MASUK je dalam rumah, mulutnya ternganga luas. Bagasi yang ditarik segera terlepas daripada genggaman. Tak percaya apa yang dilihat sekarang ni. Ada seorang budak perempuan sedang sibuk mewarna kertas lukisan sambil bergelak sakan menonton televisyen.
"Hoi! Kau ni siapa, ha?" jerkah Nadia dengan mata mencerlungnya.
"Syafiqah."
"Aku tak tanya nama kau. Aku tanya siapa kau? Tak faham bahasa ke?" tempik Nadia lagi.
"Umm ... pelajar Sekolah Kebangsaan Haji Taib," jawab Syafiqah selamba. Malas mahu melayan orang gila yang tiba-tiba je masuk ke rumah ni.
Nadia kepalkan tangan. Giginya diketap kuat. Kecil besar aje dia tengok budak perempuan tu. Kenal pun tidak, dah berani melawan.
"Eee ... kau loyar buruk dengan aku? Kau memang nak kena ni!" ugut Nadia tapi belum sempat dia mulakan langkahnya untuk menghabisi Syafiqah, Damia segera menghalang.
Tangan Nadia ditarik kasar sebelum tubuhnya ditolak dengan kuat. Terjelepok dia kat atas lantai.
"Kau jangan berani sentuh budak ni!" marah Damia. Takkan sesekali dia biarkan orang lain mahu mencederai Syafiqah. Dirinya dah berjanji untuk melindungi Syafiqah tak kira apa pun.
"Kau dah kenapa tolak-tolak aku ni, angah? Kurang ajar!" Nadia masih merungut kesakitan. "Memang budak tu siapa?" Kini matanya tepat mengarah kepada Syafiqah. Rasa geramnya semakin membara.
"Dia adik ipar aku. Kenapa? Ada masalah?" bidas Damia sambil menyilangkan tangannya. Syafiqah di belakangnya hanya tersenyum puas.
Dada Nadia makin berombak. Tak guna! Adik kepada penjual sate tu rupanya. Patutlah tak sedar diri. Si Damia ni pun beria mahu nak defend budak tu. Nadia mendengus.
Dia terus bangun dari duduknya. Punggung yang sedikit sakit setelah mencium lantai tadi dibiarkan. Sekarang ini, hatinya lebih sakit. Senang-senang Damia tu bawa orang luar masuk ke dalam rumah mereka ni.
Kelibat ibunya menjadi sasaran. Ya, kalau tak disebabkan ibunya, pasti budak tu tak akan berada di sini.
Takkanlah ibunya dah dapat menerima semua ni? Takkanlah ibunya dah menerima Syafiq ketika ketiadaannya? Tak mungkin! Semua itu tak dapat diterima akal.
Nadia terus menarik bagasinya dengan kasar. Sempat dia menjerit penuh dendam kepada Damia. Masih tidak puas hati dengan apa yang berlaku.
Sekarang ni, dia perlu menghadap ibunya untuk mendapatkan penjelasan. Ibunya takkan senang-senang menerima masuk keluarga menantu yang dibencinya itu.
Langkah terhenti sesampainya di dapur. Mulut ternganga luas. Pelbagai masakan sudah terhidang di atas meja. Semestinya hidangan itu baru siap dimasak sebab bau sedapnya yang masih menusuk hidung.
Damia takkan mampu masak semua ni. Dan gerangan yang mahir memasak di dalam rumah ni pun sudah pasti ibunya.
Setelah apa yang disaksikannya tadi, kali ini ibunya sanggup memasak untuk mereka pulak? Sah! Ibunya itu mesti kena sihir guna-guna. Hati Nadia makin meronta-ronta.
Ibunya itu seorang yang keras kepala. Kenapa mudah sangat dia menerima Syafiq? Nadia makin tak tenteram.
Langkah diteruskan lagi menuju ke bilik ibunya di tingkat atas. Mulutnya tak henti-henti memanggil walaupun tiada sahutan.
"Mak! Bukak pintu ni. Along dah balik!" Pintu diketuk berkali-kali. Pintu yang terkunci dari dalam, semestinya ibunya berada di dalam bilik.
Beberapa kali diketuk, akhirnya pintu dibuka. Kalau dibiarkan Nadia di luar, boleh tercabut pintu itu diketuknya.
"Mak! Apa ni?" sungut Nadia tanpa basa-basi.
"Tutuplah pintu tu dulu," arah Mak Siti pula. Nadia pun hanya turuti sahaja. Langsung dia berdiri tepat di depan ibunya yang sedang melabuhkan punggung di birai katil.
"Mak, kenapa mak senang-senang terima balik angah tu? Lepas tu dengan adik ipar dia pun mak biarkan je dia duduk sini. Mak jangan kata yang mak dah boleh terima penjual sate tu ..." Nadia harap apa yang dia fikirkan itu hanyalah ilusi semata-mata. Tak boleh terbayang kalau ibunya dapat menerima Syafiq sebagai menantu. Tak sangguplah dia hidup beripar dengan penjual sate itu walaupun itulah hakikatnya sekarang.
Mak Siti mengeluh kuat. Lepas satu masalah, kini bertambah lagi. Tapi masalah di depannya ini lebih melelahkan. Nak kena menghadap mulut rambang anaknya itu. Mahu menjawab pun satu hal.
"Yang kamu ni gelabah sangat apa hal? Mak tahulah apa yang mak buat." Jelingan tajam diberi kepada Nadia. "Yang kamu pun. Kata tiga hari je nak pergi Indonesia tu. Entah-entah bukan tiga, tapi seminggu. Kamu buat apa kat sana?"
Nadia larikan matanya ke arah lain. Aduh! Soalan membunuh sungguh. Nasib baiklah dirinya sudah merancang jawapan yang bernas untuk dikemukakan.
"Ala, mak. Along memang melawat tiga hari je. Tapi disebabkan flight delay, terpaksalah menetap kat sana lama sikit. Nak dapat tiket pun bukan senang," jawab Nadia.
Mata Mak Siti dikecilkan umpama tak percaya. Nadia telan liur. Kalau segala kegiatannya selama ini diketahui ibunya, memang matilah dia malam itu juga. "Mak jangan risaulah. Along pergi dengan kawan-kawan je. Amelia pun ada."
Nadia berdehem sebelum menyambung, "Abaikan dulu tentang along. Yang pasalnya sekarang ni, tentang angah tu. Mak kenapa biar je angah dengan adik ipar dia duduk sini? Siap masak lagi kat diorang. Mak dah kena bomoh ke?" Topik tentang Damia dijadikan bahan perbincangkan semula.
Pantas tangan Mak Siti menampar kuat lengan Nadia.
Malang sungguh nasib Nadia tu hari ni. Dahlah tadi dia ditolak kasar dengan adik sendiri. Lepas tu, kena naik tangan dengan ibunya pulak. Haih ... kesian.
"Mak masih sedar apa yang mak buat. Kamu tak payah nak risau, tak payah nak gelabah," tengking Mak Siti.
"Along akan risau sampai bila-bila kalau mak terima Syafiq tu sebagai keluarga kita. Eee ... tak naklah along. Mintak dijauhkan." Sambil mengusap lengan yang menjadi mangsa tamparan tadi, mulut masih sempat mengutuk.
"Ah! Tak payah nak risau sangat. Esok-esok nanti, kamu tahulah mak buat apa dengan diorang tu," kias Mak Siti sambil leretkan senyuman sinis.
Nadia garu kepala. Ibunya ini memang betul-betul di luar jangkaan. Buat yang itu, tapi dirancang lain. Entah apalah maksud yang diperkatakan ibunya tadi.
*****
Syafiq mendapat mesej dari Paan. Kawannya itu memaklumkan yang dia mahu melawat kakaknya yang baru bersalin kat Kuala Lumpur selama seminggu. Syafiq benarkan ajelah kawannya pergi.
Tapi masalah sekarang yang perlu dia hadapi adalah gerai satenya. Takkanlah dia nak berniaga seorang diri? Tak pernah dia buat semua kerja tanpa kawannya tu.
Nak bakar sate, ambil pesanan pelanggan, menghidang makanan serta menyusun meja dan kerusi, semua itu memerlukan bantuan seseorang.
Mahu bercuti kerana ketiadaan Paan, nanti wang masuknya habis pula. Dahlah gerai satenya banyak hari tutup, demi persiapan nikah.
Gambahan, dia sekarang perlu berusaha keras mencari nafkah memandangkan tanggungjawabnya kini bukan sahaja sebagai seorang abang, tetapi juga sebagai seorang suami.
Tapi Allah Maha Mengasihani. Dia jadikan setiap masalah hamba-hamba-Nya pasti ada jalan penyelesaian. Itu terbukti apabila Damia menawarkan dirinya untuk bekerja sementara dan membantu Syafiq berniaga di gerai.
Pada mulanya, Syafiq menegah dan mahu menyuruh Damia tinggal di rumah Mak Siti, tetapi melihat kesungguhan isterinya itu untuk membantu, hatinya mengalah. Dia benarkan jua isterinya tu bekerja bersama.
Tak apalah. Mungkin Damia boleh menambahkan pengalaman di gerai sate tu. Maklumlah, sebelum berkahwin, isterinya itu sering singgah ke gerainya sebagai seorang pelanggan, tetapi lepas berkahwin, isterinya itu kembali semula tetapi sebagai pembantunya.
Tentang Syafiqah pula, dia hampir aje minta bantuan Najihah untuk menjaga adiknya. Tetapi apabila diingat semula, segan pulak nak mintak tolong dari ustazah seorang itu. Mungkin Najihah sedang sibuk dengan kerja menjahitnya.
Jadi Syafiq membuat keputusan untuk meninggalkan adiknya sebentar di rumah Mak Siti. Dia pasti adiknya tu akan selamat di bawah jagaan Mak Siti. Rasa ragu-ragunya terhadap ibu mentuanya itu meluntur apabila isterinya bercerita tentang kebaikan ibu mentuanya.
Damia meluahkan bahawa tak pernah Mak Siti berkasar dengannya dan Syafiqah. Malah, layanan yang diberikan kepada mereka juga semakin baik dari hari ke hari.
Syafiq ucap syukur. Alhamdulillah, ibu mentuanya itu semakin berubah. Semoga selepas ini dirinya pula berhasil menambat hati ibu mentuanya itu.
Syafiqah nampak seronok aje apabila dia bersetuju untuk dihantar ke rumah Mak Siti biarpun tanpa ditemani Kak Damianya. Katanya, masakan Mak Siti sedap, dan Mak Siti pun kadang-kadang melayan juga dirinya dengan mesra. Sebab tu dia suka pergi ke sana. Dari sini dah terlihat yang memang benar Mak Siti sudah berubah ke arah yang lebih baik.
Tibanya dia ke rumah Mak Siti, dia lakukan aktiviti-aktiviti yang sering dilakukannya. Pada awalnya, dia akan menyiapkan kerja sekolah. Dan selepas itu, barulah dia beralih kepada hobinya iaitu mewarna dan melukis.
Kelibat Mak Siti sudah tiada sejak abang dan kakak iparnya menghantar ke sini. Mungkin dia sudah naik ke atas? Wanita itu lebih suka memerapkan diri di dalam bilik ketika Syafiqah dan Damia datang. Kalau turun ke bawah pun, sekadar mahu memasak dan menghidang makanan saja. Nak kata Mak Siti masih membenci, tak jugak kerana dia kelihatan sudah berubah biarpun bukan 100 peratus.
Tadi Syafiqah juga ada ternampak gadis berambut paras bahu di dapur, tetapi sekarang sudah tiada. Semestinya gadis semalam yang tak semena-mena mencari pasal dengannya.
Sebelum tiba di rumah ini tadi, Damia dah memberi pesanan kepada Syafiqah supaya jangan gentar dengan perempuan bernama Nadia tu. Perempuan itu bukannya betul sangat pun. Kalau dia ada cuba buat benda yang bukan-bukan, balik nanti terus je laporkan kepada Damia. Itulah pesanan yang sempat Damia titipkan.
Jam baru menunjukkan pukul 8:30 malam. Sudah lebih dua jam setengah dia berada di sini. Jam mahu berdetik ke pukul 10:30 malam terasa lama pulak daripada kebiasaan.
Kerja sekolah sudah siap. Televisyen yang dibuka tadi pun sudah dimatikan suisnya kerana rancangan yang disiarkan tak ada yang menarik.
Bosan! Kalau ada Kak Damia, bolehlah ajak bersembang. Hati Syafiqah sudah menjadi tak keruan. Solat isyak sudah dia lakukan di awal waktu, jadi dia dah tak tahu nak buat apa lepas ini.
Akhirnya dia putuskan berbaring di atas sofa untuk lelapkan mata seketika. Bolehlah berehat sementara menunggu abang dan kakak iparnya datang mengambil.
Tiba-tiba terasa ada sesuatu benda yang berat tetapi lembut menghempap wajahnya. Mata yang tertutup rapat terus terbuka luas. Syafiqah menggosok matanya dan bangun dari pembaringan untuk mengetahui apa yang berlaku. Dilihat gumpalan pakaian sudah bergelimpangan pada ruang sofa dan lantai.
"Amboi ... sedap kamu lena kat sini. Dah macam kamu pulak puan besar kat rumah ni, ye?" Mak Siti yang sudah bercekak pinggang mulai menghamburkan kata-katanya.
Mata Syafiqah masih terkebil-kebil. Ditatap wajah Mak Siti sudah menyinga dan menakutkan. Nadia yang sedang menyilangkan tangan turut berada di belakang Mak Siti.
Mulai saat ini, hatinya sudah diselubungi rasa takut. Mak Siti dah mulai tunjuk taringnya semula?
"Maaf, mak cik. Tadi Syafiqah tertidur." Syafiqah bangun dari duduknya. Dia berfikir untuk meloloskan diri ke dalam bilik kepunyaan Damia kerana bilik itulah yang boleh menjadi tempat dia berkurung. Tetapi hampa, niatnya punah apabila telinganya tiba-tiba terasa perit kerana ditarik seseorang.
Mak Siti menjadikan telinga kanan Syafiqah sebagai bahan melampiaskan berangnya. Ditarik telinga itu sehingga merona merah. Makin bingit suara Syafiqah merayu dilepaskan, makin kuat pula telinga itu ditarik.
"Kau nak lari mana? Kau jangan ingat selama ni aku layan kau dengan baik sebab aku dah boleh terima kau, tau!" Dipicit telinga Syafiqah itu sebelum tangan Mak Siti makin diangkat tinggi. Kerana terlalu sakit, air mata gadis kecil itu jatuh bercucuran.
Dasar pelakon durjana! Sia-sia saja Syafiqah mempercayai Mak Siti. Dia baru je meletakkan kepercayaan kepada wanita tua itu tetapi hari ni sudah terbukti kepercayaannya merudum dengan kelakuan Mak Siti yang sudah berubah tu.
Lakonan wanita itu selama ini semata-mata mahu mengaburi mata abang dan kakak iparnya saja. Kini, Mak Siti sudah mulai berani menderanya dan menyakitinya apabila dia berseorangan.
"Sakit, mak cik ..." rayu Syafiqah bersulam tangisan tapi tidak berguna langsung. Malah, tangisan itu dibalas dengan tawa dan ajukan dari dua beranak yang kejam tu.
"Aku nak kau basuh baju-baju aku dan anak aku ni sekarang! Basuh sampai bersih. Kalau tak, mati kau!" Jari telunjuk Mak Siti dituju ke arah baju-baju yang dilemparnya tadi. Selepas itu, kepala Syafiqah ditamparnya kuat. Syafiqah terduduk.
"Tak nak! Syafiqah akan report kat along dan Kak Damia!" jerit Syafiqah yang masih mahu melawan.
Mak Siti menjeling tajam. "Kau berani melawan dengan aku?" Kakinya terus menendang tubuh kecil itu tanpa sedikit pun rasa belas kasihan. Makin galak Syafiqah mengerang kesakitan. "Ambik kau. Baru puas hati aku."
Mak Siti tidak peduli dengan rengekan tu. Lagipun, mahu takut apa? Rumahnya agak jauh daripada rumah jiran-jiran di kampung ini. Mana mungkin mereka dapat mendengar esakan Syafiqah tu. Tambahan pula, Mak Siti lagi suka tengok Syafiqah tu menderita.
Tak cukup dengan tendangan, rahang Syafiqah dicekup kasar yang membuatkan kepalanya turut terdongak ke atas. Tak guna dia merayu dilepaskan, wanita tua di hadapannya ini mengalahkan syaitan!
"Kau jangan ingat selama ni aku layan kau dengan baik, aku masak dan buat apa semua tu, aku dah boleh terima kau." Mak Siti terus menolak kuat kepala Syafiqah. "Sampai aku mati, aku takkan sesekali terima kau dan abang kau sebagai keluarga aku!" panahan busur-busur mata dan tikaman keris lidah tak henti mendera Syafiqah.
"Kalau kau berani nak report benda ni kat Kak Damia kamu tu, aku takkan berlembut dengan kau. Ingat, kau bukan sekali je datang kat rumah aku ni. Tapi lima hari seminggu tau. Silap hari bulan, kalau kau nak report jugak, memang lunyai aku kerjakan kau." Dahi Syafiqah ditunjal berkali-kali.
Syafiqah sudah tak mampu bersuara. Suaranya kini hanya dihabiskan untuk melepaskan tangisan yang semakin sesak. Dia didera, dimaki dan diugut. Berseorangan. Kenapa harus aku yang perlu hadap semua ni? Hatinya merintih.
"Aku nak kau basuh baju ni cepat sebelum abang dan Kak Damia kamu tu balik sini. Lepas tu, aku nak kau mop lantai yang melekit-lekit disebabkan kaki busuk kau tu. Faham?" Mak Siti mengarah lagi.
Nadia tersenyum sinis. "Padan muka. Semalam kau loyar buruk dengan aku sangat, kan? Sekarang rasakan. Baru kau kenal kami ni siapa," ucap Nadia lagi sebelum dirinya beredar.
"Kau dengan abang kau memang menyusahkan. Dasar keturunan pembawa sial!" tempik Mak Siti.
Mak Siti terus memekik agar Syafiqah segera melakukan tugas yang telah diarahkan. Mulai hari ini, dia sudah ada pembantu rumah tanpa gaji. Takkan sesekali dia mensia-siakan peluang ini.
Syafiqah lambat-lambat bangun dari duduknya. Bahagian belakang yang sakit kerana kesan ditendang tadi terpaksa dia tahan. Dia mesti akur untuk melaksanakan tugasan kalau tak mahu dirinya menjadi mangsa penderaan yang lebih kejam.
Ya Allah ... bantu aku, Ya Allah. Aku sakit. Rintih Syafiqah lemah. Beberapa titik air jernih masih tak henti membasahi pipi gebunya.
Bersambung...
Kejamnya Mak Siti ... memang selama ni dia tu ada muslihat pun. Ingat insaf dah si tua ni. Hmm, benci kat Syafiq, tapi Syafiqah yang jadi mangsa ︶︿︶
Share this novel