BAB 11

Family Completed 5571

AIMI baru sudah menyelesaikan solat fardhu asar bersama Nazirah. Lalu dia ke dapur untuk menyediakan pisang goreng bagi mereka sekeluarga petang ini. Air teh panas dibancuh. Menjadi kegemaran mereka sekeluarga. Alhamdulillah, Nazirah juga sudah semakin sihat, jadi bolehlah dia menyertai perbincangan petang itu. Setelah siap, Aimi membawa makanan dan air ke ruang tamu. Mak, abah dan Nazirah sedang seronok menonton televisyen.

“Sedapnya… nikmat… rasa macam dah setahun tak makan….” Ujar Nazirah.

“Aik? Demam sehari je, dik. Rasa macam setahun dah ke?” tanya abah. Pelik sungguh anak bongsunya ini.

“Mana tak rasa setahun, bah. Dari pagi tadi, cuma dapat bubur, air suam dengan ubat.” Mendengar jawapan Nazirah, Aimi ketawa kecil.

“Macamlah adik ni tak kenal kakak. Kalau dah sakit tu, jangan harap adik dapat makan lain. Bukan adik je, dengan mak abah sekali terlibat kalau kakak yang jaga bila kami sakit.” Balas abah. Aimi tersengih sendiri.

“Tapi, itulah yang buat kita sembuh, kan bang? Tengok Nazirah ni dah sihat pun. Tak sampai 24 jam sakitnya.” Emak menyelit. Abah mengangguk bersetuju. Nazirh pula tersenyum kambing.

Memang kalau dilihat, kakaknya itu sangat tegas bila menjaga orang sakit. Makanan kena sihat, makan on time, makan ubat tepat waktu. Pening kepala diurutkan dengan minyak panas. Tak hilang, dihulur panadol. Mahu tak mahu, telan sajalah. Kalau tidak, mahu dibebel oleh Aimi. Boleh tahan juga mulutnya bila membebel. Paksaannya pun kerana kasih dan sayang. Bukan dia membunuh orang tengah sakit pun. Cuma kalau berdegil, bersiap sedialah menghadapi ketegasan luar biasa dari seorang Aimi.

“Mak, abah… Aimi nak cakap sesuatu ni.” Ujar Aimi, sopan.

“Haaa… nak cakap apa? Nak bagi kami menantu ke?” terjahan abah mengundang tawa Nazirah dan emak. Aimi menarik muka.

“Apa pulak menantu? Abah nii… orang nak cakap pasal kerja la….” Balas Aimi. Abah cuma tersenyum. Memang sengaja mengusik anak sulungnya itu.

“Haaa… cakaplah. Abah dengar ni….” Abah bersuara.

“Abah dengan mak okey ke kalau Aimi kerja? Redha tak kalau Aimi kerja?” tanya Aimi.

“Mak dengan abah tak kisah pun, Aimi. Kalau Aimi rasa benda tu mendatangkan manfaat buat Aimi dunia dan akhirat, mak dengan abah redhakan sahaja. Asalkan tak langgar syariat Allah.” Emak menjawab tenang.

“Abah memang tak kisah kalau Aimi nak kerja. Abah izin dan redhakan. Lagipun, zaman sekarang ni, ekonomi dah semakin jatuh. Nanti-nanti, bila Aimi kahwin pun, perlu duit yang banyak. Dah ada anak, lagilah. Paling kurang, dapatkanlah sebuah kereta dengan rumah. Senang kalau apa-apa terjadi nanti.” Ujar abah pula. Aimi tenang mendengar pendapat, izin dan redha dari kedua ibu bapanya.

“Kakak kerja dekat mana?” tanya Nazirah.

“Tak tahu lagi. Hari tu mohon banyak tempat. Hampir semua tempat jugak panggil interview. Tapi, ada yang bertembung hari temuduga. Kakak pi yang dekat je la. Jauh-jauh nanti susah.” Jawab Aimi.

“Dekat tu, di mana?” tanya emak pula.

“KL, mak.” Aimi menjawab sopan.

“Haaa… elok sangatlah tu. Mak sedara kamu ada di sana tu, tumpanglah rumah dia.” Emak mencadangkan.

“Ish, apa awak ni. Kan ada anak terunanya tu di rumah. Tak manis pulak mereka tinggal serumah.” Sampuk abah.

“Pasal tempat tinggal, mak abah tak payah risau sebab dah disediakan.” Bicara Aimi melegakan ibu bapanya.

“Haaaa…. Nanti dah ada rumah sendiri, kereta sendiri, bawaklah mak abah bersiar-siar ke sana….” Ujar abah. Aimi ketawa melihat keterujaan abah.

“Mak abah je? Adik?” Nazirah menyampuk.

“Adik study je diam-diam. Sampai berjaya macam kakak. Lepas tu kahwin. Tak payah kerja.” Usik abah. Nazirah manrik muka masam. Aimi, mak dan abah seronok mentertawakan si bongsu. Sudah besar panjang, masih tetap seperti kanak-kanak bila berada dalam keluarga.
?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience