BAB 7

Family Completed 5571

MALAM itu, selepas solat isyak, Nazirah duduk membelek whatsapp dalam telefonnya. Bukannya ada internet. Hanya membaca kembali mesej-mesej lama. Tiba-tiba dia teringat pesanan kakaknya untuk fikirkan apa sebenarnya yang dia perolehi di sebalik kepenatan yang dia rasakan. Fikir punya fikir, akhirnya dia terlelap. Jawapan yang dia dapat cuma satu perkataan, ‘PENAT’.

Nazirah berjalan jauh di satu tempat yang lapang. Hanya dia sendirian. Kehausan, kelaparan, keseorangan, kesunyian. Bunyi-bunyian misteri menakutkan dirinya. Dalam rasa yang bercampur baur itu, kakinya tetap melangkah. Penat, sangat penat. Langkah yang laju kemudiannya menjadi semakin perlahan. Kakinya terasa hendak terjatuh. Tak dapat menampung berat badannya sendiri. Seperti ada satu bebanan yang begitu berat sedang ditimpakan ke atasnya.

Nazirah jatuh, namun tetap bangkit kembali. Tetap melangkah. Sampai suatu saat, dia merangkak sendiri. Sungguh, dia penat, dia lapar, dia haus, dia menangis. Sekali lagi dia jatuh tertiarap. Dipandang lagi ke sekeliling. Kosong. Namun, ada bunyi-bunyian yang sayup-sayup hadir, lalu pergi dibawa angin.

“Ya Allah… aku dekat mana ni? Aku nak keluar dari sini. Aku nak jumpa abah. Nak peluk emak. Nak jumpa kakak. Abah! Tolong adik! Emak! Kakak! Tolong adik!” jeritannya bergema di kawasan sunyi itu. Namun, tiada sahutan. Nazirah menangis lagi dan lagi.

Dia cuba bangun dan berdiri lagi, dan ingin berlari. Baru sahaja dia mahu melangkah, terasa jasadnya pedih dan rebah ke bumi. Bunyi tembakan kedengaran. Nazirah sudah nyawa-nyawa ikan akibat terkena tembakan. Yang dia ingat saat itu hanya Alla, emak, abah dan kakaknya. Air matanya mengalir lagi, lalu mata terpejam. Gelap semuanya.

Nazirah tersedar dari mimpinya. Berpeluh-peluh dahi dan badannya. Sungguh dia takut. Takut dengan apa yang dialami dari mimpinya. Dia tidak faham apa ertinya mimpi itu, tetapi dia benar-benar terasa seperti sudah hampir putus nyawa. Mulutnya tak henti beristighfar. Air matanya mengalir deras. Tangisan bertukar menjadi esakan.

Pintu biliknya dibuka. Kakaknya mendekati dan memeluknya. Entah apa yang terjadi pada Nazirah, Aimi tidak pasti. Yang dia tahu, dia terdengar suara seseorang menangis. Dalam fikirannya hanya Nazirah saat itu. Lalu, terus dia bergerak ke bilik Nazirah dan cuba menenangkan adiknya. Aimi tahu ini bukan masanya untuk dia bertanya apa yang terjadi. Dibiarkan si adik menangis dalam pelukannya.

“Adik, tidur balik ye?” pujuk Aimi bila Nazirah kelihatan sedikit tenang. Nazirah menggeleng kepala dengan bersungguh.

“Adik takut….” Tangisannya kembali. Aimi sabar memujuk dan menenangkan. Dibisikkan selawat sepertimana alunan dia mendodoikan Nazirah kecil-kecil dahulu. Nazirah akhirnya kembali terlena dalam pelukan kakaknya.

Aimi perlahan-lahan mengalihkan kepala Nazirah ke bantalnya. Diperhatikan sekeliling bilik Nazirah. Tiada apa-apa yang pelik. Aimi keluar dari bilik Nazirah dan pergi mengambil wudhuk. Diambil telekung dari biliknya dan dibawa ke bilik Nazirah. Adiknya perlu ditemankan. Selesai menunaikan solat sunat tahajjud dua rakaat, terdengar sayup-sayup suara Nazirah. Aimi mendekati.

Matanya terpejam, namun bibir bergerak mengungkap kata ‘takut’ berulang kali. Dahinya berkerut-kerut. Tampak benar-benar ketakutan. Aimi cuba menyedarkan Nazirah dari tidurnya, namun masih sahaja dia berkata-kata dalam tidurnya. Aimi menyentuh dahi adiknya.

“Ya Allah… panasnya….” Cepat-cepat Aimi mencari tuala kecil dan mengambil semangkuk air. Dibasahkan air, lalu diperah, kemudian disapu ke wajah adiknya. Selawat mengiringi tiap sapuan. Igauan Nazirah sudah mulai hilang. Aimi meletakkan tuala yang sedikit basah di kepala adiknya.

Kerisauan seorang Aimi bukan risau yang biasa. Dia tak pernah kisah andai dirinya yang sakit. Tapi, kalau insan yang dia sayangi yang sakit, sungguh dia terasa seperti mahu menangis. Beratnya melihat insan tersayang sakit membuatkan dia rasa lebih baik sakit itu dipindahkan saja pada dirinya. Aimi menarik selimut adiknya hingga ke paras dada. Lalu, dia bergera menyelesaikan ibadahnya.

Selesai sahaja melakukan solat sunat witir, Aimi duduk di sebelah adiknya. Dipegang tangan adiknya. Dibacakan ayat-ayat suci al-Quran yang pernah dihafal. Sepenuh tawakkal kepada Allah. Mengharap adiknya sembuh dengan kadar segera. Aimi meletakkan kepalanya di sisi adiknya. Dalam keadaan duduk bersimpuh di lantai. Tangan adiknya dibawa ke pipinya sendiri.

Perlahan-lahan, air matanya jatuh. Dia benar-benar tidak kuat bila melihat adiknya lemah. Mulutnya masih tidak berhenti mengulang-ulang bacaan doa agar Allah sembuhkan si adik. Dalam linangan air mata, dia terlelap di sisi adiknya. Aimi tak kisah badannya sakit, asalkan dia sentiasa di sisi Nazirah saat dia lemah seperti ini. Baginya, Nazirah itu kekuatannya dan dialah kekuatan buat Nazirah sementelah mereka hanya dua beradik.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience