DAMIA tak faham sepatah haram pun apa yang dibincangkan oleh Zaid dan seorang lelaki Cina di depan mereka tu. Masing-masing speaking English kau!
Kalau cakap pelan-pelan pun Damia jenuh mahu mentafsir, ini apatah pula cakap laju-laju mengalahkan kereta api peluru di Jepun. Amboi ... melampau sangat hiperbola tu. Tapi itulah kebenarannya. Zaid dengan lelaki berbangsa Cina berumur pertengahan abad itu berdiskusi, dah macam tengah buat pengambaran filem Hollywood pula.
Ini Malaysia, bukannya Amerika! Bukan England!
Kali terakhir Damia menghadap Bahasa Inggeris adalah pada masa dia belajar STPM dulu. Yang bermaksud empat tahun yang lepas! Kalau tak belajar beberapa bulan pun dah banyak yang ketinggalan dan terlupa, ini apatah lagi tinggalkan Bahasa Inggeris untuk beberapa tahun.
Kalau setakat 'hello', 'thank you', 'i love you', itu bolehlah Damia nak faham. Ni, segala mak nenek Bahasa Inggeris keluar dari mulut lelaki-lelaki tu. Haih! Nak catat benda pun payah.
Perjumpaan dengan klien kelmarin lebih mudah. Lancar aje kerja sebab masing-masang cakap melayu. Dah nama pun jumpa klien Melayu, kan? Jadi Damia mudahlah nak buat kerja dia. Tak adalah satu info atau perkara yang dia terlepas catat.
Hari ini, hari kedua dia bekerja dah kena hadap masalah. Dan masalahnya ialah ... tak bisa Bahasa Inggeris! Apa yang Damia boleh buat sekarang pun, hanya fokus mendengar perbualan bosnya itu. Buat-buat fahamlah kiranya.
"Damia, can you give me the agreement contract in that file?" Zaid alihkan pandangan kepada Damia di sebelahnya. Damia pula, semestinya menggelabah tak tentu arah.
"Apa track?" Dalam keadaan berbisik Damia bertanya. Tapi bisik-bisik pun, lelaki tua di hadapan mereka masih boleh mendengar. Nampak dia tersenyum simpul sahaja.
Zaid tersenyum kepada Datuk Jimmy yang nampak macam menahan gelak. Geli hati pun ada dengan celoteh PA baru tu.
"Bagi surat kontrak yang saya suruh awak sediakan tu. Ada kat dalam fail, kan?" Zaid menterjemah semula.
Damia angguk dan mulutnya dibentuk huruf 'o' besar. Kan senang kalau dari tadi bagi arahan dalam Bahasa Melayu.
Damia terus menyelak fail berwarna hitam itu. Beberapa lembar kertas yang sudah siap distapler dihulurkan ke tangan Zaid.
Zaid terima surat kontrak itu dengan ucapan terima kasih sebelum surat itu bertukar tangan kepada Datuk Jimmy.
Datuk Jimmy lalu membelek satu per satu helaian kertas itu. Lama juga dia teliti isi kandungan kontrak sebelum turunkan tandatangan dan cop miliknya.
Alhamdulillah ... selesai!
Zaid dan Datuk Jimmy terus berjabat tangan. Ini bermakna perikatan kontrak antara VeoBay Group dan Wong Holding sudah termeterai. Damia tak tahu kontrak untuk projek apa tapi perkataan yang dia banyak kali dengar tadi adalah berkaitan resort dan Pahang. Mungkin projek mereka adalah tentang dua perkara tu.
Baru sahaja mahu beredar pergi, Datuk Jimmy hentikan langkahnya.
"Before I forgot, Zaid. She's your new PA, right?" tanyanya sambil mulutnya dijuihkan kepada Damia.
Zaid pandang sekilas Damia di sebelahnya sebelum membalas, "Yes. For temporary."
"She's beautiful! Just like your previous PA, but she's more gorgeous although with the scarf," puji Datuk Jimmy.
Dahi Damia berkerut-kerut. Aku dengar perkataan 'beautiful' tadi jadi mestilah dia kata aku cantik, kan? Kalau betul, terima kasihlah Datuk Jimmy atas pujian tu. Damia hanya mampu simpan senyumnya.
"Thanks, Datuk." Acuh tak acuh sahaja Zaid ucapkan tapi garisan senyuman masih tak lekang.
"Maybe this is your chance to grab her as your's. Why not, right? Because before this, you had missed lot of chances," kata Datuk Jimmy lagi.
Zaid tertawa kecil sambil melirik-lirik Damia. Tengok muka Damia yang nampak blur tu, bolehlah dia bernafas lega. Nasib baiklah Damia tu tak faham apa yang Datuk Jimmy cakap.
Makin susah keadaan jika Damia faham perbualan mereka. Nanti dia salah sangka dengan Zaid pula.
"I don't think so, Datuk. She's already owned by someone."
"Ah, i see ..." Datuk Jimmy terangguk-angguk. "By the way, I think I should go now. Thank you for your cooperations and I'm really looking forward into our project," ucapnya.
Datuk Jimmy lalu berpamitan pergi. Tinggallah Damia dan Zaid berdua di meja makan restoran mewah itu.
"Jom, balik ofis," arah Zaid lalu tanpa menunggu, dia terus buka langkahnya.
Damia tergocoh-gocoh mengikut bosnya itu. Tak boleh nak menunggu sungguh. Macamlah ada hal kecemasan sangat nak cepat-cepat bagai. Lagipun, hari ini hanya perjumpaan bersama Datuk Jimmy saja yang perlu dia buat. Rungut Damia dalam hati.
Dahlah hatinya masih panas tadi. Walaupun perbualan Zaid dan Datuk Jimmy tadi sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris, tapi Damia tahu yang mereka berdua tu sedang 'mengata' tentangnya.
Mana taknya, mata Datuk Jimmy tu asyik-asyik terhala kepadanya. Takkan lelaki tua tu mahu mengata tentang ibunya tu pula.
"Tadi Encik Zaffran dengan Datuk mengumpat saya, eh?" tanya Damia apabila kereta Audi R8 yang dipandu Zaid mula membelah jalan.
Zaid hanya senyum sambil memandang sekilas Damia di sebelahnya. Tak ada tanda-tanda mahu menjawab soalan dari PAnya itu.
Damia pandang ke luar tingkap. Malas nak menunggu jawapan bosnya itu. Tapi riak wajahnya dipaksa untuk terus tenang. Takkanlah nak tunjuk merajuk kat bos pula, kan?
Lainlah kalau dengan Syafiq. Dengan suaminya tu, kalau boleh hari-hari nak tunjuk merajuk. Lapar perhatian katakan. Maklumlah, dia memang suka kena pujuk suaminya tu.
Setelah agak lama juga Zaid biarkan soalan Damia tergantung, dia mula menjawab, "Yup, tadi saya dengan Datuk Jimmy ada cakap tentang awak. Tapi tak mengumpat, okey. Kami puji aje."
Damia angguk. Tapi hanya angguk sahajalah, bukannya dia percaya pun. Dia tahu, Zaid tak beritahu perkara yang sebenar sepenuhnya tadi. Tahulah dia tu tak reti cakap Bahasa Inggeris tapi dia masih faham sedikit.
Tunggulah aku belajar satu hari nanti. Kalau aku boleh cakap Bahasa Inggeris nanti, silap-silap Encik Zaffran pun kalah bercakap Bahasa Inggeris dengan aku. Damia sudah memasang niatnya.
*****
Selepas pulang kerja, kena teman ibunya di rumah pula sementara menunggu suaminya habis meniaga. Lepas suaminya habis meniaga, barulah dia dapat jejakkan kaki semula ke homestay Mak Cik Zainab ini a.k.a rumah sementaranya. Kat homestay ni, barulah dia dapat berehat dengan setenang dan sepuas-puas hatinya. Itulah rutin Damia setiap minggu bekerja.
Penat? Tipulah kalau tak rasa penat. Hari-hari ulang-alik buat benda yang sama. Biarpun begitu, kepenatannya tetap tak boleh dibandingkan dengan kepenatan Syafiq.
Syafiqlah yang banyak berpatah pinggang sepanjang Damia mula bekerja ini. Dia sanggup berhabis masa dan berpenat lelah melekatkan punggungnya di kusyen motosikal miliknya untuk menghantar dan mengambil Damia ke tempat kerja. Lepas tu, hantar Damia ke rumah Mak Siti, pergi meniaga di gerai dan ambil Damia pulang ke homestay.
Tempat kerja Damia tu, ambil masa 45 minit juga nak ke sana. Jadinya dalam sehari, agaknya enam hingga lapan kali jugalah dia terpaksa berkepit dengan motosikal EX5nya itu.
Biarlah orang lain mencemuh fizikal motosikal miliknya, yang penting motosikalnya itu masih elok digunakan. Paling banyak berjasalah motosikalnya itu.
Bayangkan, penatnya itu macam mana. Jangan ingat menunggang motosikal ni tak guna tenaga. Kena tahan mengantuk tu pasti, dan juga perlu fokus sepanjang perjalanan. Belum cakap pasal sakit dan lenguh badan lagi tu.
Damia sudah berpesan pun, yang dia boleh pulang dengan perkhidmatan Grab tapi Syafiq tetap menolak. Dia lebih rela dan suka memenatkan diri untuk memboncengkan isterinya itu. Damia pun, ikut sahajalah arahan suaminya. Dah suaminya sanggup buat macam tu.
Tapi naik motosikal berdua, tak adalah seteruk mana. Nampak lagi sweet kan kalau pasangan suami isteri naik motosikal macam tu.
Damia pun rasa dia lebih suka membonceng motosikal suaminya. Maklumlah, naik motosikal dengan encik suami, mestilah keselamatan dirinya terjaga. Sambil-sambil tu, rasa seronok pun dapat.
Air kopi suam dicicip perlahan. Kepala digeleng-geleng untuk menghalau kantuk yang serasa mahu menjelma. Dari tadi fikirannya sudah tak fokus. Kejap fikir fasal penat, kejap fikir fasal motosikal. Kesan mengantuk selepas seharian bekerjalah tu.
Kertas-kertas di atas meja disusun lalu dimasukkan ke dalam fail. Kerjanya untuk menyusun atur dokumen sudah siap pun sedari tadi, tapi termenung punya fasal, tengok-tengok dah nak dekat pukul 11:40 malam sudah. Esok sebelum pukul 6:30 pagi, dah nak kena bersiap untuk pergi kerja.
Damia letak fail itu di sebelah tas tangannya di atas meja. Jadi esok, kalau nak pergi kerja, terus dicapai aje tas tangan dan fail itu. Mudah. Tak payah sediakan last minute.
Tiba-tiba Damia terfikirkan pula tentang kelas yang Kak Riana cakapkan tadi. Kelas Bahasa Inggeris. Ya, mestilah kelas untuk dirinya memperkukuhkan kemahiran dalam bahasa itu.
Sejak dari hari itu, Damia tak pasang tekadnya untuk belajar Bahasa Inggeris dengan serius pun. Baginya, buat apa nak belajar Bahasa Inggeris demi jadi PA Zaid? Itu tak berbaloi!
Kelas masa kat sekolah dulu pun dia malas masuk apatah lagi kelas selepas menempuh alam pekerjaan.
Tapi lepas dia bertanya kepada 'Geng Abang dan Akak Senior' VeoBay Group tu, mereka cakap yang personal assistant Zaid selalunya mahir dalam Bahasa Inggeris. Damia dengar benda tu, rasa tercabarlah.
Takkanlah dia yang menjadi satu-satunya PA Zaid yang senget otak? Buat kerja pun kadang tak betul, inikan pula nak cakap English. Ceh!
Kelas Bahasa Inggeris? Tak pernah terfikir nak masuk. Kak Riana yang cadangkan untuk sertai kelas itu. Dia pun nak juga Damia kukuhkan kemahiran berbahasanya. Damia pun, nampak semakin berminat dengan kelas tu.
Damia hela nafas. Bukan dia tak nak tapi itulah. Tentang perkara tersebut, dia kena tanya suaminya dahulu. Nak beritahu hal tu hari ni, tapi rasanya suaminya sudah tidur. Tak apalah, esok sajalah dia tanya.
Damia menggeliat meregangkan otot yang terasa mencengkam. Lega sungguh. Ini kalau disorongkan bantal, boleh tidur sampai ke malam esoklah jawabnya.
Ish, tak boleh! Kalau dia tidur kat meja makan, memang esok mesti kena bebel dengan suaminya. Bukan tak pernah dia kena marah dengan suaminya, hanya kerana dia tidur beralaskan lengan di atas meja.
Kenapa tidur atas meja? Katil kan ada. Kalau sayang sakit badan, sakit belakang, nanti siapa susah? Abang jugak tau.
Itulah ayat-ayat yang Syafiq selalu lontarkan yang masih melekat dalam otaknya. Bukan dia benci suaminya membebel, tapi penat tau nak menadah telinga. Tapi kadang rasa comel pula dengar suaminya yang boleh tahan pendiam orangnya, berleter sebegitu. Jadi, lebih baik dia bangun sekarang dan tidur dalam bilik.
"Dah habis buat kerja?"
Hampir kaget Damia dengan suara yang tiba-tiba menerjah kesunyian di ruang tamu itu. Damia kenal, itu suara suaminya. Dia pun hanya senyum dan angguk.
"Kenapa tak tidur lagi ni, sayang? Dah lewat ni. Esok kan nak bangun pagi," tambah Syafiq lagi. Kerana haus, air mineral di dalam botol dituang ke dalam cawan. Diteguk rakus air itu hilangkan rasa dahaga yang membantutkan tidurnya tadi.
"Baru nak masuk tidur ni." Damia bangun dari duduknya untuk masuk ke dalam bilik.
Syafiq pun, dalam keadaan separa mamai pun, tak lepas tu dari memimpin tangan isterinya masuk ke dalam bilik sekali. Pegang tangan si isteri, auto segar matanya.
Mereka terus rebahkan tubuh di dada katil. Hutang tidur mesti dilunaskan.
Sebelum tu, Damia perlu nyatakan permintaan yang berlegar di fikirannya tadi kepada suaminya. Alang-alang suaminya tengah menghadap telefon tu, baik dia cakap sekarang sebelum masing-masing dibuai lena.
"Abang ... saya nak cakap sikit, boleh?"
Syafiq terus letakkan telefonnya di sebelah bantal. Tubuhnya mengiring menghadap isterinya. Tangannya menongkat kepala beralaskan bantal.
Secara tak langsung, dia tiru posisi isterinya. Mata masing-masing bertentangan.
"Nak cakap apa?" tanya Syafiq.
"Tapi kalau saya mintak satu benda ni, abang jangan marah, tau."
"Benda apa tu?" Kening Syafiq hampir bertemu. Rasa ada yang tak kena pula bila isterinya cakap macam tu. Terus dia mengubah posisinya kepada duduk bersila. Diikuti isterinya.
Nampak gayanya, macam serius aje permintaan isterinya itu. Mana mungkin dia mahu bersenang-lenang menongkat kepala seperti tadi.
"Sebenarnya, saya nak masuk kelas Bahasa Inggeris. Boleh tak, bang?" Damia suarakan permintaannya.
Syafiq tak mampu kawal ekspresi wajahnya. Makin berkerut pula dahinya itu.
"Kelas Bahasa Inggeris? Untuk apa?"
"Memandangkan saya jadi PA bos, saya kenalah kuasai Bahasa Inggeris saya tu. Abang pun tahu kan company Encik Zaffran tu macam mana. Company dia besar. So, mestilah kena hadap klien dari pelbagai company. Klien pun bukan orang melayu aje. Cina ada, India ada, mat saleh pun ada tau, bang. Dengan guna Bahasa Inggeris ni la saya dan Encik Zaffran boleh guna untuk communicate dengan klien tu," terang Damia bersungguh-sungguh. Kantuk yang terasa tadinya, sudah hilang pula rasanya.
Syafiq menatap tajam tepat ke anak mata isterinya. Penjelasan isterinya menimbulkan rasa tak puas hati.
"Pasal communicate tu, biarlah Zaid tu yang buat. Dah dia yang bos. Ni apa hal sayang pulak yang kena cakap English sekali? Sayang tu PA je," lawannya.
"Memang la tapi saya sebagai PA dia, kenalah catat apa-apa yang penting sepanjang discussion atau meeting yang Encik Zaffran hadir. Kalau masing-masing cakap Inggeris, dan saya tak cekap cakap Inggeris, saya nak catat apa? Catat benda penting tu kerja saya."
"Apa Zaid tu tak reti mencatat? Dah dia nak cakap English, dia catatlah sendiri." Syafiq mendengus geram. Nampak macam Zaid tu sengaja membuli isterinya untuk belajar Bahasa Inggeris pula padahal realitinya tak pun.
Damia diam. Matanya ditujukan ke bawah. Cadar katil ditatap lama. Bukannya mahu menangis tapi dia terima seadanya jika suaminya tak izinkan pun. Tapi itulah, rasa kecewa tu pasti tetap terasa.
Keadaan senyap seketika. Masing-masing membisukan diri sebelum helaan nafas Syafiq kedengaran.
"Kelas yang sayang nak pergi tu kat mana? Berapa lama kelas tu?" soal Syafiq tiba-tiba. Dia cuba lembutkan jua hatinya untuk tunaikan permintaan isterinya.
Risau juga kalau isterinya tu merajuk lagi. Isterinya tu, sejak-sejak ni sensitif sungguh. Ingat lepas dapat kerja, hilanglah perangai emosionalnya itu. Rupa-rupanya, sama aje. Suka merajuk, lepas tu harap kena pujuk.
Damia angkat wajahnya. Senyum nipis diberi sebelum dia bertutur, "Kelas tu dekat-dekat sini je. Dekat dengan tapak pasar malam, belakang tu ada kawasan perumahan. Kat kawasan situlah kelas dia. Kelas tu buat setiap hari Sabtu, pukul 10:00 pagi sampai 2:00 petang."
"Kelas tu kena bayar tak?"
"Kena."
"Kena berapa?"
Damia senyap. Bibirnya dirapatkan. Damia berdehem sekali untuk membuang gugup.
"Err ... RM30 yuran pendaftaran, RM250 untuk yuran bulanan. Jadi semua RM280 untuk empat kali kelas dalam sebulan." Senyuman kelat Damia tayangkan.
Mahu terbuntang mata Syafiq mendengar harga yuran kelas tersebut. Mulutnya luas melopong. RM280 hanya untuk hadiri kelas Bahasa Inggeris? Itu kalau pandai bajet, boleh guna untuk perbelanjaan selama dua minggu tu.
Kalau orang berada pun fikir dua kali mengenai harga yuran kelas tersebut, ini apatah pula mereka yang hanya hidup cukup-cukup makan itu. Harga tak masuk akal langsung!
"Mahalnya. Abang rasa membazir je la nanti kalau sayang daftar kelas tu. Cari kelas lain ajelah," bantah Syafiq tidak menyetujui permintaan isterinya. Nak masuk kelas Bahasa Inggeris boleh, tapi harga tu pada-padalah.
Damia mencemik. "Ala, bang. Kak Riana kawan tempat kerja saya tu cakap, cikgu yang buat kelas tu lulusan Universiti Stanford. Sebab tu mahal. Kalau lulusan dari universiti terkemuka tu, mestilah pengajaran dia tiptop."
"Tak kisahlah lulusan luar negara ke, tak ada kelulusan macam abang ke, abang tetap tak setuju kalau harga kelas dia mencekik darah macam tu. Kelas pun dahlah seminggu sekali je. Duit kita pun bukannya berkepuk-kepuk."
"Please, bang. Nanti lepas saya dapat gaji, saya bayarlah. Untuk bulan ni aje saya nak abang bayarkan untuk saya. Lagipun, duit yang Mak Cik Zainab bagi tu belum habis lagi, kan?" rayu Damia lagi. Kedua belah tangannya disatukan dan matanya memanah tepat kepada suaminya dengan pandangan raih simpati.
Syafiq gelengkan kepala. Matanya merah menahan amarah. Tapi tak pula dia mahu melampiaskan berangnya itu. Dia biarkan rasa itu tertahan dalam diri melihat kedegilan isterinya.
"Duit bantuan je yang sayang ingat? Apa sayang ingat duit tu tak boleh berkurang? Dah banyak benda kita beli guna duit tu tau. Dahlah! Lebih baik sayang tidur aje dari mintak benda yang bukan-bukan. Dah nak dekat pukul 12:00 dah ni. Abang dah malas nak bergaduh dengan sayang. Asyik-asyik abang aje yang mengalah," rungut Syafiq sambil mengeluh deras. Dulu memang dia diam tetapi kali ini dia takkan menahan diri.
Syafiq terus rebahkan tubuhnya. Selimut ditarik menutup tubuh dan tubuhnya dipalingkan membelakangi isterinya. Tak mahu mendengar isterinya menceceh lebih-lebih. Nampak sangat yang dia dah malas melayan. Tengah mengantuk ni, isterinya pula buat perangai,
Damia telan liur. Terkesan dengan hamburan suaminya tapi dia segera cuba sedaya upaya untuk menelan semua itu.
Dia faham, dan sudah dapat agak akan apa yang bakal dipilih suaminya. Kalau dia di tempat suaminya pun, pasti dia akan lakukan perkara yang sama. Mana nak cekau duit banyak sebegitu?
Betul kata suaminya. Sampai bila mereka nak mengharapkan duit bantuan? Duit bantuan itu sepatutnya digunakan untuk menampung keperluan yang penting saja, bukannya untuk berhabis pada kehendak yang tak penting.
Tubuhnya turut direbahkan. Lihat nafas suaminya yang membelakanginya itu berubah teratur, pasti suaminya itu sudah tidur. Rasa kecewa juga kerana permintaannya itu suaminya tak mahu tunaikan. Dan rasa sebak kerana sudah membuat suaminya marah.
Bukan sekali dia pernah buat suaminya rasa kecewa dengan membuat macam-macam permintaan, tapi banyak kali. Suaminya hanya mengalah aje.
Rasa bersalah pula sudah minta benda bukan-bukan. Padahal, kelas Bahasa Inggeris tu, bukan penting sangat. Dia aje yang beria-ia macamlah tak masuk kelas tu, dia kena buang kerja.
Biarpun suaminya membelakanginya, tapi dia tetap mahu tidur mengiring menghadap tubuh tegap suaminya itu. Suaminya itu pasti penat. Dia sebagai isteri, sepatutnya faham akan keadaan suaminya.
"Maafkan saya, bang. Saya janji saya takkan mintak benda bukan-bukan dah," bisik Damia perlahan. Makin lama makin kelam matanya sebelum dirinya dibuai lena bertemankan rasa gundah.
Bersambung...
Selalu Damia je yang marajuk. Kali ni giliran suami dia pulak hahahaha. Ingat Syafiq tu tak boleh merajuk ke ><
Share this novel