Buk!
Layka menutup rapat pintu kereta Myvi putih yang berhenti di bawah pokok kuinin yang agak rendang. Dia melangkah masuk ke sebuah rumah batu bercat kuning air selepas kereta e-hailing yang dinaikinya telah pun memecut lesap.
"Assalamualaikum!" ucap salam dari Layka.
Seorang wanita separuh usia yang berkain batik hijau muda menyambut Layka di muka pintu.
"Waalaikumussalam, haa Layka! Masuk, meh masuk!" jemput wanita itu dengan senyum.
"Cik Su sihat? Ini, buah tangan sikit.." sapa Layka seraya menyalami wanita itu. Dia menyerahkan juga sebakul kecil buah-buahan yang berbalut plastik jernih itu pada Cik Su.
"Alhamdulillah sihat je. Ish, kamu ini Layka susah-susah je. Haa. Sakinah ada dalam bilik. Pergilah bilik dia.." arah Cik Su. Mak cik Suria merupakan ibu tunggal kepada Sakinah. Hampir 15 tahun dia membesarkan anak-anak yang seramai empat orang bersendirian di rumah pusaka ini.
"Hehe.. Baik!" dengan pantas kaki Layka menuju ke bilik kawan baiknya itu.
Tok!
Tok!
Tok!
Klak!
"Weh, Layka! Kau dah sampai?" tegur Sakinah seusai menguak pintu biliknya.
"Dahhh!" Layka mencampakkan beg tangan hitamnya ke atas katil lalu duduk di birai katil bujang Sakinah itu.
Pap!
"Eii, Layka! Aku rindulah kat kau!" peluk Sakinah dengan penuh teruja.
Layka membalas pelukan hangat kawan baiknya meski terasa sedikit sesak dek pautan yang agak kuat lagi teruja dari Sakinah itu.
"Aku pun rindu kaulah Kinah! Nak dekat sebulan aku tidak jumpa kau lepas kita konvo hari itu. Kau itulah, lepas konvo je terus sibuk kerja. Dah susah nak jumpa!" luah Layka dengan jeling kecil.
Sakinah tertawa kecil.
"Aku kenalah kerja. Dapat kerja apa pun aku sauk jelah. Boleh bantu mak aku sikit-sikit kat rumah ini. Hah, yang kau itu tidak cari kerja lagi apa hal? Bukannya kau nak sambung degree pun kan?" soal Sakinah pula.
"Aku nak berjimba lagilah Kinah! Nanti-nantilah aku cari kerja itu." balas Layka. Dia tidak pernah gusar akan hal duit poketnya kerana kerja sampingan yang dibuat sudah menjanjikan pendapatan yang cukup lumayan meski dia tidak perlu bekerja keras pun tiap hari.
"Ala, apa susah nak cari-cari. Kau kan boleh kerja terus dekat company papa kau itu.." ujar Sakinah di sisi.
Bola mata Layka membulat.
"Choi! Memang tidaklah aku nak kerja dekat situ! Mati hidup semula pun aku takkan kerja dengan papa aku itu tahu." pekik Layka dengan jeling.
Sakinah menggeleng.
"Kau ini Layka. Sampai bila nak berdendam dengan papa kau itu?" tanya Sakinah yang serba sedikit mengetahui akan kisah hidup kawannya ini.
"Sampai hati aku ini puas!"
"Bila hati kau itu nak puasnya? Hidup dalam dendam ini Layka ibarat tidak pernah reda dengan benda yang dah berlalu itu tahu. Hati kau sakit sebab dibayangi luka yang tidak pernah sembuh.." tutur Sakinah dengan lembut. Ini bukanlah kali pertama dia berkata penuh hemah begini pada Layka.
Layka membisu memandang lantai di kakinya. Mengiyakan segala bait kata dari Sakinah itu walau tidak zahir. Dia tidak peduli walau bait kata itu tertutur beribu kali. Dia hanya mahu sakitkan hati Dato' Haleem itu sepuasnya meski hatinya ini tidak pernah puas dalam melakukan itu.
Klak!
Layka melangkah masuk ke rumahnya seusai pulang dari rumah Sakinah. Bola mata Layka laju menangkap susuk tubuh papanya yang berada di ruang tamu.
"Layka. Baru balik? Dah makan?" tanya Dato' Haleem.
"Erm, dah." jawab Layka malas.
"Sini kejap. Papa nak cakap sikit." arah Dato' Haleem. Dia punya suatu hajat yang ingin disampaikan pada anak tunggalnya itu.
Langkah kaki Layka terhenti.
"Nak apa papa? Layka penatlah.." Layka membuat muka di sisi Dato' Haleem.
"Duduklah dulu.." pelawa Dato' Haleem lembut.
Setelah melihat anaknya itu dalam keadaan tenang, Dato' Haleem membuka bicara. Lama dia memikirkan keputusan ini. Sudah tentu dia mahukan yang terbaik dalam hidup Layka.
"Layka, papa nak cakap sikit. Papa nak Layka kahwin. Daripada Layka hidup tanpa arah macam ini ada baiknya Layka berumah tangga sahaja." aju hajat hati Dato' Haleem.
Layka ternganga sinis.
"Wah, sekarang papa nak atur hidup Layka pula dah?! Hah? Lepas itu apa?!" pekik Layka seperti orang tidak waras.
Jiwanya yang masih muda tidak mungkinlah dia mahu berumah tangga dengan semudah itu. Teman lelaki seorang pun masih tiada ada hati nak kahwin?!
"Kalau Layka kahwin, papa bagi semua harta yang papa ada ini dekat Layka. Tapi, hanya selepas Layka kahwin." pujuk Dato' Haleem demi memenangi hati Layka.
"Apa?"
Layka merenung papanya tajam. Menghadam maksud orang tua itu selumatnya.
"Erm, papa nak bagi semua milik papa ini pada Layka kalau Layka betul-betul nak kahwin. Ini, calon suami Layka. Ambillah masa untuk buat pilihan atau kenallah hati budi masing-masing dulu." Dato' Haleem menghulurkan satu fail hitam pada Layka.
Layka mencapainya laju dari tangan papanya. Dia menyelak lembaran demi lembaran sambil membaca sekilas segala biodata ringkas yang tertera di atas kertas putih itu.
1. Muhammad Zarif Bin Naufal (25 tahun)
Menetap: Johor Bahru
Pekerjaan: Cikgu
Status: Bujang
2. Hairi Tajudin Bin Isa (28 tahun)
Menetap: Kuala Lumpur
Pekerjaan: Doktor
Status: Bujang
3. Muhammad Saifullah Bin Syafiq (26 tahun)
Menetap: Melaka
Pekerjaan: CEO SF Holdings
Status: Bujang
4. Kaif Umar Bin Yusof (35 tahun)
Menetap: Jordan
Pekerjaan: Bekerja sendiri
Status: Duda anak 1
"Betul ke kalau Layka kahwin papa bagi semua harta papa itu dekat Layka?" tanya Layka sambil memandang Dato' Haleem. Akalnya laju memikirkan segala harta Dato' Haleem yang bakal digenggamnya kelak.
"Ya, betul. Layka terima ke cadangan papa ini?" Dato' Haleem ragu-ragu.
Layka merenung sejenak fail di tangannya dan memandang papanya semula untuk memberi jawapan.
"Baik, Layka terima. Layka akan kahwin tapi lepas Layka dan papa buat perjanjian bertulis fasal harta papa itu. Kalau tidak ada sebarang perjanjian hitam putih, Layka tak kan kahwin!" pinta Layka. Bukan dia tidak percaya pada papanya itu cuma dia perlu pastikan yang janji Dato' Haleem itu bukanlah hanya kata-kata kosong lagi palsu.
"Kalau itu yang Layka mahu, papa akan turutkan. Asalkan Layka kahwin sayang." ujar Dato' Haleem penuh harapan. Dia berharap jika anaknya sudah punya suami kelak pasti hidup Layka itu bisa berubah.
"Layka nak kahwin dengan Kaif Umar!" Layka mengerling papanya sekilas. Dia sudah membayangkan segala rancangan yang berlegar di benak akalnya jika dia benar-benar mengahwini lelaki itu.
Dato' Haleem tersentak kerana semudah itu Layka membuat pilihan hati.
"Layka tak nak fikir dulu ke? Kenal-kenallah dulu dengan yang lain-lain." Dato' Haleem masih tidak percaya.
"No! Layka dah habis fikir. In fact, Layka tidak perlu buang masalah papa nak fikir semua ini. Layka hanya akan kahwin dengan Kaif Umar. Full stop!" bentak Layka seraya melangkah pergi menaiki tangga untuk ke biliknya.
"Layka! Layka!" panggil Dato' Haleem namun tidak diendahkan.
Klak!
"Huh. Aku akan kahwin demi miliki semua harta papa itu! Lepas itu, aku akan pastikan lelaki itu ceraikan aku secepat yang mungkin!" bisik Layka di birai katil selepas menerpa masuk ke biliknya.
Dato' Haleem melirik pandang Layka sehingga hilang dari ekor mata. Dia tidak mengerti mengapa Layka memilih pasangan hidupnya secara membuta tuli sebegitu waima pilihannya itu adalah pilihan yang paling tidak diduga oleh Dato' Haleem.
Klak!
"Assalamualaikum, Nek Yanggggg!! Tok Abahhhh!! Kash dah sampai ini!!" jerit seorang budak lelaki dengan penuh teruja seusai pintu rumah banglo tiga tingkat itu dikuak buka.
Kaif menolak dua buah beg roda berwarna hitam dari muka pintu itu masuk ke dalam. Beg roda itu disambut baik oleh seorang pembantu rumah yang berambut sanggul.
"Terima kasih." ucap Kaif pada pembantu rumah itu.
"Erm, cucu Tok Abah dah sampai ya!" teriak kecil Dato' Yusof selepas melihat kelibat cucu tunggalnya berlari di rumah ini.
Kash menyalami dan memeluk atuknya yang sudah dua tahun tidak disua. Diikuti dengan Kaif yang sedang menunggu giliran di belakang.
"Abah, sihat?" Kaif bertanya khabar.
"Alhamdulillah, sihat macam inilah. Kamu apa khabar, Kaif? Itu, nenda tidak sabar sangat nak jumpa kamu. Pergilah, nenda ada kat dapur." Dato' Yusof memeluk dan menepuk bahu anak sulungnya itu beberapa kali.
"Alhamdulillah baik juga abah. Okay, Kaif jumpa nenda dulu. Kash, come!" panggil Kaif agar anak lelakinya yang berusia 12 tahun itu turut membuntutinya.
"Okay, walid!" balas Kash.
Pap!
"Nek Yangggg!!" sergah Kash dari belakang sambil memeluk Nenda yang duduk di meja makan.
"Ya Allah, Kash Kaif! Bila sampai? Ish, nenda rinduuuu!" sapa Nenda meski separa teruja dan sebak. Dia menepuk bahu Kash yang berjaya membuat diri tuanya ini terkejut.
"Hehe.. Baru sampailah Nek Yang!" jawab Kash dengan tawa kecil.
"Nenda, sihat? Kaif pun rindu nendalah!" sapa Kaif sambil membongkok memeluk wanita tua di kerusi makan itu.
Nenda memandang lembut wajah Kaif. Dia menepuk-nepuk wajah cucu lelakinya yang berjambang penuh itu dengan kasih.
"Sihat ada sakit ada, Kaif. Nenda dah tua. Bila-bila je nak pergi dah.." seloroh Nenda dengan senyum meski hal itu adalah satu kenyataan.
"Nendaa.." rengek Kaif. Dia tidak suka neneknya itu mengucapkan kata begitu. Terasa luruh hatinya.
"Hah, dah pergi naik bilik. Rehat-rehatlah dulu. Lepas maghrib kejap lagi kita makan ya. Hari ini ada lauk special untuk Kaif dengan Kash tahu!" Nenda tersengih bahagia. Memang dia dan pembantu rumahnya ini sedang menyiapkan makan malam.
"Wahhh, baik Nek Yang! Kash naik bilik duluuuu!" Kash berlari anak menaiki tangga mencari biliknya.
Kaif tersenyum kecil sambil mengenggam tangan Nenda yang dimamah usia itu. Kepulangannya ke sini memang cukup dinanti oleh Nenda namun tidak hatinya. Rumah ini punya kenangan pahit. Sebolehnya dia mahu melangkah pergi sejauhnya tanpa menoleh lagi walau sekilas.
"Abang Kaif! Bila sampai?" tegur Zafira dengan sengih yang lebar.
"Erm, Zafira. Baru je. Abang naik bilik dulu." Kaif pinta diri. Dia terserempak dengan adik iparnya ketika menaiki tangga.
"Err, okay! Mesti Abang Kaif penat kan flight tadi.."
Zafira masih melemparkan senyuman manis sambil meleretkan rambutnya ke sisi telinga.
Kaif hanya mengangguk dan berlalu pergi.
"Fuhhh.. Handsomenya Kaif ituuuu! Tidak berubah sikit pun walau makan tahun!" gumam Zafira sambil matanya melirik pada Kaif yang sudah menjauh. Hatinya berdetak bukan main indah apabila dapat melihat Kaif itu depan mata.
Tok!
Tok!
Tok!
"Nenda.." sapa Kaif di muka pintu bilik nendanya yang terbuka luas.
"Eh, Kaif! Masuklah.." balas sapaan Nenda.
"Sini, duduk sini!" Nenda menepuk-nepuk tilamnya di sisi.
"Nenda nak tidur dah?" tanya Kaif sambil melabuhkan punggung.
"Kejap lagi. Ini, si Kash dah tidur ke? Kasihan dia penat jalan jauh sehari ini ya." hati Nenda meruntun kasihan akan cicitnya.
"Aah, tidur dah Nenda lepas makan tadi. Penatlah itu." jawab Kaif. Dia mengurut lembut kaki Nendanya yang tidak berisi lagi.
Nenda memandang Kaif dalam-dalam.
Lama.
"Kaif.. Duduklah sini balik. Tidak usah balik ke Jordan itu lagi dah.." tutur Nenda penuh lembut.
Gerak-geri tangan Kaif serta-merta terhenti dibadai waktu.
"Kaif cakap lepas siap projek dekat Jordan itu Kaif nak balik sini kan? Tapi, dah nak dekat dua tahun hotel Kaif itu siap Kaif tidak balik-balik pun. Nenda.. hidup ini tinggal sisa je Kaif. Nenda nak tengok sangat Kaif dan Kash bahagia. Punya keluarga.." luah hati Nenda yang terbuku sekian lama.
"Jangan cakap macam itu Nenda.. Kaif.. bukannya tak nak balik." bidas Kaif.
"Nenda nak Kaif kahwin. Baik untuk Kaif, baik untuk Kash. Tidak kasihan ke pada Kash itu? Lima tahun Kaif, lima tahun dia hidup tidak beremak. Memanglah dia tidak pernah cakap dekat Kaif tapi Nenda tahu dia dahagakan kasih sayang seorang ibu. Kamu berdua dengan dia dekat Jordan itu siapa yang tengok-tengokkan? Tiada siapa. Tiada seorang pun.." bebel Nenda lagi pada Kaif.
Kaif memaut erat tangan Nenda.
"Kalau Kaif kahwin..?" soal Kaif meski hatinya tidak rela melafazkan bait kata itu.
"Kalau Kaif kahwin, Nendalah orang yang paling gembira tahu! Haa, kalau Kaif tidak ada calon serah pada Nenda. Tahulah Nenda cari yang terbaik untuk Kaif!" terpancar sinar harapan di ekor mata Nenda seusai Kaif seakan menaruh minat.
Kaif tertawa kecil melihat gelagat Nenda.
"Kaif kahwin ya! Kahwin tahu!" ujar Nenda penuh teruja walau Kaif itu masih berdiam diri.
Kaif hanya tersenyum memandang Nenda. Dia tiada balasan kata untuk mengiyakan mahupun menidakkan. Jika mengiyakan, hatinya tiada secebis rela. Jika menidakkan, bagai umpama mimpi sahaja untuk menolak permintaan Nenda Badariah itu!
Sesuatu yang dibuat tanpa rela,
ibarat nafas yang tidak kan terhela..
Tak sangka, Pilih jodoh macam baca menu kedai tomyam ek haha.. Jemput follow, rate dan komen ya gais!
Share this novel