Bab 63 : Kemalangan

Romance Series 403916

"Rumaysa...!" Hanya itu yang keluar dari mulut Idris sewaktu dia melihat kereta yang dipandu Anne ditempuh laju oleh 4WD berwarna hitam.

Keadaan di jalan itu terus menjadi sesak apabila banyak kenderaan berhenti untuk melihat keadaan pemandu Myvi ungu itu. Idris juga tidak menunggu lama, bahkan keretanya tidak sempat diletakkan di tepi jalan dengan baik. Dia begitu panik melihat keadaan kereta isterinya yang sudah remuk teruk di bahagian pemandu itu.

Entah bagaimana keadaannya. Dalam keadaan separa sedar, tahu-tahu sahaja Idris sudah berada berdekatan kereta itu. Dapat dia lihat Anne yang tidak sedarkan diri. Kaca ada di mana-mana sahaja, termasuk di badan isterinya itu.

"Bang jangan bang, kita tunggu polis dengan bomba sampai dulu." Seorang lelaki yang tidak dikenali menarik Idris dari terus-terusan memanggil Anne supaya dia sedarkan diri.

"Tu isteri aku." Jerit Idris dengan kuat, sekaligus dia mencuba untuk melepaskan diri dari pegangan beberapa lelaki dewasa itu.

"Jangan bang, kaki driver tu tersepit, kalau abang nak tolong sekalipun, abang tak ada alatan yang sesuai. Nanti lagi bahaya untuk isteri abang." Nasihat lelaki itu lagi.

Kaki Anne tersepit? Jantung Idris semakin laju berdegup. Beberapa peralatan yang digunakan oleh pihak bomba ketika operasi menyelamat kemalangan atau lebih dikenali sebagai Road Traffic Accident (RTA) terimbas di kepalanya.

Antaranya ialah Lukas Rescue Tool, Lukas Cutter, Lukas Mini Cutter dan Lukas Telescopic RAM. Kalau lah ada walau satu pun dari mana-mana alatan ini, dia boleh menggunakan alat itu untuk menyelamatkan isterinya. Saat ini, dirasakan bomba terlalu lambat memberi respon, padahal dia tahu benar itu cuma perasaannya. Respon pihak bomba sentiasa pantas kerana itulah latihan yang diterima oleh mereka.

Siren yang berbunyi sayup-sayup dari kejauhan itu membuatkan perasaan Idris sedikit lega. Dia berdoa di dalam hati supaya tiada kereta yang menghalang pergerakan pihak bomba agar cepat mereka tiba ke tempat kejadian. Polis yang tiba terlebih dahulu mula mengawal keadaan lalulintas di jalan Kempadang-Sungai Soi itu.

Orang awam yang tidak terlibat dengan kejadian itu juga diminta meninggalkan tempat kejadian agar keadaan lalulintas kembali lancar. Tiba sahaja jentera bomba itu, Idris berusaha sekuatnya untuk melepaskan diri dan terus sahaja berlari mendapatkan Bahri yang baru sahaja turun dan melangkah ke arah kereta Anne untuk melihat keadaan pemandu.

"Yie, kau kena cepat. Kau boleh guna mana-mana alatan yang selalu kita guna waktu dapat kes RTA. Sebab kaki Anis tersepit. Aku tak boleh nak keluarkan dia dari kereta. Cepat Yie." Gesa Idris sambil dia menyauk lengan Bahri dan menarik Bahri supaya berjalan lebih laju untuk mengambil alatan.

"Ris, kau jangan macam ni. Kau bukan bomba dah. Kau dah jadi orang awam. Jangan kelam-kabut dan jangan ganggu kerja kami. Aku betul-betul nak selamatkan Anis. Tapi kau kena bagi ruang untuk kami bekerja." Balas Bahri.

Idris terpinga-pinga, tapi betul apa yang Bahri suarakan itu. Dia cuma orang awam. Dia tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk memberitahu Bahri apa yang perlu dilakukan untuk menyelamatkan Anis. Terasa gagal dia pada saat ini. Sebagai seorang suami, juga sebagai seorang manusia yang pernah bertugas sebagai ahli bomba dan penyelamat itu.

Tangan Idris menggigil sementara dia menunggu ahli bomba yang pernah menjadi rakan pasukannya mengeluarkan isterinya dari kereta yang sudah remuk itu. Entah bagaimana keadaan kaki Anis. Pelbagai andaian buruk menerpa fikirannya melihatkan remuk kereta itu. Entah patah kakinya, entah kan juga hancur setiap tulang yang ada di kakinya. Mungkin putus salah satu uratnya.

'Ya Allah, apa sahaja keadaan kaki isteriku, aku reda. Asalkan dia selamat ya Allah.'

"Kunci kereta kau mana?" Bahri menepuk bahunya kuat.

Idris terpinga-pinga melihatkan Bahri menghulurkan tangannya itu.

"Kunci kereta kau mana? Aku suruh Yahya bawak kereta kau balik. Kau naik ambulans teman Anis ke hospital." Ulang Bahri.

Idris pantas menyeluk sakunya, kunci dihulur kepada Bahri sebelum dia dengan pantasnya menuju ke ambulans bersama beg tangan milik Anis yang sempat dihulur oleh Bahri tadi. Ucapan terima kasih langsung tidak meniti dibibirnya. Bukan kerana tiada rasa itu, namun perasaan panik yang menguasai dirinya membuatkan dirinya tidak terlafaz kata terima kasih itu.

*****

"Jangan melawan saya lagi Rumaysa. Saya tak tahu sampai bila saya boleh tahan dengan semua mogokan dan rajuk awak ni. Saya pun tak tahu sampai bila lagi saya boleh terus-terusan maafkan awak untuk apa yang awak buat pada saya sekarang ni." Idris menarik nafas panjang sebelum wajah isterinya dipandang lama.

Anne membalas pandangan itu lama tanpa sebarang riak yang boleh menggambarkan emosinya. Entah macam mana dia boleh tersalah menerima orang yang...

"Saya tak pernah tagih pun kemaafan dari awak. Saya tak ada buat apa-apa yang salah pada awak." Sebaris pendek sahaja ayat Anne, namun mampu menyentakkan hati Idris.

Anne teruskan sahaja perbuatannya menanda buku latihan murid-murid itu. Sambil menanda, fikirannya menerawang memikirkan tindakan seterusnya. Bergelar guru interim, setidaknya tiga tahun dia perlu berada di sekolah yang sekarang ini. Jadi bagaimana caranya untuk dia menjarakkan diri dari Idris?

Bagaimana untuk dia lari dari Idris? Lari. Ya, lari. Datang lah apa-apa masalah pun sekarang ini, Anne sudah terlalu penat untuk menerangkan perasaannya. Bagi Anne, jika betul seseorang itu mendakwa dia sayangkan kita, tidak perlu untuk kita sentiasa ingatkan dia apa tindakannya yang menyakitkan kita.

"Rumaysa, jaga sikit kata-kata awak tu. Saya ni suami awak." Marah Idris.

"Suami pada nama, tidak pada perbuatan, tidak juga pada tanggungjawabnya pada rumahtangga. Saya tak bodoh tau Idris untuk awak layan saya macam ni. Awak cakap banyak benda, janjikan pada saya banyak perkara tapi satu pun tak ada yang betulnya. Saya dah cukup penat berada dalam hubungan yang tak ada kejujuran, tak amanah dan curang pada saya.

Kalau awak nak pergi, saya dengan berbesar hatinya boleh bantu bentangkan karpet merah supaya lebih cepat awak pergi dari hidup saya. Saya buat keputusan yang salah beberapa bulan yang lepas. Nak tak nak, saya kena hadap akibatnya." Riak wajah Anne masih tidak berubah, tetap tidak menunjukkan riak apa-apa.

Selesai mengucap kata-kata itu, dia hanya mengubah cara duduknya di atas karpet di dalam bilik tidurnya itu. Kebas kakinya duduk bersimpuh lama-lama. Pinggangnya juga sudah mula sakit kerana membongkok terlalu lama. Baru sahaja mahu bersila, meja kerjanya yang dipanggil orang-orang sebagai Meja Jepun itu di hentak kuat oleh tangan Idris. Matanya merah menyala menggambarkan betapa marahnya dia saat ini mendengarkan kata-kata Anne itu tadi.

Beberapa buah buku tulis jatuh ke lantai, diikuti beberapa alat tulisnya dari dalam beg pensil. Berterabur. Bahkan ada sesuatu dari beg pensil itu terbang melantun terus ke bawah katil. Entah apa lah itu agaknya. Anne masih tenang, wajah Idris dipandang sahaja tanpa suara. Apa rasionalnya tindakan lelaki itu tadi? Mahu menakutkan dia? Tiada apa yang dia takutkan lagi dari manusia yang berjantina lelaki.

Mahu memukul? Silakan. Lama-lama nanti hilanglah sakitnya. Mahu ditalakkan? Berilah, pasti Anne terima seadanya. Anne melepaskan keluhan berat sebelum dia bergerak mengutip buku-buku dan alat tulisnya itu. Kalau pun sakit hati, lepaskan sahajalah pada dia. Bukan pada buku murid-murid yang tentunya tiada sebarang dosa pada Idris.

"Anis Rumaysa, abang..."

"Ris!"

Panggilan Bahri menyedarkan Idris dari lamunan yang panjang tentang pertengkaran mereka beberapa hari yang lalu. Wajahnya diangkat dan Idris memandang tepat pada wajah Bahri yang datang bersama Yahya. Pagi tadi, Bahri juga sempat menelefon untuk bertanyakan keadaan Idris jika dia memerlukan apa-apa bantuan.

"Anis macam mana?" Tanya Bahri sambil melabuhkan duduk di bangku bersebelahan Idris, manakala Yahya sudah hilang dari pandangan.

"Dalam ambulans semalam tu, Anis sedar. Masa sampai Red Zone pun, dia sedar. Kaki dia dua-dua patah. Tapi urat besar pada kaki kiri putus. Doktor maklumkan yang mereka terpaksa jalankan pembedahan terus pada Anis terus sambungkan urat tu semula dan hentikan pendarahan.

Pagi tadi, ada pendarahan lagi. Doktor belek-belek kaki dia, rupanya pendarahan dari rahim dia. Doktor ingatkan dia period, rupanya..." Idris meraup wajahnya dengan kedua tangan sebelum dia meneruskan bicaranya.

"Anis ada pendarahan sikit. Impak kemalangan tu. Kandungan dah 12 minggu. 12 minggu, dan dia tak beritahu aku langsung Yie. Langsung tak beritahu. Sepatah haram pun aku tak tahu. Aku ni keji sangat ke sampai berita ini pun tak layak aku tahu?" Soal Idris dengan penuh emosi.

Bahri terkedu. Mengandung? Tetapi seingatnya tiada pun kelibat buku merah jambu yang sinonim dengan orang mengandung dari dalam kereta Anis pada waktu berlakunya kemalangan itu.

"Alu tak tahu dah apa yang boleh aku buat sekarang." Luah Idris.

"Jujurnya kau bukan tak tahu. Kau tu je bodoh-bodoh alang sikit." Balas Bahri selamba.

Buntang mata Idris mendengarkan ayat itu. Bahri baru sahaja mengata dia bodoh? Dia tak salah dengar?

"Aku yang tak tahu apa-apa, kau cakap aku yang salah ke ni? Kalau aku tahu dia mengandung, tentulah aku tak buat benda yang boleh membahayakan keselamatan anak dalam kandungan dia." Balas Idris mempertahankan diri.

"Jadi anak tu lagi bernilai dari Anis ke?" Soal Bahri.

Idris mengemam suaranya yang sudah berada di halkumnya yang bergerak-gerak menahan getar rasa bersalah yang semakin menebal di dalam diri.

Enjoy reading! :) Love, N

Share this novel

Nur Azlina
2022-03-17 14:02:49 

apa yg sebenarnya terjadi antara Idris ngan anne.idris nikah lain ke

norsila
2022-03-17 04:43:13 

jadi betullah idris nikah lagi...hisss


NovelPlus Premium

The best ads free experience