“Ustazah apa yang Wani cakap tu Yazir?” Sayup-sayup kedengaran suara Puan Salmah bertanya. Wani tahan perut gelihati, langkah kakinya dipercepatkan terus meluru masuk ke biliknya dan merebahkan tubuhnya di atas katil. Tersengih dia dibuatnya apabila mengingati wajah abangnya tadi.
Hah, padan muka. Ada hati nak cut off wifi sangat. Wani ketawa panjang. Dia kemudian cuba memejamkan matanya, rasa mengantuk bagai tidak boleh ditahan lagi. Baru sahaja dia hendak terlelap, tersentak dia dengan bunyi bising dari rumah sebelah. Giginya diketap menahan geram.
Pindah masuk barang aje kot tapi kau punya bising macam nak buat shopping mall 40 tingkat, bentak hati Wani. Dia melangkah malas ke tingkap biliknya, langsir disingkap dan kepala dijengah ke bawah. Kelibat Farish masih boleh dilihatnya, Wani mencebik bibir menyampah. Aku nak tidur pun tak senang!
Malam itu, ketika Wani sedang menolong Puan Salmah menyiapkan makan malam, sayup-sayup kedengaran suara orang memberi salam. Wani pandang wajah ibunya. Puan Salmah diam, pisau di tangannya pantas diletakkan di atas meja. “Habiskan potong tembikai tu, umi pergi tengok siapa.” Wani sekadar mengangguk.
“Masuklah, buat macam rumah sendiri. Pakcik kamu tengah sembahyang.” Kedengaran suara Puan Salmah menjemput seseorang masuk. Wani diam cuma mengamati suara tetamu tersebut dan akhirnya dia melangkah meninggalkan dapur dan menghampiri ruang tamu. Wani ketap gigi kuat apabila melihat tetamu yang datang itu adalah Farish.
“Kamu nak bawa ke mana pisau tu Wani?”tanya Puan Salmah apabila melihat pisau tajam menghunus di tangan Wani.
Nak tikam mamat tu, kata Wani dalam hati.
“Dia datang buat apa?” tanya Wani curiga. “Abah jemput dia makan malam dengan kita,” jawab Puan Salmah, bekas makanan ditangannya dihulur kepada Wani. ” Isi ni dalam mangkuk.” Wani menyambut bekas makanan tersebut tetapi matanya tetap terarah kepada Farish yang sedang duduk di ruang tamu.
Share this novel