Chapter 4

Romance Completed 32270

Empat

Suasana petang di Pusat Komuniti Pelajar atau lebih dikenali sebagai PKP hingar-bingar dengan suara pengunjung setianya. Pelajar-pelajar mula membanjiri PKP. Rata-rata di antara mereka sudah tamat kuliah. Farhan menongkat dagu dengan tangan kiri. Kertas kerja projek Bulan Penghayatan Al-Quran diteliti dengan serius. Pena ditangan kanannya pula ligat menulis rangka aktiviti yang akan dijalankan.

Pandangan yang tertumpu di kertas kerja sebentar tadi dialihkan ke arah sekumpulan pelajar lelaki yang sedang rancak berbual di suatu sudut kafe di PKP. Keadaan biasa pada setiap petang. Farhan tersenyum sambil menggeleng-geleng kepalanya. Bermacam ragam dan gaya dapat dilihat bagi yang gemar memerhati.

“Pukul berapa kau janji dengan Marha?” Arfan mencelah menungnya. Kelihatan dia datang membawa bersama dua buah cawan berisi teh tarik. Dia meletakkan dua buah cawan itu di atas meja kafe yang berwarna kuning.

“5.30. Ada 10 minit lagi.” Farhan menoleh ke arah sahabatnya. Jam tangan jenama Casio dilihat seimbas lalu.

“Oh.” Angguk Arfan sambil menghirup teh tarik panas.

“Biar cepat, jangan lewat. Antara ciri-ciri Muslim sejati ialah menepati masa. Bukan setakat tu sahaja. Hendak jadi pelajar cemerlang juga mesti menepati masa. Tak adalah lecturer asyik bising dalam kelas.”

“Yela, Cikgu Farhan. Sekali bercakap, macam-macam hujah keluar.” Arfan menarik senyum sumbing. Dia terus menghirup baki teh tarik.

Farhan mengangkat kening. Sengihan menghiasi wajahnya yang bujur sireh itu. Matanya melilau mecari kelibat Marha.

“Assalamualaikum.” Suara lembut menyapa gegendang telinganya.

“Waalaikumussalam.” Farhan dan Arfan menjawab serentak. Arfan mengangkat tangan ke arah Marha dan Nuha yang sedang merapati tempat mereka duduk.

Marha tersenyum manis. Entah kenapa, Farhan senang hati melihat gadis itu. Dia tersengih.

“Kenapa awak senyum macam tu? Saya nampak pelikkah?”

“Senyum merupakan suatu sedekah. Saya sedang bersedekah kepada Marha.” Balas Farhan bersahaja.

Marha tertawa. Tangan kanannya menutup mulut. “Indah.” Bisik hati kecil Farhan.

“Hai, nampak Marha sahajakah? Cik Nuha Nadhirah sudah tak nampak lagi?” Nuha menegur Farhan.

“Eh, nampaklah. Bukan main besar awak tu. Takkanlah saya tak nampak. Betul tak, Arfan?” Dia cuba menyembunyikan perasaannya sebentar tadi. Dia mengenali Nuha ketika berkerjasama untuk program Bulan Tadarus Al-Quran yang lalu.

“Ha ha ha! Memang nampak sangat. Dari jauh aku dah nampak kau, Nuha.” Arfan mengusik Nuha. Arfan dan Nuha bersepupu.

“Ah, kau Arfan. Sengaja cari pasal dengan aku.” Nuha merajuk.

“Merajuk pula Ustazah Nuha ni. Malas aku hendak pujuk.” Balas Arfan tersengih.

Nuha menjeling Arfan sambil mencemik. Arfan buat tidak faham sahaja. Dia sudah masak dengan perangai sepupunya itu.

“Sudah, sudah. Tak habis-habis bertikam lidah. Marha dan Nuha duduk dahulu ya.” Farhan menenangkan keadaan.

“Emm, apa yang awak hendak bincang dengan saya?” Marha bersuara.

“Macam ni Marha. Seperti yang saya beritahu pagi tadi, saya perlukan bantuan awak untuk menguruskan projek Bulan Penghayatan Al-Quran. Nuha beritahu saya yang awak sudah biasa menguruskan projek besar macam ni. Jadi, kami hendak pinjam kepakaran awak untuk menjayakan projek yang akan dijalankan dua bulan dari sekarang. Ini kertas kerja projek tersebut. Awak boleh baca di hostel nanti.”

“Keadaan di PKP kurang sesuai hendak berbincang dengan terperinci. Malam esok ada mesyuarat antara Ahli Jawatankuasa projek Bulan Penghayatan Al-Quran. Saya harap awak sudi meluangkan masa untuk hadir ke mesyuarat.”

“Insha Allah. Saya akan datang.” Raut wajah manis Marha bertambah manis dengan senyuman indahnya.

“Bidadari.” Farhan berkata perlahan.

“Bidadari?” tanya Marha. Dahinya dikerut.

“Eh, tak ada apa-apa. Saya bercakap dengan diri sendiri.” Balas Farhan. Mukanya merah padam

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience