BAB 6

Romance Completed 9878

Izyan Hasna menghadiahkan jelingan tajam. Geram sungguh dia dengan lelaki di hadapannya itu. Entah apa yang menarik pada pandangan mata emaknya terhadap lelaki itu dia pun tidak tahu. Tunggulah dia pulang ke rumah nanti, dia mahu bersemuka dengan emaknya. Dia masih muda. Tiba-tiba sahaja menerima berita bahawa orang tua mereka berdua mahu menjodohkan mereka. Siapa yang tidak terkejut? Entah-entah Danish sengaja mahu mempermainkan dirinya. Entah-entah lelaki itu sengaja mahu mengucar-kacirkan hidupnya yang selama ini aman.

“MAMA! Mama!” Laung Izyan Hasna sebaik melangkah masuk ke dalam rumah. Dia mahu berbincang dengan emaknya.

“Ya, sayang. Kenapa terjerit terlolong panggil mama ni?” Puan Ruzila tiba-tiba sahaja muncul dari dapur.

“Mama, betul ke Danish cakap mama dan mak dia nak jodohkan kami berdua?” Soalnya tanpa berselindung lagi.

“Ya, betullah tu. Tapi….”

“Tapi?”

“Terpulang pada Danish dan Izyan. Kami sekadar mencadang. Tapi, yang nak membuat keputusannya, Danish dan Izyan,” jelas Puan Ruzila dengan tenang.

“Kenapa tiba-tiba saja, mama?”

“Alah, sebab mak si Danish tu risau terlebih yang anak tunggalnya tu tak kahwin-kahwin lagi. Jadi, dia pun sibuklah nak mencarikan jodoh untuk Danish. Danish pulak serahkan bulat-bulat proses mencari calon isteri kepada emaknya. Itu yang si Jijah datang ke mari tu. Saja nak bertanya sama ada Izyan dah berpunya ke belum.”

“Tapi kenapa Izyan? Kenapa bukan Kak Iffah?”

“Eh, budak ni. Kak Iffah kan dah ada calon. Dah nak bertunang dah pun. Izyan saja yang masih solo. Lagipun, mama tengok Danish tu okey apa. Kacak, bergaya, baik budaknya, gaji pun boleh tahan besar. Cukup sifatlah! Terjamin masa depan!” Puji Puan Ruzila.

“Mama ni puji dia melambung ni mesti dah setuju sangatlah tu dia jadi menantu mama, kan?”

“Yalah! Apa pulak tak setujunya. Keluarga dia kita dah kenal, dia pun mama dah pernah jumpa. Senang cerita, mama berkenanlah!”

“Mama yang berkenan. Izyan….” Sengaja dibiarkan ayatnya tidak bersambung.

“Izyan? Izyan tak berkenan? Macam tu? Janganlah cepat sangat membuat keputusan, sayang. Ambil masa untuk berkawan dengan Danish dulu. Kalau dah kenal secara lebih rapat tapi Izyan masih tak suka pada dia, terpulanglah. Kami tak paksa,” ujar Puan Ruzila dengan penuh diplomasi. Dia sebenarnya berharap sangat agar Izyan Hasna menerima cadangan mereka. Tenang sedikit hatinya. Tidaklah dia berasa bimbang dengan siapa anak gadis bongsunya itu berkawan. Sekiranya ada sesuatu berlaku ke atas gadis itu, dia sudah tahu siapa yang hendak dicarinya.

“Entahlah. Makin banyak perkara yang Izyan tahu fasal dia, makin meluat pulak dengan sikap terlebih perasan dia tu. Macamlah Izyan terhegeh sangat pada dia!”

“Ya? Apa-apa pun, mama nak Izyan berkawan dulu. Nanti baru buat keputusan. Jangan menyesal sebab tolak cadangan kami pulak.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience