2.         Pilihan.

Spiritual Completed 1953

Saya rasa sekarang kau dah faham dan dapat gambaran tentang ketetapan Allah. Kita masuk bahagian kedua, yang ramai sangat orang merungut dalam hidup ni, iaitu bab pilihan. Seperti yang kau tahu, hidup kita terbahagi kepada 3 fasa kehidupan, iaitu ;

·      Sebelum

-       Kehidupan sebelum hidup iaitu alam roh, alam rahim dan sebagainya.

·      Semasa

-       Kehidupan semasa hidup iaitu bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa, dah tua tapi tak sedar diri.

·      Selepas

-       Kehidupan selepas hidup iaitu alam kubur, alam barzakh, padang mahsyar, Neraka atau Syurga.

Kalau kau perasan, kehidupan sebelum hidupada persamaan dengan kehidupan selepas hidup. Atau kehidupan pertama sama dengan kehidupan ketiga. Apakah persamaan tu?

Persamaan antara kehidupan pertama dan ketiga adalah, kita TIDAK BOLEH membuat sebarang pilihan. Kenapa pula? Okay contohnya begini, masa kita dalam alam roh atau alam rahim, kita langsung tak boleh nak buat pilihan seperti,

Nak jadi orang Islam,

Nak jadi orang Melayu macam saya,

Nak jadi macam Korea, Jepun (tetapi mereka buat pembedahan plastik),

Nak jadi anak orang kaya macam dalam drama Melayu pukul 7.00 petang,

Nak lahir di hospital first class macam…. Entah, fikirlah sendiri.

Nak lahir hari Jumaat supaya nampak macam tanda kiamat,

Nak jadi anak Dato’ supaya boleh mengabiskan duit mak bapak,

Nak jadi lelaki supaya boleh pumping dan bajet sado,

Nak jadi perempuan supaya tak kena ejek pondan,

Nak lahir zaman Nabi atau Sahabat atau zaman Khilafah sebab tak tahan hidup zaman sekarang,

Dan banyak lagi. Kita tak boleh nak buat pilihan, langsung TAK BOLEH! Sebab apa? Sebab Allah dah buat keputusan tentang siapakah kita akan jadi, bagaimana, di mana dan sebagainya. In fact, kau pun tak boleh nak masuk dalam rahim mak kau semula. Dan kalau kau nak tahu, inilahTAKDIR.

Kalau kehidupan akhirat pun macam tu juga. Peristiwa di alam kubur, alam barzakh dan Akhirat. Kita langsung tak boleh nak buat pilihan seperti,

Nak kembali dunia walau sesaat,

Nak bangkit dari kubur untuk peluk mak ayah sebab menyesal derhaka,

Nak jalan-jalan kubur orang lain,

Nak bangun dari kubur ajak kawan kubur sebelah pergi shopping di Mydin,

Nak jadi hantu kacau jiran sebelah,

Nak balik kampung untuk sambut raya,

Nak kiamat cepat sebab tak tahan kena pukul dan sebat dalam kubur,

Nak beribadat sebab menyesal asyik lewat solat masa hidup,

Nak jadi orang baik sebab menyesal kat dunia kutuk orang yang baik,

Nak jadi tanah sebab menyesal banyak sangat dosa,

Nak jadi mayat dalam mayat,

Tak nak jawab soalan malaikat sebab susah,

Dan banyak lagi. Kita tak boleh nak buat pilihan, langsung TAK BOLEH! Sebab apa? Sebab Allah dah buat keputusan tentang apakah nasib kita nanti, di mana akhirnya dan sebagainya. Dan kalau kau nak tahu, inilah TAKDIR.

Dan kalau kau nak tahu, takdir di kehidupan ketiga adalah berdasarkan pilihan yang kita buat masa di kehidupan kedua, serta berbekalkan apa yang ditakdirkan masa kehidupan pertama? Faham? Ke nampak complicated je ayat saya?

Nak mudah faham, di dunia ini saja tempat Allah benarkan untuk kita membuat sebarangPILIHAN, berbekalkan dengan apa yang telah ditakdirkan kepada kita semasa kehidupan di alam rahim. Lalu segala pilihan kita di dunia ini akan menentukan masa depan kita di Akhirat sana. Faham kan?

Oleh yang demikian, semasa diberikan pilihan untuk buat pilihan walau tak banyak pilihan yang boleh dibuat, kenapa kau tak nak buat pilihan? Takkanlah kau nak buat pilihan di tempat yang tak boleh nak buat pilihan? Tak faham, sila baca ulang-ulang kali.

Betul, memang kita tak ada banyak pilihan sangat semasa hidup. Sementara kita boleh pilih, pilih sajalah apa yang ada berdasarkan syarak. Kau tak boleh nak pilih untuk jadi isteri Tae Yang, tetapi kau boleh pilih untuk jadi isteri solehah atau isteri tak boleh diharap. Kau tak boleh pilih untuk jadi suami Juon, tetapi kau boleh pilih untuk jadi suami mithali, atau suami yang nak kena kaki.

Kawan-kawan, kau jangan sombong kalau lahir sebagai orang Islam, anak orang kaya, lahir je kena sumbat iPad iPhone 7S di mulut, ada rupa paras, keluarga sakinah mawaddah wa rahmah wa barokah wa maghfirah dan sebagainya. Sesiapa yang sombong dengan takdir Allah yang ini memang celakalah padahnya, sebab apa yang kita dapat tu hanyalah ehsan dan ujian dari Allahsupaya kau bersyukur dan boleh buat pilihan dengan baik semasa hidup.

Kepada kawan-kawan yang cacat, tak cantik dan tak hensem, miskin hina dina dan kafir sekalipun, janganlah kau rasa hina dan ‘gagal’ selamanya, dan tak perlu susah payah terjun bangunan untuk bunuh diri sebab takdir. Allah Maha Adil dan Allah TIDAK letakkan kejayaan kau di Akhirat sana bergantung pada apa yang kau dapat masa lahir, tetapi ia bergantung kepada APA PILIHAN kau masa hidup. Kejayaan sebenar dalam hidup adalah apabila kita berjaya membuat ‘pilihan’ yang betul dan tepat.

Aku ulangi semula,

KEJAYAAN SEBENAR DALAM HIDUP ADALAH APABILA KITA BERJAYA MEMBUAT PILIHAN YANG BETUL DAN TEPAT DALAM HIDUP.

Kau diberi 2 perkara untuk memilih di antara 2 perkara. Kau diberi akal dan hati dengan bersandarkan wahyu untuk memilih jalan kebaikan atau jalan kebinasaan. Binasalah kau kalau mengikut nafsu dan syaitonirrojim dalam memilih jalan kebaikan atau jalan kebinasaan.

“Dan demi jiwa (diri manusia) serta penyempurnaannya (ciptaannya),

maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan (kejahatan) dan ketakwaannya,

Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu,

Dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.”

(Surah As Syams 91:7-10)

Ini adalah contoh pilihan yang di minta oleh mereka yang berada di Neraka, tetapi langsung tidak dilayan oleh Allah. Nak tahu apa dia? Ini dia,

·      Minta makanan dan minuman kepada penghuni Syurga. (Al A’raf 7:50)

·      Meminta kepada penjaga Neraka supaya diringankan seksaan walau hanya satu hari saja. (Gofir 40:49-50)

·      Meminta kepada malaikat Malik, agar dimatikan saja sebab dah tak tahan kena seksa. (Az-Zukhruf 43:77)

·      Meminta kepada Allah agar dikeluarkan dari Neraka dan dikembalikan ke dunia untuk beramal soleh. (Al-Mukminun 23:107-108, As Sajadah 32:12, Ibrahim 14:44)

·      Meminta supaya Allah melipat gandakan azab untuk para pemimpin dan ketua yang telah bawa mereka Neraka. (Yasin 33:66-68)

·      Meminta Keluar Dari Neraka. (Al Mukmin 23:11)

            Sementara masih hidup di dunia ini, menangislah wahai mata sampai teresak-esak, kalau sampai bengkak pun takpe menangis kerana takutkan Neraka, takutkan Allah, menangis fikir pasal umat, menangis minta hidayah untuk keluarga dan kawan-kawan, menangis masa baca al Quran dan solat, menangis masa berdoa, menangis masa baca buku ini dan sebagainya.

Sebab kalau di Akhirat sana, menangis sampai keluar air mata susu pun dah tak ada gunanya. Air mata darah apatah lagi. Nak minum susu pun dah tak boleh.

“Dua mata yang tidak akan disentuh api neraka untuk selama-lamanya : mata yang menangis kerana takut kepada Allah dan mata yang berjaga malam di jalan Allah.”

(Riwayat Tirmidzi)

Jadi berbalik kepada takdir, oleh kerana dunia ini adalah tempat yang kita boleh buat pilihan, buatlah pilihan dan jalan yang betul berpandukan wahyu atau manual al Quran yang Allah dah beri pada kita.

Eh sekejap, kalau kau fokus baca, mesti kau akan perasan yang bab pilihan ini seolah bercanggah dengan bab ketetapan tadi. Kalausemuanya telah di tetapkan, kenapa perlu buat pilihan?

Kau buat pilihan nak dapatkan sesuatu perkara tetapi ditakdirkan Allah, kau tak dapat pun perkara ni, tetapi kau dapat perkara lain. Sebab boleh jadi perkara lain tu adalah lebih baik untuk kau.

Ok contoh, kau nak kahwin dengan Markonah Masjon, lalu kau pun buat pilihan untuk pergi ke rumahnya untuk masuk meminang. Tetapi ditakdirkan, Markonah Masjon tak nak kahwin dengan kau, dia nak kahwin dengan kawan baik kau sejak dari taska, Misron Maskunarjo. Dan kawan baik Misron yang lain rupanya dah lama suka kat kau, dan nak kahwin dengan kau, namanya Siti Musta’mal Mukhafafah. Ah, macam complicated pula.

Atau contoh lain, kau pelajar sekolah biasa. Entah satu hari bila kau baca buku Bedtime Stories Sentap siri 1 tulisan saya yang pertama dulu, kau rasa nak memahami ayat al Quran dan mula berazam untuk menghafal al Quran. Lalu kau pun tekad dan bersungguh untuk jadi al Hafiz.

Tetapi tak sempat kau nak jadi hafiz al Quran, kau pun jadi mayat sebab kena langgar dengan lori wak Masjon. Maka di Akhirat nanti, insyaAllah moga kau akan dibangkitkan bersama para hafiz al Quran. Rasulullah sebut,

“Seseorang itu akan (dibangkitkan) bersama orang yang ia cintai.”

(Muttafaqun ‘alayh)

Apa saya nak cakap di sini adalah, semua orang akan berusaha untuk berjaya, tetapi bukan semua orang yang berusaha itu berjaya. Hanya orang buat usaha yang TEPAT sahaja berjaya, walaupun nampak macam tidak berjaya. Sebab kejayaan sebenar adalah kita masuk Syurga dan dapat redha Allah.

Apakah usaha yang tepat itu? Usaha yang tepat itu adalah segala usaha yang selari dengan syariat Islam. Apa-apa usaha yang melanggar syariat Islam, walaupun nampak berjaya, tetapi akhirnya di Akhirat nanti dia tetap akan gagal. GAGAL !

Hebatnya Allah, yang mana Dia boleh menciptakan dunia ini dalam keadaan dua perkara yang seolah bertentangan dengan logik akal kita berjalan serentak, iaitu pertama pilihan kita dan kedua segalanya sudah ditetapkan. Dan hanya Allah saja yang mampu mewujudkan dua perkara ni serentak, iaitu pilihan dan takdir.

Sebab tu isu yang orang tanya tentang ketetapan umur dan hadis yang kata kalau sambungkan silaturrahim boleh panjang umur seolah bercanggah, sebenarnya tiada bercanggah pun. Kita boleh buat pilihan untuk sambungkan silaturrahim, tetapi dalam masa yang sama Allah dah tetapkan umur dan boleh panjangkan umur ikut kemahuan Allah.

Ia adalah di bawah kuasa Allah, dan kita sebagai makhluk beriman saja dengan sungguh-sungguh. Logik akal akan datang selepas beriman.  Agama ini bukan logik akal semata-mata, tetapi ia adalah agama TAUHID, iaitu kita beriman sungguh-sungguh dengan apa yang diturunkan dalam al Quran dan hadis yang sahih.

Ada perkara dalam Islam yang boleh dijelaskan dengan logik akal, ada juga perkara yang menuntut kita beriman tanpa ragu, walau bercanggah dengan logik akal. Contoh tentang kewujudan Allah, Malaikat, Hari Kiamat, Dajjal, macam mana kewujudan Nabi Adam tanpa ada gabungan sperm dan ovum, dan sebagainya.

Sebab tu Saidina Ali radiyallahu anhu (r.anhu) pernah sebut,

“Seandainya agama dengan logik (akal), maka tentu bahagian bawah khuf (sepatu) lebih elok untuk diusap daripada atasnya. Sungguh aku pernah melihat Rasulullah mengusap bagian atas khufnya (sepatunya).”

Apa yang penting di sini adalah usaha kita dalam membuat pilihan. Jika tak dapat nak beramal sedangkan kau sudah buat pilihan yang betul, itu adalah satu kejayaan. Contoh popular macam kisah Sumayyah radiyallahu anha (r.anha). Sumayyah adalah perempuan pertama dalam sejarah Islam yang syahid masa zaman Makkah.

Adakah masa tu Sumayyah sempat solat 5 waktu, tunaikan zakat, berjihad di jalan Allah, dan sebagainya? Tak. Dia syahid sebelum sempat buat amal soleh yang lain, tetapi akhirnya dia ditakdirkan jadi ahli Syurga sebab berada pada jalan yang betul. Dia telah membuat pilihan yang betul dan tepat semasa hidup lalu ditakdirkan syahid.

Kau rasa pening kepala ke? Tenangkan diri, ambil hot chochlate, dan sambung baca tajuk seterusnya:

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience