Bab 22: Ungkap

Romance Series 20066

NASKAH muqaddam dibuka. Satu per satu frasa dan potongan ayat pendek dibaca separa kuat oleh Damia.

Melihatkan Damia yang masih merangkak-rangkak membaca al-Quran, Najihah putuskan jualah mengajar Damia tu dari peringkat asas, iaitu muqaddam.

Kalau biarkan Damia tu baca al-Quran sambil diiringi suara Najihah, itu bukan belajar mengaji namanya. Bagi Najihah, biarlah Damia datang kelas mengajinya ini untuk mengasah lagi ilmu tentang huruf jawi, hukum tajwid dan segala rencah lain yang berkaitan dengan pembelajaran al-Quran ni.

Biarpun pelajar-pelajar yang lain dah boleh membaca al-Quran, itu tak membuatkan Damia terasa terasing.

Mujurlah ada Najihah. Dialah salah satu tunjang utama yang membuatkan Damia tak ambik peduli membaca muqaddam dari awal biarpun pelajar-pelajar yang lebih muda darinya sudah mencapai tingkat yang lebih tinggi darinya. Bahkan ada di antara mereka yang sudah hampir khatam dah pun.

Selesai aje membaca, laju saja Damia simpan muqaddam milik Najihah itu. Dirinya dah lesu nak membaca lebih-lebih. Dia mahu habis membaca dengan segera kerana mahu habis kelas awal.

Maklumlah, ada 'seseorang' di luar sedang menunggu.

Usai pelajar-pelajar lain berpamitan pergi, seperti kebiasaan, Damia dan Syafiq rancak berbual di ruang tamu sementara mengisi masa sebelum Damia pulang. Syafiqah yang turut serta bersama mereka juga tidak kalah rancaknya. Bersungguh-sungguh dia bercerita itu dan ini.

"Jemputlah minum," pelawa Najihah sambil meletakkan satu per satu cawan berisi air Milo di hadapan mereka berdua.

Kerja membancuh dan menghidang air, dialah yang lakukan semua. Tapi tak mengapalah, sudah nasib menjadi tuan rumah.

"Terima kasih, Najihah," ucap Syafiq lalu diselangi Damia pula.

Mereka sama-sama meneguk minuman tu. Lega rasanya dapat membasahkan tekak.

"Kamu tak ada homework ke, Syafiqah? Bukan ke kamu tak suka buat homework lambat-lambat?" soal Najihah kepada Syafiqah.

Najihah lalu melabuhkan punggung di sebelah Syafiqah. Kalau diikutkan, dia tak mahu pun bergabung untuk berbual bersama Syafiq dan Damia.

Hatinya bagaikan disiat-siat apabila melihat mereka berdua saling bermesraan di depannya tadi. Tengok Syafiq tu, banyak pulak masa dia nak luangkan bersama Si Damia ni. Kalau tak ada Damia, sudah semestinya lelaki itu sekarang tengah menyediakan sate untuk jualannya.

Tapi mujurlah ada Syafiqah. Budak tulah yang beria-ia memintanya untuk turut serta. Dia tak tahu yang ustazahnya itu sedang menahan luka yang memedihkan rasa.

Biarlah. Biarlah Najihah sahaja yang tahu tentang rasa hatinya tu.

"Hari ni Syafiqah tak ada kerja sekolah. Tu yang Syafiqah nak sembang puas-puas dengan Kak Damia," jawab Syafiqah sambil tersenyum lebar ke arah Damia.

Damia dan Syafiq yang mendengar jawapan comel Si Syafiqah itu terus berbalas tawa. Najihah pula hanya mempu tersenyum simpul.

"Erm ... Damia?" Najihah bersuara.

"Ya? Ada apa?"

"Hari Sabtu ni, kelas mengaji kita jadi ke? Walaupun hujung minggu?"

Damia pandang sekilas wajah Syafiq sebelum mulutnya dibuka untuk menuturkan jawapan.

"Haah. Kalau boleh saya memang nak sangat mengaji setiap hari. Lagipun hari Ahad kan ada. Saya akan gunakan satu hari tu untuk saya berehat puas-puas. Najihah okey kan kalau saya nak belajar setiap Sabtu?"

Najihah angguk lalu menjawab, "Oh, kalau macam tu tak apalah. Saya pun okey je nak ajar awak bila-bila pun."

"Kak Damia nak datang mengaji hari Sabtu ni? Kalau Syafiqah nak datang jugak boleh tak?" sampuk Syafiqah yang kelihatan bersemangat.

"Adik, kan Kak Damia nak belajar mengaji sorang-sorang dengan Ustazah Najihah. Nanti kacau dia pulak," tegur Syafiq.

"Eh, tak apalah. Kalau Syafiqah nak join saya mengaji sekali pun tak apa. Tapi kalau Najihah bagilah. Boleh kan, Najihah?" tutur Damia pula.

"Mestilah boleh. Alang-alang untuk hari Sabtu tu, kita mengaji bertiga terus. Tapi Syafiqah, kamu nak duduk sini dengan ustazah sampai malam ke?" tanya Najihah pula.

"Tak adalah, ustazah. Lepas habis baca al-Quran dengan Kak Damia, Syafiqah terus balik rumahlah."

"Amboi, mentang-mentang ada Kak Damia, terus lupa ustazah eh?" seloroh Najihah.

Turut dia lemparkan senyum apabila menyatakan hal itu. Tak naklah kata-katanya tadi kedengaran tegas dan menyindir pulak. Nanti kedengaran serius pula yang dia sedang cemburu.

"Mana ada, ustazah. Syafiqah tak naklah duduk sampai malam. Nanti ustazah penat pulak sebab setiap malam nak jaga Syafiqah. Lagipun Sabtu malam kan along cuti. Jadi ustazah tak perlulah susah-susah nak jaga Syafiqah."

Najihah angguk kepalanya dan akur ajelah dengan jawapan Syafiqah. Jawapannya memang masuk akal tetapi kenapa baru sekarang?

Bila Damia tu suarakan yang dia mahu belajar mengaji hari Sabtu, Syafiqah pun mahu turut serta bersama. Sudah jelas Syafiqah mahu lakukan tu sebab Damia.

"Ustazah melawak je la. Tapi kalau kamu nak duduk sini sampai malam dan bila-bila pun boleh je," balas Najihah lagi.

Perasaan sebenar yang menyingkap jiwa dia pendamkan lagi. Berpura-pura seperti tidak berasa apa-apa. Memendam umpama menjadi hobi dirinya sendiri pula.

Melihat Syafiqah dan Najihah yang tak henti berbual, Damia putuskan untuk mencelah, "Cakap pasal mengaji ni, betul ke Syafiqah dah nak khatam?"

"Ha'ah, Kak Damia. Lagi dua juzuk Syafiqah nak khatam dah," jawab Syafiqah.

Damia buntangkan mata. Terkesima. Kagum jugalah dia dengan pencapaian Syafiqah itu.

"Ni dia dah nak masuk kali kedua khatam," kata Najihah pula.

Makin membulatlah mata Damia. Syafiqah yang baru 11 tahun pun dah nak masuk dua kali khatam. Dirinya? Satu kali pun belum.

"Dah nak dua kali? Hebatlah Syafiqah ni." Damia dengan penuh terujanya terus mengangkat ibu jarinya.

"Tengoklah adik siapa," Syafiq pulak menyampuk. Nak jugak kena puji.

Habis suasana meriah dengan sabungan tawa. Syafiq ni, dengan adiknya pun tak nak kalah. Nak jugak menumpang nama.

"Untunglah, saya entah bila nak khatamnya. Dahlah saya start baca dari muqaddam. Lambat lagilah jawabnya." Damia lalu memuncungkan mulutnya.

"Eh, Damia. Nak khatam ni tak ambik masa yang lama tau. Kalau hari-hari kita baca secara konsisten, mesti cepat habis punya," jelas Najihah.

Syafiq dan Syafiqah mampu mengangguk bersetuju.

"Ala, Kak Damia ... jangan macam tu. Syafiqah boleh je temankan Kak Damia mengaji lagi. Lepas Kak Damia dah naik al-Quran, kita share al-Quran sama-sama tau." Kali ini Syafiqah pulak bagi semangat.

Lalu al-Quran yang terletak elok di atas meja dia pegang. Turut dia peluk al-Quran itu dengan erat.

"Terima kasih banyak tau, Syafiqah. Syafiqah ni, baik sangat tau." Damia terus mencubit-cubit perlahan pipi Syafiqah. Geram.

Syafiq mengerutkan dahinya apabila dia mendengar adiknya itu semawa untuk berkongsi al-Quran bersama Damia. Selama ni, tak pernah adiknya nak berkongsi al-Quran dengan orang luar.

"Jap, adik nak share al-Quran tu dengan Kak Damia?"

"Ye la, along. Al-Quran ni kan arwah mak dan ayah yang bagi. Jadi apa salahnya adik share dengan Kak Damia, kan?"

Syafiq terus menancapkan pandangan matanya kepada Najihah. Najihah pula hanya menjongketkan sekali bahunya. Najihah memang dah sedia maklum akan hal ini. Yang tak tahunya Syafiq tu je.

"Kenapa tiba-tiba je, dik?" tanya Syafiq lagi. Masih tak percaya.

Dia tahu adiknya itu macam mana. Dia tahu kebiasaan adiknya itu. Kalau cakap pasal al-Quran biru, memang jangan haraplah adiknya nak beri sesiapa pun sentuh peninggalan arwah mak dan ayahnya itu.

Bahkan Najihah pun ditegah keras untuk menyentuh Quran itu sewaktu masa-masa awal kelas mengaji dulu. Sampai sekarang, Najihah agak berhati-hati apabila melibatkan al-Quran biru itu.

Nak guna al-Quran tu pun, hanya untuk tujuan mengajar je. Kalau nak dipinjam atau meminjam tanpa apa-apa sebab, memang taklah. Nanti ada yang 'mengamuk' pulak.

"Adik dah bagitau kat Kak Damia, kalau adik share al-Quran mesti arwah mak dengan ayah dapat pahala. Nanti mereka boleh masuk syurga."

Allah ... tiba-tiba terasa sayu pulak atmosfera yang menghentam suasana. Apabila bercakap perihal mak dan ayah, hati Syafiq yang kental itu pasti luluh jua.

Dengar jawapan Syafiqah yang sudah menunjukkan perubahan ketara tu mbuatkan hati Syafiq bertambah-tambah sebak.

"Hmm ... bagus adik along ni. Memang al-Quran ni peninggalan mak dan ayah, tapi tu tak bermakna kita tak boleh kongsi, kan?" Tersekat-sekat suara Syafiq bertanyakan itu.

"Ha'ah. Betul tu," jawab Syafiqah yang masih belum lepas memeluk erat al-Qurannya.

Syafiq terus pancarkan senyuman. Senyuman yang bercampur-baur pelbagai rasa.

Rasa sebak, syukur, terharu ... semuanya ada. Langsung dia mengusap-usap kepala adiknya yang masih bertutup dengan tudung itu.

Damia dan Najihah hanya membisukan diri. Mereka berdua turut merasakan kesedihan dan hiba.

Tetapi jauh di lubuk hati Damia, dia masih tertanya-tanya, kenapa apabila Syafiqah bersetuju untuk meminjamkan al-Quran kepada dirinya, Syafiq nampak gembira semacam?

Dan jauh di lubuk hati Najihah pula, dia merasakan suatu ketidakadilan. Hatinya sugul. Adakah benar apa yang digambarkan dalam benaknya? Syafiqah sudah menerima Damia lebih daripada dirinya?

*****

Lokman termangu sendiri sambil jari-jemarinya mengetuk-ngetuk meja makan. Sewaktu makan malam bersama ibunya tadi pun, dia lebih banyak menghabiskan masa dengan termenung aje berbanding menjamu selera masakan ibunya.

"Lokman?" Suara Mak Cik Zainab menyapa telinga.

"Ya, ibu?" Lengung Lokman segera terbantut kerana suara ibunya.

"Kamu ni kenapa, Lokman? Dari tadi termenung. Kamu ada masalah ke? Kalau ada ceritalah kat ibu," tanya Mak Cik Zainab dengan penuh kerisauan.

Mana taknya, anak sulungnya tu dari kelmarin lagi sudah macam tu. Makan tak kenyang, mandi tak basah. Yang paling membimbangkan, dia selalu sangat mengelamun sampaikan tugasnya sebagai pensyarah tu pun habis dia abaikan.

Lokman hela nafasnya. Berat sebenarnya dia mahu ceritakan perkara sebenar kepada ibunya itu tetapi dia terpaksa jua. Ini demi dirinya juga. Demi masa depannya.

"Ibu rasa betul ke Damia tu suka kat Lokman? Tapi Lokman tengok Damia tu macam tak sukakan Lokman je."

"Kenapa Lokman cakap macam tu?"

"Lokman fikir, Lokman je yang paling beria dalam hubungan ni. Bukannya Lokman tak nak fikir positif, tapi bila dah banyak kali tengok Damia macam acuh tak acuh layan Lokman, Lokman rasa memang Damia tu tak sukakan Lokman," luah Lokman lagi.

Lokman pejamkan matanya seketika. Hati mana yang tak gusar apabila bakal isteri yang dijodohkan ibunya tak mampu menerima dirinya.

"Lokman mesej dia, kadang balas, kadang tak. Kalau nak call, lagilah dia tak akan jawab. Lepas tu, bila Lokman nak ajak dia keluar je, mesti ada je alasan dia. Alasan tak sihatlah, alasan penatlah. Baru ni, bagi alasan nak pergi mengaji pulak," sambung Lokman dengan panjang lebar.

Hatinya sudah jerih. Tapi mujurlah Lokman tak bungkamkan diri. Sedikit sebanyak rasa terkelindan dalam hatinya dapat dilepas jua dengan meluahkan hal itu kepada ibunya.

Mak Cik Zainab menatap dalam-dalam wajah anaknya itu. Tatapan yang penuh dengan cahaya simpati. Anaknya amat tulus mencintai Damia tetapi betul ke Damia tu tidak dapat membalas cinta anaknya?

Tapi bukan ke kawan baiknya tu dah maklumkan yang Damia turut menyukai Lokman dan bersetuju tentang hubungan mereka tu? Takkanlah dia menipu?

"Lokman ... ibu rasa kan, Damia tu bukannya tak suka kamu, tapi mesti dia segan lagi dengan kamu. Ye la, masa kecik dulu kamu berdua kenal sama-sama, main sama-sama, makan sama-sama. Jadi tak hairan sangat la yang dia tu kekok sikit dengan kamu. Tapi tak apa, lama-lama nanti okeylah tu." Mak Cik Zainab utarakan panjang lebar pendapatnya.

Dia sedaya upaya berfikir positif agar anaknya tu tidak terlalu risau tentang perhubungan ini.

"Tapi ibu ..." Segera Lokman menjeda bicaranya apabila telefon milik ibunya berdering.

Mak Cik Zainab lalu mencapai telefonnya dan lantas dia menjawab panggilan tersebut. Tengok je nama pemanggil tu di skrin telefon, takkan nak reject call pulak.

"Ha, Siti. Kenapa call aku ni?"

Kedengaran suara Mak Siti tertawa kecil. "Zainab, bukan apa. Aku call kau ni sebab nak cakap benda pentinglah."

Dahi Mak Cik Zainab berkerut seribu. Turut dia arahkan kerlingan matanya ke arah Lokman.

"Benda penting? Benda apa?"

"Kau ni ... buat-buat tanya pulak. Pasal anak-anak kitalah. Pasal Lokman dengan Damia," ujar Mak Siti.

"Pasal dia orang?"

Lokman terus memandang ibunya. Suara yang sedikit kuat dari ibunya itu membuatkan dia yakin apa yang tersirat dalam benaknya dari tadi. Memang sudah pasti ibunya dan Mak Siti tu sedang bercakap perihal dirinya dan Damia.

"Esok Lokman dah start cuti semester, kan?" tanya Mak Siti.

"Ha'ah. Kenapa?"

Mak Siti sudah tersenyum lebar.

"Bukan apa, kalau boleh kau bagitau la kat Lokman tu, yang aku suruh dia datang kat rumah aku besok. Ambik dan hantarkan Damia tu pergi mengaji."

"Ambik Damia? Esok?" Terkebil-kebil mata Mak Cik Zainab.

"Ha ..." Mak Siti angguk.

"Hmm ... ye la. Kejap lagi aku bagitau Lokman."

Usai menjawab salam, panggilan terus dimatikan. Mak Cik Zainab pandang semula wajah anaknya itu. Nampak jelas wajah Lokman semakin tertanya-tanya tentang hal yang dibincangkan di dalam telefon tu.

"Tadi Mak Cik Siti call. Dia suruh kamu hantarkan Damia mengaji esok. Kamu okey ke?"

Lokman terkaku seketika. Dia cuba untuk mencerna kata-kata ibunya tadi. Kalau diikutkan, dia nak sangat jumpa Damia itu esok, tetapi apabila mengingatkan tentang luahannya tadi, tiba-tiba terasa berat pula hatinya.

"Okeylah, bu. Esok Lokman ambik Damia." Lokman terpaksa bersetuju jua.

Biarlah dia ambil peluang tu walaupun tugasnya hanya menjemput dan menghantar Damia. Yang penting, mulai esok dia sudah bertekad untuk memulakan langkahnya ...

*****

"Angah! Angah!" Terpekik-pekik Nadia memanggil adiknya.

Damia sudah ketap bibirnya. Waktu sedang perbetul tudunglah kakaknya ini sibuk nak terjerit-jerit.

"Apa dia, kak long? Bisinglah kau ni. Suara kau dengan suara mak sama je. Bingit," marah Damia.

Nadia sudah menyilangkan tangannya di hadapan pintu bilik. Tak endah dengan berang adiknya.

"Tak payah nak membebel sangat. Sepatutnya aku yang patut panas hati dengan kau tau sebab kau yang camuk almari aku tu. Kau ni dikira bernasib baik tau sebab aku tak ganyang kau cukup-cukup."

"Apa? Kau nak ganyang aku? Sebelum kau ganyang aku, aku dah cucuk mata kau dengan pin tudung ni," ugut Damia sambil menunjuk-nunjuk pin tudung yang dipegangnya.

Nadia terus terdiam. Dengan adik sendiri pun takut, ada hati nak ganyang. Mulutnya saja yang cakap lebih-lebih, padahal tak berani buat pun.

"Ni, mak suruh kau turun kat bawah." Nadia segera ubah topik. Memang tujuan utamanya berdepan dengan adiknya tu untuk menyampaikan arahan ibunya tadi.

"Turun bawah? Najihah datang sini dah ke? Selalunya Najihah datang lagi setengah jam," tanya Damia sambil dikerling jam di dinding.

Sambil-sambil itu dia turut melihat-lihat keadaan dan rupa dirinya yang sudah selesai bersiap. Cantik macam biasa.

"Bukan Najihah. Tapi Lokman."

Damia tersentak. Baru je bersemangat nak pergi mengaji. Dengar saja nama lelaki itu, punahlah semangatnya.

"Lok ... Lokman? Apa dia buat kat sini?"

"Biarlah dia datang sini. Dia tu bakal suami kau. Lagipun dia datang sini sebab nak hantar kau mengaji je," ujar Nadia.

Damia masih tercengang. Dalam fikirannya, dia sudah dapat mengagak dalang di sebalik semua ini. Ini pasti sebab ibunya tu. Dah tak ada orang lain yang berani buat macam tu.

Malas bertekak lebih dengan kakaknya, Damia segera menerobos kakaknya yang menghalang jalan keluar. Langkahnya dituju ke ruang tamu di bawah. Memang telinganya dapat menangkap suara ibunya itu sedang bergelak sakan dengan Si Lokman itu.

"Ha, angah. Turun pun kamu. Ingatkan solat istikharah kat atas sampai lupa nak turun bawah," seloroh Mak Siti apabila sudah melihat anaknya yang tergesa-gesa turun.

Muka Damia makin menegang. Tak ada masa dia nak ketawa dengan lawak bodoh ibunya itu. Hatinya dikerumuni rasa geram sekarang ini.

"Mak! Apa yang Lokman buat kat sini?"

Soalan itu patut dipertanyakan lagi. Biarpun dia tahu kakaknya tak mungkin menipu.

"Dia nak hantar kamu pergi rumah Najihah la. Lepas ni, Lokman yang akan hantar dan ambik kamu hari-hari. Tak perlulah mintak tolong Ustazah Najihah tu," kata Mak Siti.

Lokman pun hanya memberi segaris senyuman. Dari atas sehingga ke bawah dia lihat Damia yang siap bertudung itu. Cantik memang cantik, tapi kenapa dia rasakan ada yang tak kena?

Aku lagi suka Damia yang dulu, bukan Damia yang pakai langsir macam tu! Kutuk Lokman dalam hati.

Dia lagi suka Damia yang tak bertudung tu.

"Tapi angah dah suruh Najihah datang sini."

"Najihah tu tak apa. Dia bukannya datang sini lagi pun. Jadi lekaslah keluar dengan Lokman tu. Kejap lagi kalau Najihah tu sempat datang sini, nanti kesian pulak dia nak kena patah balik pulak," dalih Mak Siti.

Damia tegangkan rahangnya. Ah! Terpaksalah dia ikut Si Lokman ni.

Nak buat macam mana lagi. Tak nak panjangkan hal, ikut ajelah jawabnya.

Masuk saja ke dalam kereta Lokman, Damia senyap seperti biasa. Suara dari corong radio sahaja yang menjadi pemecah sunyi tatkala itu.

"Kenapa tiba-tiba awak nak belajar mengaji, Damia?" tanya Lokman.

Soalan pertama dari lelaki itu membuatkan Damia tarik mukanya. Sibuk betul laki ni.

"Saya nak berubah," jawab Damia tanpa sedikit pun memandang Lokman.

"Berubah? Sebab apa? Sebab kita dah nak ..."

"Boleh tak awak jangan tanya banyak soalan? Saya nak berubah pun, ikut suka hati sayalah. Kalau saya nak berubah tanpa sebab pun, itu hak saya. Awak tak ada hak nak tahu," bentak Damia yang segera membuatkan Lokman henti bertutur.

Lokman terkedu. Sepanjang perkenalannya dengan Damia, baru kali ni gadis itu sudah berani menengking-nengking dirinya. Sekarang memang sudah sah, yang gadis itu tak sukakan dirinya. Tipulah kalau Lokman itu tak sakit hati.

"Jadi betullah apa yang saya fikir. Awak tak pernah sukakan saya, kan?" tanya Lokman. Giginya sudah diketap kuat.

Damia mati kata. Sebenarnya tak tergamak pun dia bentak-bentak Lokman tadi tapi kerana rasa marahnya kepada ibunya, memang terlepas jualah tempias amarahnya tu kat Lokman.

"Saya dari dulu suka kat awak, Damia. Dari kita kecik lagi. Takkan awak tak ada rasa cinta sikit pun kat saya? Lagipun kita dah nak kahwin nanti," sambung Lokman dengan nada yang menahan sebak.

Pemanduan tetap diteruskan biarpun hatinya retak seribu. Sanggup gadis di sebelahnya ni buat hatinya hancur sebegitu.

Damia pejamkan matanya beberapa ketika. Nafasnya dihela panjang, cuba untuk memperoleh kekuatan.

"Lokman ... " Damia lepaskan helaan nafasnya. "Saya tak pernah sukakan awak."

Luahan Damia membuatkan Lokman tersentak. Tetapi dia cuba bertingkah seperti tiada apa-apa. Mahu dengar lagi penjelasan gadis tu.

"Kalau awak nak tahu, mak saya yang paksa saya kahwin dengan awak. Saya tak pernah pun bersetuju dengan semua ni. Kelakuan saya kat awak pun dah cukup jelas yang saya tak sukakan awak. Dari dulu sampai sekarang, saya hanya anggap awak sebagai abang saya je. Maaf, Lokman," jelas Damia lagi. Pandangannya ditundukkan kerana tak sanggup tengok lagi wajah lelaki di sebelahnya tu.

Terketar-ketar Lokman menahan geram. Tidak ada sepatah pun kata yang mampu diungkapnya. Dia sudah dapat agak tentang perasaan Damia itu tetapi mendengar penjelasan Damia tadi, membuatkan dirinya tak boleh terima akan semua itu.

Stereng kereta digenggam sekuat-kuatnya. Pedal minyak ditekan sepenuh hati. Jalan berbatu di kampung pun diredahnya dengan kelajuan maksimum.

Rasa geram sedang menguasai takhta diri. Hatinya sudah menjerit rawan.

Tak guna!

Bersambung...

Hmm Lokman ni mcm dah nak tunjuk taring dia je...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience