Malam itu, Haris kembali dihantui mimpi yang sama—wajah seorang lelaki yang samar dan tidak jelas muncul dalam kegelapan. Mata lelaki itu seperti menatapnya dari jauh, penuh rahsia yang tidak terungkap. Tiba-tiba kakinya melayang. Ya, bayangan itu mulai melayang dan ingin terbang mendekati Haris, membuatnya ingin teriak. Ketika terbangun, Haris tersentak, nafasnya sesak, peluh dingin membasahi dahinya. Sekali lagi dirinya kesal. Sebelum tidur, dia berharap agar dalam mimpi dia mampu memberanikan diri dan jangan berlari jika lelaki misterius itu mendekatinya dan bertanya apa sebenarnya yang ingin disampaikan. Namun, kerana penampilannya yang menakutkan, malah mampu mengalahkan imannya. Dia duduk di tepi katil, matanya memandang ke luar tingkap yang menyisakan bayangan pagi yang perlahan menyelinap.
Pagi itu, Haris duduk di studio kecilnya. Diam menatap kanvas kosong di hadapannya menjadi satu-satunya fokus. Tangan kanannya menggenggam pensil, tetapi gerakannya terhenti. Dia memejamkan mata, berusaha mengingat wajah dalam mimpinya. Namun wajah itu sukar ditafsirkan menjadi bayangan untuk dia ciptakan. Seulas garis mula tercoret, membentuk sesuatu yang menyerupai bayangan di fikirannya, tetapi garis itu berhenti begitu saja. Otaknya bekerja keras mengingat rupa wajah itu, matanya lesu ingin tidur. Namun jika dia tidur, mimpi itu datang kembali untuk menuntut agar dilukis. Tidur atau tidak rasanya sama, dikawal oleh gangguan itu. Jadi lebih baik dia selesaikan permintaan lelaki misterius itu.
Suara familiar mengejutkan lamunannya. "Ris! Aku bawakan berita baik untuk kau!" Fahri, sahabat karib Haris, muncul dengan senyuman lebar di pintu studio.
"Apa kau buat pagi-pagi macam ni?" tanya Haris, tanpa melepaskan pandangan dari kanvas.
Fahri melangkah masuk, membawa surat khabar yang dilipat di tangannya. "Aku jumpa kerja untuk kau. Syarikat besar, kerja stabil, gaji lumayan. Dah seminggu kau duduk saja macam ni. Sampai bila kau nak tunggu duit simpanan habis?" Sudah seminggu Haris menganggur setelah dipecat dari sebuah syarikat pemasaran kerana kehilangan fail penting yang sepatutnya digunakan dalam presentasi dengan klien besar dari Eropah. Nilai projek itu mencecah 500 ribu ringgit, dan kesalahan itu menjadi sebab Haris kehilangan pekerjaannya.
Namun, Haris hanya tersenyum tipis dan menggeleng. "Aku tak boleh, Fahri. Bukan aku tak nak kerja, tapi ada sesuatu yang mengganggu aku sekarang. Aku yakin aku tak dapat jalankan kehidupan normal seperti dulu."
"Apa lagi kalau bukan mimpi kau tu? Kau serius, Ris? Itu cuma mimpi. Tak mungkin kau nak abaikan peluang kerja sebab benda macam ni," kata Fahri, jelas kecewa dengan jawapan Haris.
Haris menghembuskan nafas panjang. "Aku tak tahu macam mana nak jelaskan, tapi aku tak boleh abaikan mimpi ni, Fahri. Ada sesuatu di sebalik wajah itu. Sesuatu yang aku perlu tahu. Kalau tidak, aku takkan pernah tenang."
Fahri menggelengkan kepala. "Kau memang dari dulu macam ni. Kalau kau dah obses dengan sesuatu, tak ada yang boleh halang kau. Tapi aku risau, Ris. Kau perlu rehat, makan elok, dan jangan abaikan diri kau sendiri."
Haris tersenyum tipis, namun matanya menunjukkan keletihan. "Jangan risau. Aku tahu apa yang aku buat," jawabnya, walaupun dalam hati dia sendiri masih diliputi kebingungan.
Fahri merenung Haris sejenak, kemudian melipat tangan di dada sambil memasang muka serius. "Tapi, kau pasti ke lelaki dalam mimpi kau tu bukan cicak? Aku ada teori besar ni. Mungkin tu cicak yang kau bunuh minggu lepas. Ingat tak? Kau baling dengan selipar. Kena kepala. Kalau aku jadi cicak, aku pun dendam, tahu? Kau ni buat salah dengan alam semesta!"
Haris terdiam sejenak, lalu ketawa kecil. "Fahri, kau ni memang tak pernah serius, kan? Tapi kalau betul teori kau tu, aku harap cicak tu jangan datang dengan geng dia. Aku belum bersedia lawan cicak mafia."
Fahri menyambut dengan gelak besar. "Kau jangan main-main, Ris. Aku pernah dengar cerita seram. Ada orang diganggu cicak sampai dia pindah rumah. Siap hilang kerja, hilang teman wanita, semua sebab cicak tu tak puas hati."
"Girlfriend pun aku tak ada.Kalau ada cicak berdendam pun, itu cuma tambah satu lagi masalah dalam hidup aku," balas Haris, cuba menahan tawa.
"Haris, kau memang hopeless," ujar Fahri sambil ketawa terbahak-bahak. Dia kemudian melangkah keluar dari studio, meninggalkan Haris yang kembali diam memandang kanvas.
Namun, walaupun Haris sempat bercanda dengan Fahri, dalam hatinya ada kegelisahan yang tidak dapat diabaikan. Setiap garis yang dia coretkan di kanvas seolah-olah menggali lebih dalam ke dalam mimpinya. Bayangan lelaki itu semakin nyata, dan Haris merasa seperti ada sesuatu yang mendekati—sesuatu yang gelap dan sukar difahami. Dia tahu Fahri cuba menceriakan suasana, tetapi dia sendiri tidak boleh lari dari ketakutan yang menghantuinya.
Fahri tiba-tiba muncul kembali di pintu. "Hei, aku lupa nak pesan. Kalau lelaki dalam mimpi kau tu betul-betul cicak, jangan lupa sediakan lalat sebagai penawaran. Mana tahu dia maafkan kau."
Haris menggeleng sambil tersenyum kecil. "Kalau macam tu, kau kena tolong aku tangkap lalat. Kau yang bagi teori gila ni."
"No way, bro. Aku takut cicak tu target aku pula," balas Fahri, sebelum hilang lagi di balik pintu.
Haris menggeleng kepala sambil tersenyum, tapi kembali fokus pada lukisannya. Tangan kanannya mula bergerak, mencoret garis-garis halus yang perlahan-lahan membentuk wajah lelaki itu. Dalam diam, Haris berjanji pada dirinya sendiri untuk mencari jawapan, walau apa pun risiko yang harus dia hadapi. Dia tahu ini lebih dari sekadar mimpi—ini adalah permulaan dari sesuatu yang lebih besar.
Share this novel