BAB 7

Romance Series 8815

SUDAH pukul 10 pagi. Tapi kelibatan Jawdan Raffiq tidak muncul-muncul lagi. Misya keresahan. Tadi, dia meminta Mr Han tunggu di dalam bilik pejabat Jawdan sementara Jawdan belum datang.
Telefon pintar dipandangnya buat entah yang keberapa kalinya. Mr Han sudah 20 minit menunggu di bilik itu. Dia pula masih gagal menghubungi Jawdan Raffiq. Adakah lelaki itu seorang yang suka memungkiri janji?
Bimbang betul hati Misya andainya lelaki itu tidak muncul-muncul. Dia yang mengaturkan temu janji Mr Han dan Jawdan. Maka dia yang akan rasa bersalah jika Jawdan tidak hadir dan Mr Han terpaksa pulang tanpa sempat berbincang. Sudahlah Mr Han kata dia datang jauh, dari Selangor.
Berkerut-kerut dahi Misya gara-gara kebingungan.
Dia bangun dari tempat duduknya menuju ke pejabat Jawdan. Pintu bilik itu diketuk beberapa kali sebelum dia menolak daun pintu.
Dilihatnya Mr Han, lelaki Cina yang masih muda belia itu sedang menonton sesuatu di telefon pintar. Mr Han memandang ke arah Misya ketika Misya menghampiri. Earphone di telinga kiri ditanggalkan. Kening Mr Han terangkat.
“You nak cepat ke lepas ni?” soal Misya.
Dahi Mr Han berkerut sedikit.
“Maksud I, you ada hal lain tak lepas jumpa dengan Tuan Jo?”
“No lah. I memang free hari ni. Lama lagi ke I kena tunggu?”
Misya memaniskan wajah. “Maybe ada kecemasan...”
“Oh, okay. I tak ada masalah tunggu.”
Misya gembira. Sekurang-kurangnya tiada tekanan daripada Mr Han. Yang perlu dia bimbangkan cuma kehadiran Jawdan hari ini.
“You nak makan apa-apa tak? I boleh belikan kat bawah,” soal Misya mengambil hati.
Mr Han mengangkat kening. “Maybe iced-latte.”
Lagi sekali Misya tersenyum senang. Mudah aje nak dapatkan iced-latte. Di sebelah wisma ini bangunan McD. Dekat sangat!
“You tak nak burger?”
Mr Han menggeleng.
“I ke bawah sekejap ya.” Misya meminta diri.
Apabila dia keluar bilik, Kak Nour cepat-cepat mengangkat kepala. Kebetulan kubikel Kak Nour memang menghadap bilik Jawdan.
“Misya dapat contact Tuan Jo tak ni?” Berkerut-kerut dahi Kak Nour.
“Belum dapat, kak.”
“Tak apalah, tak lama lagi agaknya Tuan Jo datang.” Suara Kak Nour mengendur.
Misya mengangguk.
“Kalau Tuan Jo datang, dia tanya tentang I, Kak Nour tolong beritahu yang I ke bawah belikan Mr Han breakfast.”
“Mr Han suruh beli ke?” soal Kak Nour lagi.
“I yang tanya. Risau dia haus tunggu dalam bilik tu lama-lama.”
“Betul juga. Tak apa, nanti akak beritahu Tuan Jo kalau dia dah datang.”
“Thank you, Kak Nour,” ucap Misya ikhlas.
“Tak ada apalah. Akak tolong yang ringan-ringan aje.” Kak Nour memberikan senyuman lebar.
Misya berlalu ke mejanya untuk mengambil telefon pintar dan dompet di dalam beg. Setelah selesai membelikan set breakfast untuk Mr Han, Misya berkira-kira untuk kembali ke wisma. Namun ketika dia mahu memasuki pintu wisma, namanya seperti diseru oleh seseorang.
Misya melilau mencari kelibatan yang memanggilnya. Apabila melihat Jawdan Raffiq di dalam kereta yang terparkir di sisi jalan raya, Misya segera menghampiri. Jawdan duduk di tempat duduk pemandu dengan cermin kereta yang terbuka.
Lega betul hati Misya melihat wajah Jawdan Raffiq.
Langkah Misya jadi perlahan apabila perasan seseorang sedang duduk di bahagian penumpang bersebelahan dengan Jawdan. Wanita itu tidak bertudung dan memandang ke arah bertentangan.
Jadi, Jawdan lambat datang kerja kerana ada temu janji dengan teman wanita?
Misya menghela nafas.
Biarlah dia. Bukan hal aku pun!
Hati Misya berbisik menegur diri sendiri. Bimbang perasaan ingin tahu itu jadi buruk sangka.
“Han dah sampai ke?” soal Jawdan.
Misya mengangguk.
Jawdan membuka pintu kereta dan keluar dari perut kereta. Dia tidak menutup pintu kereta, malah sengaja dibuka luas walaupun beg sandang lelaki itu sudah pun ditarik keluar.
“Tolong I, boleh?” Pinta Jawdan.
“Boleh...” Misya menjawab sepatah tanpa berfikir panjang.
“Tadi I hantar adik I ke hospital. Dia tak boleh tinggal sendiri dalam kereta. Jadi I nak minta you temankan dia dalam kereta ni sampai miting I dan Han selesai. Just tell me if anything happens.”
Dada Misya berubah rentak. Matanya kembali mengamati sekujur tubuh yang kelihatan kurus di tempat duduk penumpang.
Jeeyan kah itu? Secepat ini dia dapat ketemu dengan Jeeyan?
Misya hampir tidak percaya.
Jantungnya yang berdegup laju hampir membuat Misya kehilangan nafas normal. Berkali-kali dia mengatur nafasnya agar tidak ketara panik. Tangan Misya sedikit menggigil.
“Boleh...” Misya mengendurkan suara. Bimbang suaranya bergetar ketika ini.
Apabila Jawdan mula mengatur langkah, Misya segera menoleh ke arah Jawdan.
“Tuan Jo,” panggil Misya.
Langkah Jawdan terhenti. Dia berpaling semula ke arah Misya.
“Ni... Sarapan untuk Mr Han...” Misya menghulurkan bungkusan McD di tangannya.
“Dia minta you belikan?” tanya Jawdan. Tadi apabila dia melihat Misya keluar dari restoran itu, Jawdan sempat mengesyaki yang gadis itu sengaja mencuri masa untuk bersarapan sementara dia tiada di pejabat. Tapi dia tidak kisah pun sebenarnya kerana Misya pergi ke restoran berdekatan.
“Tak. I risau dia lapar menunggu.”
“You beli banyak ni untuk dia seorang?” Jawdan mengambil bungkusan di tangan Misya.
“Untuk tuan sekali...”
“Bukan untuk you sendiri?” Jawdan meneka.
“I dah sarapan pagi tadi. Lagi pun I tak suka burger,” balas Misya.
“Okay, thank you. Sekejap lagi I turun lepas Han sign perjanjian. You tengok-tengokkan Jeeyan. Dia baru makan ubat dan tengah tidur sekarang.” Jawdan kembali melangkah selepas berpesan kepada Misya.
Misya menghadap pintu kereta Jawdan. Nafasnya dihela dalam-dalam. Walaupun Jawdan telah mengatakan yang Jeeyan sedang tidur, namun hatinya masih tidak berhenti berdebar. Misya masuk ke dalam kereta dan menutup pintu kereta itu berhati-hati. Duduk di kerusi ini, deria Misya dapat menghidu bauan maskulin yang agak kuat. Pasti wangian Jawdan yang terlekat di tempat duduk itu. Bergetar juga jantung Misya kerana terasa begitu dekat dengan Jawdan walhal lelaki itu sedang berada jauh dari dirinya.
Misya menoleh ke arah Jeeyan.
Tubuh Jeeyan terlalu kurus. Dia lihat lengan Jeeyan yang tinggal tulang itu dengan penuh rasa berdosa.
“Takdir Jeeyan dah macam tu...”
Teringat kata-kata yang selalu Naemah lontarkan setiap kali dia bercakap tentang Jeeyan. Benar, memang takdir Jeeyan. Tapi tergamakkah dia bercakap tentang takdir jika dia yang berada di tempat Jeeyan sekarang ini?
Walaupun hanya sisi saja, Jeeyan kelihatan benar-benar tidak terurus. Di dahi Jeeyan ada balutan luka.
“Jeeyan...” Misya menyeru nama itu perlahan. Bimbang dia mengganggu lena Jeeyan.
Tiada tindak balas dari gadis itu.
Misya memandang Jeeyan dengan renungan sayu.
“Jeeyan, aku minta maaf.” Perlahan nada yang terzahir di bibir basah Misya.
Satu persatu kenangan mampir dalam ingatannya. Satu ketika dulu, dia rasa dirinya hebat. Dia tidak mahu kalah dan dikalahkan. Dan Misya akui dirinya suka melihat penderitaan orang lain.
Jeeyan adalah mangsa keadaan.
Jeeyan ada ketika dia sedang berada di puncak egois. Kerana sepasang kasutnya yang tersepak oleh Jeeyan, dia menggila. Membuli Jeeyan sepuas-puas hatinya.
Sehingga satu ketika, Misya tahu yang perlakuannya itu bakal memakan diri sendiri.
Malangnya dia terlambat untuk sedar yang dia telah melakukan kesalahan besar.
Kerana dirinya, Jeeyan terpaksa dihantar ke hospital gara-gara percubaan membunuh diri. Dan rupa-rupanya Jeeyan mengalami tekanan mental yang melampau. Jeeyan disahkan skizophrenia.
Tapi Misya masih ego. Tidak mahu mengakui kesalahannya. Pada Misya, Jeeyan sendiri yang membuat dirinya ‘sakit’. Untuk apa menyalahkan orang lain pula?
Si pembuli tak akan memahami perasaan orang yang dibuli. Bagi pembuli sepertinya, apa yang dia buat hanyalah sebuah gurauan. Sekadar untuk keseronokan apabila melihat orang lain mengalirkan air mata!
Kerana itu dia tetap berjumpa dengan Jeeyan, menuduh gadis itu mahukan perhatian. Membuat dia buruk di mata rakan-rakan sekolah mereka... Dan dia marah gara-gara percubaan Jeeyan membunuh diri menimbulkan gosip tentang Misya Khalida sebagai punca tekanan mental yang Jeeyan hadapi.
Ketika itu Misya tidak tahu betapa seriusnya pesakit mental yang ada keinginan untuk membunuh diri. Langsung tidak tahu yang dirinya bakal mengubah hidup Jeeyan sehingga musnah begini.
Semakin Misya dewasa, semakin kerap dirinya ditimpa perasaan berdosa. Semakin dia sedar satu persatu kekejaman yang dilakukan olehnya terhadap Jeeyan.
Dia pernah menggertak Jeeyan, mengetawakan Jeeyan, merampas buku-buku Jeeyan dan melemparkan buku-buku itu ke dalam kolam...
Mata Misya terpejam rapat. Tidak sanggup rasanya untuk Misya kenang kembali satu persatu dosanya terhadap Jeeyan!
“Jee, aku minta maaf...”
Air mata Misya jatuh juga ke pipi. Dia jarang menangis. Cuma kali ini, air matanya gagal untuk ditahan daripada tumpah. Agak lama juga Misya cuba untuk menstabilkan semula emosi.
Bukan mudah untuk mengungkap kata-kata maaf ketika ego menguasai. Tapi hari ini, ego Misya ranap. Dia percaya keadaan Jeeyan berpunca daripadanya.
Entah apa yang perlu dia lakukan agar dosa-dosanya menjadi bersih. Misya mahu Jeeyan yang dulu kembali semula.
Mustahilkah?
Jika benar mustahil, buat seumur hidup ini, Misya tak akan dapat lari dari rasa bersalah. Malah dari sehari ke sehari rasa bersalahnya kian menebal.
Jika Jeeyan tidak bahagia, dia juga tidak layak untuk bahagia!

?

ig @rinsyachasiani

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience