“Mana boleh macam tu!!! Ini tak adil!!!”
Baru hendak tenang suasana di dalam pusat pemindahan banjir itu tiba-tiba kecoh semula. Mawar dan Ammar saling memandang sesama sendiri. Kedua-duanya bergegas ke pintu utama. Kelihatan dua orang petugas sukarelawan yang sedang mengagih-agihkan bekalan makanan ringan seperti roti, megi cawan, air kotak dan biskut manis untuk diberikan kepada mangsa-mangsa banjir.
“Kenapa ni pak cik?” Ammar langsung bertanya. Hairan.
“Bekalan makanan ni semua hasil derma orang ramai kan? Tapi kenapa dicatu-catukan pulak? Mentang-mentanglah kami ni keluarga miskin merempat, dapat layanan serupa banduan penjara!”
“Astaghfirullahalazim...”
Ammar boleh pitam melayan kerenah seorang demi seorang mangsa banjir di pusat pemindahan itu. Ada saja cacat cela di mata mereka.
“Kami tak pernah buat catuan, encik. Kami bahagikan sama rata, saksama untuk semua orang. Biar semua dalam dewan ni dapat merasa,”
“Yelah tu. Habis, kenapa kami dapat biskut mayat tapi keluarga yang kononnya ada standard hujung sana tu, dapat biskut manis?”
Ammar tergaru-garu kepala. Ridzwan berlari-lari anak apabila mendapati kekecohan yang berlaku. Sebelum terjadi perbalahan, ada baiknya dia masuk campur. Mujurlah dia menyegerakan doa selepas solatnya tadi.
“Betul ke ni, Mustafa?” soal Ridzwan kepada salah seorang anak buah dalam grup sukarelawannya. Lambat-lambat anak muda itu mengangguk.
“Saya tak ada pilihan. Tu keluarga orang besar. Nanti saya diherdik mereka,” takut-takut Mustafa mengakui. Ridzwan berkalih pandang ke arah Ammar dan kemudiannya ke tampang lelaki yang sedang membengkeng di depan mereka itu.
“Beginilah, Mustafa bagi keluarga pak cik ni makanan yang sama kamu bagi kepada keluarga tadi. Kamu kena amanah, Mustafa. Ingat tu,” pesan Ridzwan kepada anak muda itu.
Mustafa menundukkan kepalanya. Surut kemarahan lelaki itu, Ridzwan, Ammar dan Mawar pun beredar dari situ. Ketiga-tiga mereka hanya mampu bermuhasabah diri. Nyata, banjir mengajar mereka banyak perkara. Tersurat dan tersirat.
Share this novel