Bab 1: Pertemuan Pertama

Romance Series 20066

2 Tahun Sebelum...

MAK Siti menggeleng-gelengkan kepalanya melihat anak daranya tu tidur beralaskan lengan di atas meja kaunter itu. Padah bila jadikan anak sendiri yang pemalas sebagai pekerja.

Dengan gegasnya Mak Siti terus bergerak laju menuju ke anaknya itu sambil menyinsing lengan bajunya. Memang dia dah ready nak sembur dan maki anaknya tu. Dasar pemalas!

"Angah! Yang kamu tidur kat sini ni dah kenapa?" sergah Mak Siti.

Dalam keadaan berat, Damia mengangkat kepalanya. Wajah mamainya memandang ibunya lama. Segera dia menggosok-gosok matanya yang kuyu itu.

Aduh! Tauke kedai dah datang. Bernanahlah telinga kena bebel lepas ni.

"Kamu ni, mak suruh jaga kedai bukannya tidur. Siang siang hari sibuk buat air liur basi."

Damia sengaja buat-buat menguap mahu mengekspresikan dirinya yang bosan dileter itu. Mana taknya, apa yang dirinya lakukan, ada saja yang tak kena di mata ibunya itu. Lain pula dengan kakaknya. Apa yang dikata kakaknya, yang itulah ibunya setujui dan turuti. Tak adil!

"Mak, angah mengantuklah. Lagipun angah terlelap sekejap je bukannya lama pun," jawab Damia dengan suara serak basah. Baru terjaga dari lena yang belum puas punya pasal.

"Yalah tu. Itulah, semalam pukul 2:00 pagi orang lain tidur. Yang kamu ni sakan tengok drama Korea. Kejap gelak, kejap nangis, dah macam orang gila mak tengok," kecam Mak Siti sambil meletakkan beg tangan cap pasar malamnya di atas meja kaunter. Berjalan ke hulur ke hilir, beg itulah yang menjadi penemannya tatkala merayau sekitar kampung.

"Dah! Sekarang turn mak pulak yang jaga kedai ni. Kalau nak harap kamu, boleh bankrap kedai mak ni sebab kamu bagi peluang orang mencuri. Entah-entah barang kedai ni dah ada yang lesap kut ..." Mak Siti lalu memanjangkan lehernya mengimbas segala pelosok di kedai runcitnya itu.

Barang dan stok yang tersusun rapi di rak menunjukkan tiada sebarang perubahan langsung. Sengaja Mak Siti berburuk sangka terhadap anaknya.

"Siapa je nak curi barang kat kedai mak ni? Orang nak masuk kedai ni pun fikir dua tiga kali sebelum masuk. Dahlah barang jarang tambah stok, lepas tu harga cekik darah pulak tu." Sempat Damia meluahkan segala kritikan di fikirannya.

Membulat mata Mak Siti sebelum dia menyerang balas, "Amboi! Harga cekik darah tu jugaklah yang bagi kamu tu makan. Harga cekik darah tu jugaklah yang bagi kamu gaji. Tapi tak sedar diri. Dahlah makan gaji buta."

Mak Siti pula membidas kecaman Damia itu. Dua beranak ini kalau berperang mulut, memang nombor satu. Tak mahu kalah.

Tersedar dirinya sudah mulai malas melayan karenah ibunya, Damia bingkas bangun dari duduk dan segera mengikat rambutnya menjadi satu. Segugus kunci yang dia simpan di dalam laci kaunter diambil sebelum disergah ibunya lagi.

"Ha! Nak balik rumah tu salamlah dengan mak dulu. Ni menonong macam tu je."

Teguran dalam sindiran Mak Siti membuatkan Damia akur. Segera dia berhenti dan bersalam dengan ibunya itu.

Memang mereka dua beranak kerap bertekak, tetapi kalau hal seperti ini masih mereka jaga. Dah nama pun ibu dan anak. Apa yang terzahir di mulut tak seperti yang terbuku dalam hati.

"Eh jap! Lagi satu ..." Mak Siti belum habis berbicara lagi.

"Apa lagi ni mak?" Damia memasang muka bebal. Padahal baru aje nak melangkah keluar, ada saja perkara yang ibunya mahu arahkan.

Mak Siti tersenyum nipis. Adalah tu benda yang mahu dimintanya.

"Alang-alang kamu on the way balik rumah nanti, kamu boleh tak pergi kat kampung sebelah?"

Mak Siti mengerdip-ngerdipkan matanya tanda merayu. Kenal sangat Damia dengan lagak ibunya itu.

Eii .... geli-geleman pulak aku. Nasib baiklah kau tu mak aku. Kalau orang lain, dah lama aku sumbat mulut dengan kunci ni. Damia kerutkan wajah.

"Lagipun kamu kan dah ada motor. Senanglah sikit nak pergi ke kampung sana tu, bolehlah ye?" rayunya lagi. Sifatnya berubah 100 peratus padahal tadi membebel tak ingat dunia.

Damia mengeluh. Tujuan utamanya selepas bertenggek atas motor nanti hanyalah mahu terus pulang ke rumah, sambung tidur yang tergendala. Tetapi terpaksa jua dia kuburkan niatnya itu dulu.

Mahu melawan tak mampu. Mahu menolak tak sanggup. Terpaksa dia bersetuju untuk membantu ibunya itu biarpun dia tak gemar melencong ke tempat lain lebih-lebih lagi ke kampung sebelah.

Lagi pula, mahu masuk ke kampung sebelah hanya menelan masa 20 minit jika berjalan kaki. Ini apatah lagi Damia yang menunggang pacuan dua roda itu yang ambil masa kurang dari 10 minit sahaja.

"Yalah. Mak nak angah buat apa pergi kat kampung sebelah tu?" Damia menjongketkan kening.

"Pergi kat rumah Ustazah Najihah. Tolong ambilkan baju yang mak tempah kat dia tu. Tadi dia dah telefon yang baju tu dah siap. Jadi alang-alang tu, mak suruh kamu je la yang pergi." Mak Siti memberi penerangan panjang lebar.

Damia mengerutkan dahi. Ustazah Najihah? Macam pernah dengar dan tak asing nama itu tapi tetap saja ia samar-samar dalam fikirannya.

Melihat muka Damia yang penuh dengan ungkapan tanda tanya itu, Mak Siti terus menyambung, "Ala, takkan tak ingat. Ustazah Najihah anak ketua kampung sebelah tu. Kamu kan pernah hantar mak pergi kat rumah dia. Takkanlah dah lupa."

Setelah beberapa saat mengimbas kembali ingatannya, akhirnya Damia menunjukkan reaksi yang ingin dilihat ibunya.

"Oh! Ustazah Najihah tu ... baru angah teringat."

Nampak sangat dirinya tak begitu kenal dan rapat dengan pemilik nama itu. Damia Qistina nak rapat dengan seorang ustazah? Jangan harap.

"Baguslah kamu ingat. Dah, dah. Cepat pergi kat rumah ustazah tu. Nanti petang dia busy pulak nak ajar budak-budak mengaji." Mak Siti melayang-layangkan tangannya. Dah macam menghalau pulak.

Damia segera keluar dari kedai ibunya itu. Helmet berwarna jingga dipakai dan motosikal dihidupkan. Handle motosikal dipulas dan lambat-lambat dia meninggalkan premis bersaiz sederhana besar yang terpampang papan tanda bertulisan 'Kedai Runcit Siti Hasmah' itu.

Dari Kampung Haji Darus hingga ke Kampung Haji Taib, bertemankan motor berjenama Honda Wave terpakai miliknya, Damia menikmati sahaja pemandangan sekitar kampung jiran itu.

Sawah padi yang menghijau, sungai jernih yang mengalir, kampung itu tak terlalu banyak beza dengan kampung tempat tinggalnya. Yang membezakannya hanyalah nama kampung dan lokasinya.

Struktur rumah juga tampak ketara kelainannya, di mana rumah di kampungnya banyak yang sudah dinaik taraf dan direnovasi ke bentuk yang lebih moden tetapi di kampung ini pula, tak sedikit yang masih mengekalkan ciri khas rumah kampung dan tradisional itu.

Ketika leka menunggang motor bersisipkan deruan angin dan jalan berbatu itu, tiba-tiba mata Damia tertancap pada arah sungai. Bukan sungai yang dilihatnya tetapi kelibat seorang budak perempuan bertudung yang masih lengkap beruniform sekolah sedang duduk memeluk lutut di atas batu-batuan di tepi sungai.

Mengenang nasib? Nasib apanya sampai termenung sebegitu.

Putus cinta? Lagilah tak logik. Budak tu bertubuh kecil dan semestinya masih bersekolah rendah. Nak bercinta apanya.

Damia tidak hiraukan budak itu dan teruskan perjalanannya ke rumah Ustazah Najihah. Lagipun, budak itu bukannya urusan terpenting. Baginya, lagi cepat dia ambil baju tu, lagi cepat dia sampai ke rumah mahu tunaikan hajatnya untuk sambung beradu.

"Assalamualaikum!" ucap Damia apabila tiba di sebuah rumah separuh kayu dan separuh batu itu. Rumah yang boleh tahan besar dan luas.

Tiada jawapan. Padahal pintu terbuka luas dari tadi. Yang terdengar hanyalah suara budak-budak membaca ayat suci al-Quran di dalam rumah. Jam baru melebihi pukul 4:00 petang, tetapi kelas mengaji sudah bermula.

"Assala..." Belum sempat Damia mengucapkan salam untuk kali keduanya, suara seorang wanita menyahut.

"Waalaikumussalam."

Wanita bertudung labuh berwarna merah hati. Dipadankan juga dengan jubah menjenguk keluar dari pintu. Dari fizikalnya, dia tak seperti ustazah lain yang ajar mengaji. Ustazah Najihah ini lebih muda dan dari tilikan wajahnya, mungkin usianya sekitar akhir 20-an.

Matanya dikecilkan untuk meneliti muka Damia yang kelihatan asing baginya itu.

"Ya, ada apa ya?" tanyanya lembut.

"Oh, saya Damia."

Segera Damia menggelengkan kepala kerana tersedar sesuatu. Bukannya namanya yang Ustazah Najihah mahu tahu. Mamai punya pasallah tu.

"Maksud saya, saya datang nak ambil baju yang mak saya tempah," kata Damia.

"Oh ye ke? Boleh ja. Mak awak siapa ya?" tanya Najihah lagi.

"Mak Cik Siti."

"Ooo, okey. Sekejap ya saya ambil baju dia." Mendengar nama itu laju saja Najihah masuk kembali ke dalam rumah.

Tak mengambil masa yang lama, terlihat kelibat Najihah keluar sambil memakai kasutnya dan berjalan ke arah Damia yang masih melabuhkan punggung di atas motosikal.

Sebuah beg kertas yang berisi pakaian Mak Siti dia hulurkan dengan senyuman. Damia membalas dengan senyuman nipis.

"Duit baju dah bayar, kan?" tanya Damia mahukan kepastian.

"Ya, dah bayar."

"Okeylah. Terima kasih ya," ucap Damia.

"Sama-sama."

Damia meletakkan beg kertas itu ke dalam raga motor. Motor diundur dengan kekuatan kedua belah kakinya. Bersedia untuk pulang manakala Najihah masih tercegat menunggu Damia beredar.

Tetapi belum sempat Damia menghidupkan enjin motosikalnya, kedengaran bunyi enjin motor yang lain pula di belakang. Semakin mendekat bunyinya. Bunyi merapak pula tu. Bingit betul!

Kau bawak motor guna enjin mesin rumput ke oi?

Damia menoleh ke belakang. Kelihatan penunggang lelaki tanpa helmet itu seperti tergesa-gesa datang ke arah dia dan Najihah itu.

Dah kenapa dia tu? Kena kejar dengan polis ke? Tapi dalam kampung ni macamlah ada polis. Desis Damia dalam hati.

Lelaki itu menghentikan motornya tepat di sebelah motor Damia. Yang janggalnya, Damia masih belum beredar dari situ. Mahu tahu gerangan lelaki itu dan tujuannya ke sini agaknya.

"Ustazah, ustazah ada nampak Syafiqah tak?" Langsung lelaki itu bertanya usai turun dari motornya. Tercungap-cungap dia mencuri nafas. Tingkahnya kelihatan gelabah dan cemas. Seperti ada sesuatu berlaku.

Mata Damia terpaku pada wajah lelaki itu. Baju yang dipakainya hanyalah baju T-shirt dan seluar lusuh, tetapi tak dapat disangkal ketampanannya memberi semacam aura yang membuatkan Damia pegun.

Wujud lagi orang handsome kat kampung sini. Aku ingat dah pupus dah. Lagi sekali hati Damia berbisik.

Mulut Damia sedikit melopong. Matanya membulat setelah melihat akan wajah lelaki di hadapannya itu. Tetapi segera Damia kawal pandangan matanya itu, tak mahu disyak pelik-pelik. Nanti dikira perempuan miang pula.

"Syafiqah? Saya tak tahu pulak dia pergi mana. Sebab dia tak datang pun kelas mengaji hari ni," jawab Najihah yang turut terlihat cemas.

Lelaki itu menggaru-garu kepalanya sehingga rambutnya berantakan.

"Entahlah ustazah. Waktu habis sekolah, dia tak balik pun kat rumah. Sampai sekarang. Saya pun tak tahu kenapa."

Siapa lelaki ini? Siapa Syafiqah bagi lelaki ini? Dan hubungan apa pula Ustazah Najihah dengan lelaki ini? Persoalan itu hanya mampu berlegar dalam otak Damia.

Damia tiba-tiba teringat akan sesuatu. Syafiqah? Sudah semestinya nama itu milik budak perempuan.

Kalau dah dikata budak perempuan, waktu perjalanan ke sini tadi dia terlihat budak perempuan yang masih lengkap beruniform sekolah.

Sah! Aku rasa memang dia.

"Allahuakbar! Macam mana boleh hilang Syafiqah tu. Tunggu kejap ye, saya..." Belum sempat Najihah berniat membantu untuk mencari Syafiqah, Damia memotong.

"Saya rasa waktu perjalanan datang sini, saya nampak sorang budak perempuan kat sungai hujung kampung tu."

Dalam hatinya, dia mahu saja menampar-nampar mulutnya sendiri. Sejak bila dirinya itu mulai ambil berat terhadap orang lain? Lagi-lagi orang yang belum dia kenal.

Itu bukan diri seorang Damia Qistina! Tapi entah mengapa, mulutnya seperti automatik melontarkan hal itu.

Lalu mata lelaki itu terpasang padanya. Padahal tadi lelaki itu tidak endah akan kewujudannya. Mata mereka berdua kini bertemu. Makin tak keruan Damia kerana itu. Inilah yang dimaksudkan dengan ...

Pertemuan pertama.

Bersambung...

Done update. Tq support ^^

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience