Bab 4

Humor Series 30996

Semenjak itu, hari-hari Azlan berubah. Kalau waktu rehat biasa, dia akan makan sambil termenung melayan perasaan seorang sehingga tamat waktu rehatnya.

Tapi kali ini, makan bukanlah agenda paling penting dalam hidup seorang Azlan.

Oh ini perkara besar.

Sangat besar jika kamu mengenali siapa Azlan. Tidak pernah ada orang yang begitu berani meletakkan hobinya ialah makan selain dari Azlan.

Azlan pernah ada rekod memenangi pertandingan makan hotdog paling banyak dalam tempoh 5 minit selama 3 tahun berturut. Itu pun 3 tahun sebab dia baru tahu yang pertandingan seperti itu wujud di Malaysia. Kalau tidak mahu lahir lahir saja sudah mula isi boring untuk pertandingan kuat makan. Sudah nampak bagaimana besarnya impak makan dalam dunia Azlan? Bagus.

Jadinya, apa agenda terbaru Azlan?

Azlan cuma menjamah makanan dalam satu dua suap. Bakinya, disimpan untuk di makan waktu lain. Terkejut bukan kepalang rakan kerjanya bila mereka dapat tahu yang Azlan makan sedikit. Ada yang start bukak betting sama ada Azlan itu sedang berdiet, ataupun baru lepas direject cintanya. Lantaklah, fikir Azlan. Asalkan mereka bahagia dengan cara mereka, dan dia bahagia dengan cara dia.

Selepas makan, dia akan bergegas menuju ke kedai buku tempat Lisa bekerja, menghabiskan saki baki waktu rehatnya (yang biasanya masih berbaki 30 hingga 45 minit) disitu. Bukan nak cari buku sangat pun. Lebih kepada nak curi tatap wajah bidadari yang dah curi hatinya. Oh, sudahkah digambarkan betapa indahnya Lisa?

Sekadar mencuri tatap wajah. Menegur dan berbual dengan Lisa?

Oh no no no. Itu memang lansung tidak ada dalam perancangan Azlan. Bukan tak hendak. Kalau ikutkan hati, sudah lama Azlan hendak menegur, ajak berbual benda kosong, dan mengajak luang masa di luar waktu kerja. Sayangnya, Azlan sedar diri dan keyakinan dia tidaklah setinggi itu. Dan juga kalau diambil kira sama tahap kecantikan Lisa ini, bukan sebarang lelaki yang boleh tiba-tiba nak datang dekat dan berbual benda-benda santai.

Bukan. Azlan sedar dia tidak hensem, gemuk, dan tak kaya.

Ya, Azlan sangat yakin yang gadis idamannya itu sudah pasti mempunyai standard tertentu yang perlu dipenuhi.

Hakikat ini dikuatkan lagi tatkala Azlan sedar yang setiap kali mereka berdua terselisih pandangan mata, mesti Lisa akan mula masuk ke dalam stor untuk satu tempoh yang sangat sangat sangat lama (Tak keluar lansung).

Azlan ada caranya sendiri untuk mengelakkan diri yang memang sudah sedia down, untuk tidak makin down yang teramat-amat. Dibisikkan ayat ini di dalam hati,

“Mungkin bosnya suruh buat kerja kot,” berulang kali walaupun hakikat sebenarnya, dia sendiri tahu. Ianya bukan begitu.

Cuma sejarah minta ianya diulang tayang semula.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience