Bab 17

Romance Series 59136

Bab 17

Adam dan Rayyan kemudiannya pulang. Aku mencuci semua pinggan mangkuk yang bersepah. Suasana rumah menjadi sunyi kembali. Entah kenapa, hati aku kembali merindui suasana tadi, sedangkan baru beberapa jam berlalu.

“Mia,” nenek menepuk bahuku lembut.
Aku tersedar dari lamunanku. Segera aku menutup air di singki, tidak sedar aku mengelamun panjang. Pinggan di tangan aku letakkan ke tepi. Mataku fokus memandang nenek yang sudah pun melabuhkan punggungnya pada kerusi.

“Kenapa nek?”

“Mia fikirkan apa tu?”

Persoalan nenek yang tak mampu aku jawab. Aku tak tahu sama ada mahu jujur atau sembunyikan kebenaran. Aku baru kenal Adam dengan lebih dekat baru – baru ni, tapi hatiku sudah pandai merindu. Selama ni, aku tak pernah begini sepanjang mengenalinya sebagai Adam yang gemar melukis.

Kenapa dengan diri aku ni?

“Cuba Mia jujur dengan nenek.”

Aku tersenyum. Tanganku menarik kerusi untuk duduk. Keluhan berat keluar dari mulutku.

“Jujur Mia pun tak tahu kenapa nek. Mia tak faham dengan keadaan diri Mia sekarang.”
Nenek segera menggenggam erat tanganku. “Mia sihat ke? Jantung macam mana?”

“Nek,” aku segera menggelengkan kepalaku. Aku kembali membalas genggaman erat tangan nenek. “Mia Alhamdulillah sihat jer. Jantung Mia berfungsi lebih baik dari jangkaan dan hidup Mia macam orang lain. Normal. Jadi nenek tak perlu risau.”

“Dah tu?” nenek memandangku bimbang. “Cerita dengan nenek.”

Sekali lagi aku mengeluh. “Mia sendiri tak faham nek. Mia tak faham dengan perasaan Mia sendiri. Apa yang Mia rasa sekarang ni.”

“Ada kena mengena dengan Adam?”

Aku mengeluh lagi. Perlahan aku menganggukkan kepalaku.

“Kenapa dengan Adam?” persoalan nenek yang sebenarnya asyik berada di dalam fikiranku. Ya, kenapa dengan Adam? Kenapa Adam? Kenapa dia asyik berada di fikiranku semenjak akhir – akhir ini.

Aku rapat sahaja dengan lelaki lain, rakan sekerjaku. Aku bertemu juga dengan lelaki lain kerana Kak Syaf. Tapi tak ada seorang yang berjaya melekat di fikiranku, hinggalah hari aku ambil keputusan nak tahu lebih tentang Adam.

“Nek, Mia rasa menyesal dengan keputusan Mia.” Luahku pantas. “Mia benci perasaan yang Mia rasa sekarang ni. Mia tak tahu macam mana nak gambarkan. Jadi serabut nek.”

“Cuba cerita satu per satu, bagi nenek faham.”

“Semenjak Mia ambil keputusan nak Adam jujur dengan Mia, sebab Mia nak tahu tentang dia, Mia betul – betul menyesal sebab tu. Sejak Mia mula kenal dia, Adam asyik ada dalam kepala Mia. Bila dia sakat Mia, Mia geram dan sakit hati dengan sikap dia. Tapi Mia suka, Mia selalu nak dia teruskan sakat Mia. Bila dia tak ada, Mia rindu nak dia tersenyum depan Mia. Mia nak tengok dia dengan penuh tekun melukis lagi depan Mia. Mia suka tengok muka serius dia bila fokus buat kerja.” Aku mengeluh sebelum menyambung, “Mia tak faham dan benci benda yang buat Mia serabut sekarang ni.”

Nenek tersenyum. Tangan tuanya mengusap lembut tanganku, cuba menenagkan aku. “Mia fikir berlebihan. Cuba Mia biarkan jer masa yang tentukan. Mia yakin sebelum ni Mia tak pernah tertunggu dia? Sebelum Mia nak kenal dia dengan lebih mendalam?”

Mendengar persoalan nenek, aku jadi tersandar pada kerusiku. Mataku terpejam cuba mengingati sekiranya pernah ada perasaan begitu dahulu. Jawapannya aku tak tahu. Aku tak pernah sedar. Hinggalah baru – baru ni.

“Nenek tahu apa yang Mia takutkan.” Takut? Apa maksud nenek? Aku bukan takut, tapi aku berserabut kerana Adam. “Mia takut nak buka hati Mia untuk Adam.

Aku terdiam. Mencari segenap ayat untuk menidakkan tekaan nenek.

“Mia, kekadang kita ditakdirkan bertemu dengan seseorang yang bukan milik kita. Dan orang tu yang kita paling nak ada dalam hidup ni. Ada masanya kita tanpa sedar takdir pertemukan kita dengan seseorang saat kita rasa kita tak perlukan dia. Tapi orang tu sebenarnya dalam diam yang ditakdirkan untuk kita. Semuanya dah tertulis Mia.”

Aku terdiam mendengar kata – kata nenek. Aku tak faham maksudnya, tapi aku tidak terfikir untuk bertanya. Sekadar mampu untuk diamkan sahaja.

“Tapi Mia tetap tak suka perasaan Mia ni.”

“Apa kata Mia biarkan jer. Tak perlu Mia terlalu memikir. Kalau perasaan Mia tu betul, akan ada jalan yang membawa perasaan tu ke titik pertemuan.”

Nenek menepuk bahuku. Meluahkan segalanya kepada nenek sedikit sebanyak melegakan perasaan yang terbeban. Sekian lama aku pendam. Aku telah cuba menulis dan khaskan pada kotak baru. Tapi kali ini aku ia tidak membantu seperti yang aku pernah buat dahulu.

“Kalau Mia nak nenek jujur. Nenek suka budak Adam tu.”

Aku mengangkat muka. Tidak mengerti maksud nenek.

“Yang dulu, biarkan kenangan lepas. Nenek tak pernah cakap rasa tak selesa nenek dekat dia, tapi nenek biarkan. Tapi kali ni nenek jujur, nenek suka tengok dia dengan kamu. Ada satu perasaan hati nenek yang mengatakan dia boleh jaga Mia kalau nenek tak ada nanti.”

“Nenek cakap apa ni?” aku jadi seram mendengarnya. Aku tak boleh bayangkan hidup aku tanpa nenek.

“Umur nenek makin lanjut Mia. Nenek tak rasa nenek boleh hidup lama. Nenek tak harap banyak asalkan kamu hidup gembira.” Tangannya mengusap lembut mukaku. Segera aku menggelengkan kepala.

“Tak mahu, nenek kena selalu ada kat samping Mia.” Aku merangkul tubuh nenek dengan eratnya. Aku tak mahu kehilangan nenek. Cukuplah aku kehilangan ibu dan babah. Tapi bukan nenek. Aku tak ada sesiapa lagi sekiranya nenek pergi juga.

“Manusia bila hidup, ditakdirkan mati juga. Cuma waktu yang menentukan. Jadi Mia kena kuat selalu. Nenek risau kalau nenek pergi kalau tak ada yang boleh jaga Mia.”

“Mia boleh jaga diri sendiri. Tapi lagi bagus kalau nenek selalu ada.” Aku memprotes. Cadangan untuk aku ada penjaga sendiri seperti tidak masuk akal. Aku bukannya remaja belasan tahun lagi. Aku dah 27 tahun. Bukan usia terlalu muda sehingga tak mampu jaga diri sendiri.
Nenek hanya mampu tersenyum. Dia tidak membalas. Hanya tangannya sahaja yang masih lagi membelai lembut rambutku.

“Dah besar cucu nenek dia.” Itu sahaja diucapnya.
Melihat diam nenek selepas itu membuatkan aku turut diam. Menikmati setiap belaian lembut tangan nenek. Masih teringat, tangan ini juga yang dulunya rajin mengusap lembut kepalaku setiap kali aku sedih mengenangkan ibu dan babah yang pergi meninggalkan aku. Mengenangkan nasib aku yang bergelar yatim piatu dan seperti dibuang keluarga. Tiada sesiapa yang sudi membantuku.

Nenek sememangnya pengganti ibu dan babah bagiku. Tempatku untuk menangis setiap kali diajuk anak yatim oleh rakan sekelasku. Salahkah diri aku menjadi anak yatim? Itu bukan mahuku. Aku juga impian membesar dengan keluarga yang lengkap.

Seandainya boleh, aku mahu ibu dan babah melihat pencapaianku. Aku berjaya masuk ke university seperti mereka mahukan. Aku bekerjaya dan mampu berdikari sendiri. Aku mahu dipuji atas usaha kerasku oleh ibu dan babah. Tapi aku tahu, aku tak mampu.

Adanya nenek melihat setiap usahaku sahaja sudah memandai. Nenek yang menjadi saksi aku berkerja keras, mencari duit tambahan setiap kali cuti semata – mata tidak mahu menyusahkan dirinya. Hinggalah aku disarankan doktor untuk tidak membuat kerja berat kerana jantungku yang menghadkan batasan pergerakanku, yang aku mampu hanya duduk dan belajar.

‘Ting tong’.

Aku tersedar dari lamunanku. Nenek memandangku dan begitu juga aku. Pelik ada tetamu datang waktu begini.

Tak mungkin Aliya, sebab aku tahu dia sedang sibuk buat kajian, dan waktunya mencari aku lambat lagi untuk membantu dia dengan kerjanya itu.

Segera aku berlari ke ruang tamu untuk mengintai dari tepi tingkap. Siapa sahaja tidak khuatir apabila menerima tetap waktu jam sudah menunjukkan pukul 11 malam.

“Siapa?” tanya nenek.

Aku hanya mampu mengangkat bahu. Kerana gelap, aku tidak dapat mengenal pasti orang yang berada di luar. Tapi kelihatan seperti seseorang sedang mendukung bayi. Aku jadi risau untuk membuka pintu, kerana di dalam rumah hanya ada aku dan nenek. Bahaya.

Nenek menjengah ke luar untuk melihat. Kemudian dia segera menuju ke pintu. Melihat nenek yang mahu membuka pintu membuatku pantas menegahnya.

"Bahaya nek, kita tak tahu siapa kat luar tu," larangku.

"Tu Syafik," nenek memberitahuku dengan penuh yakin.

Dahiku berkerut. Macam mana nenek boleh nampak dan yakin tu Syafik? Kalau betul tu Syafik, dia mesti dah telefon aku suruh benarkan dia masuk. Kenapa nak susahkan diri tekan pintu dan menunggu lama di luar? Tak, aku tak percaya tu Syafik. Mungkin nenek salah.

"Tak mungkin nek," aku memegang lengannya.
Nenek memandangku dengan wajah merayu. Namun aku tetap tidak mahu melepaskan tangannya. Sekali lagu loceng pintu rumahku dibunyikan.

"Nenek tahu perangai Syafik, kalau tu dia, mesti Syafik dah mengamuk dan buat perangai." Sedaya upaya aku cuba menyakinkan nenek. Berharap dia terbuka untuk menerima nasihatku.

"Mia, nenek kenal cucu - cucu nenek."

Ayat yang tidak kukuh. Aku tak mahu merisikokan diriku dan nenek hanya kerana ayat sebegitu. Naluri pun belum tentu tepat.

"Percayalah nenek Mia."

Aku mengeluh berat. Tanganku menggapai selendang di atas sofa sebelum melilitkannya pada wajahku. Aku tidak mampu menghalang lagi niat nenek. Aku akhirnya membenarkan nenek membuka pintu. Mataku memerhati tepat ke arah susuk tubuh yang berada di depan pintu pagar. Aku tak mahu terleka. Khuatir sekiranya bukan Syafik.

"Syafik?" Panggilku.

"Tolong bukakan pintu," pinta lelaki di sebalik pintu pagar. Suaranya memang Syafik. Aku segera mengambik kunci dan membuka pintu pagar. Mataku tidak lepas dari memandang si kecil yang berada dalam gendongan Syafik.

"Masuk cepat, tak elok duduk lama dengan budak kat luar tu"

Suara nenek dari dalam rumah memanggil. Syafik hanya memberi pandangan kecil kepadaku seperti berterima kasih aku membuka pintu dan membenarkan dia masuk. Syafik kemudian segera masuk ke dalam rumah.

Aku mengunci semula pintu pagar. Kereta viva yang berada di depan rumahku mungkin miliknya? Aku tak pasti. Setahu aku Syafik tidak memiliki kenderaan. Atau mungkin kereta yang dipinjam dari kawannya.

"Dari kampung ke cu?" Tanya nenek, tangannya mengusap tubuh Syafik dengan lembut.

"Yer nek," jawab Syafik. Aku nampak sedikit perubahan dari Syafik. Suaranya tidak meninggi dek menunggu lama aku membuka pintu. Dia malah nampak tenang. "Ni Syafik bawa cicit nenek."

Tangan Syafik direndahkan agar mudah untuk nenek melihat cicitnya. Aku dari belakang hanya mengerling kecil.

"Comel budak ni. Mengikut muka abahnya, segak." Tangan nenek mengusap kepala si kecil yang lena dalam dekapan Syafik. "Mama dia mana?"

Syafik duduk di sofa. "Mama Irfan tak mau jaga. Dia sibuk kerja. Jadi dia serahkan. Hak penjagaan kat Syafik nek. Habis berpantang, dia terus hantarkan Irfan kat Syafik."

Tak faham langsung aku dengan bekas isteri si Syafik. Anak bukan main comel, boleh dia serahkan kat si bekas suami dia ni. Bukan dia takt ahu, Syafik punya sikap tanggungjawab rendah, atau mungkin lebih tepat, tiada langsung. Entah apa jadi kat budak ni nanti kalua Syafik terus jaga.

Fikiran negatifku terhadap Syafik menerjah satu per satu. Aku sendiri tidak yakin dengan kemampuan dia nak menjaga anak sendirian. Tengok, anak dia menangis dari tadi. Muka bukan main kelam kabut memikir cara nak hentikan tangisan anak dia sambil menjawab persoalan nenek.

Tanganku spontan meminta Syafik menghulurkan anaknya kepadaku. Syafik tidak banyak soal, anaknya dihulurkan kepadaku, mungkin kerana dia sendiri buntu jalan untuk memujuk si kecil itu. Aku menepuk – nepuk perlahan punggungnya. Perlahan, tangisan si kecil mulai reda dan dia terlentok pada tubuhku.

Syafik mengeluh kelegaan. Senyuman diberikan kepadaku, sepertinya berterima kasih atas bantuanku. Aku masih tidak dapat menerima hakikat bekas isteri si Syafik sanggup tinggalkan anaknya dengan Syafik. Dengan tiada pengalaman dan kurang bertanggungjawab, sesiapa yang waras semestinya tidak mahu membiarkan anak mereka bersama dia.

“Dah tu kau datang sini nak apa?”

Pandangan Syafik bertukar, dari memandang anaknya yang sedang tidur kepadaku. Aku perhatikan dari tadi dia asyik memandang anaknya. Pandangan yang aku sendiri tidak mengerti.

“Mia, aku rasa mungkin kita bincang pasal ni esok.” Syafik menundukkan kepala. Hendak aku desak, tapi hatiku tidak sampai hati melihat wajahnya yang keletihan dan seperti tidak terurus.

Aku menarik nafas sedalam mungkin, mataku merenung tajam si Syafik. Entah, aku masih tidak dapat menerima dirinya dengan baik. Walaupun dia sejujurnya kelihatan berbeza. Tidak menengkin dan menjerit tidak tentu hala.

“Ada bilik kosong kat bawah sana. Syafik tidurlah kat sana. Mia tak kisah kan?” nenek memandang aku. Aku terkedu. Nenek dah cakap macam tu, jadi aku boleh ke nak halang?

Lagipun, aku takkan sanggup nak halau Syafik, lagi – lagi bila anaknya nyenyak tidur. Mana dia nak pergi dengan anak dia yang usia tak sampai pun setahun? Angin malam tak elok untuk budak – budak.

“Pergilah tidur kat sana.”

Jawapan yang ringkas. Aku tak mampu nak berlembut dengan Syafik.

Syafik tersenyum sambil menganggukkan kepala. “Terima kasih Mia, nenek. Boleh jagakan Irfan kejap? Syafik nak mandi dan solat. Tak sempat nak solat tadi.”

Aku hanya mengangguk.

Sejak bila dia berubah? Baru beberapa bulan dah jadi macam ni? Tak mungkin, aku tak percaya. Mesti ada muslihat. Mana mungkin orang berubah dengan cepat macam tu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience