Rate

Bab 3

Romance Series 2929

JAUH Nursyazwani termenung. Pandangannya tembus ke hadapan padang rumput yang terbentang hijau di matanya kini.

Dari luaran nampak macam menikmati keindahan tersebut, hakikatnya otaknya sudah jauh melayang entah ke mana. Malah kerja sekolah yang sepatutnya dia buat sudah tergendala sejak beberapa minit yang lepas.

Niatnya datang ke taman berhadapan dengan Pekan Baru Pitas tersebut untuk mengulang kaji dan buat nota Sejarah macam yang diminta oleh cikgu Joseph minggu lepas.

Ajak Umairah datang sekali supaya tidaklah dia bosan sepanjang petang tersebut. Kalau dia buat di rumah, alamatnya boleh dia tertidur sepanjang hari cuti hujung minggu itu.

Kalau ada Umairah dapat juga menghilangkan bosannya jika penat belajar nanti. Namun kelibat Umairah masih belum-belum muncul sejak dia duduk menanti di situ dari pukul dua petang. Sekarang sudah mahu dekat jam tiga. Mana pulalah dia ni.

Memang sengaja Nursyazwani mahu mereka mengulang kaji di situ. Lagipun setiap petang, kelibat tiga orang jejaka kegilaan sekolahnya itu akan datang ke situ dan main bola sepak di padang yang menghadap sekolah.

Lepas Asar, dalam jam empat akan muncullah mereka nanti. Namun dia sengaja datang awal ke situ supaya dapat siapkan kerja rumahnya sebelum menumpuhkan perhatian seratus-peratus ke arah padang bola sepak itu nanti.

“Assalamualaikum!” laung Umairah sambil lari-lari anak ke arahnya. Sengihannya panjang sampailah dia mendekati Nursyazwani.

Namun Nursyazwani mencebik. Janji jam dua, datang jam tiga. Apa kes?

“Dosa tahu kalau tidak sambut?” usik Umairah sebaik melabuhkan punggung di kerusi berhadapan dengan Nursyazwani.

“Walaikumsalam!” Geram saja bunyi Nursyazwani menyambut salam tersebut. Umairah terus ketawa-ketawa macam orang sewel.

“Kenapa lambat?” terus soalan ditanya.

“Aku ada kerja sikit di rumah tadi, bah. Sorrylah,” beritahu Umairah. Sengihannya masih panjang macam baru sampai tadi.

Nursyazwani mencebik bibirnya lagi. Alasan! Yang peliknya, walaupun tahu itu cuma alasan Umairah, Nursyazwani tidak pernah mahu tanya lebih. Apa yang penting baginya, rakannya itu datang juga walaupun lambat.

“Kau sudah siap buat nota Sejarah?” Umairah ubah tajuk perbualan. Sengaja mahu mematikan sakit hati Nursyazwani padanya tadi.

Nursyazwani angkat buku nota dan menunjukkan nota itu di hadapan Umairah. Berkerut dahi Umairah jadinya.

“Baru pengenalan kau buat? Biar betul?” macam tidak percaya pula Umairah dengan nota yang dilihatnya itu.

Nursyazwani meletakkan semula notanya ke meja. Dia jungkit bahu sekali.

“Aku berangan tadi sebelum kau sampai. Sebab tu tidak siap-siap.”

Geleng kepala Umairah mendengar jawapan Nursyazwani. Boleh tahan serius juga kawan aku ni kalau hal berangan.

“Kau berangan apa?” dilayan juga cerita Nursyazwani sambil dia mengeluarkan buku teks Sejarah dan nota panjangnya dari dalam beg sekolah. Disusun kemas-kemas atas meja sebelum memandang ke arah Nursyazwani semula.

“Kau rasa...” belum sempat Nursyazwani menghabiskan ayatnya, Umairah terus tepuk tangan sekali di hadapan gadis itu.

“Kalau kau mahu cerita pasal si Nursafwan kau tu, aku rasa aku tahu apa kau mahu cakap.”
Nursyazwani memicingkan pandangannya ke arah gadis tersebut.

“Apa-apa pun, kalau kau tidak putus asa, aku pasti suatu hari nanti si Nursafwan tu akan perasan kehadiran kau di sisinya selama ni. So, never give up!” Umairah memberi kata semangat, namun lain pula tindak balas Nursyazwani.

Gadis itu terus tunduk ke bawah macam orang kematian semangat saja lagaknya.

“Dari tingkatan satu aku suka dia. Masuk aktiviti mana yang dia ada, cuma satu saja aku tidak dapat ikut.” Ayatnya mati di situ. Umairah sabar menanti ayat seterusnya.

“Kadet Polis. Kau tahu kan aku jenis yang macam mana?”

“Gadis Melayu Terakhir!” serentak mereka menyebut gelaran yang begitu sinonim dengan Nursyazwani itu. Kemudian mereka ketawa sama-sama.

“Alah, tidak semestinya kau suka dia semua aktiviti dia pun kau kena ikut juga. Normallah persatuan lain-lain. Walau jauh tapi dekat di hati.” Pujuk Umairah, cuba menceriakan kembali hati kawan baiknya itu.

Nursyazwani angguk-angguk setuju. Hanya Umairah yang memahami perasaannya itu selama ini. Pahit manisnya dia dalam menyintai Nursafwan dalam diam, semua dalam pengetahuan Umairah. Jadi, dia tidak pernah kekok barang sekali dalam meluahkan perasaannya terhadap Nursafwan di hadapan Umairah.

“Anyway, cinta-cinta juga. Sekarang ni kita kena siapkan dulu nota Sejarah ni. Aku belum start lagi tahu. Kau tu tidak apalah, sudah ada pengenalan.” Nursyazwani pantas mencebik.

“Perli nampak?”

Umairah tertawa kecil.

*****

TIBA-TIBA Nursyazwani meletakkan pen ke atas meja. Perut terus disapu-sapu tanda dia sudah kelaparan kerana duduk begitu lama di situ sejak tadi.

Sebenarnya baru dua jam saja pun. Umairah dilihatnya begitu tekun sekali cuba menyiapkan nota Sejarah tersebut, sampai tidak perasan Nursyazwani sudah berhenti menulis.

“Kau ada bawa makanankah, Umai?” soal Nursyazwani.

Lantas gerakan jari-jemari Umairah menulis terhenti. Dia memandang ke hadapan kemudian menggeleng kepalanya kecil.

“Kau belikan aku makanan, boleh?” pinta Nursyazwani dengan muka meminta simpati.

Namun Umairah geleng kepala laju.

“Tidak mahu!” dia menyambung semula tulisannya.

Terus muncung mulut Nursyazwani saat ini.

“Mana duit kau, akulah beli!” geram Nursyazwani bersuara. Dia sudah berdiri sambil meminta duit dari Umairah.

Rakannya itu kemudian mengeluarkan dua keping not satu ringgit dari dalam kocek seluar track-suitnya dan menyerahkannya pada Nursyazwani.

“Mahu apa?” soal Nursyazwani kemudian.

“100 plus. Selebihnya kau belilah makanan apa-apa, yang penting boleh makan. Ok?” beritahu Umairah sambil tersengih-sengih.

Nursyazwani mencebik bibirnya lagi sebelum berlalu.

Dia hanya berjalan kaki ke Pekan yang berada tidak jauh dari taman tempat mereka melepak itu. Dengan payung warna merah jambu, kelihatan dia sudah macam Siti Payung pula.

Mujur cuaca petang itu kurang panas, jadi haba yang ada pun tidak terasa benar menyengat kulitnya.

Tiba di kedai runcit yang menjual pelbagai jenis makanan ringan, Nursyazwani terus masuk ke dalam. Tidak lupa menyapa pada penjaga kedai yang sememangnya sudah cukup dikenalinya.

“Aik, sorang ja? Selalunya berdua?” sua Kenny, gadis bangsa Dusun pemilik kedai itu bertanya ramah.

Nursyazwani menggeleng seraya tersenyum kecil.

“Dia jadi bos hari ni,” Nursyazwani sempat berseloroh.

Ketawa kecil Kenny mendengar.

Nursyazwani kemudian menuju ke arah peti sejuk yang meletakkan minuman bergas di dalamnya. Membuka pintu itu dan mengambil pesanan Umairah dan air yang dia mahu. Pintu itu ditutup semula dan dia menuju ke arah makanan ringan pula.

Keropok Ma-Mi berharga sepuluh sen itu diambilnya cukup-cukup untuk satu ringgit setengah. Kemudian dia menuju ke kaunter pembayaran. Setelah membayar semua beliannya, dia meminta diri.

Baru saja dia mahu keluar dari kedai tersebut, tiba-tiba dia terlanggar seseorang. Plastik hitam yang berisi dengan makanan ringan yang dibelinya tadi terjatuh ke lantai.

Kelibat yang dilanggarnya tadi menunduk dan mengutip plastiknya, lalu diserahkan semula pada Nursyazwani.

Melihat kelibat yang sedang berdiri dihadapannya itu saat ini, membuatkan Nursyazwani sudah macam Patung Cendana lagaknya. Tidak mampu berkata-kata saat matanya tepat memandang mata Nursafwan.

Nursafwan pula yang jadi bingung sendiri.

“Ok, kah?” soal lelaki itu. Buat pertama kalinya, pemilik suara tersebut bercakap terus dengannya.

Teragak-agak Nursyazwani mengangguk. Lalu diambil plastik tadi dan terus berlalu tanpa terfikir mahu minta maaf langsung.

Sesungguhnya Nursyazwani sedaya upaya menahan malu.

Merah padam mukanya kerana berdiri secara berhadapan dengan Nursafwan hari ini tanpa Umairah di sisi.

Mungkin kalau Umairah ada tadi, perasaan malu itu kurang sikit.

Nursafwan diam saja melihat kelibat gadis itu sudah menjauh. Dia geleng kepala sendiri. Boleh tahan pemalu juga dia ni rupanya. Senyuman kecil kini menghiasi wajah kacak tersebut.

“Woi!” panggil Adli. Pantas kepala Nursafwan beralih pada kelibat Adli yang sudah berada dalam kedai runcit tersebut.

“Kau pergi mana tadi? Tiba-tiba menghilang.” Rungut Adli kemudian.

Nursafwan tersengih-sengih macam kerang busuk. Lalu dia masuk ke dalam kedai itu dan melihat-lihat mahu beli apa. Kemudian bahunya pula ditepuk Zafran yang berdiri di sisinya.

“Kau, kalau senyum macam tu lagi dengan aku-aku sekali jatuh cinta tahu.” Usik Zafran.

Bulat serta-merta mata lelaki itu.

Adli sudah ketawa terbahak-bahak.

Sementara Kenny yang tidak sengaja mendengar perbualan mereka tadi, geleng kepala. Budak-budak ni, dari dulu selalu buat aku senyum seorang diri macam orang gila.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience