepupunya turut mengalami perkara yang sama!
Dia mengeluh perlahan. Otaknya ligat memikirkan jalan penyelesaian buat mereka berdua. Sukar buat mereka untuk menentukan keputusan buat masa sekarang ni.
"Anis aku rasa apa kata kita balik jer rumah keluarga kita esok. Kerja kita kat sini aku akan suruh orang lain gantikan. Mungkin lebih baik kita berbincang dengan keluarga kita." cadang Afiq Raihan. Hanya itu sahaja yang dia boleh fikir buat masa sekarang.
"Yelah kalau macam tu, tapi kalau tak jalan juga macam mana? Macam mana pula dengan Haiqal Iskandar?" soal Anis Raihanna lagi.
"Aku akan fikirkan dulu macam mana. Lepas aku dah fikir aku bagitau kau. Tentang tunang kau tu aku akan uruskan. Kau tak perlu risau. Aku letak dulu. Assalamualaikum" balas Afiq Raihan. Tidak lama kemudian,panggilan ditamatkan.
"Aku dengan Anis Raihanna dah berbincang. Kami cadang nak bincang perkara ni dengan keluarga dulu. Tapi Anis ada tanya macam mana dengan kau. Aku tak tahu nak jawab apa. Jadi,apa kata kau?" soal Afiq Raihan. Dia memandang Haiqal Iskandar memohon jawapan.
"Oh,kau jangan risau la pasal aku. Sekarang ni kau fokus pada masalah ni jer. Apa rancangan kau lepas ni?" ujar Haiqal Iskandar. Dia cuba mengelak dari dirinya disoal lebih lanjut.
"Aku rasa lepas ni aku nak jumpa pegawai keselamatan la. Aku nak check cctv. Boleh aku tengok mana perempuan tu pergi. Lepas tu ambik kunci baru dekat kaunter hotel. Boleh aku tanya siapa lagi yang ada akses untuk semua kunci bilik kat hotel ni. Lepas habis tu aku cadang nak rehat kat bilik. Kau pulak macam mana? Bila kau nak bagitau Anis?" soal Afiq Raihan lagi. Tidak puas hati dia dengan jawapan lelaki itu. Dia merasakan lelaki itu ada rancangan tersendiri.
Haiqal Iskandar hanya beriak selamba. Dia tahu Afiq Raihan tidak akan berdiam diri sahaja. Ya memang dia mempunyai rancangan tersendiri.
Tetapi rancangannya itu tidak masuk akal langsung.
"Oh,nanti aku bagitau la pada dia. Kau jangan buka mulut lagi faham. Kau rehatlah." ujar Haiqal Iskandar. Dia cuba menukar topik. Malas dia mahu mengeruhkan lagi keadaan dengan idea tak masuk dek akal dia tu.
"Jap, kau ada rancangan sendiri ke apa? Bagitau jelah kat aku. Kau tak kesian ke kat aku ni." ujar Afiq Raihan lagi. Dia mencuba nasib. Timbul rasa ingin tahu didalam dirinya.
Haiqal Iskandar mula resah. Dia berbelah bahagi. Nak bagitahu ke tak nak? Monolog hatinya. Akhirnya dia dah buat keputusan. Ini sahajalah jalan penyelesaian yang terakhir. Dia dah fikir masak masak. Akibat daripada rancangannya itu turut difikirkan terlebih dahulu. Dia sanggup tanggung risiko.
"Aku bagitahu ni kau jangan terkejut pulak. Aku dah fikir masak-masak." ucap Haiqal Iskandar. Bersinar mata Afiq Raihan apabila mendengar kata kata Haiqal Iskandar.
Apa agaknya yang bermain difikirannya sekarang ni? Dia hanya mendengar kata kata lelaki itu yang seterusnya.
"Aku cadangkan kau berkahwin dengan Anis Raihanna."
Share this novel