Bab 13

Young Adult Completed 7336

Malam Sabtu akhirnya menjelma. Malam yang menimbulkan debar di dalam dada Mawar. Malam yang dia tidak pasti sama ada ia ditunggu-tunggu atau dibenci.

Ke dalam ruang solat Muslimah masjid itu, dia dan Suhana melangkah masuk. Akhirnya. dia dengan rela hati bersetuju untuk menyertai kumpulan usrah remaja yang disarankan oleh ibu saudaranya itu.

Kata-kata wanita bujang berumur 40-an itu semalam terngiang-ngiang sekali lagi di dalam minda Mawar.

“Mak Ngah nak kamu masuk usrah. Daripada cerita kamu tadi, kamu ni nampaknya jenis yang mudah terpengaruh dengan kawan. Masuk usrah, insya-Allah, kamu akan dapat kawan dan pengaruh yang baik.”

Mawar tidak menafikan kata-kata ibu saudaranya itu. Dia menyertai Jihan dan rakan-rakan yang lain dulu kerana tidak mahu lagi terpinggir dan melalui hari-hari persekolahan bersendirian.

Zaman remaja sunyi tanpa kawan.

Tambahan, Mawar bukanlah seorang yang begitu mudah untuk mendapat kawan. Jadi, apabila Adibah mengajaknya menyertai kumpulan dia sekawan, Mawar langsung bersetuju tanpa berfikir panjang.

Dia akui dia pernah mendengar khabar angin dan desas-desus berkenaan kegiatan membuli yang dilakukan oleh Jihan dan rakan-rakannya sebelum mereka menjadi rapat.

Namun, pada saat itu, pada usia itu, mempunyai dan memiliki sekumpulan kawan lebih penting buat Mawar berbanding dengan siapa dia berkawan dan bagaimana perwatakan mereka.

Suasana masjid itu dia amati dalam-dalam. Mungkin sudah tiba masa untuk dia meninggalkan terus sisi jahilnya. Mungkin ini petunjuk daripada Allah agar dia menjadi Muslim yang lebih baik, dan seterusnya menjadi anak yang solehah buat arwah mak dan ayah.

Dalam keterpaksaan yang dia rasakan tadi kerana memenuhi arahan dan permintaan Mak Ngah agar dia menyertai kumpulan usrah remaja ini, Mawar cuba melapangkan hatinya agar ia menjadi ikhlas.

***

“Alhamdulillah. Hari ni, kita ada ahli baru dalam kumpulan. Jadi, kak Diya nak minta ahli baru kumpulan usrah kita untuk memperkenalkan diri pada semua. Silakan, Mawar," jemput Saadiah dengan senyuman melebar.

Kesemua ahli yang ada di situ duduk dalam sebuah bulatan. Setiap seorang dipandang oleh Mawar dan dia melemparkan senyuman penuh rasa segan kepada mereka sebelum memperkenalkan diri.

“Assalamualaikum, semua. Nama saya Mawar Binti Ahmad Zakaria. Panggil saya Mawar. Saya 17 tahun.” Pengenalan ringkas itu mendapat sambutan yang meriah dan penuh keterujaan daripada mereka yang kini menjadi rakan-rakan seusrahnya.

“Wah, Mawar! Tu bahasa Melayu untuk rose, kan?” tanya si gadis bertudung labuh berwarna krim. Pada riak wajahnya jelas dia dihambat kekaguman mendengar nama Mawar.

“Alang-alang Melati dah excited sangat tu, apa kata awak pula perkenalkan diri? Lepas tu, Ramizah yang dekat sebelah dan seterusnya.” Sempat Saadiah mengusik gadis remaja itu sebelum memberi arahan.

“Okey, kak Diya. Hai, Mawar! Nama saya Melati Binti Awang. Panggil saya Melati nama saya sama macam Mawar. Ada seketul saja. Saya pun 17 tahun juga,” ujar Melati sembari tersenyum lebar.

Setelah itu, bergilir-gilir Ramizah, Hana, Fatin, Aisyah, Ayraa, Sakinah, dan Raihan memperkenalkan diri mereka pula. Gembira sungguh Mawar rasakan kerana mereka semuanya sebaya.

“Alhamdulillah. Sekarang, kita semua dah saling kenal. Sebelum kak Diya buka topik perkongsian kita minggu ni, akak nak seorang recap balik apa yang kita dah bincang dalam usrah minggu lepas," ujar Saadiah.

“Kak Diya, Hana nak cuba boleh?” soal gadis berselendang merah jambu itu malu-malu.

“Boleh sangat, Hana. Tafaddholi. Silakan.” Saadiah memberi galakan kepada adik usrahnya itu dengan penuh semangat.

“Minggu lepas, usrah kita berbincang tentang konsep adil. Macam yang kak Diya cakap, adil dari segi bahasa membawa maksud ‘meletakkan sesuatu di tempatnya’. Selain tu, kak Diya ada sentuh tentang bersikap adil pada peringkat negara, masyarakat, dan keluarga," terang Hana panjang lebar.

“Masya-Allah. Bagus, Hana!” Ikhlas pujian itu terbit dari mulutnya lalu Saadiah mencari ahli usrah lain pula yang sukarela hendak berkongsi.

“Ada sesiapa nak tambah apa-apa lagi?”

Kali ini, Ramizah yang memakai kaca mata berbingkai tebal itu pula yang mengangkat tangan - meminta izin untuk berbicara. Saadiah mengangguk kepada gadis itu tanda dia memberi kebenaran.

“Minggu lepas, kak Diya ada sebut juga tentang hak-hak dalam bersahabat. Antaranya, kita kena menjaga kata, simpan aib kawan kita, dan berlapang dada bila kita ditegur.” Ringkas namun padat perkongsian Ramizah itu.

“Alhamdulillah. Terima kasih, Hana dan Ramizah. Minggu ni, kita akan bercakap tentang lawan kepada adil, iaitu zalim.” Perkataan terakhir yang disebut oleh kak Diya itu menimbulkan rasa aib di dalam diri Mawar.

Bukankah dulu dia seorang yang zalim?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience