BAB 2

Horror & Thriller Completed 12235

WALAU langit di kawasan pantai Lumut kian di payungi gemawan gelap namun cahaya mentari terbenam kelihatan sangat cantik terbias di permukaan air laut.

Tenang saja, Suri Jasmeen rasakan pada tika itu walau suara riuh para pengunjung masih lagi terdengar di telinga.  Angin yang berhembus menyebak rambut ikalnya. Sesekali ombak menghempas kaki ayamnya membuatkan dia terpaksa mengangkat tinggi kain pario khuatir lencun serta dilekati pasir pantai.

"Malam ni... Suri, nak  tidur rumah mak su lagi ke?”  Tiba-tiba Mak Su Zila menyuarakan soalan yang Suri Jasmeen tak terfikir sedari tadi.   Suri Jasmeen menurunkan kembali kaca mata hitamnya lalu merenung hadapan iaitu laut.  Seperti berfikir sesuatu.

Mak Su Zila juga merenung laut.  Dari raut wajah, dia seakan mahu Suri tidur di rumahnya lagi dari tidur seorang diri dalam rumah emaknya, Nyah Rubiah yang masih lagi belum pulang dari melawat orang di sebelah baruh sana.

Apatah lagi saat dia mendengar cerita Didi anak sulungnya itu,  pagi tadi.  Cerita yang tidak enak untuk dia mendengarnya lebih lama lagi.  Ternyata kehadiran anak saudaranya itu sedang di nanti-nantikan.

  Tidak, memang tidak  boleh.

“Macamana ya kakak?”  soal Mak Su Zila yang lebih menggemari panggil Suri Jasmeen dengan kata ganti nama ‘kakak’.  Masih lagi tiada berjawapan dan ini membuatkan Mak Su Zila terus mendongak dan memandang wajah anak abang ketiganya itu, lama.

Didi pula sedang menapak ke arah mereka kerana hari makin lewat petang, tidak lama lagi azan bakal berkumandang menandakan maghrib sudah masuk.  Dengan keadaan sekarang, memang tidak elok mereka berada di kawasan seperti ini.

Suri Jasmeen bukan sengaja enggan memberi jawapan.  Dia sedang berfikir akan sesuatu.  Mahu bertanya nanti di salah anggap pula.  Namun benda itulah yang menghantui dia sekarang ini.

‘Opah masih lagi di baruh... habis yang aku nampak tadi siapa?’  soal hati kecilnya lagi.  Sungguh dia tidak bohong, dia memang terlihat susuk opah sedang berdiri tegak di tepi kereta mereka dalam keadaan sedang melambai tangan padanya.

“Kakak, mak su tanya ni... macamana?” Mak Su Zila menyoal lagi sambil merenung muka Suri Jasmeen.

  Apa yang dia lihat gadis itu tajam merenung ke arah kereta mereka yang terparkir di tepi pokok, bersetentangan dengan pantai di mana mereka sedang berdiri sekarang ini. Didi juga merenung muka emaknya, Mak Su Zila mengangkat kening isyarat kenapa dengan Suri Jasmeen,

“Kakak ok jer mak su kalau nak tidur rumah opah tu...”  sahut Suri Jasmeen juga merenung anak-beranak itu. Sempat lagi matanya menangkap pergerakan tangan Didi pada tangan Mak Su Zila.

“Cuma...” 

“Cuma apa kakak? Cer ceghita habih-habih ke mak su kakak...”  pinta Mak Su Zila lagi.  Suri Jasmeen seakan sengaja bermain tarik tali dengan dirinya. 

“Mak su tidur sekali lah...”  Akhirnya terungkap sudah isi hati Suri Jasmeen.  Mak Su Zila terus pandang Didi.  Didi mengangguk.  Mak Su Zila akhirnya bersetuju lalu meminta bergerak pulang sekarang. 

Jalan menuju ke rumah mereka tiada berlampu.  Suri Jasmeen akur dan mengikuti kedua anak-beranak itu ke kereta mereka.  Dalam masa sama, mata Suri Jasmeen masih lagi cuba mengintai keadaan dalam kereta dari arah belakang tubuh Mak Su Zila.

Lega tiada apa-apa.  Pintu kereta terbuka buat seketika untuk membuang wap panas.  Hari makin senja.  Masuk-masuk sahaja mereka dalam kereta, hidung masing-masing menghidu satu bau yang sangat busuk namun masing-masing membisu.

Mak Su Zila pandang cermin atas.  Suri Jasmeen kelihatan mencari sesuatu.  Mak Su Zila kembali pandang hadapan.  Enjin panas dia mulai pemanduannya dengan doa.  Didi pula diam di tepi namun mata meliar dalam kawasan hutan berdekatan.

“Suri...”  Seru suara yang sama.  Suri Jasmeen cuba berbuat tidak tahu dahulu.

“Suri... kakak...”  Suara yang sama masih lagi memanggil-manggil nama Suri Jasmeen.  Gadis itu dari memakai kaca mata hitamnya terus membukanya kembali lalu perlahan-lahan wajah yang mengadap arah luar dia palingkan agar melihat sisi.

Mata Suri Jasmeen terjegil namun mulut pula bagaikan di pekup.  Dia tak mampu nak menjerit tatkala melihat penampakan di  sebelahnya itu.  Memang ada ‘sesuatu’  atas bahunya.  Dan dengan tidak semena-mena hadirnya ingatan lama...

“Kakak... Opah nak minta tolong dari kakak... Uhuk uhuk"  Secara tiba-tiba opah bersuara. Terbatuk-batuk opah cuba bersuara juga. 

Spontan tangan  Suri Jasmeen memicit bahu.  Serta mengurut sebelah belakang badan opah  yang kian membongkok.

“Apa dia opah?”  soal Suri Jasmeen setelah meletakkan tangannya atas paha.  Opah merenung lalu tangannya di letakkan atas tangan Suri Jasmeen.  Suri Jasmeen dan mata opah saling bertentangan.

Secara tiba-tiba ada angin lalu di sebelah belakang Suri Jasmeen.  Ini membuatkan Suri Jasmeen terasa meremang dengan tidak semena-mena, tambahan pula dalam saat sama tangan berkedut milik opah menarik tangannya lalu mengenggam dengan kuat sebelum  membelai.

Kuat genggaman tangan opah.  Suri Jasmeen terasa sakit namun sengaja dia mendiamkan dirinya tidak mahu opah terasa.

Setiap kali apabila berada dalam satu bilik dengan opah pasti bulu roma menegak.  Tidak tahu kenapa.

 "Opah... opah tahu bahawa  umur opah ni  tak lama lagi...”

“Ish! Apa opah ni. Kenapa cakap macamtu pula?” sanggah Suri Jasmeen pula lalu melawan tancapan tajam mata opah. 

Tangan terketar-ketar milik opah, Suri Jasmeen pula menggenggamnya dengan erat.

Sekali lagi ada angin menyapa belakang leher  Suri Jasmeen.  Suri Jasmeen dengan  pantas berpaling belakan.  Mata terus tertunak pada keadaan sebelah luar dari arah tingkap bilik.

Bergerak-gerak telinga opah pada saat angin yang sama tadi kini melalui di tepinya pula.  Manakala Suri Jasmeen masih lagi merenung keadaan luar yang makin gelap sebelum dia pandang jam tangannya.

“Kakak...” opah bersuara.

“Suri...” sambut satu lagi suara tetapi dalam nada bisik.

“Kakak..”  Sekali lagi, opah bersuara.  Suri Jasmeen yang mulai berasa semacam terus berpaling dan tergamam kala melihat tatapan mata opah.  Tidak terjegil tetapi ketajamannya tidak seperti ketajaman mata opah.

Opah tersenyum namun Suri Jasmeen terasa gementar tatkala melihatnya.  Dia yang sememangnya seringkali terasa takut bila berduaan dengan opahnya itu,  makin di asak resah.

"Kakak... opah  cakap begitu, sebab opah memang dah tahu bila kematian opah...”  ujar opah dengan nada amat berlainan sekali.  Suri Jasmeen makin cuak.  Bagaimana pula opah boleh tahu bilakah kematiannya?

Opah sekali lagi tersenyum menyeringai.  Angin yang sama melingkari mereka berdua.  Hanya opah yang nampak.  Tiba-tiba telapak tangan opah meraup wajah Suri Jasmeen.  Suri Jasmeen memang terkejut dengan perlakuan itu.

“Kakak janganlah takut dengan opah... opah sa... yang kakak...  ‘kawan’ opah pun sayangkan kakak...”  ujar opah seraya mengerling ke sebelahnya yang kosong.

Opah menarik semula tangannya.  Suri Jasmeen membuka mata.  

“Allah!” pekik Suri Jasmeen tatkala melihat ‘sesuatu’  yang kini sedang berada di  tepi opah.  Opah hanya tersenyum dan beriak biasa.  Suri Jasmeen mahu bangun namun pantas opah memegang tangan dan genggamannya kini kian kuat.

“Aduh, sakit opah...”  ujar Suri Jasmeen herot-herot mukanya menahan kesakitan.  Opah tetap menarik tangan gadis  itu supaya duduk  di sebelahnya semula. 

“Kakak... kawan opah ni baik... dia suka pada kakak...  kakak ... opah nak kakak jadi kawan dia bila opah mati nanti...  kakak, terima dia ya, kakak... dia akan jaga kakak... macamana dia jaga opah...”

“Allahuakbar!!!”  Suara pekikan Mak Su Zila memecah suasana.  Suri  Jasmeen pula membuntang matanya membuatkan Didi berubah wajah.  Mak Su Zila menghentikan kereta  serta-merta saat dia hampir mahu merempuh ‘sesuatu’  dalam bentuk bungkusan warna putih.

“Emak, kakak mak...”  panggil Didi membuatkan Mak Su Zila terus memusingkan badannya ke belakang. 

“Kakak, kamu kenapa?”

“Kak Suri...”

“Suri... terima aku Suri...”

“Suri Jasmeen!!!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience