BAB 7

Horror & Thriller Completed 659

Izz Shazzy selesai membaca mesej itu. Dia mengangkat kepala memandang Iklimah yang kembali menundukkan kepala menekur lantai. “Puan rasa tercabar dengan mesej ni?” Secara peribadi, Izz Shazzy merasakan mesej itu bernada sinis dan tidak patut diviralkan. Namun untuk menjadikannya sebagai sebab pembunuhan itu berlaku, memang tidak masuk akal.

Iklimah mengangkat kepala memandang Izz Shazzy. Renungannya tidak tajam seperti tadi. Sebaliknya wajah Iklimah kelihatan sedih. Adakah dia sudah menyesal kerana melakukan pembunuhan itu?

“Pesanan pertama, kedua, kelima dan ketujuh... Selama lima tahun saya jadi menantu dia, saya yang jadi orang gaji! Setiap kali balik kampung, saya yang kena buat semuanya. Memasak, mengemas, membasuh. Semua saya buat sorang-sorang. Suami saya hanya tahu duduk goyang kaki hisap rook bawah rumah ataupun membuta sepanjang hari. Langsung tak tolong saya. Begitu juga dengan biras dan adik-adik ipar. Semua serahkan bulat-bulat pada saya uruskan rumah tu sorang-sorang!” Wajah Iklimah merah padam. Nada suaranya tinggi.

Izz Shazzy tidak mahu menyampuk kerana dia dapat merasakan Iklimah ingin terus berbicara. Lalu dia biarkan.

“Pesanan ketiga, anak-anak semua saya yang uruskan termasuk sekali anak saudara. Saya bukan bibik mereka. Tapi ada mereka kisah?” Suara Iklimah mula bergetar. Matanya bulat mrenung muka Izz Shazzy seolah-olah sedang melemparkan kemarahan kepada lelaki itu.

“Pesanan keempat, bukan wang mak mentua saya yang habis. Tapi duit gaji saya! Penat-penat saya bekerja, orang lain yang seronok habiskan. Tiap-tiap kali balik raya, sayalah yang kena sediakan semuanya. Bahan-bahan mentah untuk masak, kuih raya, langsir raya, baju raya... hinggakan duit raya pun saya kena bagi. Keluarga suami hanya tau tadah tangan saja!” Iklimah mengetap gigi menahan perasaan marah yang mahu membuak-buak.

“Pesanan keenam... saya dah tak boleh nak rasa kecik hati lagilah. Hati saya dah lama mati. Dah lama tak rasa apa-apa perasaan. Setiap kali saya mengadu pada suami, dia marah saya balik. Tuduh saya berkira. Katanya, balik kampung dia bukan hari-hari. Jadi apa salahnya saya berkorban lebih untuk keluarga dia! Mak ayah dan adik-beradik saya pun tak pernah buat saya macam ni!” Kali ini air mata Iklimah mula menitis satu-persatu.

“Pesanan terakhir, bukan saya yang tak reti jaga aurat. Tapi biras saya tu melampau sangat. Anggap suami saya ni macam adik-beradik dia. Lepas laku saja. Bergurau tanpa batas sampai main selak-selak kain. Isteri mana yang sanggup tengok? Mentua pun tak tegur. Abang ipar pun buat-buat tak nampak. Langsung tak tahu dosa!” Iklimah sudah tersengguk-sengguk bahu menangis. Suaranya semakin kuat hingga dia meraung-raung sambil menghentak-hentakkan tangan ke atas meja.

Anggota polis wanita yang turut berada di bilik itu sudah mahu ‘mententeramkan’ Iklimah. Tetapi dihalang oleh Izz Shazzy.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience