EIJAZ memandang wanita dihadapannya dengan renungan hairan. Dia mengamati wanita itu dari pangkal rambut sehingga hujung kaki.
'Siapa?' Itu yang terlintas difikirannya saat ini. Entah kenapa dia seperti mengenali wanita itu, tetapi tidak dapat mengingati siapakah gerangannya.
"Cik ni siapa, ye? Macam kenal tapi siapa ye?" Sekali lagi Eijaz menanyakan soalan yang sama terhadap wanita dihadapannya.
Afaf berdecit. Dia tidak membalas pertanyaan jejaka itu. Afaf melirikkan sahaja matanya dan menilik penampilan jejaka itu.
'Boleh tahan tapi selekeh.'
Afaf menilai cara pemakaian lelaki itu yang tidak setanding dengan wajahnya yang kacak dan berkulit sawo matang. Jejaka di depannya itu seorang yang berbadan tegap dan sasa. Jelas kelihatan badannya berketul-ketul berserta gaya rambut yang serabai, terpancar maskulinnya. Namun, pakaiannya yang berbaju t-shirt lusuh dengan kesan tompokan hitam di tepi baju dan dipadankan dengan seluar jeans yang koyak di bahagian lutut, menyakitkan mata Afaf. Afaf menjulingkan matanya ke atas dan terus membuang pandangannya ke arah bertentangan. Tidak mahu melayan lelaki yang tidak dikenalinya itu.
Eijaz dapat melihat betapa jijiknya wanita itu memandangnya. Mendengus Eijaz bersama senyuman sinisnya.
"Sombong!" sindir Eijaz dengan nada geram. Afaf yang mendengarkan sindiran itu, hanya membiarkan sahaja.
Eijaz berpaling ke motorsikalnya dan mengambil beberapa batang lemang yang berada di dalam bakul motor, lalu berkata lagi, "harap muka je lawa, tapi bisu dan pekak."
Terus Eijaz melangkah dan dia berpapasan dengan Afaf. Masing-masing memberikan jelingan tidak puas hati. Eijaz terus meninggalkan Afaf yang masih setia berdiri di tepi keretanya.
"Assalamualaikum," laung Eijaz kepada penghuni rumah banglo itu.
Tiada sahutan.
"Assalamualaikum!" Sekali lagi Eijaz memberikan salam dan menguatkan volume suaranya.
Klik!
Terdengar bunyi tombol pintu dipulas lalu pintu itu terbuka luas.
"Waalaikumusalam. Eh, Eijaz." Sambut wanita separuh umur di muka pintu itu dengan senyuman tersimpul manis.
"Mak cik," sapa Eijaz mesra sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan penuh hormat.
"Kamu dari mana, Eijaz?" soal Puan Shima yang merupakan salah seorang penghuni rumah banglo itu.
"Saya dari gerai abang Malik, tolong dia bakar lemang. Ni saya nak pergi tengok lembu tok aji yang nak buat korban esok. Dah alang-alang saya lalu sini, singgah sekali nak bagi lemang ni dekat mak cik," jawab Eijaz sambil menghulurkan lemang yang berada ditangannya. Puan Shima terus mendepakan tangannya untuk mengambil lemang yang diberikan. Lemang itu bertukar tangan.
"Oh ye ke..."
"Jaz, awak datang?" celah seseorang dari belakang dengan suara yang riang. Tersenyum lebar wajahnya apabila melihat Eijaz berada di depan dia.
"Ye, Eliz. Saja je saya singgah sini sekejap. Nak tengok, pandai ke awak anyam ketupat?" seloroh Eijaz.
"Eh, ni Eliz lah. Takkan tak pandai, kan ibu?" ujar Eliza dengan bangga sambil mengangkat keningnya memandang Puan Shima.
Afaf hanya melihat sahaja adegan itu dari jauh. Melihat wajah tua itu, dia dapat mengenali siapakah wanita itu. Itulah Puan Shima, Mak Longnya merangkap menantu kepada Tuan Haji Yaaqub. Wajah itu masih cantik seperti dulu. Dia masih ingat, dalam ramai-ramai penghuni rumah banglo itu, hanya Puan Shima yang melayannya dengan baik sekali.
"Hah, Mak cik Shima, ada orang datang tu," beritahu Eijaz dengan bibirnya dimuncungkan ke arah Afaf. Puan Shima terus mengalihkan pandangannya ke arah yang ditunjukkan oleh Eijaz. Begitu juga dengan Eliza, turut memandang gerangan yang di maksudkan.
"Siapa tu?" soal Puan Shima mengecilkan matanya untuk melihat wajah gadis itu dengan lebih jelas. Sepertinya dia mengenali empunya diri itu, namun memori tuanya tidak dapat mengingati siapakah gerangan itu.
"Tak tahulah. Bila saya tanya dia tak jawab. Bisu agaknya," ujar Eijaz sambil menjongketkan bahu.
Afaf yang perasan akan mata-mata itu semua sedang merenungnya, terus dia berjalan mendekati Puan Shima. Bibirnya mengukirkan senyuman kepada wanita tua itu.
"Assalamualaikum, Mak Long," sapa Afaf dengan penuh sopan. Masing-masing terpana mendengar panggilan gadis yang tidak dikenali itu.
"Mak Long?" soal Eliza perlahan dan dahinya berkerut. Ternganga mulut Puan Shima apabila mendengar panggilan yang keluar daripada mulut gadis dihadapannya. Dia sudah dapat mengagak siapakah gerangan gadis itu. Wajahnya terus berubah. Akhirnya, dia dapat bertemu semula dengan satu-satunya anak saudara dia.
"Afaf? Afaf, kan ni?" teka Puan Shima teruja. Eliza dan Eijaz tercengang mendengar nama yang sudah lama mereka tidak dengari. Afaf menyimpulkan senyuman yang cukup manis lalu mengangguk.
"Ya, Mak Long. Ni saya, Afaf," balas Afaf.
"Ya Allah, Afaf. Mak Long rindu sangat kat kamu," raung Puan Shima yang sudah berlinangan air mata. Didepakan kedua tangannya lalu terus didakap tubuh tinggi lampai gadis itu. Afaf turut membalas pelukan itu sambil menggosok-gosok belakang tubuh tua itu. Rindu. Ya, dia rindukan dakapan daripada ibu saudara yang menyayanginya. Sungguh hangat rasanya.
Dakapan sekejap itu dileraikan dan Puan Shima mengamati wajah yang dirindui itu. Hampir 10 tahun mereka tidak bertemu. Puan Shima mengusap pipi Afaf dengan penuh kasih sayang.
"Afaf pergi mana? Kenapa Afaf tak nak balik sini?" soal Puan Shima sayu. Pilu rasa hatinya, namun bukanlah pilu disebabkan oleh kesedihan tapi lebih pada kegembiraan.
"Afaf tak pergi mana pun. Afaf ada je, cuma Afaf busy sikit. Sebab tu Afaf tak boleh balik sini," balas Afaf.
"Ya ke? Bukan sebab Afaf terasa dengan kami semua?" teka Puan Shima. Dia tahu, Afaf banyak makan hati dengan keluarga mentuanya terutama datuk dan juga Yasmin. Afaf hanya mendiamkan diri, dia tidak menjawab soalan itu. Hanya senyuman hambar sahaja diberikan.
"Ehem..." Eliza berdeham, menyedarkan semula Puan Shima akan keberadaannya di situ. Puan Shima terus berpaling kepada Eliza lalu terus berkata, "Eliz, ingat lagi Afaf? Sepupu kamu?"
Eliza memberikan senyuman lalu mengangguk.
"Ingat, bu. Mana boleh lupa. Afaf, awak apa khabar?"
"I sihat," balas Afaf pendek. Puan Shima menggosok-gosok lengan Afaf. Perasaannya pada saat ini sangat seronok kerana keluarganya dapat berkumpul semula walaupun tidak lengkap.
Emir yang baru turun dari tingkat atas, menjengahkan kepalanya apabila terdengar keriuhan di luar rumah. Dia terus melangkah ke arah pintu utama rumah banglo itu untuk melihat apa yang sedang berlaku.
"Kenapa ni?" sapa Emir sebaik sampai sahaja di muka pintu. Tersentak Eliza dengan kehadiran tiba-tiba abangnya itu. Matanya saling berpandangan antara Eijaz dan Eliza yang sedang terkebil-kebil itu. Terus matanya terpandang pada sosok tubuh yang sedang berbual dengan ibunya. Berkerut wajahnya memandang wajah yang begitu asing itu.
"Ibu, siapa ni?" soal Emir ingin mengetahui gerangan di depannya itu.
"Nilah, Afaf. Takkan kamu dah lupa dengan sepupu kamu sendiri?"
Emir mengerutkan dahi cuba mengingati gerangan empunya nama itu. Terus menganga mulutnya apabila dia mengingati gerangan itu.
"Oh.... budak doremifasolatido..."
Terus mencebik Afaf mendengar gelaran yang sudah lama dia tidak dengari itu. Doremifasolatido adalah nama gelaran yang diberikan oleh Emir dan juga Eijaz pada waktu kecil mereka. Dia amat membenci nama itu dahulu walaupun nama itu bukanlah membawa maksud yang teruk. Hanya not muzik sahaja. Tapi, pada waktu itu manalah dirinya tahu maksud sebenar doremifasolatido itu.
"Ish, apa kamu ni, Emir?" Dipukul lengan anak terunanya yang bermulut lancang itu. Sudah tahu Afaf tidak menyukai nama itu, disebutnya juga. Menyerigai Emir akibat pukulan ibunya itu.
"Kamu ni sudah-sudahlah gunakan nama tu. Dah 10 tahun dah, Afaf tak balik sini, tapi macam ni kamu layan. Maafkan Emir ya, Afaf. Budak ni memang mulut tak ada insuran," pinta Puan Shima sambil menepuk-nepuk belakang badan Afaf untuk memujuknya. Afaf hanya memberikan senyuman sahaja.
"Tak apa, Mak Long. Lagipun kisah lama. Cerita zaman berhingus. Lagipun panggilan tu bukan bawa maksud yang teruk pun, just not musik je."
"Ha, Afaf pun tak kisah, bu. Ibu yang lebih-lebih," bidas Emir sambil tersengih-sengih.
"Eh, jomlah masuk. Kita berbual dekat dalam. Apa berbual kat pintu pula ni. Tak elok, bu," ajak Emir. Sempat lagi dia menyakat ibunya. Puan Shima hanya memberikan jelingan tanda amaran.
"Jom masuk, jom masuk. Ha, Jaz. Masuklah, yang kau tercegat dekat situ kenapa? Nak jadi pak guard," seloroh Emir lagi.
AFAF memandang sekeliling rumah banglo itu dengan kakinya disilangkan. Tiada yang berubah dan rasanya penghuni rumah itu juga turut tidak berubah. Yang berubah hanya angka umur sahaja. Emir dan Eijaz memandang sahaja Afaf. Sesekali mata mereka memberikan isyarat untuk memulakan bicara. Terasa canggung sekali kerana antara mereka bertiga bukanlah rapat, malah boleh dikatakan musuh. Afaf memandang kedua jejaka yang duduk bertentangannya dengan pandangan kosong. Dia menyandarkan badan untuk menenangkan dirinya.
"Fa, kau dah lainkan sekarang. Dulu selekeh je aku tengok. Tapi sekarang, meletup." Emir memulakan bicara. Afaf hanya tersenyum sinis.
"Well, kita kenalah berubah jadi lebih baik dan cantik. Bukan macam..." Afaf melirikan matanya ke arah Eijaz dan memandangnya dari atas ke bawah. Eijaz yang perasan akan lirikan sinis itu terus tergelak sedikit.
"Jangan luaran je yang berubah cantik, tapi dalaman kotor," perli Eijaz sambil merenung tajam Afaf. Kecil besar sahaja dia melihat Afaf pada waktu itu. Apa ingat dia berpakaian buruk macam ni boleh dipijak-pijak maruahnya?
Afaf yang mendengar perlian itu, rasa tercabar. Dia turut membalas renungan itu. Emir yang berada di situasi yang tidak dijangka itu, berasa tidak selesa. Dengan pantas dia mencari topik perbualan yang baru.
"Ha, Jaz, kau ingat tak dulu kita pernah mandi sungai sama-sama? Afaf, kau ingat tak? Masa tu kita orang tak bagi kau ikut kita orang mandi sungai, yalah nanti kau kena tibai dengan ibu kau kalau ibu kau tahu kau mandi sungai. Tapi kau degil juga, kau tetap mandi juga."
Afaf menyumbingkan bibirnya lalu berkata, "Mestilah ingat. Mana boleh lupa. Lepas tu ada orang tu pergi masukkan katak dalam baju I. Melompat-lompat I nak buang katak tu dalam baju, sampai I tergelincir dan jatuh. Nasib kepala I waktu tu tak kena batu kalau tak, tak tahulah apa jadi."
"Ada ke? Siapa yang letak?" Emir cuba mengingatkan kembali memori itu. Eijaz sudah menundukkan kepala memandang lantai.
"Eijaz." Afaf tanpa berselindung terus memberitahu gerangan yang membuatnya hampir pecah kepala kerana tergelincir di sungai. Emir terus memandang Eijaz.
"Ya ke?"
Eijaz hanya mengangkat keningnya lalu mengangguk sedikit mengiakan peristiwa lama itu.
"Nasib tak jadi apa-apa. Kalaulah waktu tu kepala I pecah kena batu. You nak bertanggungjawab ke? Nasib I tak jadi benggong pasal kes tu."
Eijaz mengeluh. Dia tahu salahnya dahulu. Tapi itu waktu zaman kanak-kanak ribenanya. Manalah dia boleh berfikir secara rasional waktu itu. Yang dia tahu adalah keseronokan sahaja. Keadaan kembali janggal seketika.
"Afaf, sekarang kau kerja apa? Mesti kau dah loaded kan sekarang? Tengok dari gaya pun dah tahu." Emir mengubah lagi topik perbualan apabila dirasa keadaan kembali canggung.
Eliza datang dengan menatang dulang yang berisi sejug air. Dibelakang Eliza turut kelihatan seorang gadis yang Afaf tidak kenali. Gadis itu juga membawa sepiring karipap yang panas baru di goreng lalu dihidangkan di atas meja kopi depan mereka bertiga.
"Ha, Afaf. Ni aku kenalkan tunang aku, Harlina." Emir memperkenalkan gadis itu kepada Afaf. Harlina terus menghulurkan tangan dan Afaf menyambut salam perkenalan yang dihulurkan.
"Hai, Saya Harlina. Tapi panggil Lina je."
"Afaf."
Harlina memandang Afaf dengan pandangan berkerut. Harlina mengambil tempat di sebelah Emir, manakala Eliza pula duduk bersebelahan dengan Afaf.
"Aaa... saya macam kenal awaklah," ujar Harlina ragu-ragu. Afaf hanya menjongketkan keningnya sebelah.
"Oh ya. Kita pernah berjumpa ke?" soal Afaf ingin kepastian. Harlina menggeleng dengan perlahan.
"Shhh... Saya tak rasa kita pernah berjumpa... tapi... saya rasa macam pernah tengok awak. Tapi dekat mana, ya?" Harlina cuba mengingatkan kembali memorinya. Emir hanya memandang tunangnya yang cuba mengingati sesuatu yang dia sendiri tidak tahu.
"Hah! Saya dah ingat!" Masing-masing terus memandang ke arah Harlina.
"Awak Afalina, kan?" soal Harlina sedikit teruja. Afaf hanya tersenyum lebar apabila nama komersialnya disebut. Yang lain pula terus bungkam mendengar nama yang begitu asing itu.
"Jadi you kenal i sebagai Afalina?" Laju Harlina mengangguk.
"Yes!"
"Siapa Afalina?" soal Emir polos. Harlina terus memukul paha Emir. Terasa geram kerana Emir tidak mengenali orang yang dia minati.
"Awak ni, takkan tak tahu siapa Afalina? Punyalah hari-hari saya tengok IG live Afalina pasal tips kecantikan dan fesyen, awak boleh tak kenal."
Emir cuba mengingatkan kembali aktiviti harian tunangnya jika mempunyai masa senggang. Terus melopong mulutnya apabila sudah ingat kembali.
"Oh... Afalina. Model yang awak minat sangat tu. Sampai apa je yang dia beli dan pakai, mesti awak nak juga."
Afaf yang mendengar kata-kata Emir tersenyum lebar. Tidak sangka dia mempunyai peminat tegar padahal sekarang dia sudah kurang aktif dalam dunia peragaan.
"Jadi..." Emir menundingkan jari kepada Afaf.
"Yes, I Afalina. Seorang model." Afaf mengaku dengan bangganya. Eijaz berdecit mendengar pengakuan itu.
"Model rupanya. Patutlah pakai baju macam nangka busuk," perli Eijaz perlahan namun dapat didengari dengan jelas oleh Afaf. Afaf mencebik lalu memberikan jelingan kepada Eijaz.
"Kenapa guna nama Afalina?" soal Eliza yang sedari tadi hanya jadi pendengar.
"Stand for Afaf Adlina. Takkan you lupa nama penuh I? Nur Afaf Adlina?"
Eliza hanya mengangguk faham. Bukan dia lupa tapi bukannya penting bagi Eliza.
Tok...
Tok...
Tok...
Bunyi hentakkan tongkat bergema di ruang tamu itu. Masing-masing yang berada di ruang itu terus mengalihkan pandangan pada bunyi itu terhasil. Muncul sosok tua yang amat dikenali oleh mereka semua. Afaf memandang sosok tua itu dari bawah bawa hingga ke atas. Afaf merenung wajah itu dengan renungan yang tajam. Wajah yang takkan pernah dia lupakan. Wajah yang sering menghina bapanya. Wajah yang selalu memandangnya dengan pandangan yang jijik. Wajah bengis itu yang membuatkan dia tawar hati untuk pulang ke kampung halamannya. Itulah dia, Tuan Haji Yaaqub.
Selamat hari raya aidil adha. Sapa sini buat korban angkt kaki?
Share this novel
afaf dah cantik