Bab 1

Romance Completed 174752

"AKU terima nikahnya, Marissa binti Iskandar dengan mas kahwinnya RM300 tunai."

"Sah?"

"Sah, sah."

"Mar... Mar tak nak!" Rintihan sayu itu hanya mampu terungkap di dalam hati Marissa sebaik sahaja dia sah menjadi isteri kepada Tengku Riz Farhan. Saat para insan di sekeliling menadah tangan untuk mengucap syukur kepada-Nya, dia juga turut melakukan hal yang sama namun apa sedang meniti pada bibirnya adalah berbeza, terlalu berbeza. Hatinya meraung sendirian, dia menangis tanpa suara kerana dia tahu penderitaannya akan bermula dari sini.

"Assalamualaikum,"

Marissa tersentak ketika seorang lelaki yang telah sah menjadi suaminya memberi salam. Senyuman licik dan kejam terlakar sempurna pada bibir Tengku Riz Farhan sambil tangannya mula menyarungkan sebentuk cincin emas pada jari manis Marissa.

Tengku Riz Farhan tersenyum puas, menitipkan ciuman pada dahi Marissa bersama satu bisikan yang hanya dia dengan isterinya sahaja yang mendengar. "Sekarang kau dah jadi milik aku seorang, Marissa! Aku akan pastikan kau akan rasa sakit dan terseksa seperti mana terseksanya arwah mama dengan papa aku! Keturunan pembunuh macam kau yang tak layak untuk hidup senang kat muka bumi ni." Dia puas setelah mengungkapkan semua itu. Senyuman tampannya itu yang tertayang sebenarnya palsu namun mampu membuatkan insan-insan lain terpedaya. Mungkin pada fikiran mereka, perkahwinan di antara Tengku Riz Farhan dengan Marissa adalah sebuah perhubungan yang terhasil daripada perasaan cinta sama cinta, suka sama suka tetapi hakikatnya yang sebenar, tiada yang tahu selain Tengku Riz Fahran, Marissa dengan Tuan Fadil sendiri.

"UNCLE!" Berkali-kali Marissa menggeleng, berharap agar bapa saudaranya itu akan mampu menghentikan semuanya tetapi Tuan Fadil pula sekadar menunduk. Apa lagi yang mampu dia lakukan selain daripada menunduk? Dia sayangkan Marissa, hanya Marissa sahaja satu-satunya darah daging arwah kakaknya yang dia punya di dalam dunia ini. Apalagi dia sudah berjanji kepada arwah Puan Sri Raina untuk menjaga Marissa sehabis nyawanya sebelum wanita itu menghembuskan nafasnya yang terakhir. Tuan Fadil tidak sanggup sebenarnya untuk memungkir janji, rasa bersalah, rasa berdosa orang takkan tahu tetapi dalam masa yang sama, Tuan Fadil juga sedar yang dia tidak akan mampu melawan kuasa dan pengaruh Tengku Riz Farhan. Demi kebangkitan perniagaan dan kehidupannya yang hampir muflis, Tuan Fadil akhirnya terpaksa bersetuju untuk menerima pertolongan Tengku Riz Farhan tetapi dengan syarat...

"Aku nak Marissa jadi hak aku. Hak mutlak aku! Aku nak kahwin dengan dia dan kau kena pastikan dia tak akan membantah! Jual Marissa pada aku dan aku akan bayar dengan nilai yang akan mampu buat kau puas!"

Seperti itulah syarat yang diletakkan oleh Tengku Riz Farhan kepada Tuan Fadil beberapa minggu yang lalu.

"Dendam tu antara arwah kakak abang dengan keluarga Tengku! Tak ada kaitan langsung dengan abang! Setuju je lah, bang! Memang salah arwah kakak dengan abang ipar abang pun! Tamak, kejam, pentingkan kekayaan. Sebab duit, sebab pangkat, sanggup bunuh kawan sendiri. Haaa, memang ni lah makanan dia! Hujung-hujung, anak sendiri yang jadi mangsa! Saya tak kira, saya nak abang setuju je dengan syarat Tengku tu! Abang sanggup ke tengok saya dengan anak-anak abang hidup susah macam ni?! Nak beli baju baru pun kena fikir dua tiga kali, bang! Saya dah tak sanggup! Saya nak kehidupan kita yang dulu! Pilih bang, kami atau Marissa!" Keadaan menjadi semakin rumit ketika dia didesak pula oleh isterinya. Jadi apa lagi pilihan yang dia ada selain daripada bersetuju sahaja? Di antara anak saudara dengan anak isterinya sendiri, sudah tentu Tuan Fadil akan lebih memilih anak isterinya.

"Uncle... "

Tuan Fadil akhirnya tersungkur juga dengan perasaannya sendiri saat mendengar rayuan dan panggilan Marissa yang kedua kali itu. Seorang anak saudara yang sudah dia anggap seperti anak kandungnya sendiri, yang dia jaga sedari kecil lagi sedang menangis dan merayu? Kejamkah jika dia terus-terusan mengabai dan memekakkan telinga? Dia tahu Marissa takut, dia tahu Marissa gerun menjadi seorang isteri kepada seorang lelaki yang baran seperti Tengku Riz Farhan tetapi Tuan Fadil tahu, semuanya sudah terlambat. Perjanjian yang dia buat dengan Tengku Riz Farhan telah pun terjadi. Marissa kini adalah isteri orang dan dia sudah tidak mempunyai hak lagi terhadap wanita itu.

"Aku akan bawa isteri aku menetap di Jakarta dan... urusan kau dengan aku, selesai!" Kata-kata Tengku Riz Farhan membuat Marissa dengan Tuan Fadil masing-masing tersedar, sedar yang mereka tidak mungkin akan mampu menidakkan kata-kata kejam lelaki itu.

Tuan Fadil hanya mampu mengangguk, Marissa pula kekal menunduk dalam tangisan. Jangankan hendak membantah, sebelah tangan yang sedang tergenggam erat oleh suaminya itu pun tidak berani dia lepaskan.

"Kau ingat Fadil, aku haramkan kau berhubungan dengan isteri aku lagi. Marissa milik aku. Kalau aku dapat tahu kau langgar perjanjian kita, aku akan pastikan kau dan seluruh keluarga kau mati kebulur. Kau jangan cabar aku, Fadil!"

Sekali lagi Tuan Fadil mengangguk. Dia takut, dan dia juga akur pada amaran Tengku Riz Farhan itu namun saat dirinya semakin sukar menahan perasaan yang paling bersalah, dia terus bergerak ke hadapan lalu menarik Marissa ke dalam dakapannya. Tahu, pelukan itu adalah pelukan yang terakhir kali buat dirinya kerana selepas ini, belum tentu dia dengan Marissa akan bertemu kembali. Jika bertemu pun, mungkin hanya tinggal jasad yang sudah tidak bernyawa kerana kekejaman Tengku Riz Farhan memang dia tahu benar.

"Uncle, tolong... Mar takut! Takut sangat!" Marissa mengesak, meluah dalam bisikan saat dirinya masih lagi berada di dalam pelukan Tuan Fadil. Bahu tua Tuan Fadil dicengkam kuat, seiring dengan esakan halusnya yang kian kuat kedengaran.

"Uncle minta maaf, Mar. Uncle terpaksa buat macam ni, uncle tak ada pilihan. Jaga diri, dengar cakap suami, jangan buat... dia marah."

"Mar tak nak, uncle! Mar takut dia. Mar... "

"Sekarang, Marissa. Jangan buang masa aku. Cepat!"

Arahan keras Tengku Riz Farhan serta-merta mematikan segalanya. Pelukan di antara dua insan itu mati, harapan Marissa terhadap bapa saudaranya juga mati. Kini dia semakin sedar, dia tidak mungkin akan mampu meloloskan dirinya daripada cengkaman Tengku Riz Farhan.

"Jaga diri, Mar. Uncle minta maaf. Uncle sayangkan kamu tapi uncle tak mampu nak lawan!" Ternoktah sahaja ungkapan itu, Tengku Riz Farhan terus menarik tangan Marissa agar masuk ke dalam kereta. Segala pergerakannya selalu kasar, tidak pernah peduli sama sekali jika wanita akan meringis sakit atau pun tidak kerana tujuan utamanya memang hendak menyeksa kehidupan Marissa. Biar wanita itu meraung sakit dan terseksa sebelum mati datang menjemput!

"KAU dah kemas barang-barang kau? Esok flight kita petang sikit."

Marissa yang sedang berteluku melayan perasan sendirian di kamar itu agak terkejut dengan kemunculan Tengku Riz Farhan yang tiba-tiba. Spontan menelan air liur ketakutan, laju Marissa mengangguk.

"Kau kalau aku tanya, kau jawablah. Jangan setakat angguk geleng!"

Tersentak Marissa saat kepalanya ditunjal kasar oleh Tengku Riz Farhan. Air matanya serta merta menitis, tangisannya juga langsung memecah halus.

"Kau faham tak?!" tanya Tengku Riz Farhan. Kali ini lebih tegas dan kasar.

"Fa... faham. Saya dah siap ke... kemas dah!" jawab Marissa. Menggeletar parah suara sayunya menyahut.

Tengku Riz Farhan tersenyum puas lalu turut melabuhkan punggung di sisi Marissa. "Sini." Arahan tegasnya membuat Marissa tercengang takut seketika. "Sini, duduk kat sini, Marissa!"

Marissa ketap bibir namun kerana terlalu takut terpaksa juga dia menuruti arahan kasar suaminya itu. Dia bangkit lalu duduk di atas pangkuan Tengku Riz Farhan seperti yang lelaki itu arahkan.

"Kalau aku cakap, kau kena ikut. Jangan berani melawan cakap aku sebab kau hak aku. Kau dengar apa aku nak cakap."

Marissa terlanjur mengangguk tanpa bersuara, mujur kali ini suaminya tidak kisah.

"Selain Fadil, aku nak kau putuskan hubungan kau dengan kawan-kawan kau. Dalam hidup kau, cuma ada aku. Buang semua kawan, saudara mara yang kau ada dan taat cuma pada aku. Kau faham?"

Marissa bungkam. Membuang Fadil adalah salah satu keputusan yang paling berat dalam hidupnya, tetapi rasa itu mungkin tidak akan sesakit membuang dua lagi insan lain yang dia sayang. Dia terlalu sayangkan Amelia dengan Rosyam, hanya insan-insan itu sahaja yang selalu setia mendengar semua masalahnya.

"Kau faham tak?!" tengking Tengku Riz Farhan tiba-tiba membuatkan Marissa terpaksa mengangguk. Sakit! Sakitnya berpisah daripada Amelia dan Rosyam!

"Fa... faham." Marissa segera menunduk, menyembunyikan air matanya yang semakin deras mengalir.

"Kau tahu kan kenapa aku jadikan kau isteri aku? Kau pandang sini, Marissa! Tengok muka aku bila aku bercakap!"

Marissa meringis kepedihan saat pipinya pula yang dicengkam kuat oleh Tengku Riz Farhan. Dek bimbang rasa sakit itu semakin kuat membuatkan dia segera memalingkan wajahnya ke arah lelaki itu.

"Sebab dendam. Dendam orang tua aku pada orang tua kau! Kau kena tanggung semua tu, Marissa. Kau yang kena bertanggungjawab. Kau jangan risau... "

Marissa segera memejamkan matanya rapat-rapat bukan kerana kata-kata ugutan Tengku Riz Farhan itu, melainkan cara lelaki itu menyentuh tubuhnya. Menyentuh segala bahagian yang telah dia jaga sebaik-baiknya selama ini. Dia takut, dia gerun walaupun tahu Tengku Riz Farhan berhak melakukan semua itu.

"Aku nak kau jadi isteri dan hamba yang taat pada aku. Kau jangan berani-berani merancang untuk keluar daripada genggaman aku. Kau pun tahu kan, apa yang aku boleh buat?"

Kali kedua Marissa terlanjur mengangguk.

"Dan yang paling penting, kau jangan berani curang belakang aku. Satu benda yang paling aku benci adalah bila tengok hak aku disentuh. Kau faham?"

"Fa... faham."

"Bagus." Tengku Riz Farhan tersenyum puas tanpa mengalihkan tatapannya daripada wajah Marissa. Dia bangkit mencempung tubuh Marissa bersama lalu membaringkan wanita itu perlahan di atas katil. Ucapan salam dia bisikkan pada telinga Marissa dan senyuman kejamnya semakin melebar luas ketika melihat anggukan balas daripada isterinya itu.

Tiada istilah cinta di antara mereka melainkan hanya berselitkan satu ikatan yang halal, malam pertama di antara Tengku Riz Farhan dengan Marissa pada ketika itu terpateri dengan sangat romantik dan indah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience