Rate

DENDAM

Horror & Thriller Completed 2349

“Nama aku Daus. Aku berasal dari negeri Perak. Aku berumur 29 tahun. Aku mempunyai sebuah keluarga yang sangat aku sayangi. Aku merupakan anak yang sulung dari empat beradik. Keluarga kami keluarga yang susah. Ayah aku kerja di ladang kelapa sawit milik Haji Zainuddin, dialah yang menanggung
keluarga selama ni. Mak aku pula suri rumah
sepenuh masa. Walaupun keluarga kami keluarga susah, tapi aku berasa amat bersyukur kerana masih lagi ada rezeki buat keluarga kami. Kami sekeluarga tak pernah berharap bantuan dari orang lain atau pun saudara mara, walaupun
hakikatnya mereka tidak tahu yang keluarga kami ni
wujud. Aku berterima kasih pada jasa ibu bapa aku
kerana membesarkan aku dan keluarga Haji
Zainuddin. Keluarga Haji terlalu banyak membantu
kami. Itu salah satu rezeki dari Allah yang Maha
Esa. Dia berikan pekerjaan kepada ayah aku supaya
ayah aku dapat menampung segala belanja rumah.
Semua orang ada cita-cita. Aku juga insan yang
mempunyai cita-cita. Walaupun aku tahu, aku tak
akan dapat gapai cita-cita aku tersebut. Aku
teringin sangat nak membalas jasa kedua ibu bapa
aku. Aku nak sangat ada duit yang banyak dan
berikan kepada ibu bapa aku. Setiap malam sebelum
tidur, aku akan berdoa kepada Allah agar impian
murni aku itu ditunaikan. Apa yang aku harus
lakukan hanyalah ‘berusaha’.
Solat aku tidak pernah tinggal dan lewatkan. Bila
aku dengar je azan berkumandang. Aku terus
meluru ambil air wudhuk dan bersiap untuk
menunaikan solat. Aku selalu ingat pesan mak aku,
solat itu tiang agama, solat itu wajib. Dan, mak aku
selalu berpesan agar percaya dengan rezeki dari
Allah. Dan, aku memang percaya.
Apabila aku tamat persekolahan, aku bekerja dengan
Haji Zainuddin. Di kampung aku agak susah untuk
mencari pekerjaan. Tambahan pula, keputusan SPM
aku tidak bagus. Namun begitu, aku tetap bersyukur
kerana masih diberikan kerja.
Pada suatu hari, aku mendapat surat tawaran
belajar. Aku agak terkejut kerana keputusan SPM
aku tidak bagus, tetapi mendapat surat tawaran
belajar di Kuala Lumpur. Aku dapat tawaran dari
Universiti yang terletak di tengah-tengah bandar.
Haji Zainuddin menawarkan dirinya untuk membantu
aku dari segi belanja. Mak dan ayah aku tidak
bersetuju untuk aku sambung belajar sebab mereka
tidak mampu nak menampung perbelanjaan aku
ketika berada di sana.
Tapi, Haji Zainuddin yang baik hati telah
memberikan peluang kepada aku dan dia juga
menasihatkan kedua orang tuaku agar jangan
dilarang niat aku untuk sambung belajar. Katanya,
“Carilah ilmu selagi mampu..”. Aku pegang kata-
katanya itu sehinggalah ke hari ini.
Dan, aku telah berjaya menyambung pembelajaran
aku di kota. Dengan wang saku yang dibekalkan
oleh Haji Zainuddin, aku pergi ke Kuala Lumpur
dengan menaiki bas. Setibanya aku di Kuala
Lumpur, aku menjadi insan yang paling jakun
sekali. Kerana itu adalah kali pertama aku jejakkan
kaki ke bandar. Ramai sungguh manusia yang
berada di Kuala Lumpur.
Aku mengambil teksi untuk menuju ke destinasi.
Sebuah rumah yang disewakan oleh pihak Universiti
untuk dijadikan sebagai hostel pelajar yang terletak
di Cheras. Ketika aku berada di hadapan hostel
tersebut. Aku dapat lihat bahawa rumah itu agak
usang. Tidak jauh bezanya dengan rumah aku di
kampung, bezanya rumah aku tu diperbuat dari
papan. Manakala hostel tu diperbuat dari batu bata.
Aku sempat berkenalan dengan rakan-rakan
serumah aku. Ada antara mereka senegeri dengan
aku tapi berlainan daerah.
Untuk bulan pertama, semuanya berjalan dengan
lancar. Aku selalu juga bertelefon ke kampung.
Tanya khabar mak ayah aku dan adik-adik aku. Haji
Zainuddin pun aku tidak lupakan juga. Satu perkara
je yang tidak suka tinggal di hostel tersebut. Ada
seorang manusia bernama Amir, dia ni memang
tinggal kat Kuala Lumpur. Anak-anak orang kaya
juga lah. Dia ni tak pernah solat. Banyak kali juga
kami mengajak, tapi dia tak mahu. Aku tak tahu
kenapa dia jadi macam tu. Kurang didikan agama
atau life-style dia memang macam tu?
Dan, Amir ni cukup marah kalau orang panggil nama
sebenar dia. Dia suruh panggil dengan
menggunakan nama samaran dia, ANTONIO. Pelik.
Bunyi macam orang Mexico pula. Lagi satu, dia ni
tiap-tiap malam pergi kelab. Jadi playboy. Pernah
sekali tu, dia bawa pulang 6 orang gadis melayu
yang mengenakan pakaian yang terlampau seksi.
Mengucap panjang kami semua. Puas kita orang
membebel dengan dia. Tapi, tak makan saman
punya budak. Masuk telinga kiri, keluar telinga
kanan.
Aku selalu marah Amir ANTONIO ni. Kadang-kadang
aku pendam. Marah dalam hati je. Dia ni selalu buat
masalah. Pernah juga aku mengadu dengan mak
ayah aku. Tapi, nasihat yang mereka berikan adalah
salah satu azimat istimewa yang membuatkan aku
masih lagi bertahan untuk tinggal di hostel
tersebut. Pernah juga kami panjangkan perkara ini
ke pihak Universiti. Tapi, tidak dilayan. Kerana,
pemilik Universiti yang aku belajar tu adalah bapa
kepada si Amir ANTONIO ni. Disebabkan itu, aku
pun jadi malas nak ambil tahu tentang dia. Tak ada
gunanya aku nak besar-besarkan perkara macam tu
lagi, tak ada hasil langsung. Lebih baik aku
tumpukan perhatian aku kepada pembelajaran aku
saja.
Pada semester ketiga, kami satu rumah digemparkan
dengan satu cerita bahawa Amir ni buat masalah
yang sangat besar. Dia telah meminjam duit dari
ceti haram. Dan, dia tidak mampu nak membayar
hutangnya itu. Ayah dia tak mahu membantu
disebabkan hubungan mereka anak beranak retak.
Renggang.
Amir telah meminjam sejumlah wang yang sangat
besar nilainya, 2 juta. Aku tak tahu kenapa ceti
haram tu boleh bagi budak bangang tu pinjam duit
banyak-banyak. Mesti Amir jual nama bapak dia,
disebabkan bapak dia tu Tan Sri dan orang penting
dalam politik.
Untuk pertama kalinya, Amir meminta bantuan dari
kami semua. Dia minta agar kami bohong jika ada
yang bertanyakan kelibat dia. Semenjak hari itu,
ramai yang bertanyakan tentang keberadaan Amir.
Dan, kami terpaksa bercakap bohong. Kami jawab
kami tidak tahu. Walhal, dia ada kat rumah tengah
bersembunyi.
Pernah juga terfikir untuk tidak mahu masuk campur
dengan urusan dia. Sebab aku takut kalau aku akan
terlibat sama. Ceti haram ni jangan main-main. Dia
orang peduli apa, main beduk je apa yang ada.
Asalkan dapat balik duit yang dipinjamkan.
Dan, perkara yang paling aku takuti terjadi yang di
mana aku dan kawan serumah aku semua kena
culik. Kami tak tahu kami berada di mana. Yang
pasti di dalam kilang yang sudah lama terbiar. Amir
pula berjaya meloloskan diri. Ceti haram telah
datang menyerbu kediaman kami, kami pula baru
pulang dari kuliah. Tak tahu apa-apa. Puas kami
merayu agar mereka lepaskan kami. Tetapi tidak
dipedulikan. Dalam hati aku hanya teringat Allah
dan keluarga saja.
Saat-saat yang kami lalui ketika menjadi tahanan
mereka sangat-sangat tidak seronok. Kami dipukul.
Diseksa. Hanya diberikan makanan anjing dan air
paip saja. Tangan dan kaki kami diikat. Tak pernah
dilepaskan ikatan pada tangan dan kaki kami.
Selama seminggu lebih kami menjadi tahanan. Dan,
mereka berjaya menangkap Amir. Amir dibawa pergi
ke tempat kami ditahan. Dia juga diikat kedua
tangan dan kakinya.
Aku dan kawan serumah aku yang lain menyaksikan
bagaimana Amir didera dan diseksa. Tak dapat aku
nak bayangkan betapa azabnya seksaan dari ceti
haram tu. Memang tidak berhati perut. Amir diseksa
oleh mereka sehingga mati. Mereka mencincang
Amir hidup-hidup dan dibiarkan Amir tercungap-
cungap melalui saat-saat akhir kehidupan.
Menangis kami semua. Tak sanggup nak melihat.
Penyeksaan tidak berhenti di situ. Mereka menyiat
kulit Amir dan mereka panggang di atas bara api.
Mereka juga tidak lupa untuk meletakkan garam dan
lada untuk memberikan rasa pada daging badan
milik Amir. Dan, daging Amir ANTONIO panggang itu
diberikan kepada kami semua. Kami dipaksa makan
daging itu.
Mereka tidak ingin melepaskan kami, tiada niat
untuk membebaskan kami. Walaupun kami berjanji
tidak akan beritahu kepada sesiapa. Mereka tetap
tak mahu melepaskan kami. Malah, mereka nak
gunakan kami sebagai tebusan untuk minta duit
kepada keluarga kami. Tiada apa yang dapat kami
lakukan selain berserah pada yang Maha Esa.
Memohon bantuan dari Allah.
Pada suatu hari, salah seorang dari ceti haram itu
masuk ke dalam bilik yang mereka kurung kami. Dia
meletakkan telefon bimbit ke telinga aku. Dan, aku
dapat dengar suara mak ayah dan adik beradik aku
dihujung talian. Mereka telah menyerbu rumah aku
di kampung! Perasaan marah aku membuak-buak.
Hati aku terlalu panas. Tidak cukup dengan itu. Aku
dipertontonkan sebuah video pula. Di dalam video
tersebut aku dapat melihat bagaimana ceti-ceti
haram itu semua membunuh seluruh ahli keluarga
aku.
Disebabkan keluarga aku tidak mempunyai wang
untuk membayar duit tebusan. Mereka bunuh
menandakan mereka tidak puas hati. Aku tak tahu
dari mana mereka dapat alamat rumah kami semua.
Yang pasti, rumah aku adalah rumah pertama yang
menjadi kunjungan dari mereka. Aku menangis
dalam keadaan yang marah. Dalam video itu aku
dapat melihat bagaimana mereka menikam perut ahli
keluarga aku menggunakan pisau yang besar. Dan,
mereka membiarkan saja ahli keluarga aku mati
dalam keadaan terseksa. DASAR ANJING!
Perasaan amarah dalam hati aku membuatkan aku
hilang pedoman dan iman. Aku tak tahu apa yang
merasuk tubuhku. Tetapi, aku berjaya membunuh
semua yang berada di situ. Aku tidak sedar apa
yang berlaku. Yang aku ingat, aku gigit lelaki yang
menunjukkan rakaman video itu pada aku. Sebab
dia yang paling dekat dengan aku, aku dapat gigit
leher dia sehingga koyak. Darah yang banyak
mengalir keluar. Selepas itu, aku tidak sedar apa
yang berlaku.
Bila aku buka mata saja, aku sudah pun berada di
hospital. Dan, tangan aku bergari ke katil. Pihak
hospital mengatakan bahawa aku dijumpai oleh
orang ramai di tepi jalan besar. Aku berlumuran
dengan darah dalam keadaan tidak sedar diri. Aku
telah menceritakan segalanya kepada pihak hospital
dan pihak polis.
Pihak polis pergi ke kawasan aku dijumpai, tidak
jauh dari kawasan itu. Terdapat sebuah kilang lama
yang agak tersorok. Dan, mereka telah menjumpai
mayat-mayat manusia di dalam kilang tersebut.
Yang membuatkan aku bertambah sedih adalah
apabila aku diberitahu bahawa kawan-kawan aku
juga turut sama tidak bernyawa. Keadaan mayat
yang dijumpai berada dalam keadaan yang
mengerikan.
Tubuh mereka dirobek, dikorek, digigit, begitu juga
dengan tubuh kawan-kawan aku. Aku dihadapkan
ke makhamah di atas tuduhan membunuh tanpa
niat. Aku juga diberitahu bahawa jenazah keluarga
aku selamat dikebumikan. Walaupun aku tidak diberi
kebenaran untuk pulang ke kampung. Tapi aku tetap
bersyukur kerana semuanya telah selesai.
Aku dipenjarakan selama 10 tahun. Dan, sehingga
ke hari ini. Pihak polis masih lagi belum menjumpai
saki baki ceti haram yang telah membunuh seluruh
ahli keluarga aku. Wajah-wajah pembunuh itu
masih segar di dalam ingatan aku. Walaupun sudah
2 tahun aku dibebaskan dari hukuman penjara.
Pembunuh itu semua masih lagi belum dijumpai.
Dan, hidup aku hanya ada satu tujuan saja. Iaitu
BALAS DENDAM. Aku akan pastikan seluruh
keturunan pembunuh itu semua menerima nasib
yang sama. Dan, dua sudah dilunaskan.”
Adi meletakkan nota yang dibacanya ke atas meja.
Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Bermacam
persoalan yang sedang bermain difikirannya itu.
Pihak polis sedang memburu Daus yang pernah
menjadi mangsa ceti haram. Akan tetapi, selepas
Daus dibebaskan dari penjara. Dia menjadi
pembunuh pula.
Setakat ini, sudah dua buah keluarga yang sudah
menjadi mangsa Daus. Nota yang di baca oleh Adi
tadi pula, adalah nota yang dijumpai di rumah
mangsanya. Daus seperti ingin memberitahu kepada
pihak polis agar jangan masuk campur urusan balas
dendam dia tersebut.
“Tak boleh jadi ni. Nak kena tahan Daus ni sebelum
perkara ni merebak menjadi teruk..” getus Adi di
dalam hati. Tugasan yang diberikan oleh orang
atasannya agak sedikit berat buat Adi. Kerana, ini
adalah kes pertama yang dikendalikan oleh Adi yang
di mana ianya melibatkan pembunuh bersiri.
Adi membelai-belai misainya yang kelihatan seperti
‘cowboy’. Dia dan pasukannya masih belum
menjumpai klu yang seterusnya untuk memburu
Daus. Adi khuatir jika urusan balas dendam ini akan
melibatkan nyawa yang tak berdosa. Seperkara lagi
yang membuatkan Adi pening adalah peristiwa pada
malam kejadian.
Dalam fail laporan forensik ada menyatakan bahawa
mangsa-mangsa pembunuhan di dapati seperti di
serang binatang buas. Tapi, bukti-bukti yang ada
menunjukkan ke arah Daus, bermakna Daus yang
lakukan? Tanpa dia sedar? Pihak forensik tidak
dapat merungkaikan misteri yang terjadi. Jadi, Adi
dan pasukannya yang bertanggungjawab untuk
menyelesaikan misteri pembunuhan bersiri tersebut.
Sudah hampir sebulan berlalu, masih belum ada
kedengaran lagi aktiviti pembunuhan dari Daus.
Pihak polis juga masih lagi memburu suspek
bernama Leong. Dia merupakan suspek
pembunuhan pada hari kejadian. Leong
bertanggungjawab dalam kematian keluarga Daus.
“Leong ni suspek terakhir. Kita kena tangkap dia
sebelum Daus menjumpai dia.” ujar Adi kepada
pasukannya ketika mereka mengadakan perjumpaan
penting di ibu pejabat polis yang terletak di tengah
ibu kota.
“Teruskan tingkat integriti kita sebagai anggota
polis. Orang awam dah mula mempersoalkan
kemampuan kita dalam menjaga keamanan negara.
Kita tidak mahu perkara sebegini berlanjutan. Jadi,
kita semua kena berusaha keras!” tambahnya lagi
dengan penuh bersemangat dan berdedikasi.
“Tapi tuan! Bagaimana dengan keselamatan kami
pula?” soal salah seorang anggota polis.
“Itu adalah tanggungjawab kita. Kita wajib gadaikan
nyawa kita sendiri demi keselamatan dan
keselesaan orang awam. Biarlah kita tidak tidur
malam, bersengkang mata, tidak cukup makan,
kekurangan dari orang lain. Asalkan negara kita
berada dalam keadaan yang aman, harmoni dan
damai!” balas Adi dengan penuh semangat yang
membara di dalam dada.
Kata-katanya itu di sambut meriah oleh anggota
yang lain. Mereka semua bersetuju dengan apa
yang diucapkan oleh ketua mereka itu. Secara tiba-
tiba, seorang anggota polis bergegas masuk ke
dalam bilik mesyuarat tersebut.
“Tuan! Kita telah mendapat maklumat tentang
keberadaan Daus!” jeritnya di muka pintu
Semua yang berada di dalam bilik tersebut terus
meluru keluar. Adi selaku ketua pasukan, dia berada
di bahagian depan.
“Daus.. Dia dah berjaya membunuh anak tiri kepada
Leong. Lokasi terletak di Danga Bay, Johor.” ujar
salah seorang anggota polis.
“Cis! Kita dah terlambat. Kat Johor pula tu! Kita
pula masih berada di Kuala Lumpur!.” ujar Adi
keberangan.
“Jadi, apa yang patut kita lakukan sekarang, tuan?”
“Jangan bimbang. Saya ada jalan penyelesaiannya.
Saya akan menggunakan kuasa imaginasi dunia
novel untuk teleportkan kita semua ke lokasi
kejadian!” ujarnya lagi.
Lima jam kemudian, Adi dan pasukannya telah tiba
di lokasi pembunuhan. Pembunuhan telah dilakukan
di hadapan sebuah kedai serbaneka 24jam. Hati
mangsa di robek keluar. Orang awam yang berada di
situ tidak dapat membantu banyak. Mereka semua
tidak sedar bila masa pembunuh berada di situ
kerana, tahu tahu saja mangsa tengah menggelupur
atas tanah.
“Hentikan segala siasatan. Kita pergi ke balai polis
berdekatan. Kita jadikan markas buat sementara
dahulu sebelum kita cari klu yang seterusnya.
Hujan pun sudah mulai membasahi bumi. Ayuh
kalian!” arah Adi kepada pasukannya.
Pada malam tersebut, Adi tidak dapat melelapkan
mata. Dia bertungkus lumus mencari klu di mana
keberadaan Daus. Dia harus hentikan segala
perbuatan Daus. Sudah berpuluh cawan kopi pekat
Adi masukkan ke dalam mulut lalu ke perut.
Matanya kian berat, tapi dia gagahkan juga dirinya
untuk bekerja. Sedangkan pasukannya yang lain
sedang tidur nyenyak.
Beberapa minit kemudian, Adi menerima panggilan
telefon dari ibu pejabat yang menyatakan bahawa
Leong membawa keluarganya datang ke Bukit Aman
untuk mencari perlindungan buat keluarganya. Dan,
dia menyerahkan diri. Dia rela tinggal di dalam
penjara dari di bunuh oleh Daus. Kerana
pembunuhan yang dilakukan oleh Daus, terlalu
kejam dan tidak berhati perut. Sama seperti apa
yang telah dia lakukan suatu ketika dahulu. Sempat
juga Leong menerima hadiah saguhati dari pihak
polis yang merupakan sedas sepakan dan
tumbukan.
“Apa punca dia menyerahkan diri?” soal Adi.
“Dia kata, dia terdengar bunyi haiwan bernafas
dalam rumah dia. Dia dan keluarga dia ketakutan.
Dan, beberapa kali juga dia nampak kelibat Daus
lalu lalang di ruangan dapur rumahnya itu.” suara di
hujung talian menjawab soalan Adi.
Adi mematikan talian, dia kembali termenung. Jauh
di sudut hatinya, dia sebenarnya berasa kasihan
terhadap Daus. Mengikut dari nota yang
ditinggalkan Daus, dia ni mangsa keadaan
sebenarnya. Itu pun jika apa yang tertulis dalam
nota tersebut adalah BENAR. Dan, bukan REKAAN.
Beberapa jam kemudian, Adi menerima laporan
bahawa pihak polis sudah habis menyiasat rumah
milik Leong, tiada satu pun bukti yang menunjukkan
bahawa Daus pernah berada di situ. Perkara
tersebut membuatkan Adi bertambah runsing.
“Leong tu merapu ke apa? Ke sebab dia dihantui
dosa-dosa lampau sampai merepek-repek? Tapi tak
apalah, dia dah serahkan diri kira baguslah tu.
Senang sikit kerja aku.” bisiknya sendiri.
Adi pulang ke Kuala Lumpur untuk menyoal-siasat
Leong, manakala pasukannya pula terus menetap di
Johor dan meneruskan kerja mereka dalam mencari
keberadaan Daus.
Setibanya Adi di Kuala Lumpur, dia tidak terus ke
ibu pejabat. Akan tetapi, dia pulang ke rumah
dahulu untuk berehat. Tubuh badannya terlalu letih
akibat tidak cukup tidur. Adi memanjakan dirinya
dengan mandi sabun di dalam bilik air. Dia ingin
menyegarkan badan dahulu sebelum masuk ke alam
mimpi. Dia tidak mahu tidur dalam keadaan badan
yang melekit dek peluh dan kotor, dia khuatir nanti
termimpikan yang bukan-bukan.
Seusainya mandi, Adi mengenakan seluar pendek
tanpa berbaju sahaja. Seterusnya, Adi merebahkan
badan ke atas tilamnya yang empuk.
“Ah kau! Balik-balik terus tidur. Jumpa mak pun
tidak! Terus tidur! Tak sayang kat mak lagi lah tu..”
kedengaran seseorang menegur Adi dari muka pintu
biliknya. Suara tersebut membuatkan Adi terkejut
dan terus bangun dari baringnya. Dia memandang
keadaan sekeliling.
“Setiap kali aku balik, mesti akan dengar suara
arwah. Apalah dosa aku ya Allah.” keluh Adi di
dalam hati.
Adi memarkirkan keretanya di kawasan yang
disediakan. Dia mengatur langkah kaki memasuki ke
tempat kerja. Ramai kakitangan yang menyapa
dirinya apabila mereka terlihat Adi memasuki pintu
tempat kerjanya itu.
“Mana suspek?” soal Adi sambil membuka kaca
mata hitamnya dengan penuh bergaya, mampu
membuatkan makcik cleaner cair dan jatuh hati. Adi
menuju ke bilik soal siasat. Leong sudah berada di
dalam bilik tersebut. Kelihatan wajah Leong lebam-
lebam biru. Mungkin sebab menerima hadiah pada
hari sebelumnya.
“Leong!” jerkah Adi sambil membuka pintu bilik
laju-laju. Perbuatannya itu membuatkan Leong
terkejut melompat lalu terjatuh dari kerusinya.
Leong meracau-racau meminta tolong agar dirinya
tidak dicederakan. Nama Daus beberapa kali
terungkap dari bibir Leong.
“Disebabkan kebodohan kau. Semua orang
menanggung akibat. Sekarang kau takut pula? Masa
buat dulu tak fikir? Main pakai beduk je? Ha?
Bodoh?” herdik Adi sambil kakinya di pijak ke
kepala Leong. Leong menangis-nangis seperti
budak kecil.
Tiada maklumat yang dapat membantu siasatan di
terima oleh Adi dari mulut Leong. Leong asyik
mengatakan bahawa dia tidak tahu apa-apa. Dia
benar-benar berada dalam ketakutan. Dan, kelihatan
bodoh. Tak padan dengan tatu yang penuh di
badan. Sebaliknya, Adi menjadikan Leong sebagai
punching bag sebagai tempat melepaskan tekanan
diri.
“Sumbat dia dalam lokap!” arah Adi kepada
kakitangan yang berada di situ. Adi pergi ke pantri
demi membuatkan secawan kopi panas yang lazat
dan enak di minum sebegitu saja. Uuuuhh~
Sedang enak Adi menikmati kopi yag dibancuhnya
sendiri, dia menerima panggilan dari anggotanya
yang bertempat di Johor. Dia diberitahu bahawa
Daus dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur
menaiki kereta Wira berwarna hijau pekat.
Anggotanya sedang mengekori dari arah belakang
dengan harapan tidak ketahuan.
Adi menyalin maklumat yang di beri di atas kertas
di atas meja kerjanya. “Nombor plat MY A55.
Nombor plat palsu ni.” bisiknya seorang diri.
Setelah dia meneliti nombor plat tersebut. Ianya
berbunyi “My Ass”.
“Tak guna kau, Daus. Dalam waktu begini kau
sempat bergurau. Okay, fine. Kau akan aku tahan
sebentar lagi, Daus.” ungkapnya seorang diri sambil
menghirup air kopinya.
Adi telah diberikan izin oleh orang atasan untuk
melakukan sekatan jalanraya besar-besaran. Tapi
Adi mempunyai perancangannya yang tersendiri.
“Kalau kita buat roadblock, mesti dia tahu punya.
Dah tentu dia akan larikan diri. Jadi, saya rasa lebih
baik kita buat serang hendap. Kita himpit keretanya
dengan kereta undercover kita.” cadang Adi, dan
cadangannya itu di terima. Setelah segala persiapan
sudah selesai. Semua anggota yang terlibat terus
bergegas melakukan kerja masing-masing.
“Ingat, jangan nampak ketara sangat. Jangan
bergerak secara berkumpulan. Pastikan, semuanya
berjalan dengan lancar. Jangan bertindak tanpa
arahan dari saya. Operasi kali ni wajib berjaya!”
suara Adi kedengaran di setiap radio terminal di
dalam kereta-kereta anggota polis.
Kereta Wira berwarna hijau pekat menyusuri tol
Serdang. Kemudiannya, kereta tersebut terus ke
arah MRR2. Tiga buah kereta undercover
mendahului kereta yang dinaiki Daus. Satu di lorong
kiri, satu lagi di hadapan kereta Daus, dan satu lagi
di lorong sebelah kanan. Manakala, tiga biji kereta
undercover berada di posisi yang sama tetapi di
bahagian belakang.
“Suspek kelihatan sedang memandu sambil makan
Laksa Johor.” ujar salah seorang dari anggotanya.
“Tuan relaks je kat HQ tu. Biar kami jalankan tugas
ni. Tuan ready je nak buat report.” tambah seorang
lagi.
Semua anggota menunggu arahan dari ketuanya.
Arahan yang mampu memberi sebuah pengakhiran
atau sebaliknya. Bintik-bintik peluh mulai menjelma
di dahi Adi. Seluruh tubuhnya tiba-tiba saja
menggeletar.
“Lakukan sekarang!” arah Adi.
Apabila mereka semua mendengar arahan tersebut.
Tanpa membuang masa, kereta di hadapan menekan
pedal brek. Empat biji kereta di kiri dan kanan
menghimpit kereta Daus. Manakala kereta yang di
belakang pula, merempuh kereta Daus dari arah
belakang. Dentuman yang kuat kedengaran. Seramai
lapan orang penunggang motorsikal terbabas kerana
terkejut dengan kejadian tersebut. Orang awam yang
lain pula, sempat memberhentikan kenderaan
masing-masing.
Kelihatan asap-asap putih berkepul keluar dari
kereta Daus. Sebuah lori milik polis berhenti di
tempat kejadian. Seramai enam orang berpakaian
seperti SWAT melompat keluar dari belakang lori itu.
Siap dengan bersenjata api. Mereka mengepung
kereta Daus. Anggota polis yang menaiki kereta
undercover tadi sudah pun mengalihkan kenderaan
masing-masing ke bahu jalan, bagi memudahkan
kerja untuk menangkap suspek.
“Kenderaan suspek berjaya diberhentikan. Over.”
ujar salah seorang anggota polis yang terlibat
dengan menggunakan alat komunikasi walkie-
talkie. Adi menunggu di ibu pejabat dengan
perasaan yang berdebar-debar. Dia berharapan agar
Daus berjaya diberkasnya pada hari itu.
Seorang anggota polis menghampiri kereta Daus
dan membuka pintu di bahagian pemandu.
Kemudian, dia menghalakan muncung senjatanya ke
arah dalam kereta. Anggota tersebut mencapai
walkie-talkie.
“Suspek bernama Daus tu orang cina ke? Over.”
kata-kata dari anggota polis itu membuatkan darah
Adi menyirap.
“Periksa betul-betul! Mana mungkin cina! Daus tu
orang melayu!” tengkingnya sehinggakan walkie-
talkie tersebut menghasilkan satu bunyi yang
nyaring. Ternyata anggota polis itu tidak silap.
Memang hanya ada lelaki berbangsa cina berada di
dalam kenderaan tersebut. Dan, lelaki itu
kelihatannya sudah meninggal dunia akibat
kepalanya terhentak kuat pada stereng.
“Tapi kami memang nampak tadi suspek yang bawa
kereta! Bukan orang cina atau lain!” jelas anggota
polis yang seorang lagi dengan menggunakan
walkie-talkie.
Adi menjerit bagai orang gila. Dia tidak dapat
menerima hakikat bahawa segala usahanya dari tadi
hanyalah sia-sia. Dia berharapan agar dapat
menangkap Daus, tetapi orang lain pula yang
berada di dalam kenderaan tersebut.
Adi menghempas tangannya ke atas meja. Dia
berasa geram kerana terasa dirinya seperti
dimainkan. Mustahil Daus dapat melenyapkan
dirinya begitu saja. Bagaimana dia lakukan? Magic?
Tidak mungkin pasukan yang dia latih selama ini
memberikan maklumat palsu atau pun tersalah
pandang.
“Tuan! Saya berani bersumpah! Memang saya
nampak dia keluar dari hotel yang dia menginap
tadi dan terus masuk ke dalam kereta. Dan terus
menuju ke arah Kuala Lumpur! Saya tak tipu, tuan!”
ujar anggota polis yang berada di dalam
pasukannya.
Kepala otak Adi tidak dapat nak berfungsi. Dia
terlalu kusut. Mungkin benar anggotanya tersalah
pandang? Akibat tidak cukup rehat? Mungkin?
Walau bagaimanapun, sudah tentu pihak atasannya
ingin penjelasan dan Adi harus bertanggungjawab
di atas kesilapan besar yang sudah berlaku.
Kecuaian yang mengakibatkan kematian orang
awam yang tidak bersalah dan tiada kaitan dengan
kes yang sedang diuruskan.
Disebabkan insiden tersebut, Adi bakal kehilangan
kerjanya dan berkemungkinan besar dia boleh
dipenjarakan. Walaupun Adi merupakan anggota
polis berjawatan tinggi, ianya tidak bermakna Adi
mempunyai imuniti terhadap kesalahan seperti
‘terbunuh’ sebab salah informasi.
Fikiran Adi berhenti dari berfungsi serta-merta. Ahli
pasukannya sedang menunggu jawapan darinya.
Apa yang harus dilakukan? Di dalam kekalutan yang
sedang berlaku, Adi menerima panggilan dari pihak
atasan. Darah Adi berderau, dia tidak tahu
bagaimana ingin menjawab. Apa yang harus dia
lakukan?
Adi menceritakan segala yang berlaku kepada pihak
atasan. Dia pasrah dan dia sedia menanggung
segalanya. Dia sanggup gadaikan kerjayanya yang
dia bina selama ini asalkan anak buahnya tidak
mendapat hukuman.
“Tak mengapa, saya nak awak bawa balik mayat
tersebut dahulu dan lakukan pemeriksaan. Lakukan
pemeriksaan secara terperinci. Selanjutnya kita akan
bincangkan selepas pemeriksaan.” arah pihak
atasan Adi. Adi patuh dengan arahan yang di
terimanya, dan dia mengarahkan anak buahnya
untuk membawa balik mayat tersebut.
“Jangan cerita apa-apa dulu kepada sesiapa pun.
Sehinggalah kita dapat jawapan dari pihak atasan.”
arah Adi kepada semua anak buahnya.
Keesokan harinya, Adi tidak datang ke kerja. Dia
diarahkan untuk mengambil cuti sehinggalah
pemeriksaan terhadap mayat tersebut selesai yang
di mana ianya mengambil masa selama lebih dari 24
jam.
Walaupun Adi cuti, tetapi dia tetap menjalankan
kerjanya dari rumah. Adi meneliti bahan-bahan bukti
yang berkait dengan kes itu. Dia membaca nota
milik pembunuh itu dengan harapan dia dapat
mencari maklumat penting.
“Aku tak tahu apa yang merasuk tubuhku. Tetapi,
aku berjaya membunuh semua yang berada di situ.
Aku tidak sedar apa yang berlaku.”
“Apa yang berlaku pada dia waktu tu? Macam mana
dia boleh tak sedar yang dia dah bunuh semua
yang ada kat situ termasuk kawan serumahnya?
Daus ni siapa sebenarnya?” getus Adi di dalam hati.
Dia bangun dari kerusi, dan menuju ke arah jendela
rumah. Dia melemparkan pandangannya jauh ke luar
rumah. Dia cuba untuk fokus.
“Macam mana dia boleh tak sedar yang dia telah
melakukan pembunuhan? Tak mungkin sebab terlalu
marah. Atau, dia memang ada penyakit? Dan,
bagaimana dia boleh gantikan dirinya dengan orang
lain ketika kami mengepungnya? Riddle yang agak
susah untuk aku selesaikan.” getus Adi seorang diri.
Dia melurut misainya dengan cermat sambil mata
terpejam rapat.
Secara tiba-tiba, telefon milik Adi berbunyi. Adi
bergegas mendapatkan telefonnya itu. Dia melihat
pada skrin telefon itu. Sebuah nombor yang dia
tidak kenal. Siapa pula? Adi menjawab panggilan
tersebut.
“Hello?”
“Assalamualaikum Encik Adi.” terdengar suara
seorang lelaki separa tua di hujung talian.
“Ya saya bercakap. Siapa ni?” soal Adi ingin tahu.
Siapa pula lelaki tua yang menghubunginya itu?
“Saya Zakariah, pegawai di penjara. Saya yang
menjaga sel di mana Daus menetap ketika berada di
penjara. Saya ada sedikit maklumat yang ingin saya
kongsikan.” ujar Zakariah sopan.
“Menarik. Baiklah, teruskan.”
“Daus ada saka.” ujar Zakariah, membuatkan Adi
sedikit terkejut. Saka?
“Mengarutlah…” Adi tidak suka apabila mendengar
perkataan saka tersebut. Dan dia tak percaya
bahawa Daus jadi begitu disebakan saka.
“Apa yang saya katakan ini adalah benar. Keluarga
Daus mungkin dalam kategori warak dan menolak
ajaran sesat itu semua. Tetapi dalam hal ini, saya
dapat rasakan bahawa Daus telah tertewas dan dia
telah menerima saka itu untuk menjadi sebahagian
dari hidupnya. Sebahagian dari dirinya. Disebabkan
dendam yang ingin dia lunaskan.” jelas Zakariah.
Adi hanya mendiamkan diri. Dia tidak tahu
bagaimana hendak memberikan respon.
“Suatu malam ketika dia berada di dalam selnya
seorang diri. Saya ada terdengar dia berbual dengan
seseorang, sedangkan tiada sesiapa di situ. Antara
perbualan mereka yang dapat saya dengar ialah
membalas dendam dan menjadi kebal.” jelas
Zakariah lagi.
“Saya bukanlah seorang pakar. Tetapi, lebih baik
Encik Adi meminta pertolongan dari orang yang
pakar dalam bab begini. Seseorang yang tinggi
ilmunya dalam hal agama dan tahu caranya untuk
menghapuskan makhluk-makhluk seperti jin,
syaitan dan sebagainya.” tambah Zakariah lagi.
Adi benar-benar terkedu. Dia tidak dapat
mengeluarkan sebarang suara mahu pun ayat. Dia
rasakan semuanya itu seperti karut. Tetapi, seperti
ada kemungkinan juga ianya benar. Jika tidak,
bagaimana Daus boleh melakukan pembunuhan
yang dahsyat tersebut?
Selepas menamatkan perbualannya dengan
Zakariah, Adi menghubungi pula tempat kerjanya.
Namun, hampir lima minit dia menunggu, tiada
jawapan. Adi mula berasa hairan dengan keadaan
tersebut. Hatinya tiba-tiba saja diserangi perasaan
tidak enak. Adi cuba menghubungi tempat kerjanya
lagi. Tetap tiada jawapan yang di terima.
Adi hubungi pula nombor telefon kawannya yang
bekerja di situ.
“Hello? Amin? Kau ada kat office ke?” soal Adi.
“Adi… Tolong… Tolong kitorang…….” panggilan
dimatikan. Adi terdiam, matanya terbeliak. Apa yang
sedang berlaku? Hatinya benar-benar rasa tidak
sedap. Lantas, Adi membuat keputusan untuk pergi
sahaja ke ibu pejabat polis tempat dia bekerja itu.
Semasa dalam perjalanan, Adi cuba hubungi
beberapa nombor kawannya yang bekerja di situ,
tetapi tidak berjawab. Adi melemparkan telefon
bimbitnya ke kerusi bahagian penumpang. Dia harus
segera ke ibu pejabat. Dia inginkan jawapan. Apa
yang sedang berlaku? Pertolongan apakah yang
kawannya itu cakapkan?
Adi dapat melihat bangunan ibu pejabat dari jauh.
Jarak antara dia dan ibu pejabat tidak jauh lagi.
Tetapi, disebabkan jalan sesak. Dia terpaksa
menunggu. Dengan tidak semena-mena, telefon
bimbitnya berbunyi. Tertera nama ketuanya di skrin
kaca. Adi segera menjawab.
“Adi! Cepat datang ke pejabat! Suspek hidup semula
dan membunuh semua orang!” arah ketuanya itu.
Adi tergamam. Apa yang dah terjadi? Adi segera
meletakkan keretanya ke sisi jalan. Dan, dia terus
keluar dari kenderaanya itu dan berlari ke arah ibu
pejabat polis yang tidak jauh lagi dari tempat dia
berada.
Setibanya Adi di lokasi, dia melihat semua anggota
polis yang terselamat berada di luar. Adi berlari ke
arah ketuanya.
“Tuan! Apa yang sudah berlaku?” soal Adi
menginginkan jawapan.
“Suspek bernama Daus. Saya tak tahu bagaimana
nak jelaskan. Semasa pembedahan hendak
dilakukan, dia tiba-tiba saja bangun dan membunuh
semua yang berada di depan matanya. Wajahnya
dari orang cina tiba-tiba jadi… jadi.. jadi muka dia..
muka suspek.. muka Daus.. Entahlah, saya sendiri
pun tak tahu macam mana nak jelaskan.” jelas ketua
Adi yang sedang keliru. Dan, dibadannya terdapat
calitan darah.
Adi melihat sekelilingnya, ramai anggota yang
cedera parah. Ada diantaranya badan terputus, kaki
dan tangan terputus. Seperti di rentap kasar dan di
gigit.
“Oh ya, lagi satu. Semua anggota kita sudah tembak
suspek. Tetapi, suspek tidak mati. Seolah-olah
kebal. Peluru memang tak lut.” jelas ketua Adi lagi.
“Mungkin kita perlukan bantuan dari ustaz-ustaz
untuk hal sebegini. Tuan tolong hubungi sesiapa
yang boleh membantu, saya nak masuk ke dalam.
Saya nak menghadap suspek.” ujar Adi dan terus
berlari ke dalam. Ketuanya cuba menghalang tetapi
tidak berjaya. Adi telah pun terlepas masuk ke
dalam bangunan.
Keadaan di dalam ibu pejabat polis sangat huru-
hara. Beberapa mayat anggota pasukan khas di lihat
bergelimpangan di merata tempat. Adi melihat ke
arah senjata api jenis SMG yang berada di atas
lantai. Dia mengambil senjata tersebut. Setelah
memastikan senjata itu masih lagi berfungsi dan
berpeluru, Adi sarungkan ke badannya. Dia bersedia
untuk sebarang kemungkinan. Dia tahu bahawa
peluru tidak dapat membunuh Daus, tapi apa lagi
pilihan yang dia ada? Dia akan cuba melengahkan
masa sementara menunggu bantuan yang dia
harapkan. Iaitu seseorang yang mampu melawan
syaitan.
Adi melangkah kaki menuju ke tingkat dua
bangunan tersebut kerana dia terdengar suara lelaki
menjerit. Adi bersandar pada sisi dinding, dia cuba
untuk mendengar sebarang bunyi. Ada perbualan
yang sedang berlaku. Tetapi tidak jelas,
berkemungkinan Daus berada di dalam salah satu
bilik pejabat yang ada. Adi terus bergerak menuju
ke arah suara yang dia dengari sebentar tadi.
Adi berjalan dalam posisi bersedia untuk
menembak. Dia akan terus menembak jika
ternampak kelibat Daus.
“Dia sudah melampau. Dia telah membunuh begitu
banyak nyawa yang tidak berdosa. Hanya kerana
nak melunaskan dendam terhadap pembunuh
kepada keluarganya sahaja.” getus Adi di dalam
hati.
Adi memberikan fokus telinganya terhadap
perbualan yang dia dengari sejak tadi.
“I sanggup bagi you apa saja! Jangan bunuh I! I
merayu pada you!” kedengaran suara Leong merayu
agar nyawanya tidak di ambil. Adi tiba di pintu bilik
pejabat yang di mana Leong dan Daus berada.
Kelihatan Leong sedang tersandar di dinding.
Kedua-dua belah tangannya sudah tiada.
“Nampaknya Daus begitu obses dengan tangan
mangsanya. Dia akan cabut tangan mangsanya dulu
sebelum bunuh. Pembunuhan jenis apa ni? Kejam
sungguh. Lebih baik kau bunuh je dari biarkan dia
terseksa macam tu.” bisik Adi di dalam hati. Dia
cuba untuk melihat kelibat Daus, tapi tidak
kelihatan.
“Mana pula si gila ni?” hati Adi bertambah tidak
enak setelah dia tidak melihat kelibat Daus di dalam
bilik tersebut. Dengan tidak semena-mena, Adi di
tendang dari arah belakang. Tendangan yang biasa
tapi kekuatan yang terhasil membuatkan Adi
tercampak ke dalam bilik tersebut. Badan Adi terasa
bisa, seperti di cucuh dengan menggunakan bara
kayu api.
Perlahan-lahan Adi bangun, dia melihat Daus sudah
berada di muka pintu.
“Celaka! Macam mana pula dia boleh ada kat
belakang aku? Betul ada saka lah si jahanam ni!”
teriak Adi di dalam hati. Dia menghalakan SMG ke
arah Daus, dan terus melepaskan berpuluh das
tembakakan ke arah Daus. Ternyata apa yang di
beritahu ketika baru sampai tadi adalah benar
belaka. Daus tidak berganjak walaupun sedikit.
Peluru memang tidak berkesan pada dirinya.
“Makhluk jenis apa kau ni!? Matilah bodoh!!” jerit
Adi dan melepaskan lagi tembakan ke arah Daus.
Lagi sekali, ianya tidak memberikan sebarang kesan
kepada diri Daus. Sedikit pun darah tidak terpancut
keluar. Semua peluru yang di tembak ke arah dirinya
jatuh lemah tak bermaya.
“Cepat bunuh dia tuan polis! Bunuh dia cepat!
Selamatkan saya!!!!” jerit Leong.
“Diamlah bangsat! Semua ni berpunca dari kau!”
balas Adi berang, dan dia melepaskan tembakan ke
arah kaki Leong. Membuatkan Leong menjerit
kesakitan lalu jatuh terduduk. Darah yang banyak
mengalir keluar. Kemudian, Adi mencampakkan
senjatanya ke tepi.
Lantas, Adi melayangkan tendangan ke arah kepala
Leong. Kemudian, dia memijak-mijak kaki Leong
yang sedang kritikal dan dalam keadaan yang
berdarah teruk. Tidak cukup dengan itu, Adi
menggigit pula bahu Leong sehingga terkoyak
dagingnya. Tiada apa yang mampu Leong lakukan.
Hanya menjerit kesakitan. Adi seperti kerasukan,
matanya berubah menjadi warna merah darah. Anak
matanya menjadi kecil dan tajam, saling tidak
tumpah seperti haiwan pemangsa yang kejam.
Adi mencakar-cakar tubuh Leong sehingga kulitnya
terkoyak dan mengalirkan darah. Adi mengangkat
Leong dan menghempas tubuh yang lemah itu ke
atas lantai dengan kuatnya. Kedengaran bunyi
tulang-tulang yang patah. Leong tidak lagi bersuara
namun masih bernyawa. Dia tidak dapat hendak
lakukan apa-apa. Hanya menerima dengan penuh
kesakitan yang tidak dapat nak diungkapkan dengan
melalui kata-kata. Bukan kata-kata cinta atau rindu,
akan tetapi kata-kata yang menggambarkan betapa
sakit dan peritnya menunggu mati dalam keadaan
yang terseksa. Gambaran pembunuhan yang pernah
dia lakukan terpancar di depan matanya, wajah-
wajah mangsa yang pernah dia bunuh. Wajah-wajah
ahli keluarganya. Wajah insan-insan yang pernah
merayu agar jangan dicederakan. Leong teringat
akan segala perbuatan lampaunya.
Namun, itu semua sudah tiada erti lagi. Kerana saat
itu, dia sedang nyawa-nyawa ikan. Hanya
menunggu saat malaikat maut mencabut nyawa dari
tubuhnya. Dan, ketika gambaran wajah-wajah yang
pernah dia lihat itu sedang berlegar-legar, Adi pula
menarik kepalanya sekuat hati. Leong menjerit kuat.
Jeritan yang terakhir yang akan keluar dari anak
tekaknya. Selepas itu, tiada lagi yang akan
kedengaran. Kulit-kulit di leher Leong mulai
terkoyak, koyakan seperti koyaknya sekeping kertas.
Dan memisahkan antara satu sama dan lain.
Begitulah terpisahnya kepala milik Leong dan
tubuhnya. Darah memancut keluar.
Adi menghempas kepala itu ke atas lantai, lalu
dipijaknya sehingga pecah. Adi menjerit-jerit
seperti orang gila ketika sedang memijak kepala
Leong. Apakah dia tidak sedar akan perkara yang
sedang dia lakukan? Apakah dia sudah gila?
Selepas Adi selesai dengan pembunuhannya, dia
jatuh rebah ke bumi. Pandangannya menjadi kabur.
Kepalanya menjadi pening yang terlampau. Dan, Adi
terus tidak menyedarkan diri.
“Sekarang kau akan faham bagaimana perasaannya
bila membunuh dalam keadaan tidak sedar. Dan,
disabitkan dengan kesalahan membunuh tanpa
niat.” ujar Daus, lalu dia tersengih sinis. Kemudian,
dia berlalu pergi dari tempat itu.
Semenjak dari hari itu, tiada jejak Daus ditemui.
Lokasi terakhir adalah di rumah saudara kepada
Leong, yang di mana seluruh ahli keluarga itu telah
mati di bunuh dengan begitu kejam sekali.
Kemudian, Daus terus hilang tanpa khabar berita.
Manakala Adi pula, dia menjadi tidak waras selepas
sedarkan diri. Otaknya menjadi tidak betul. Dia
melalut mengenai perkara-perkara yang aneh. Walau
bagaimanapun, Adi tetap difailkan sebagai pesalah
kerana telah mengakibatkan kematian suspek yang
telah menyerahkan diri kepada pihak polis dan
membiarkan suspek pembunuh bernama Daus
melepaskan diri. Rakaman CCTV yang berada di ibu
pejabat telah berjaya merakam segala kejadian yang
telah berlaku. Ramai yang tidak percaya bahawa Adi
secara tiba-tiba boleh beralih pandangan dari
menghentikan Daus kepada membunuh untuk Daus.
Adi ditempatkan di wad sakit mental, di dalam
sebuah bilik khas. Kemudian, kes ditutup setelah
bertahun pihak polis cuba menjejaki Daus, tetapi
tidak berjaya. Negara kembali aman seperti
sediakala.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience