‘’Ramainya orang, ibu...” Aku terkejut melihat bazar ramadhan yang
sesak dengan orang ramai.
“Memanglah ramai, kan ni bulan puasa... ramailah yang nak
beli makanan. Mia jangan lepaskan tangan ibu tau.” Ibu memimpin tanganku
lalu membawa aku masuk di celah-celah orang ramai. Sesekali aku
menjeling juadah yang dijual. Bau makanan di situ cukup membuatkan perut
aku berbunyi.
Ibu berhenti di gerai yang menjual kebab untuk membeli kebab
yang dipesan oleh along tadi. “Mia nak kebab?” tanya ibu.
“Nak!” Dengan pantas aku menjawab.
Usai membuat pembayaran, ibu membawaku ke gerai menjual
minuman pula. Ibu telah membeli satu jag air mangga yang telah dikisar
buahnya. Selesai membeli juadah berbuka, ibu mengajakku balik. Ketika
dalam perjalanan pulang, kami telah terserempak dengan Mak Cik Kiah,
penjual kuih raya di kawasan perumahanku.
“Assalamualaikum, Min...” tegur Mak Cik Kiah sambil
menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan ibu.
“Waalaikumussalam, Kak Kiah. Banyak beli lauk berbuka...”
Mata ibu menatap pada tangan kiri Mak Cik Kiah yang penuh dengan beg
plastik.
“Ni bukan lauk berbuka tapi sample kuih raya. Nah, ambil
satu bekas ni. Macam biasa, kalau ada yang minat, Min call akak ya,”
ujar Mak Cik Kiah sambil menghulurkan plastik yang berisi kuih raya.
“Baiklah, Kak Kiah.” Ibu menyambut huluran plastik itu lalu
diberikan padaku.
“Mia ni pucat je, sakit ke?” Mak Cik Kiah mencuit pipi aku.
“Mia puasa,” jawabku sambil tersenyum bangga.
“Baguslah macam tu. Nanti bila dah besar, tak ada la liat
nak puasa,” kata Mak Cik Kiah.
“Ayah dengan ibu janji nak bagi seratus ringgit kalau puasa
penuh,” ceritaku.
Ibu memeluk bahuku. “Budak-budak kak, nak ajar puasa kena
bagi benda yang dia suka.”
“Betullah tu. Syafiq dulu masa baya Mia, bukan main liat
lagi nak diajak berpuasa. Macam-macam alasan yang dia bagi. Sakit
perutlah, apalah... Bila akak pancing dia dengan lauk yang dia suka,
barulah dia setuju nak puasa. Eh, okeylah Min, ada banyak lagi sample
yang akak kena edarkan ni. Akak jalan dululah ya.” Mak Cik Kiah mula
meminta diri.
Ibu tersenyum. “Jom Mia, kejap lagi dah nak berbuka.” Ibu
memimpin tanganku.
*****
‘’Mia.. Mia...” Pintu rumahku diketuk berkali-kali disertai dengan
panggilan namaku pada petang itu.
Aku yang sedang menonton televisyen di ruang tamu, mula
bangkit untuk membuka pintu. Sebaik saja pintu rumah kukuak luas, Lily,
Laila dan Anisa tersengih memandang aku.
“Mia, jom kita main kat taman nak?” ajak Anisa.
“Kejap eh, Mia nak pergi bagitau along dulu.” Aku melangkah
menaiki tangga. Sampai saja di hadapan bilik along, aku mula mengetuk.
Ketukan pertama tidak berhasil, aku mengetuk lagi kuat. Apabila masih
tiada riaksi dari along, aku mula memanggil namanya. “Along, cepat
bukak pintu! Along, cepatlah!”
Pintu bilik dibuka dari dalam. “Nak apa ni Mia? Kacaulah,
along nak tidur ni,” ujar along sambil menguap. Kemudian along bersandar
di muka pintu dengan mata yang sedikit tertutup.
“Mia nak pergi taman dengan Lily, Laila dan Nisa, boleh?”
Aku meminta keizinan along untuk keluar.
“Mia kan puasa. Nanti dahaga siapa yang susah? Mia,
jugak... berbuka lambat lagi...” Along menggaru lehernya.
“Alah along... Mia janji, Mia duduk je kat taman tu.
Bolehlah along,” rayuku sambil menggoncang tangan along.
“Suka hati Mia la. Jangan balik lambat-lambat, jangan main
jauh-jauh tau!.” Along menutup semula pintu biliknya.
“Yeay!!!” sorakku sambil menuruni tangga mendapatkan
Laila, Lily dan Anisa. Selepas menutup pintu, kami berjalan menuju ke
taman yang berhampiran dengan kawasan perumahan kami.
Share this novel